Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Aaliyah terima jemputan sertai Moomba Master

Posted: 06 Feb 2014 10:15 AM PST

Kuala Lumpur: Peluncur air sensasi negara Aaliyah Yoong Hanifah menerima jemputan untuk menyertai pertandingan Moomba Master 2014 yang bakal berlangsung di Melbourne, Australia.

Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) menerusi kenyataannya berkata, pertandingan yang akan berlangsung pada 5 hingga 10 Mac depan itu, antara kejohanan ski air profesional paling tersohor.


Menurut Setiausaha MWWF Hanifah Yoong, Aaliyah menjadi peserta paling muda dalam sejarah pernah dijemput bagi bersaing dalam pertandingan yang turut membabitkan ramai peluncur air profesional.

"Tahun lalu dia antara peluncur paling muda dijemput bertanding di kejohanan peringkat remaja Moomba Junior bawah 17 tahun. Dia layak ke pusingan akhir dan menamatkan cabaran di tempat ketujuh.


"Masa untuknya menang akan tiba, tapi ketika ini penting buat Aaliyah mengutip pengalaman bersaing dengan peluncur profesional dunia dalam saingan yang disaksikan lebih 10,000 penonton nanti," katanya.


Sementara itu, Aaliyah berkata, dia tidak pernah menyangka akan bersaing di kejohanan terkemuka dunia itu seawal ini kerana baginya masih banyak kelemahan yang harus diperkemaskan.

Foto

Aaliyah Yoong Hanifah

"Seperti bermimpi ketika dimaklumkan mengenai jemputan ini. Saya perlu kekal fokus kerana akan bersaing dengan juara dunia seperti Clementine Lucine dan Erika Lang," katanya yang ketika ini berada di kedudukan ke-54 dunia bagi kategori terbuka dan ke-15, bawah 17 tahun wanita.


Aaliyah sebelum ini mencipta kejutan di Sukan SEA Indonesia apabila menjadi atlet termuda memenangi pingat emas dalam kejohanan itu pada usia 8 tahun.

Kecemerlangan Aaliyah diteruskan dalam beberapa pertandingan lain selepas itu termasuk menduduki tempat pertama kategori bawah 10, 12 dan 14 tahun di kejohanan Coup De Meuzac, Perancis dan tempat pertama bawah 17 tahun dan ketiga kategori wanita Kejohanan Ski Air Asia IWWF di Korea tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Detik mencabar buat Gunners

Posted: 06 Feb 2014 10:00 AM PST

London: Pendahulu liga Arsenal berdepan tugas mencabar dalam mengharungi saingan bulan ini apabila mereka bertandang ke Anfield malam esok bagi perlawanan pertama daripada dua perlawanan berturut-turut dengan Liverpool.

Peluang skuad kendalian Arsene Wenger untuk menamatkan penantian sembilan tahun tanpa trofi banyak bergantung kepada sejauh mana prestasi mereka dalam mengharungi ujian getir bulan ini.


Dengan aksi Liga Perdana di laman sendiri menentang Manchester United, pertembungan Piala FA dengan Liverpool serta aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich menyusul selepas perlawanan esok, mereka tidak boleh kecundang jika tidak mahu tersingkir dalam perebutan kejuaraan tiga pertandingan itu.

Mereka mendahului liga dengan hanya dua mata mengatasi Manchester City yang berkunjung ke Norwich dan Chelsea yang akan melayan Newcastle di gelanggang sendiri. Seandainya Arsenal kalah di Anfield kemungkinan mereka akan merudum ke tangga ketiga.


Bagaimanapun kelab dari London itu kini dalam prestasi terbaik apabila tidak pernah kalah dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana di Anfield dan moral mereka untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut di situ semakin membara selepas Jack Wilshere (gambar) diberitakan akan kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.


Dia boleh diturunkan untuk beraksi di bahagian tengah bersama Alex Oxlade-Chamberlain yang menjaringkan dua gol ketika menang 2-0 ke atas Crystal Palace, Ahad lalu.

