Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Luluh lihat isteri, anak kaku

Posted: 15 Feb 2014 06:55 PM PST

Melaka: "Hati lelaki mana tidak luluh apabila melihat isteri dan anak yang baru beberapa minit ditinggalkan kaku di depan mata, namun saya gagahkan diri untuk keluarkan mayat anak bongsu dari dalam kereta berkenaan."

Begitu kata Jalal Yusof, 48, selepas isterinya Rossita Roslan, 42, bersama anak bongsu mereka Siti Norsyahira, 11, maut apabila PERODUA Myvi dinaiki bersama seorang lagi anak mereka, Siti Aishah, 16, melanggar sebatang pokok di Jalan Bukit Lintang, Ayer Molek, di sini, semalam.


Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, apabila kereta dipandu Rossita dari arah Persimpangan Bukit Lintang-Tiang Dua menghala ke Persimpangan Ayer Molek dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.

Rempuhan mengakibatkan Rossita dan Siti Norsyahira meninggal dunia di tempat kejadian manakala Siti Aishah yang duduk di bahagian penumpang belakang parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Jalal berkata, ketika kejadian, isteri dan dua anaknya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Telok Mas ke rumah ibu mentuanya di Duyong manakala dia menunggang motosikal.


"Ketika tiba di Bukit Larang, saya lihat cermin sisi namun kereta dipandu isteri tidak kelihatan sebelum saya mengambil keputusan menunggu mereka di hadapan rumah ibu mentua.


"Selepas 10 minit menunggu, saya hubungi telefon bimbit isteri tiga kali tetapi tidak berjawab. "Namun panggilan kali keempat dijawab seorang lelaki memaklumkan isteri terbabit kemalangan melanggar sebatang pokok," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Foto

JALAL (kiri) bersama seorang ahli keluarga tidak dapat menahan sebak dalam kejadian meragut nyawa isteri dan anaknya, semalam.

Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut apabila melihat keadaan isteri dan dua anaknya di dalam kereta berkenaan.


"Saya lihat Siti Aishah yang duduk di bahagian belakang dipercayai tercampak menghempap ibunya di tempat duduk pemandu, manakala Siti Norsyahira yang duduk di sebelah pemandu sudah tidak bernyawa.

"Saya menguatkan diri mengeluarkan anak bongsu dan meletakkannya di tepi kereta, manakala adik ipar membantu mengeluarkan Siti Aishah yang tidak sedarkan diri. Mayat isteri pula dikeluarkan pihak bomba," katanya.


Menurutnya, dia tidak menyangka sikap Rossita yang tidak bercakap seminggu sebelum kemalangan dan tidak bersalaman dengannya ketika keluar rumah pagi itu seperti kebiasaan petanda isterinya akan meninggal dunia.


Saksi Muhammad Zainurin Md Daud, 24, yang menjadi individu pertama tiba di lokasi berkata, dia yang baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan di kawasan berhampiran dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.


"Apabila keluar dari kedai saya lihat kereta dinaiki mangsa merempuh sebatang pokok, disebabkan masih gelap saya gunakan lampu suluh untuk melihat keadaan mangsa sebelum terlihat penumpang di bahagian belakang melambai tangan meminta tolong.


"Penumpang itu menghempap pemandu, manakala pemandu dan seorang kanak-kanak di tempat duduk hadapan tidak sedarkan diri," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Tak lantik wakil kutip derma

Posted: 15 Feb 2014 08:36 AM PST

Kuala Lumpur: Children's Joy Foundation, pertubuhan sukarela yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Filipina, tidak pernah melantik mana-mana individu untuk me­ngutip derma bagi pihak yayasan itu.

Ketua Unitnya di Quezon City dekat Manila, Ma Angeles Lazaro ketika dihubungi Metro Ahad mengesahkan kegiatan kumpulan gadis Filipina mengutip derma di Malaysia kononnya untuk menambah dana yayasan itu, adalah penipu.

"Kami tidak mempunyai wakil di luar Filipina untuk mengutip sumbangan atau derma. Malah, setakat ini tiada sesiapa pun (dari luar Filipina) menyalurkan sumbangan kepada yayasan ini biarpun dalam jumlah kecil.

"Kami juga tidak pernah menugaskan mana-mana pihak untuk mengutip derma melalui apa cara sekalipun, termasuk bermain muzik di jalanan," katanya.


Lazaro berkata, sumbangan kepada yayasan itu hanya dikutip melalui pel­bagai program kebajikan yang dijalankan di Filipina membabitkan pihak swasta dan kerajaan.


"Antara sebab kami tidak buat kutipan derma di luar Filipina ialah kerana kami tiada cawangan di negara lain, selain tahu ia membabitkan pelbagai urusan dan kebenaran kerajaan negara yang ingin dilawati.

"Jadi, buat masa ini kutipan atau sumbangan yang kami terima semuanya dari Filipina," katanya.

