Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Seksa lidah melekat pada tiang besi

Posted: 17 Feb 2014 09:30 AM PST

Massachusetts: Seorang pelajar sekolah menengah di Easthampton mengalami saat menyeksakan apabila lidahnya melekat pada tiang besi sekolah.

Pelajar yang dirahsiakan identitinya itu cuba meniru aksi dalam filem "A Christmas Story" terbitan 1983 dengan meletakkan lidahnya pada tiang besi yang sejuk.


Hasilnya sama seperti babak filem berkenaan, lidahnya melekat dan tidak dapat ditanggalkan dari tiang itu tanpa bantuan.

Pasukan bomba dan penyelamat yang dipanggil ke sekolah untuk membantu pelajar malang terbabit berjaya melepaskannya dengan mencurahkan air panas pada tiang dan lidah pelajar berkenaan.


Guru sekolah mengelilingi pelajar berkenaan sewaktu operasi menyelamat dijalankan. Selepas memastikan pelajar berkenaan dalam keadaan baik, pihak perubatan menghubungi ibunya untuk memaklumkan keadaan yang berlaku sebelum pelajar itu dibenar kembali ke kelas.


Ketua Jabatan Bomba Easthampton, David A Mottor berkata itu adalah kes kedua seumpamanya sepanjang 20 tahun dia berkhidmat.

Foto

KEADAAN pelajar yang terlekat lidah pada tiang besi di sekolahnya.

Kes itu juga bukan yang pertama tahun ini.


Baru-baru ini seorang kanak-kanak cuba menjilat tiang bendera, turut mengalami nasib serupa.

Lidah Maddie Gilmartin, 12, dari East Kingston melekat pada tiang itu selepas menjilatnya.


Walaupun dia berjaya dilepaskan dengan bantuan air panas tetapi memberitahu media bibirnya terasa kebas seperti disengat lebah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Nasib baik tak jadi makanan

Posted: 17 Feb 2014 09:29 AM PST

Sichuan: Seorang lelaki bernasib baik kerana masih hidup selepas dia bertindak bodoh untuk memberi makan harimau di zoo Chengdu, China.

Lelaki berusia 20 tahun itu memanjat pagar dan melompat masuk ke kandang harimau Bengal putih pagi semalam.


Dia kemudiannya mula menjerit dan menari bagi menarik perhatian harimau itu.

Harimau betina yang ketakutan dengan tindakan lelaki itu beredar merapati dinding kandang, namun seekor harimau lain bergerak menuju ke lelaki itu sebelum menerkam dan mengheretnya sejauh beberapa meter. Beberapa petugas zoo segera masuk ke dalam kandang bagi menyelamatkan lelaki itu selepas berjaya mengawal harimau berkenaan.


Yang mengejutkan, lelaki itu diiringi polis keluar tanpa kecederaan.


Apabila ditanya mengenai tindakannya lelaki berkenaan menjawab dia hanya mahu memberi harimau itu makan.

Foto

GAMBAR menunjukkan seorang lelaki nyaris maut dibaham harimau selepas memasuki kandang haiwan itu.

Beg galas yang dibawa lelaki itu ketika berdepan dengan harimau itu didapati penuh dengan nasi.


"Jika harimau itu dari spesis Siberia, kita tak dapat bayangkan keadaan lelaki itu, Dia juga bernasib baik kerana harimau di dalam kandang itu baru selesai makan, jika tidak...," kata petugas zoo.

Seorang pengguna Internet berkata, jika harimau itu tidak makan selama dua hari ketika kejadian itu, ceritanya akan jadi lebih tragik seperti mana yang dialami seorang penjaga zoo pada 2010 yang dibaham harimau Bengal selepas petugas terlupa memberi haiwan itu makan sehari sebelum itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Menyesal kebumi ibu 'masih hidup'

Posted: 17 Feb 2014 09:28 AM PST

Palermo: Satu keluarga di Itali kesal selepas mereka "dipaksa" mengebumikan ibu mereka walaupun percaya dia masih hidup.

