Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ganti ibu menari

Posted: 22 Feb 2014 10:26 AM PST

Seri Kembangan: Usianya baru 15 tahun, tapi sudah mahu menunjukkan bakat menggantikan ibunya sebagai penyanyi dan penari separuh bogel di Medan Selera Serdang di Taman Perindustrian Bukit Serdang, di sini.

Bagaimanapun, tindakan remaja berasal dari Bandar Tun Razak yang berhenti sekolah tahun lalu itu memakan diri apabila ditahan polis dalam Ops Noda di situ, malam kelmarin.

Gadis itu mendakwa kali pertama membuat persembahan sebab menggantikan ibunya yang sakit dan tak boleh menyanyi.

Ibunya berusia 53 tahun turut ditahan ketika serbuan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bermula jam 11 malam.

Foto

REMAJA 15 tahun yang menari separuh bogel yang ditahan polis dalam Ops Noda.

Foto

PENARI separuh bogel ditahan di Medan Selera Serdang.


Operasi diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Serdang Deputi Superintendan Ramsay Anak Embol.


Ramsay berkata, ketika serbuan, 15 wanita berada di atas pentas menari dan dikalungkan bunga.

"Serbuan dilakukan 23 anggota, termasuk empat pegawai, selepas mendapat aduan dan maklumat awam berhubung persembahan mengghairahkan di medan selera itu.

"Semua 15 wanita itu berusia antara 15 hingga 50-an. Tujuh tempatan, tujuh warga China dan satu dari Thailand ditahan untuk siasatan lanjut.

"Dua lelaki tempatan yang disyaki penjaga premis turut ditahan," katanya.

Menurutnya, semua tangkapan dibawa balik ke Balai Polis Seri Kembangan di atas pelbagai kesalahan, antaranya beroperasi tanpa permit hiburan, menggajikan pekerja tanpa permit, salah guna pas pelawat dan pas pelajar serta pasport tamat tempoh atau tinggal lebih masa.

Difahamkan, pengunjung yang berpuas hati dengan persembahan akan mengalungkan bunga di samping tips RM10 sehingga RM100 kepada penghibur.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Buru dua lelaki cuba serang polis

Posted: 22 Feb 2014 10:22 AM PST

Klang: Polis melancarkan gerakan memburu dua lelaki meloloskan diri di Taman Kandis Permai, dekat sini, kelmarin, yang mengakibatkan seorang suspek berusia 30 tahun cedera terkena tembakan apabila cuba menyerang polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pihaknya mengenal pasti identiti kedua-dua suspek yang melepaskan diri dan percaya beberapa lagi anggota kumpulan itu menjalankan aktiviti mencuri kenderaan sekitar daerah ini.

"Suspek yang cedera masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), dan dilaporkan stabil, selain ditahan reman sehingga 28 Februari ini.

"Polis juga mendapati lori tiga tan yang digunakan ketika kejadian dilaporkan dicuri pada 18 Februari lalu di Pandamaran, dekat sini," katanya selepas Program Kayuhan Mesra Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Balai Polis Kapar, dekat sini, semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan, seorang lelaki berusia 30 tahun cedera di kaki selepas ditembak ketika bergelut dengan anggota polis yang cuba menahannya.

Ketika pergelutan itu, lelaki terbabit dipercayai menggunakan senjata tajam.

Menurut saksi, dalam kejadian jam 8 pagi, sebaik lelaki terbabit ditembak di kawasan depan rumahnya, dia melihat dua lagi rakan lelaki itu melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum sepasukan anggota polis tiba.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia lewat 20-an dipercayai teman lelaki kepada wanita yang dikaitkan dengan isu memuat naik kata-kata kesat menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ditahan di sebuah hospital di Kajang pada 16 Februari lalu.

Mohd Shukri berkata, hasil siasatan mendapati suspek menggodam laman sosial Facebook wanita terbabit selepas dia menolak lamarannya dan memuat naik kata-kata kesat berkenaan, dipercayai bagi membalas dendam terhadap wanita itu.

"Lelaki berusia 29 tahun itu pernah terbabit dalam kes cubaan membunuh adik bekas teman wanitanya di Kajang, tahun lalu.

"Suspek ditahan reman tujuh hari bermula Isnin lalu dan kes akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini, pada 13 Februari lalu, Harian Metro melaporkan seorang wanita yang dikaitkan dengan isu memuat naik kata-kata kesat menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ditahan pihak berkuasa di rumahnya di Taman Tenaga, Sungai Jelok, Kajang.

