Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


3 beradik makan ibu

Posted: 05 Feb 2014 10:39 AM PST

Manila: Tiga beradik membunuh ibu mereka sebelum memakan organnya mentah-mentah selepas upacara dipercayai bertujuan menghalau roh jahat dalam badan wanita itu.

Jiran melaporkan terdengar bunyi pelik dari rumah itu beberapa hari sebelum mayat Musala Amil, 56, ditemui di bandar Ampatuan.


Menurut Ketua Polis Ampatuan Inspektor Ronald De Leon, mayat wanita itu kehilangan beberapa anggota badan selain tidak berdarah.

Tiga anak lelakinya - Dante, 35, Paroy, 21, dan Ibrahim, 18 - bagaimanapun menafikan membunuh ibu mereka sebaliknya mendakwa cuba mengubati penyakit dipercayai diakibatkan roh jahat dalam kejadian yang berlaku Rabu lalu.


Katanya, polis turut menyiasat laporan bahawa keluarga berkenaan mempunyai masalah mental, namun tidak menolak kemungkinan mereka berada di bawah pengaruh dadah.


"Ketiga-tiga adik-beradik tinggal bersama ibu mereka di sebuah ladang di Purok Nabadtog.

Foto

DANTE (kanan), Paroy (kiri) dan Ibrahim menafikan tuduhan bunuh ibu mereka.

"Semuanya akan menjalani ujian dadah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Sementara itu ahli jawatankuasa kampung berkenaan mendakwa tiga beradik terbabit bertindak seperti binatang apabila membunuh dan meratah mayat ibu mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Si buta kemaruk tatu

Posted: 05 Feb 2014 10:35 AM PST

Cardiff: Seorang wanita 'kemaruk' menghabiskan masa 416 jam hidupnya untuk memenuhkan badannya dengan tatu.

Malangnya, dia tidak dapat melihat hasil lukisan itu kerana dia buta.


Fran Atkinson, 52, menghabiskan tiga tahun kebelakangan ini mendapatkan khidmat pelukis tatu Grez Bowman untuk melakarkan tatu pada keseluruhan badan dari leher ke buku lali.

Walaupun tidak tahu hasil kerja artis berkenaan, Fran berkata suaminya Rhyl dan Bowman menjadi 'mata' yang menghuraikan setiap tatu dilukiskan.


Malah Fran menganggap dia mungkin berjaya mencipta rekod sebagai wanita paling banyak tatu di Wales dan kini berharap dapat memasuki Guinness Book of World Records dengan bantuan Bowman.


Dia menghidap Retinitis Pigmentosa, penyakit keturunan yang mengakibatkan buta.

Dia mula hilang deria penglihatan ketika berusia remaja dan kini hanya mempunyai kadar penglihatan antara tiga hingga lima peratus.


Bagaimanapun, penyakit itu tidak mengurangkan minatnya terhadap seni tatu.

"Tatu pertama saya gambar kuda terbang sekitar 25 tahun lalu dan sejak itu sentiasa menambah lukisan pada badan saya.


"Tiga tahun lalu saya tiba-tiba terjaga daripada tidur dan terasa ingin memenuhkan badan dengan tatu.


"Saya mula mendapatkan khidmat Bowman untuk dua jam setiap minggu, namun sejak lebih setahun lalu sesi kami dipanjangkan kepada empat jam seminggu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Kucing, anjing nampak buas

Posted: 05 Feb 2014 10:35 AM PST

London: Ramai pemilik haiwan kesayangan semakin berminat menghias kucing dan anjing mereka untuk kelihatan lebih 'ganas.'

Di samping itu, pemilik terbabit bersusah-payah merias bulu kucing dan anjing kesayangan mereka supaya nampak tidak ubah seperti haiwan buas termasuk singa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Setahun untuk tangkap Suthep

Posted: 05 Feb 2014 10:34 AM PST

Bangkok: Mahkamah Jenayah Thailand semalam membenarkan permohonan polis mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban serta 18 yang lain.

Dalam penghakimannya, mahkamah berkata mereka memberi pertimbangan kepada bukti dikemuka polis dan percaya tokoh terbabit bersekongkol mencetuskan suasana darurat. Polis pula berkata 19 tokoh berkenaan melanggar Artikel 11 dan 12 perintah darurat. Kata mahkamah, 18 saksi dan bahan bukti terutama berbentuk video memberikan asas memadai untuk mengesyaki 19 pemimpin antikerajaan itu berpakat, menghasut atau menyokong tindakan yang menyebabkan situasi darurat. Justeru, menurut hakim, mahkamah membenarkan polis menangkap dan menahan 19 individu berkenaan sehingga keadaan darurat kembali tenang. Semua buruan itu, kata hakim, mesti ditahan di Balai Polis Peronda Sempadan Wilayah 1 di daerah Klong Luang. Mahkamah juga mengarahkan polis mengemukakan laporan penahanan serta gambar berkaitan kepada mahkamah dalam tempoh 48 jam selepas itu. Jika polis gagal menangkap suspek dalam tempoh setahun mulai semalam, menurut hakim, mahkamah mungkin memanggil pegawai bertanggungjawab dan membatalkan waran itu. Polis juga dilarang mendedahkan waran itu pada mana-mana media sosial atau dalam talian, selain mengedarkan salinannya dengan menggugurkan kertas itu melalui helikopter atau kapal terbang. Ketua penyiasat kes berkenaan berkata, polis akan cuba menangkap kesemua 19 suspek tanpa mengasari penunjuk perasaan.