Media melaporkan keluarga Grazi Bruno, 68 berkata wanita itu belum mati kerana tubuhnya tidak keras atau mengalami pereputan yang biasanya terjadi kepada mayat.


Perbalahan antara keluarga berkenaan dengan pihak berkuasa tempatan berlaku selama lapan hari selepas dua pakar perubatan mengesahkan wanita berkenaan meninggal dunia akibat kanser pankreas.

Keluarga berkenaan mengadakan majlis pengebumian di bandar Villagrazia di Carini berhampiran wilayah Palermo.


"Kami berasa amat kesal kerana terpaksa mengebumikan ibu kami walaupun dia masih lagi bernyawa," kata seorang ahli keluarga yang dirahsiakan identitinya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Presiden AS adu sakit, sengal badan

Posted: 17 Feb 2014 09:24 AM PST

Washington: Presiden Barack Obama mula mengadu sakit dan sengal badan seperti kelaziman lelaki seusianya.

Dalam satu rancangan temubual televisyen, Obama, 52, memberitahu bekas bintang bola keranjang negara itu, Charles Barkley, dia mula mengehadkan bermain bola keranjang kerana "sesuatu berlaku." "Pertama saya semakin tua. Kedua, saya risau sekiranya disiku ketika bermain dan bayangkan jika hidung saya patah menjelang ucapan pembukaan untuk persidangan kesatuan," katanya.


Sewaktu membincangkan pindaan undang-undang kesihatan yang dibuatnya, Obama berkata, "Apabila melepasi umur 50 tahun, kesakitan terasa sebaik bangun dari tidur dan kita tidak mengetahui dari mana ia datang." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Pejabat kerajaan dikepung

Posted: 17 Feb 2014 09:22 AM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan pembangkang semalam mengepung pejabat kerajaan, termasuk perkarangan yang dijadikan ibu pejabat sementara oleh Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Langkah itu dibuat tanpa mempedulikan usaha pihak berkuasa yang berikrar untuk menguasai semula beberapa bangunan penting kerajaan.


Petani yang berang mengepung perkarangan kementerian pertahanan di pinggir Bangkok, tempat Yingluck mengadakan mesyuarat sejak beberapa minggu lalu.

Ratusan petani menceroboh luar perkarangan kementerian berkenaan. Tidak dapat dipastikan sama ada perdana menteri itu berada di dalam bangunan berkenaan yang dikawal oleh tentera.


Petani itu yang tidak menerima bayaran untuk hasil padi yang dijanjikan dalam skim subsidi negara, berikrar untuk tidak meninggalkan kawasan berkenaan sehingga mereka dapat bercakap dengan Yingluck.


Mereka bagaimanapun berjanji untuk tidak menyerbu perkarangan berkenaan.

Foto

PETANI Thailand bertempur dengan polis ketika menunjuk perasan di pejabat sementara Yingluck di Bangkok, semalam.

"Kami akan bermalam di sini. Kami akan kekal di sini sehingga dapat berbincang dengan perdana menteri. Tetapi kami tidak akan menyerang bangunan kementerian," kata ketua petani Rawee Rungroeng.


Kira-kira sejuta petani masih belum menerima bayaran subsidi itu, menurut Institut Kaji Selidik Pembangunan Thailand. Ia juga berkata, kerajaan perlu mendapatkan wang berjumlah AS$23.6 bilion untuk menjelaskan bayaran yang dijanjikan itu.

Sementara, itu, ribuan penunjuk perasaan, termasuk kumpulan pelampau yang dikenali Rangkaian Rakyat Untuk Pembaharuan Thailand, berhimpun berhampiran Rumah Kerajaan.


Sebahagian mereka mencurahkan baldi berisi simen ke dalam tembok beg pasir di depan pintu masuk rumah itu.


Kerajaan Thai berusaha menawan semula beberapa bangunan rasmi selepas tunjuk perasaan sejak lebih tiga bulan lalu yang bertujuan menggulingkan kerajaan Yingluck serta mengekang penguasaan politik keluarganya.