Arsenal akan beraksi tanpa pemain tengah yang digantung Mathieu Flamini, Aaron Ramsey dan Theo Walcott yang mengalami kecederaan namun keyakinan mereka semakin memuncak selepas mencatat enam kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir.


Kekalahan buat Liverpool akan menyebabkan mereka ketinggalan 11 mata dengan pendahulu liga dan pengurus Brendan Rodgers berasakan mereka sudah boleh melupakan kejuaraan liga.

Manchester City yang mensia-siakan peluang untuk merampas kedudukan Arsenal di puncak liga Isnin lalu apabila tumpas 0-1 kepada Chelsea di gelanggang sendiri akan bertandang ke Norwich yang dibelasah mereka 7-0 November lalu.


Mereka pasti mahu menebus kekecewaan gagal mengekalkan rekod bersih di laman sendiri serta 20 perlawanan tanpa kalah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

'Moyes pilihan paling tepat'

Posted: 06 Feb 2014 09:53 AM PST

Miami, AS: David Beckham menganggap pengurus Manchester United, David Moyes yang dikecam hebat "adalah individu tepat bagi jawatan itu" dan menyokongnya mencipta kejayaan di Old Trafford.

Ditanya jika beliau menimbangkan Moyes sebagai bos pasukan barunya di Miami, Beckham berkata, beliau tidak menjangkakan warga Scotland itu kehilangan jawatannya dalam masa terdekat sekalipun bermula hambar sebagai pengurus United.


"Saya gembira dengan jawatan dipegangnya di sana," jelas bekas bintang United dan England itu semalam, tidak lama selepas beliau mengesahkan hasrat memiliki sebuah kelab bola sepak di Miami.

"Beliau seorang pengurus hebat. Saya fikir beliau orang yang tepat bagi jawatan itu. Beliau seorang pengurus yang terbabit dengan jawatan paling besar di dunia dan sudah tentu ada tempoh peralihan.


"Tapi bagi saya, beliau orang yang tepat bagi tugasan itu dan semuanya akan berubah." Moyes mengambil alih sebagai pengurus United daripada Alex Ferguson pada musim panas lalu namun mengalami kesukaran mengemudi kelab juara Liga Perdana Inggeris itu yang tumpas kepada Stoke hujung minggu lalu dan menghuni tangga ketujuh liga.


Mereka ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Arsenal dan sudah kalah lapan perlawanan musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Rodgers akur

Posted: 06 Feb 2014 09:50 AM PST

London: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mengakui kelab itu perlu menunggu musim depan untuk menambah kejuaraan Liga Inggeris.

Keputusan seri 1-1 dengan West Brom Ahad lalu menyebabkan Liverpool keciciran lapan mata di belakang pendahulu Arsenal menjelang pertembungan dengan Gunners di Anfield malam esok.


Misi utama Liverpool kini adalah mengekalkan kedudukan dalam kelompok empat teratas bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun musuh ketat Merseyside, Everton hanya satu mata di belakang Liverpool manakala Tottenham Hostpur pula ketinggalan dua mata dengan skuad Reds itu.


Liverpool muncul juara liga di England sebanyak 18 kali, namun rekod itu sudah diatasi oleh musuh tradisi Manchester United.


Namun tiada satu pun gelaran itu diraih ketika era Liga Perdana dengan kali terakhir kelab Merseyside itu memenangi kejuaraan domestik pada musim 1989-90.

Foto

LUIS Suarez (kanan) dan Martin Skrtel kecewa selepas hanya seri menentang West Brom Ahad lalu.

Rodgers berkata, ketika ini mereka boleh melupakan hasrat untuk menamatkan kemarau kejuaraan itu.


"Saya fikir bagi kami sebagai satu pasukan, terlalu awal untuk mencapai sasaran itu," katanya semalam.

"Saya menonton aksi perlawanan Manchester City-Chelsea dan melihat skuad mereka yang dibentuk sejak beberapa tahun lalu. Sukar untuk kami melakukannya meskipun kami memberikan tentangan sepanjang musim.


"Jadi saya katakan ini bukan tahun kami. Kami tidak akan jadi pencabar utama.