Jurucakap PDRC pula berkata mereka akan membuat rayuan kepada mahkamah dan suspek tidak akan melarikan diri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Hanya 46.79 peratus keluar mengundi

Posted: 05 Feb 2014 10:33 AM PST

Bangkok: Jumlah pengundi yang menunaikan hak mereka dalam pilihan raya umum Ahad lalu tidak termasuk sembilan wilayah dibatalkan pengundian - adalah 46.79 peratus.

Laporan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) semalam menyatakan, sembilan wilayah yang tidak dapat menjalankan undian ialah Krabi, Chumphon, Trang, Phangnga, Phatthalung, Phuket, Ranong, Songkhla dan Surat Thani.


Kenyataan EC menyatakan Chiang Mai mencatat rekod undian tertinggi iaitu 75.05 peratus.

Bagi pusat pengundian di Bangkok, kadar pengundi yang keluar menjalankan hak mereka cuma sebanyak 16.78 peratus.


Jumlah pengundi berdaftar tidak termasuk sembilan wilayah terjejas - ialah 43,024,042 orang dan daripada itu 20,129,976 (atau 46.79 peratus) keluar mengundi.


Jumlah undi sah di seluruh negara ialah 14.368,962 (71.38 peratus) dan undi rosak pula 2,425,673 (12.05 peratus). Jumlah kertas undi yang tidak dikira ialah 3,335,334 (16.57 peratus).

Tiga wilayah paling tinggi mencatat jumlah keluar mengundi ialah Chiang Mai dengan 827,808 orang (75.05 peratus), Lamphun 241,209 (73.39 peratus) dan Mae Hong Son 104,119 (65.21 peratus). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Pheu Thai pohon bubar Parti Demokrat

Posted: 05 Feb 2014 10:33 AM PST

Bangkok: Parti Pheu Thai semalam mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) bagi mendapatkan perintah mahkamah membubarkan Parti Demokrat.

Jurucakapnya, Prompong Nopparit berkata, parti pembangkang itu melanggar perlembagaan kerana cuba menggulingkan sistem demokratik melalui sokongan kepada penunjuk perasaan yang menghalang pengundian pada Ahad lalu. Kata Prompong, Parti Demokrat menyokong Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat yang diketuai bekas ahli parlimen pembangkang, Suthep Thaugsuban.


Prompong turut menyerahkan beberapa cakera padat video mengandungi rakaman tunjuk perasaan dan sekatan terhadap proses pendaftaran calon, pengundian awal serta pembuangan undi Ahad lalu.

"Parti Demokrat meminta Pejabat Ombudsmen (badan pemantau kerajaan) mendapatkan perintah Mahkamah Perlembagaan bagi membatalkan pilihan raya kerana mereka mahu menggulingkan kerajaan dipilih rakyat," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Jokowi peluang tunggal PDIP

Posted: 05 Feb 2014 10:33 AM PST

Jakarta: Pemerhati politik menjangkakan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) tidak mempunyai pilihan dalam pemilihan presiden tahun ini kecuali mengemukakan Joko Widodo (Jokowi) sebagai pertaruhan mereka.

Penganalisis Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, Ikrar Nusa Bakti berkata, rakyat terbanyak mahu Gabenor Jakarta itu menjadi Presiden Indonesia. "Jika digandingkan Megawati (Presiden PDIP) dengan Jokowi pun mereka tidak akan menang.


"Rakyat mahukan Jokowi sebagai presiden, bukan naib presiden," katanya dalam satu majlis diskusi, semalam. Menurut perkiraan Ikrar, gandingan Megawati Jokowi mungkin mengatasi calon lain dalam pusingan pertama pemilihan tetapi undi diperoleh kurang daripada 60 peratus menyebabkan pemilihan pusingan kedua perlu diadakan.

Pada pusingan kedua, Megawati Jokowi akan tewas apabila parti lawan berjaya menyingkirkan mereka secara sah atau sebaliknya. "Jika PDIP gagal mengemukakan Jokowi sebagai calon presiden, mereka mengambil sikap menongkah arus kehendak rakyat," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Aquino sifatkan China seperti Nazi

Posted: 05 Feb 2014 10:32 AM PST

Manila: Presiden Filipina Benigno Aquino membandingkan usaha China menuntut perairan dipertikai di antara kedua-dua negara sebagai Nazi, serta menggesa pemimpin dunia tidak membuat kesilapan sama.