Wanita berusia 27 tahun itu ditahan jam 1 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, sebelum dibawa ke IPD Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Pengikut 'Tuhan Harun' diberkas

Posted: 22 Feb 2014 10:22 AM PST

Kota Kinabalu: Tiga pengikut 'Tuhan Harun' termasuk dua daripadanya yang dipercayai terbabit dengan pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abdul Malek, 47, tahun lalu ditahan polis di sebuah pangsapuri dekat sini, semalam.

Dua lelaki berusia 36 dan 37 tahun yang berasal dari Johor itu disyaki terbabit dalam kejadian pembunuhan pegawai JAIP pada 10 November 2013 termasuk seorang daripadanya memandu kereta ketika insiden itu berlaku.

Siasatan awal terhadap seorang lagi lelaki, 33, berasal dari Bachok, Kelantan tidak terbabit dengan kes tembakan berkenaan tetapi adalah orang kuat 'Tuhan Harun' yang dihantar ke negeri ini untuk menjalankan aktiviti pengutipan derma.

Semua individu terbabit ditahan di Pangsapuri Melinsung Summer Resort, Papar oleh Pasukan Petugas Khas Menangani Jenayah Terancang (STAFOC) kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter rasminya jam 5.08 petang semalam.

"Syabas kepada STAFOC kerana berjaya menangkap tiga lelaki di Papar, Sabah tadi (semalam), berkaitan dengan kes pembunuhan pegawai JAIP," katanya.

Dalam insiden pembunuhan November tahun lalu, Ahmad Raffli ditembak mati di depan rumahnya di Indera Mahkota 2, jam 1.50 tengah hari.

Mangsa maut ditembak dari jarak dekat dengan kesan dua tembakan mengenai bahagian dada kanan oleh seorang daripada tiga lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Bas sondol 3 kereta

Posted: 22 Feb 2014 10:21 AM PST

Ipoh: Seorang pemandu bas wanita dalam perjalanan membaiki brek kenderaannya merempuh tiga kenderaan, termasuk sebuah kereta peronda polis di Persiaran Sultan Azlan Shah, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, wanita berusia 45 tahun dari rumahnya di Taman Sri Perkasa ke sebuah bengkel di Menglembu untuk membaiki bas yang dipandu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata kemalangan membabitkan empat kenderaan itu menyebabkan lalu lintas sesak sehingga lebih dua kilometer berhampiran kawasan kejadian.

"Siasatan awal mendapati pemandu wanita berkenaan dalam perjalanan membaiki brek bas yang dipandunya ke sebuah bengkel di Menglembu.

bas yang dipandunya gagal berhenti menyebabkan merempuh tiga kenderaan termasuk sebuah kereta peronda polis yang sedang berhenti di hadapan lampu isyarat merah," katanya.

Beliau berkata, selain kenderaan polis jenis Proton Waja turut terbabit dalam kejadian itu sebuah Perodua Viva dan Proton Iswara.

"Pemandu dan penumpang yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan serius.

"Ketika kejadian cuaca hujan lebat dan jalan raya basah," katanya.

Wan Shahruddin berkata kemalangan itu menyebabkan kereta peronda polis mengalami kemek di bahagian depan dan belakang sementara dua lagi kenderaan turut mengalami kerosakan di bahagian sama.

Katanya, kKes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

Tersangkut ranting

Posted: 22 Feb 2014 10:20 AM PST

Segamat: Punca lapan remaja lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap di sini, pagi kelmarin dipercayai akibat mangsa terjerlus dan tersangkut pada ranting kayu di dasar sungai berkenaan.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid ketika beliau meninjau lokasi kejadian malam kelmarin.

Soiman tiba di tempat kejadian pada jam 10.20 malam diiringi Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Johor Datuk Abdul Ghani Daud.

Menurut Soiman, berdasarkan maklumat diperoleh daripada pasukan penyelam, dasar sungai berkelodak dan dipenuhi ranting kayu.

Foto

SOIMAN (kiri) meluangkan masa meninjau operasi mencari dan menyelamat lima lagi mangsa lemas di Sungai Muar, semalam.


"Kami percaya kejadian lemas itu berpunca akibat mangsa terjerlus ke dasar sungai.


"Selain itu, kami percaya mangsa yang belum ditemui kelmarin terperangkap di dasar sama ada ditimbus pasir halus atau ranting kayu," katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi semalam dengan bantuan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

"Operasi dilakukan lebih agresif hari ini (semalam) selain meluaskan skop kawasan ke tiga kilometer dari sini (lokasi mangsa terjatuh)," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

No comments:

Post a Comment