Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tiga lelaki putih mata

Posted: 06 Feb 2014 11:02 AM PST

Kajang: Cubaan tiga lelaki melarikan wang tunai dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bandar Baru Sungai Long di sini, gagal apabila pintu kebal dalam mesin berkenaan tidak berjaya dibuka dalam kejadian pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mesin ATM berkenaan ditarik keluar dari tempatnya menggunakan trak penunda.

Difahamkan, kejadian itu disedari seorang pelanggan yang datang ke bank untuk mengeluarkan wang kira-kira jam 7.30 pagi dan mendapati pintu kaca pecah sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga suspek yang memakai topeng bertindak memecah pintu masuk bank sebelum mengumpil salah satu mesin ATM berkenaan.

Foto

MESIN ATM gagal dipecahkan tiga penyamun.


"Semua suspek berusia lingkungan 30-an itu berjaya membuka pintu pertama mesin, namun terdapat satu lagi pintu kebal di dalamnya dan ia gagal dibuka menyebabkan mereka cuba membawa keluar mesin berkenaan menggunakan lori penunda.


"Bagaimanapun usaha mereka gagal selepas alat penggera di bank ini berbunyi sebelum mereka bertindak melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah mesin ATM yang cuba dilarikan itu berubah kedudukan asalnya hingga ke pintu masuk bank itu.

"Usaha sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan yang dinaiki suspek. Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak dapat merakam imej suspek secara jelas kerana kamera menghala ke luar bank.

"CCTV di premis berhampiran juga tidak banyak membantu berikutan hanya memfokuskan di bahagian kaki lima sahaja," katanya.

Ab Rashid berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Senario remaja hamil makin serius

Posted: 06 Feb 2014 10:55 AM PST

Putrajaya: Mesyuarat Majlis Sosial kali ketiga yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membentangkan dua kertas kerja masing-masing bertajuk 'Kehamilan dan Kematian Di Kalangan Remaja' oleh Kementerian Kesihatan dan Agenda Sosial Negara 2014 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri semalam, Kementerian Kesihatan menyatakan senario kehamilan dan kematian dalam kalangan remaja kini semakin serius dan perlu pendekatan holistik untuk mencegah dan membendungnya.

Justeru, kerjasama berterusan amat diperlukan terutama dari ibu bapa, guru, badan bukan kerajaan (NGO), ahli agama dan ketua masyarakat bagi memberikan kesedaran menyeluruh kepada remaja.

Sementara itu, perbentangan kertas kerja kedua oleh KPWKM pula menerangkan lebih lanjut senarai program Agenda Sosial Negara 2014 yang akan dilaksanakan tahun ini.


Antara program yang akan difokuskan termasuk memberi tumpuan kepada kumpulan sasar kementerian dan isu sosial yang spesifik untuk ditangani dan dibendung oleh kementerian.


Pada masa sama, kempen kesedaran dan pencegahan akan dilaksanakan bagi menangani masalah sosial yang sudah dikenal pasti.

Pada mesyuarat sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyediakan kertas makluman bertajuk 'Kadar Jenayah Di Malaysia - Program Pencegahan oleh PDRM' sebagai makluman awal kepada ahli mesyuarat.

Mesyuarat Majlis Sosial yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya itu turut dihadiri sembilan menteri; dua wakil NGO dan dua pegawai awam yang juga ahli tetap majlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

DBKL bantu warga kota jimat belanja

Posted: 06 Feb 2014 10:54 AM PST

Kuala Lumpur: Warga kota kini boleh merancang perbelanjaan lebih berhemat apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meletakkan papan tanda harga patut di premis perniagaan barangan keperluan pengguna pada harga berpatutan di bandar raya ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, inisiatif itu memberi kemudahan kepada warga kota untuk membuat perbandingan harga barangan dan memilih kedai yang menawarkan harga berpatutan bertepatan dengan kualiti barangan dan perkhidmatan masing-masing.

"Penilaian kriteria kedai harga patut dilaksanakan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan rata-rata kedai dipilih mengekalkan harga berpatutan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

"Kerajaan menyedari masalah yang dihadapi rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup terutamanya di bandar dan diharap pengguna boleh membuat pilihan bijak dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan," katanya pada sidang media selepas melawat dan menyerahkan papan tanda harga patut di restoran terpilih di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J Loga Bala Mohan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Tengku Adnan berkata, bagi permulaan sebanyak enam premis restoran terpilih untuk diletakkan papan tanda harga patut terletak di persekitaran Jalan Medan Tuanku iaitu Restoran Nasi Kandar Lotus, Restoran Omar Khayam, Restoran Haniffa, Restoran Mubarak, Restoran Selera Kampung (Giat MARA) dan Restoran Ukhuwah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Tujuh sah dijangkiti virus H1N1

Posted: 06 Feb 2014 10:37 AM PST

Kota Kinabalu: Sebanyak tujuh kes membabitkan lima dewasa dan dua kanak-kanak disahkan dijangkiti virus Influenza A H1N1 dikesan di bandar raya ini, manakala satu kes lagi membabitkan kanak-kanak dikesan di Sandakan.