Perdana menteri itu gagal menggunakan ibu pejabat kerajaan berkenaan yang terletak di pusat bandar raya Bangkok sejak dua bulan lalu, sebaliknya mengadakan mesyuarat di beberapa lokasi berbeza. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Gunung berapi tak jejas pilihan raya

Posted: 17 Feb 2014 09:21 AM PST

Jakarta: Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) memberi jaminan letusan Gunung Kelud di Jawa Timur tidak akan menjejaskan pengagihan bahan logistik untuk pilihan raya umum.

Ketua biro logistik KPU, Boradi berkata proses mencetak kertas undi kembali pulih kelmarin selepas terganggu akibat letupan itu malam Khamis lalu.


"Saya sudah menghubungi syarikat mencetak kertas undi di Jawa Timur dan Tengah dan laporan yang saya terima menyatakan proses mencetak kembali normal. Insya Allah pilihan raya akan berjalan seperti yang dirancang," katanya.

Menurutnya, hanya satu syarikat di daerah Klaten di Jawa Tengah yang terjejas teruk selepas kilang itu dilanda debu.


"Pekerja terpaksa membersihkan mesin. Ada pekerja yang tidak dapat bekerja kerana terhalang oleh debu. Kini, semua syarikat percetakan beroperasi seperti biasa, termasuk yang di Jawa Timur," kata Boradi.


Dalam pada itu, seorang pegawai KPU di Yogyakarta juga menegaskan, persiapan logistik untuk pilihan raya di wilayah itu tidak akan terjejas dengan letupan Gunung Kelud.

"Proses mencetak kertas undi di Solo dan Semarang, kedua-duanya di Jawa Tengah berjalan seperti biasa. Kerja mencetak bahan logistik lain juga berjalan seperti biasa selepas letupan itu," kata Farid Bambang Siswantoro.


Meskipun letupan itu menjejaskan sedikit proses mencetak, Farid berkata, pengagihan kertas undi tidak akan berdepan dengan sebarang rintangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Korban ribut salji bertambah

Posted: 17 Feb 2014 09:20 AM PST

Tokyo: Jumlah kematian akibat ribut salji yang melanda Jepun meningkat kepada 19 orang semalam.

Media dan pegawai melaporkan jumlah mangsa yang cedera juga bertambah kepada lebih 1,600.


Cuaca sejuk melampau itu turut menjejaskan sistem pengangkutan.

Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan, ribut salji itu yang paling buruk dalam sejarah Jepun, kini membadai Hokkaido, pulau di utara negara itu.


Kebanyakan kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya sementara ada juga akibat dihempap bumbung rumah yang runtuh.


Dalam pada itu, lebih 6,900 orang terperangkap selepas kawasan kediaman mereka terputus hubungan kerana dihalang salji tebal. Di wilayah Yamanashi, barat Tokyo, kedai berdepan dengan kekurangan bekalan makanan segar yang serius, mendorong Perdana Menteri Shinzo Abe berjanji untuk membantu kawasan yang berdepan bencana itu.

Foto

KEADAAN salji berhampiran kediaman di kawasan yang terperangkap di bandar Hayakawa, di daerah Yamanashi, barat Tokyo semalam.

"Kita akan melakukan apa saja untuk melindungi nyawa dan harta benda orang ramai," katanya kepada Parlimen semalam.


Sementara itu, kilang membuat kenderaan Toyota, Honda dan Suzuki terpaksa menutup operasi di sembilan kilang mereka di tengah dan timur Jepun akibat kekurangan kelengkapan dan ketidakhadiran pekerja akibat salji tebal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Pembantu juruterbang rampas pesawat

Posted: 17 Feb 2014 09:18 AM PST

Geneva: Lelaki yang merampas sebuah pesawat syarikat penerbangan Habsyah yang dalam penerbangan dari Addis Abbaba ke Rome semalam ialah pembantu juruterbangnya sendiri.

Pegawai Lapangan terbang Geneva, tempat pesawat itu dipaksa mendarat berkata, lelaki berkenaan mengambil peluang untuk merampas pesawat itu dengan mengunci kokpit ketika juruterbangnya berada dalam tandas.


