Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lepas gian bawa anak

Posted: 30 Jan 2014 12:32 PM PST

Sabak Bernam: Seorang nelayan sanggup membawa anak lelakinya ke satu kawasan yang dipenuhi penagih dadah semata-mata hanya untuk melepaskan ketagihannya di kawasan hutan bakau dekat Jalan Pantai, Panchang Bedena, dekat sini, kelmarin.

Warga tempatan berusia 26 tahun itu mendakwa terpaksa membawa anaknya itu kerana isterinya sudah pulang ke Kemboja untuk memperbaharui pasportnya manakala kedua-dua orang tuanya pula tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Lelaki berkenaan adalah antara 19 penagih yang diberkas selepas kawasan melepaskan gian mereka diserbu kira-kira jam 6.30 padi dan berakhir jam 3 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, daripada jumlah penagih itu, seorang adalah wanita dan semua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Foto

SEORANG penagih nekad terjun dalam tali air elak dicekup.

Foto

ANTARA penagih dadah yang dicekup.


Menurutnya, seramai 15 anggota dan dua pegawai diketuai Asisten Superintendan Ramly Raaf melakukan operasi secara bersepadu di kawasan itu dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah di 'port' berkenaan.


"Dalam usaha memutihkan kawasan ini, polis menjalankan intipan selepas menerima laporan daripada orang awam memaklumkan kawasan ini sering dijadikan port penagihan dadah," katanya.

Berdasarkan maklumat itu, polis melancarkan gerakan 'memburu' penagih yang kebanyakan tinggal sekitar daerah Sabak Bernam dengan membuat sekatan dan menahan mereka yang dipercayai menuju ke kawasan hutan bakau berkenaan untuk melepaskan gian.

"Operasi ini dianggap berjaya walaupun usaha untuk menahan mereka berdepan dengan pelbagai halangan dan kesulitan apabila ada antara mereka cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam tali air berdekatan," katanya.

Menurutnya, polis juga menahan seorang lelaki yang membawa anak lelakinya yang masih kecil ke kawasan berkenaan. Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada datuk dan neneknya.

"Ketika disoal siasat lelaki berkenaan memberitahu dia terlalu gian hingga terpaksa membawa anaknya ke kawasan itu kerana isterinya sudah pulang ke negara asal," katanya.

Menurut Noor Mushar, kawasan hutan bakau itu menjadi pilihan kaki lalok memandangkan lokasinya yang tersorok.

"Kita yakin penagih sering keluar masuk ke dalam kawasan ini untuk melepaskan gian dan kita harap dengan operasi seperti ini akan dapat membanteras kegiatan terbabit pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan menjalani ujian air kencing di IPD Sabak Bernam dan 12 daripadanya positif dadah, tiga di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan selebihnya dibebaskan.

"Mereka yang positif akan direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Harga barang menerusi aplikasi telefon pintar

Posted: 30 Jan 2014 12:25 PM PST

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan aplikasi telefon pintar sebagai medium makluman awam berkenaan harga barangan yang ditawarkan kepada pengguna.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, arahan yang baru dikeluarkan semalam itu akan membantu pengguna memilih perkhidmatan dan barangan yang dijual hanya pada harga berpatutan.

Katanya, melalui aplikasi terbabit orang ramai mampu menerima maklumat yang melabelkan sama ada harga ditawarkan mahal atau rendah.

"Kita dapati masih ada peniaga yang mengenakan harga melampau ke atas pengguna.

Ada yang menyebabkan caj tidak masuk akal bagi minuman dan makanan di sesetengah restoran.

"Justeru, baru semalam (kelmarin) saya keluarkan arahan mewujudkan medium perantara ini kepada DBKL supaya mereka laksanakan langkah ini seperti dilaksanakan di Taiwan.

Pengguna sendiri boleh berkongsi sesama mereka lokasi restoran yang mengenakan harga mahal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Seminar anjuran Kementerian Kewangan ini turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan lebih 500 orang peniaga.