"Adakah kami akan turut bersaing dalam perebutan kejuaraan? Ya, betul kami akan memberi cabaran kerana kami profesional dan kami mahu berjuang untuk mencapai kedudukan terbaik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Forest, Sheffield gamit memori

Posted: 06 Feb 2014 09:47 AM PST

London: Nottingham Forest akan berdepan Sheffield United yang dikendalikan bekas pemain mereka, Nigel Clough pada pusingan kelima Piala FA Inggeris selepas mengalahkan Preston 2-0 pada perlawanan ulangan pusingan keempat, awal pagi semalam.

Gol pembukaan Jamie Mackie dan jaringan lewat permainan Darius Henderson menyaksikan kelab Liga Kejuaraan, Forest yang dibimbing bekas pengurus Preston, Billy Davies berjaya mengatasi pencabar dari Liga Satu itu.


Kini mereka akan berdepan satu lagi pasukan dari divisyen tiga Sheffield United dan kunjungan ke gelanggang Blades, Bramall Lane pasti mengundang memori.

Bekas pemain kebangsaan England, Clough anak kepada pengurus legenda Forest, Brian memulakan karier sebagai pemain di City Ground.


Namun ketika Clough menjadi pengurus pasukan musuh ketat Forest iaitu Derby County, beliau mencetus kontroversi apabila bergaduh dengan Davies di gelanggang Derby pada 2010.


Davies menuduh Clough menyepaknya dari belakang ketika kekecohan membabitkan pemain dan pegawai pasukan.

Clough kemudian menafikan tuduhan itu, namun Davies mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Pengurus Liga. Tiga perlawanan berikutnya menyaksikan Forest mengalahkan Derby kendalian Clough. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Bola sepak kembali ke Miami

Posted: 06 Feb 2014 09:46 AM PST

Miami, AS: David Beckham bercadang membawa kembali bola sepak ke Miami, berharap kemasyhuran peribadinya dan kekayaannya membantu beliau membentuk sebuah pasukan baru dalam Major League Soccer.

Bekas bintang Manchester United itu berkata semalam, beliau sudah menerima beberapa panggilan telefon daripada pemain ternama yang mahu menyertai sebuah pasukan di AS yang satu hari mungkin menyaingi kelab gergasi Eropah yang pernah disertainya.


"Saya mahu menubuhkan sebuah pasukan yang mana kami boleh bermula daripada kosong," kata Beckham, menjelaskan hasratnya membentuk pasukan ke-22 dalam liga itu ke selatan Florida.

"Saya sedar ada pasukan di sini 10 tahun lalu yang malangnya sudah dibubar tapi saya tahu Miami sudah bersedia untuk kembali menerima bola sepak," jelasnya.


"Kami bercadang menubuhkan sebuah pasukan yang bertaraf antarabangsa," ujarnya, menambah dalam tempoh 10 tahun terakhir bola sepak Amerika semakin berkembang sebagai sukan dan perniagaan.


Beliau berkata, seorang daripada rakan kongsinya adalah penganjur muzik pop dan televisyen Britain, Simon Fuller, yang menguruskan isteri Beckham, Victoria ketika beliau menyanyi bersama Spice Girls.

Foto

BECKHAM (tengah) bergambar selepas sidang media di Miami, Florida.

Beckham, yang dilaporkan mendapat diskaun AS$25 juta (RM83 juta) bagi memiliki francais itu berkata, isteri dan keluarganya akan menyertainya di Miami.


"Ini sebuah pasukan untuk penduduk di sini," katanya pada sidang akhbar di muzium seni di Miami, ketika sebuah helikopter dan pesawat kecil berlegar-legar di udara.

Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu berkata, beliau menaruh harapan terhadap MLS, yang mana beliau pernah tampil bersama LA Galaxy sebelum bersara tahun lalu selepas seketika bersama Paris Saint-Germain.


"Saya sudah melihat perubahan dalam tempoh 10 tahun terakhir. Saya melihat perubahan dalam liga ini, minat terhadap liga ini," kata personaliti berusia 38 tahun itu dengan peminat meneriakkan namanya.