"Dia merasa dirinya tidak selamat di negaranya dan mahu mencari suaka politik di Switzerland," kata jurucakap polis Geneva, Eric Grandjean.

Lelaki itu yang dilahirkan pada 1983 dan warga Habsyah menghubungi Lapangan Terbang Geneva dan memberitahu dia perlu mendarat untuk mengisi minyak. "Selepas itu dia mengumumkan mengenai rampasan pesawat," kata Grandjean.


Menurutntya, pesawat itu yang membawa 200 penumpang mendarat jam 6.02 pagi (waktu tempatan) dan pembantu juruterbang terbabit turun dari pesawat itu dengan mengguna tali yang dicampaknya dari tingkap kokpit.


"Dia tidak mempunyai senjata. Dia akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menahan tebusan dan berdepan dengan hukuman penjara 20 tahun jika didapati bersalah," katanya. - AFP

Foto

POLIS menyelamatkan penumpang pesawat Ethiopian Airlines selepas pesawat itu mendarat di Geneva, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Tiga kapal China masuk perairan rebutan

Posted: 17 Feb 2014 09:17 AM PST

Tokyo: Tiga kapal China belayar memasuki perairan kepulauan yang dikuasai Tokyo di Laut China Timur, kejadian terbaru dalam isu perebutan wilayah antara dua negara itu.

Kapal pengawal pantai China itu memasuki sejauh 12 batu nautika perairan di kepulauan Senkakus yang digelar China sebagai Diaoyus kira-kira jam 10 pagi dan meninggalkan kawasan itu tiga jam kemudian, kata pihak berkuasa pengawal pantai Jepun.


Kapal dan pesawat China kerap mendekati kepulauan di Laut China Timur itu yang dikatakan cuba meninjau sumber semula jadi selepas Jepun mengisytiharkan beberapa pulau di situ di bawah tadbirnya pada September 2012. Insiden berkenaan berlaku hanya beberapa hari selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry menyuarakan kebimbangan mengenai hasrat China untuk menuntut wilayah itu ketika rundingan dengan pemimpin kanan negara berkenaan termasuk Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang di Beijing. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Presiden Venezuela usir tiga diplomat Amerika Syarikat

Posted: 17 Feb 2014 09:16 AM PST

Caracas: Presiden Venezuela Nicolas Maduro semalam menuduh Washington merancang tunjuk perasaan antikerajaan di negara itu.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan pengusiran tiga diplomat Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas.

Arahan Maduro dibuat pada hari sama pemimpin pembangkang yang diburu Leopoldo Lopez muncul semula dan menyeru perhimpunan besar-besaran hari ini dan mencabar kerajaan menahannya ketika tunjuk perasaan diadakan.

Tunjuk perasaan antikerajaan yang dianjurkan kumpulan pelajar sejak dua minggu lalu menjadi cabaran terbesar kepada pemimpin sosialis negara itu sejak kematian Hugo Chavez tahun lalu.


Negara yang kaya dengan minyak itu bergelut dalam krisis ekonomi teruk dan pengkritik menyalahkan dasar Chavez yang diwarisi Maduro.


Pengawalan ketat mata wang dan harga menimbulkan krisis terbesar sehingga menyebabkan inflasi dan kekurangan barangan keperluan.

"Saya mengarahkan kementerian luar mengisytiharkan tiga pegawai konsular itu tidak lagi diperlukan dan diusir dari negara ini.

"Biarkan mereka pulang ke Washington," katanya dalam ucapan di televisyen yang disiarkan ke seluruh negara.

Maduro berkata, diplomat AS itu bertemu dengan kumpulan pelajar yang terbabit dalam tunjuk perasaan antikerajaan dengan alasan ingin menawarkan visa kepada mereka untuk ke AS.

September lalu, Maduro mengusir tiga diplomat AS, termasuk Kelly Keiderling atas tuduhan bersubahat dengan pembangkang. Kedua-dua negara itu tidak mempunyai duta sejak 2010. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

No comments:

Post a Comment