Lazaro berkata, pihak­nya yakin individu yang mengutip sumbangan di negara ini mempergunakan nama yayasan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga menerima banyak laporan mengenai kegiatan individu dan kumpulan di luar Filipina yang menggunakan nama yayasan itu untuk memungut derma.

"Ini bukan kali pertama kami ditanya mengenai perkara ini. Sebelum ini kami menerima laporan sama membabitkan penipuan seumpama itu di Kanada, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan Australia.

"Dengan penjelasan ini, saya berharap orang ramai tidak lagi terpedaya dengan taktik kumpulan penipu terbabit. Jangan beri derma lagi kepada mereka yang menggunakan nama yayasan ini, terutama kumpulan yang bermain gitar di jalanan. Mereka secara terang-terangan menipu dan memperdayakan orang ramai untuk kepentingan sendiri," kata­nya.

Sementara itu, tinjauan Metro Ahad menerusi akhbar online mendapati kumpulan seumpama itu aktif menjalankan penipuan sama di Kanada dan Amerika Syarikat.

Beberapa akhbar dan media online melaporkan, kumpulan berkenaan biasanya menjadikan stesen minyak dan kedai runcit untuk bermain gitar sebelum meminta orang ramai menghulurkan derma, kononnya untuk dana Children's Joy Foundation.

Lebih berani, ada pelajar kolej warga Filipina di Kanada menggunakan taktik sama untuk mengutip derma di kampus masing-masing yang kemudian dibuktikan penipuan terancang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Hujan debu semakin reda

Posted: 15 Feb 2014 08:35 AM PST

Keadaan sekitar bandar ini semalam iaitu hari kedua selepas Gunung Kelud meletus, sedikit lebih baik berbanding kelmarin.

Jika kelmarin hujan debu gunung berapi itu dapat dilihat dengan mata kasar dan dirasai kehadirannya, keadaan semalam tidak seteruk itu.

Jarak pandangan ketika memandu kereta semalam dianggarkan mencapai 20 meter berbanding antara lima hingga 10 meter pada hari sebelumnya.

Keadaan yang sedikit positif itu dimanfaatkan penduduk tempatan untuk membersihkan kediaman, pejabat, premis perniagaan serta kenderaan mereka

Foto

KEADAAN Kampung Pandansari di Malang, Jawa Timur yang diselubungi abu gunung berapi Kelud.


Tinjauan di sekitar bandar mendapati sebahagian kecil premis perniagaan sudah dibuka manakala sebahagian besar masih ditutup, begitu juga dengan sekolah dan pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

Maut dirempuh ketika baiki paip

Posted: 15 Feb 2014 07:51 AM PST

Melaka: Seorang pekerja kontrak yang sedang melakukan kerja pemasangan dan membaik pulih paip maut selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Batang Tiga - Tanjung Minyak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa Tan Chuan Long, 29, yang berada di tengah jalan bersama beberapa rakannya melakukan kerja pemasangan dan baik pulih paip dirempuh PERODUA Myvi dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun.


Rempuhan mengakibatkan mangsa parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Adik mangsa Tan Meng Leong, 24, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi rakan sekerja abangnya kira-kira jam 9.15 malam.


"Saya difahamkan ketika kejadian abang sedang mengemas peralatan kerjanya sebelum dirempuh sebuah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Mendiang sudah bekerja selama enam tahun dan dia memulakan kerja dari jam 8 pagi hingga 8 malam. "Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia satu hingga lima tahun," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan laporan kemalangan berkenaan.


"Ketika kejadian, beberapa pekerja kontrak lain sedang mengawal lalu lintas dan mangsa melakukan tugas pemasangan paip di tengah jalan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

3 kanak-kanak hampir rentung

Posted: 15 Feb 2014 07:50 AM PST

Selayang: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan tiga kanak-kanak daripada rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Hospital Selayang di sini kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit berada di wad menziarahi seorang ahli keluarga mereka yang dirawat.


Menurut sumber, kereta jenis Proton Exora terbabit tiba-tiba terbakar menyebabkan kanak-kanak berkenaan menjerit meminta pertolongan untuk keluar dari kenderaan terbabit.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian terpaksa memecahkan cermin kenderaan itu sebelum mengeluarkan semua kanak-kanak terbabit.


Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.53 petang dan mengerahkan sebuah jentera serta tujuh anggota ke lokasi kejadian.


Katanya, setibanya di lokasi kejadian, semua kanak-kanak terbabit sudah dikeluarkan orang awam tanpa sebarang kecederaan.

"Kenderaan itu gagal diselamatkan dan sebuah lagi motosikal yang diletakkan bersebelahan kenderaan itu turut rosak terkena bahang api.


"Api berjaya dikawal 12 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.19 petang selepas bomba memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula, "katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

No comments:

Post a Comment