Akhbar New York Times semalam melaporkan Manila mendakwa China semakin agresif sejak beberapa tahun lalu untuk menguasai hampir seluruh kawasan Laut China Selatan.


Kata Aquino, Filipina tidak boleh bersabar dengan sikap jirannya itu.

"Bilakah anda akan berkata: Cukuplah! Nampaknya pemimpin dunia perlu menyatakan perkara itu.


"Adakah anda ingat insiden Sudetenland yang diserahkan kepada Jerman dalam usaha memuaskan Hitler dan mengelak Perang Dunia Kedua berlaku?" katanya. Aquino dilaporkan merujuk kepada kegagalan Barat menyokong Czechoslovakia apabila tentera Jerman pimpinan Adolf Hitler menjajah bahagian barat Eropah pada 1938 menjelang Perang Dunia Kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Mahu teliti rakaman video

Posted: 05 Feb 2014 10:31 AM PST

Kaherah: Perbicaraan kes bunuh terhadap bekas presiden Mohamed Mursi ditangguhkan sehingga 1 Mac depan bagi meneliti rakaman video yang dijadikan bahan bukti kes itu.

Pada tarikh itu, mahkamah akan menyemak semula laporan berhubung rakaman video yang diambil pada 5 Disember 2012 ketika pertempuran antara penyokong dan penentang Mursi.


"Mahkamah menangguhkan pendengaran keterangan saksi selepas barisan pembelaan memohon diberi masa untuk menyiapkan soal balas," kata sumber.

Seorang daripada saksi berkenaan adalah ketua unit tentera yang ditugaskan melindungi presiden ketika pertempuran itu.


Mursi hadir di mahkamah namun diletakkan di dalam kandang tertuduh yang dilitupi kaca kalis bunyi untuk menghalangnya mengganggu prosiding seperti sebelumnya.


Mursi dan 14 tertuduh lain yang turut termasuk beberapa bekas pembantunya didakwa menghasut pembunuhan penunjuk perasaan antikerajaan di luar istana presiden pada Disember 2012.

Foto

KENDERAAN polis menghalang pintu utama ke Akademi Polis di Kaherah di mana perbicaraan terhadap Mursi dijalankan, semalam.

Sekurang-kurangnya tujuh maut dalam kejadian itu.


Mursi menghadapi empat kes berasingan merangkumi tuduhan penghinaan badan kehakiman dan merancang konspirasi membabitkan militan Iran serta Palestin untuk melaksanakan serangan di Mesir.

Beberapa tuduhan terhadapnya juga membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.


Sementara itu, Pendakwa Raya Mesir bakal mendakwa 191 orang termasuk pemimpin kanan kumpulan Ikhwanul Muslimin membabitkan tuduhan bunuh dan merancang melarikan tahanan dari penjara.


Keputusan Hisham Barakat itu membabitkan jumlah tertuduh paling ramai bagi satu kes selain menambah bilangan tuduhan terhadap kumpulan Mursi itu sejak dia digulingkan pada Julai tahun lalu.


Tertuduh dalam kes itu termasuk pemimpin agung Ikhwanul Muslimin, Mohammed Badie dan bekas ahli parlimen Islamis.


Tuduhan membabitkan pembunuhan lima orang, cubaan membunuh 70 lain dan menyerang balai polis di bandar Terusan Suez ketika satu pertempuran yang mengakibatkan ratusan maut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Keselamatan di Sochi terkawal: AS

Posted: 05 Feb 2014 10:29 AM PST

Washington: Seorang pegawai kanan antikeganasan Amerika Syarikat (AS) semalam berkata beberapa ugutan dilakukan menyasarkan Olimpik Musim Sejuk di Sochi, Rusia terutama daripada Emiriyah Caucasus yang mengugut menyerang acara sukan berkenaan.

Pengarah Pusat Antikeganasan Kebangsaan, Matthew Olsen memberitahu Kongres semalam, AS dan Rusia sedang menyiasat pelbagai ugutan.


Menurutnya, kebanyakan serangan dirancang kemungkinan besar dilakukan di luar kawasan arena sukan sebaliknya membabitkan daerah di keliling Sochi. Sementara itu, Pengarah Biro Siasatan Persekutuan James Comey berkata, tahap kerjasama antara AS dan Khidmat Risikan Rusia dilihat semakin baik.

Menurutnya, pihaknya dan agensi keselamatan lain berusaha keras memastikan keselamatan warga Amerika di lokasi itu sentiasa selamat.


Di samping itu, Rusia meletakkan kira-kira 50,000 anggota polis dan tentera untuk mengawal keadaan di acara Olimpik itu sebagai langkah keselamatan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

No comments:

Post a Comment