"Kami mahu membawa beberapa pemain terbaik di dunia, pemain hebat ke pasukan ini. Sudah ada pemain yang menyatakan minat untuk bermain di Miami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Real, Barca hampiri gerbang final

Posted: 06 Feb 2014 09:44 AM PST

Madrid: Real Madrid membawa bekalan selesa untuk melangkah ke final Piala Raja Sepanyol apabila menewaskan musuh setempat dan penyandang juara, Atletico Madrid 3-0 hasil dua gol sendiri pada separuh akhir pertama, awal pagi semalam.

Barcelona kelihatan pasti menentang musuh tradisi mereka di pentas final apabila meraih kelebihan 2-0 ke atas Real Sociedad pada satu lagi pertemuan separuh akhir di Nou Camp.


Atletico menewaskan Real di Santiago Bernabeu pada final tahun lalu namun tuan rumah pantas cuba menebus kekalahan itu dengan Emiliano Insua tertampan bola rembatan Pepe untuk menerjah ke gawang sendiri selepas hanya 17 minit.

Jese Rodriguez yang hanya diturunkan kerana Gareth Bale digugurkan saat-saat akhir kerana kecederaan betis, menggandakan kelebihan Real menerusi rembatan leret susulan hantaran silang Angel Di Maria sebelum perlawanan memasuki tempoh sejam.


Di Maria sekali lagi terbabit dengan Real semakin hampir memastikan tiket ke final apabila rembatannya 17 minit sebelum tamat tertampan pertahanan Atletico, Miranda.


Kekalahan menamatkan rekod Atletico yang tidak tewas dalam 24 perlawanan dan mereka memerlukan kebangkitan menakjubkan untuk mengekalkan kejuaraan pada separuh akhir kedua di Vicente Calderon minggu depan.

Bos Real, Carlo Ancelotti menghambur pujian terhadap persembahan anak buahnya sejak mengambilalih musim panas lalu.


"Saya fikir ia adalah persembahan terbaik. Ia kerana kami berdepan lawan yang amat sukar. Mereka sangat kuat dan agresif, jadi saya fikir kami bermain dengan sangat baik," katanya.

Barcelona turut bernasib baik apabila jaringan sendiri Enaut Zubikarai menyusul selepas jaringan pembukaan Sergio Busquets sekali gus mengatasi Sociedad yang beraksi dengan 10 pemain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Jaringan menarik Gervinho bantu AS Roma

Posted: 06 Feb 2014 09:44 AM PST

Milan: Pemain antarabangsa Ivory Coast, Gervinho meledak dua jaringan termasuk gol lewat perlawanan untuk membantu kemenangan 3-2 AS Roma ke atas Napoli pada separuh akhir pertama Piala Itali, awal pagi semalam.

Jaringan individu menarik Gervinho dan pemain Belanda, Kevin Strootman yang melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter mengatasi Pepe Reina selepas setengah jam memberikan Roma yang tewas kepada seteru setempat Lazio pada final tahun lalu, kelebihan 2-0 pada separuh masa pertama di Stadium Olimpik dalam keadaan hujan lebat.


Bagaimanapun Napoli kembali bersaing apabila rembatan Gonzalo Higuain yang tertampan penjaga gol Roma, Morgan De Sanctis menembusi jaring. Jaringan itu kemudiannya diisytiharkan gol sendiri oleh De Sanctis.

Ketika keyakinan pelawat bertambah, skuad kendalian Rafael Benitez mendapat ganjaran menerusi kerja keras yang dipamerkan selepas sejam hasil jaringan menarik Dries Mertens untuk menyamakan kedudukan.


Napoli, juara Piala Itali 2012 kelihatan akan menamatkan perlawanan dengan keputusan seri yang akan mencerahkan peluang mereka pada aksi timbal balik di San Paolo minggu depan.