Tengku Adnan berkata, pelekat bagi melabelkan sama satu-satu premis 'mahal' atau 'berpatutan' akan dijadikan modus operandi selain memuat turun senarai menerusi aplikasi ini kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Beg berisi pistol di halaman rumah

Posted: 30 Jan 2014 12:25 PM PST

Kapar: Seorang suri rumah berusia 53 tahun yang sedang membersihkan halaman rumahnya terkejut sejurus menemui sebuah beg sandang mengandungi sepucuk pistol bersama sembilan butir peluru, semalam.

Pistol jenis Barretta itu ditemui di halaman rumahnya di Batu 2, Jalan Kapar, kira-kira jam 9.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada jiran yang menghubungi polis untuk tindakan susulan.

Difahamkan, suri rumah terbabit pada mulanya tidak menyedari kewujudan beg sandang hitam yang diletakkan di celah pokok bunga di hadapan rumahnya.

Namun, selepas beberapa minit membersihkan halaman rumahnya itu, dia terlihat beg sandang berwarna hitam di celah pokok bunga berkenaan, tetapi pada mulanya hanya menyangka ia hanya beg biasa.

Sumber berkata, suri rumah terbabit kemudian mengambil beg sandang berkenaan untuk dibuang, namun terkejut apabila melihat sehelai kain membalut sesuatu di dalamnya.

Beliau berkata, curiga dengan objek yang dibalut kain berkenaan, suri rumah berkenaan kemudian membuka balutan itu dan mendapati ia adalah sepucuk pistol.

"Terkejut dengan penemuan itu, seorang jirannya kemudian segera menghubungi polis.

"Siasatan mendapati pistol berkenaan adalah jenis Barretta dan terdapat satu kelopak peluru yang mengandungi sembilan butir peluru di dalamnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan penemuan senjata api berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

'Makan besar' lebih bermakna

Posted: 30 Jan 2014 12:22 PM PST

Kuala Lumpur: "Tidak keterlaluan jika saya kata sambutan Tahun Baru Cina saya bersama ibu bapa lebih bermakna sejak saya memeluk Islam," kata saudara baru, Firdaus Wong Wai Hung, 31.

Dia ditemui Harian Metro di majlis 'makan besar' bersama-sama ibu bapanya yang masih menganut agama Buddha di rumah ibu bapanya di Kepong, dekat sini, malam tadi.

Menurutnya, sejak memeluk Islam hatinya lebih tenang dan dia juga tidak terbabit dengan aktiviti liar serta tidak berfaedah, berbanding sebelumnya.

"Sebab itulah sambutan Tahun Baru Cina saya penuh berkualiti bersama ibu bapa dan bukan keluar berfoya-foya serta minum arak seperti dulu," katanya yang juga Presiden dan Penasihat Malaysia Reverted Muslim (MRM).

Foto

FIRDAUS (dua kanan) bersama isterinya (kiri) menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di Kepong, malam tadi.


Firdaus yang kini pendakwah sepenuh masa berkata, hubungan dia dengan ibu, See Ah Lin, 56, dan bapanya, Wong Tak Kui, 69, tidak pernah terjejas biarpun selepas memeluk Islam, sembilan tahun lalu.


Menurutnya, dia amat bersyukur apabila ibu bapanya memberi peluang menjadi Muslim dan sebagai tanda terima kasih dia akan memastikan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada mereka.

Menceritakan bagaimana dia memeluk Islam, Firdaus berkata ia bermula dengan persoalan mengenai fungsi dia dilahirkan di dunia.

"Dulu, setiap minggu saya ke kelab malam dan minum sehingga mabuk. Namun hidup saya rasa kosong. Selepas peluk Islam, baru saya faham apa makna kehidupan dan fungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi," katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga bersyukur dikurniakan isteri, Nor Shakina Shahruddin, 32, yang memahami keadaan dirinya yang masih mempelajari Islam dan masih memerlukan bimbingan ketika baru memeluk Islam.

Mengenai aktivitinya kini sebagai pendakwah, Firdaus berkata biarpun banyak cabaran yang perlu ditempuhinya, dia berserah segala-galanya kepada Allah.