Berikutan itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Christina Rundi menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan diri selain digalakkan supaya mengenakan topeng muka ketika berada di persekitaran ramai.

Beliau berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan mengenai penyebaran penyakit H1N1 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKK) pada 3 Februari lalu dan langkah pencegahan sedang dilakukan.

"Pihak hospital sudah melakukan saringan terhadap 31 individu yang berpotensi terdedah dengan ancaman virus ini dimana 10 sampel 'Nasopharyngeal Aspirate Respiratory Syncytial Virus' (NPA RSV) sudah diambil untuk ujian pengesahan.


"Keputusan mendapati seramai tujuh individu disahkan positif dijangkiti virus H1N1 selepas mengadu mengalami simptom seperti batuk, demam dan selesema." katanya ketika dihubungi, semalam.


Christina berkata, mereka yang disahkan dijangkiti wabak berkenaan terdiri daripada lima kanak-kanak dan dua dewasa.

"Pihak hospital sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak penularan wabak ini termasuk semua pesakit diberikan rawatan anti virus.

"Malah, wad yang disahkan berlaku penularan sudah dikuarantin manakala individu yang berpotensi terdedah disaring untuk pengesahan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada masa sama, Christina berkata pihaknya juga sudah mengehadkan kemasukan pelawat di wad dan melakukan saringan kesihatan terhadap seluruh kakitangan hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Rumah buruk dibaling batu

Posted: 06 Feb 2014 10:35 AM PST

Kota Tinggi: "Setiap kali angin kencang atau ribut melanda, saya takut atap zink serta dinding rumah menghempap kami sekeluarga," kata orang kelainan upaya (OKU) Fadhillah Mohd Ali, 45, ketika ditemui di kediamannya di FELDA Sungai Sibol di sini, semalam.

Menurut Fadhillah, ketakutannya bertambah jika angin kencang atau ribut melanda ketika ketiadaan suami, Ramlan Hassan, 46, dan anak, Puteri Raihanah, enam tahun, di rumah memandangkan pergerakannya terhad kerana kedua matanya kabur.

"Jika ribut atau angin kencang melanda, jiran yang saya anggap sebagai ibu angkat menjerit menyuruh saya menyelamatkan diri.

"Jika Puteri Raihanah ada di rumah, jiran datang membawa dia serta saya ke rumahnya untuk berteduh buat sementara," katanya.

Foto

FADHILLAH dipimpin anaknya, Puteri Raihanah untuk keluar rumah.


Ramlan bertugas sebagai mandur untuk kerja mencari serta memotong kayu dengan pendapatan RM750 sebulan manakala Fadhillah menerima bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta RM300 sebulan daripada Baitulmal.


Menurut Fadhillah, akibat kedaifan hidup, mereka sekeluarga sering dicerca menyebabkan Puteri Raihanah kerap menangis dan memencilkan diri.

Katanya, anaknya itu menangis apabila menceritakan perihal rakannya yang mengejek rumah mereka buruk.

"Ada yang membaling batu ke rumah kami menjadikan kami semakin sedih. Sejak setahun lalu, Puteri Raihanah hanya berkurung di dalam rumah selepas pulang dari sekolah dan tidak keluar bermain dengan rakannya.

"Jika Puteri Raihanah tahu angin kencang atau ribut melanda, dia enggan masuk ke dalam rumah walaupun puas dipujuk," katanya.

Menurut Fadhillah, dia dan suami pernah memohon bantuan daripada pihak berkaitan untuk membaiki rumah mereka namun statusnya masih samar walaupun dimaklumkan permohonan sudah diluluskan pada tahun lalu.

"Saya dan suami pernah memohon untuk bantuan pinjaman membaiki rumah dan diberitahu permohonan sudah lulus, tetapi sehingga sekarang masih tiada perkembangan," katanya.

"Ada pemimpin datang ke sini untuk meninjau keadaan rumah selepas ribut melanda kampung kami namun hanya zink yang diterbangkan ribut saja diganti baru," katanya.

Fadhillah turut mengemukakan surat peringatan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik ke rumah itu yang tertunggak lebih RM800.

Selain cacat fizikal sejak lahir, dia juga menghidap darah tinggi manakala kedua-dua matanya sudah kabur dan doktor menasihatinya supaya melakukan pembedahan membuang selaput mata, namun tiada wang.

"Perbelanjaan perubatan saya RM200 sebulan tidak termasuk ubat untuk penyakit asma anak," katanya.

Menurut Fadhillah, ketika tidak bekerja, suaminya mencari barangan terbuang seperti tin minuman selain menjual pisang nipah serta kelapa tua yang ditanam di belakang rumah untuk menampung pendapatan keluarga.

Sementara itu, derita tiga beranak berkenaan mendapat perhatian pasar raya Econsave yang bermurah hati menyumbang baucar barangan keperluan harian bernilai RM1,000.

Pengurus Operasi Econsave Bahagian Selatan Mas Imran Ahmad berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa pasangan berkenaan selain sudi memberi peluang pekerjaan kepada Ramlan jika berminat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

No comments:

Post a Comment