Bagaimanapun Gervinho, pemain terbaik Roma pada perlawanan itu, menghasilkan gerakan individu menarik dalam kawasan Napoli bagi menewaskan Reina di sebelah kanan gawang untuk gol kemenangan pada minit ke-88. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Awas libasan Bujang Senang

Posted: 06 Feb 2014 09:43 AM PST

Kuala Lumpur: Tiga mata terus menjadi sasaran PKNS FC yang memburu kemenangan kelima berturut-turut apabila turun menentang Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Selepas tewas 1-2 kepada Terengganu dalam aksi pembukaan Liga Super, anak buah Wan Jamak Wan Hassan tidak menoleh lagi apabila mencatatkan empat kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia dalam kancah Liga Super selain menewaskan Johor Darul Ta'zim II dan Terengganu di Piala FA.


"Jadi kami mahu meneruskan rentak kemenangan ini ketika moral pemain semakin meningkat. Kami tidak boleh tercicir sebarang mata kerana matlamat pasukan meraih tiga mata penuh apabila turun beraksi di laman sendiri bagi memastikan kedudukan lebih baik dalam kancah Liga Super," kata kapten PKNS FC, Mohd Fauzan Dzulkifli.

Menurutnya, PKNS FC yang sudah melangkah ke suku akhir Piala FA lebih selesa dilabelkan dengan status pasukan bukan pilihan apabila tampil menentang mana-mana pasukan dengan kejayaan menewaskan Kelantan dan ATM menjadi dorongan kuat untuk terus mencipta kejayaan.


"Kami tidak ambil mudah setiap lawan walaupun sudah menewaskan pasukan yang lebih hebat," katanya.


Sarawak turut hadir di Semenanjung dengan misi membawa pulang tiga mata selepas menyingkirkan Selangor pada pusingan kedua Piala FA, Selasa lalu.

"Kami sememangnya menghormati Sarawak kerana mereka mempunyai kemahiran individu baik terutamanya pemain sayap yang laju. Kami perlu berwaspada agar mereka tidak mudah terlepas sehingga membawa padah kepada pasukan," kata pemain tengah berusia 27 tahun itu.


Malah pemain kelahiran Selangor itu menaruh kepercayaan penuh terhadap kemampuan taktikal Wan Jamak yang sudah terbukti memberi kesan positif kepada pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

Pahang mampu benam ego Johor DT

Posted: 06 Feb 2014 09:42 AM PST

Kuantan: Prestasi pemain yang kini berada di kemuncak menjadi sandaran kukuh Pahang untuk menjinakkan pasukan berstatus bintang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Aura kejayaan membenam musuh tradisi LionsXII 2-1 minggu lalu bakal diteruskan pada pertemuan yang dilihat lebih banyak berpihak kepada tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh.


Ketua pasukan Tok Gajah, Razman Roslan berkata, dia yakin kejayaan akan berpihak kepada Pahang terutama selepas prestasi membanggakan dipamerkan pemain pada perlawanan Piala FA menentang LionsXII.

Menurutnya, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan peminat akan menjadi pembakar semangat untuk berusaha mempamerkan persembahan terbaik seterusnya menjinakkan lawan.


"Walaupun ada sedikit kelonggaran di beberapa posisi, saya yakin semua itu dapat diatasi pemain untuk meneruskan kejayaan kali kedua berturut-turut.


"Saya bersama Zesh Rehman, Damion Stewart dan Sharizan Salleh akan berusaha membentuk gandingan mantap menangkis setiap asakan penyerang lawan terutama menerusi Luciano Figueora, Pablo Cesar Aimar dan Amri Yahya," katanya.

Dia berkata, untuk membentuk persefahaman lebih baik dan berkesan pemain perlu banyak berkomunikasi di atas padang selain saling membantu mengisi kekosongan posisi terutama apabila diasak.


Razman berkata, sekiranya pemain mampu mempamerkan corak permainan sama ketika menewaskan LionsXII tidak mustahil kemenangan akan berpihak kepada Pahang yang kini berada di tangga kesembilan.

Katanya, kehadiran semula penyerang R Surendren dan Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan pada penampilan sulung bertemu LionsXII pada saingan Piala Sumbangsih turut diharap menjadi senjata pemusnah Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

No comments:

Post a Comment