"Bagi saya, permulaan adalah perkara yang paling sukar, namun Allah sentiasa ada untuk memudahkannya selagi kita percaya kepada Nya.

Sementara itu, Wong berkata dia tidak menghalang anak bongsu daripada tiga beradik itu memeluk Islam kerana akhlak dan kelakuannya membuktikan dia mampu menjadi anak yang baik.

"Saya tidak menghalang permintaannya sembilan tahun lalu asalkan mengikut jalan yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Langsung jadi tahlil

Posted: 30 Jan 2014 12:21 PM PST

Kuala Terengganu: "Saya tak sangka permintaan anak saudara tergesa-gesa meminta isteri dan dua anak segera bersiap membeli barang keperluan jamuan perjumpaan saudara-mara esok (hari ini) petanda dia meninggalkan kami.

"Paling memilukan nahas itu meragut nyawa isteri saya," kata Yunus Ismail, 51.

Dia adalah suami kepada Hamidah Hamid, 42, dan bapa saudara Amin Mohamad, 31, yang maut dalam nahas meragut tiga nyawa di Kampung Sungai Ikan, Jalan Sungai Tong di Kilometer 29, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 10 pagi itu, Amin dan Hamidah dari Permaisuri yang menaiki PERODUA Myvi serta pemandu PROTON Waja, Sajunairi Nafi, 31, dari Pasir Puteh, Ayer Lanas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Foto

KEADAAN kereta yang mengorbankan Sajunairi.

Foto

KEADAAN kereta yang dipandu Amin.

Foto

TOYOTA Vellfire yang terlibat rosak di bahagian hadapan.


Dua lagi penumpang PERODUA yang juga anak arwah Hamidah, Nurul Hidayu Mohd Nasir, 25, dan Nurul Hafizal Mohd Nasir, 20, dilaporkan parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.


Yunus berkata, sebelum kejadian, arwah Hamidah bersama Nurul Hidayu dan Nurul Hafizal menemani Amin menuju pusat bandar raya ini membeli barang keperluan untuk jamuan itu.

"Amin yang meminjam kereta PERODUA Myvi saya tidak sempat mengelak apabila sebuah PROTON Waja dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan pertembungan kuat berlaku.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian depan PERODUA Myvi saya remuk. Arwah isteri dan anak saudara saya tersepit manakala Nurul Hidayu dan Nurul Hafizal tercampak keluar," katanya.

Yunus yang tinggal di Kampung Baru Pak Ba, Permaisuri, Setiu, berkata, dia tidak sempat menemani anak saudaranya itu kerana mempunyai urusan lain.

"Kejadian berlaku ketika saya berada di rumah dan terkejut selepas seorang anggota polis memaklumkan nahas itu. Sebaik tiba di lokasi, semua mangsa dibawa ke Unit Forensik dan Unit Kecemasan HSNZ dan saya cuma nampak tiga kenderaan remuk di lokasi kejadian.

"Saya lihat banyak darah dalam PERODUA Myvi dan ketika itu beberapa anggota polis cuba menenangkan saya dan memberitahu kejadian menimpa isteri, anak serta anak saudara.

"Masih terngiang-ngiang di telinga saya ayat anak saudara yang tergesa-gesa meminta isteri dan dua anak kami segera bersiap seperti tidak cukup masa lagi untuk membeli barang-barang itu.

"Arwah isteri pula hanya mengikut dan sempat meminta izin saya keluar dari rumah," kata bapa kepada lima anak itu.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, persiapan majlis perjumpaan itu kini bertukar kepada majlis tahlil dan pasti kepulangan saudara-mara yang lain ketika cuti Tahun Baru Cina mengundang rasa pilu.

Menurutnya, dia sempat melihat anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan masing-masing.

"Saya sempat tengok tulang kaki mangsa masih berada di dalam kenderaan itu dan anggota bomba terpaksa memotong bahagian sisi kereta mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

No comments:

Post a Comment