Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Warga asing bikin onar

Posted: 25 Feb 2014 07:03 AM PST

Kuala Lumpur: Hanya kerana bimbang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, seorang lelaki warga Bangladesh sanggup menolak seorang wanita warga emas ke dalam longkang dalam cubaannya untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa semalam.

Difahamkan, lelaki warga Bangladesh itu menjalankan perniagaan menjual ikan dengan menyewa lesen perniagaan rakyat tempatan dan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang menjalankan Ops Tegas di Pasar Pudu, dia lari lintang-pukang hingga sanggup menolak seorang wanita warga emas ke dalam longkang.


Wanita warga emas itu mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat kejadian itu dan bernasib baik kerana diselamatkan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut serta dalam operasi itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Minhad Ahmad berkata, Ops Tegas yang dijalankan buat kali kedua itu memberi fokus kepada dua pasar utama di ibu kota iaitu Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu berdasarkan aduan orang ramai dan peniaga tempatan.


"Kita memulakan operasi jam 4 pagi dan tamat jam 11.30 pagi iaitu awal pagi di pasar borong manakala di Pasar Pudu pula peniaga warga asing hanya memasuki 'kawasan' itu kira-kira jam 9 pagi.


"Operasi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu mendapati kebanyakan peniaga tempatan menyewakan lesen mereka kepada warga asing pada harga RM150 sehari atau RM4,000 hingga RM6,000 sebulan," katanya kepada Harian Metro.

Foto

ANGGOTA polis menyoal seorang warga asing yang gagal melarikan diri.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dan hasil operasi, pekerja asing biasanya menjadi pembantu kedai di pasar borong manakala di Pasar Pudu pula, 70 peratus daripada peniaga adalah warga asing berikutan kegiatan menyewa lesen perniagaan.


"Dalam serbuan di kedua-dua lokasi, seramai 65 orang ditahan selepas lebih 100 orang ditahan untuk pemeriksaan kemudian separuh daripada mereka dibebaskan selepas majikan membawa dokumen pengenalan diri yang sah.

"Daripada jumlah itu, 48 individu adalah warga Myanmar, Bangladesh (tujuh), Indonesia (tiga), Pakistan (tiga) dan masing - masing dua dari India dan Nepal. Semua mereka berusia antara 16 hingga 48 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Kejut pengantin

Posted: 24 Feb 2014 09:26 PM PST

Shah Alam: "Mujur kami tidak 'tidur mati', kalau tidak nyawa kami berdua pasti melayang," kata Nik Arzafri Nik Din, 32, mangsa kebakaran rumah di Jalan Bunga Melor Kampung Baru Hicom, Seksyen 25 di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Nik Arzafri bersama isterinya Ernie Yuliana Mohd Zul, 27, sedang tidur di bilik belakang rumah sebelum terdengar jiran meminta mereka keluar menyelamatkan diri.

Menurut pasangan pengantin baru itu, sebelum kejadian, dia dan isteri baru saja memakan ubat termasuk ubat selesema kerana mereka tidak sihat.

"Sebaik mengambil ubat, kami masuk ke dalam bilik untuk berehat tetapi belum sempat melelapkan mata, kami dikejutkan dengan suara jiran mengatakan rumah terbakar.

Foto

ERNIE Yuliana Mohd Zul 27, bersama suami, Nik Arzafri Nik Din 32, menunjukkan kawasan bilik tidurnya yang turut terbakar. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat


"Walaupun harta benda termasuk hadiah perkahwinan musnah, tetapi nasib masih menyebelahi kami. Saya dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan. Kalau saya pergi kerja hari ini dan membiarkan isteri tinggal berseorangan di rumah mungkin sesuatu yang buruk menimpa isteri kerana dia tidak sihat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Penyamun cat semula barang curi

Posted: 24 Feb 2014 02:24 PM PST

Hulu Selangor: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit menyamun sebuah kilang peralatan pembinaan di Bukit Beruntung, Rawang, 18 Februari lalu dalam dua serbuan berasingan di Puchong, Selangor dan Air Tawar, Perak, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Shukri Yaacob berkata, tiga lelaki berusia 35 hingga 50 tahun itu mengaku menyamun kilang berkenaan, malah seorang daripada mereka juga ditugaskan untuk mengecat semula peralatan yang disamun itu.


"Soal siasat yang dijalankan mengesahkan suspek mengaku menyamun kilang itu bersama empat lagi rakan mereka yang masih bebas.

"Bagaimanapun, belum ada sebarang maklumat berhubung saki baki anggota geng itu. Polis masih mengesan keempat-empat suspek berkenaan berdasarkan keterangan dan bukti yang diperoleh," katanya.


Katanya, modus operandi kumpulan itu ialah mengecat semula semua peralatan yang dicuri sebelum dijual kepada pelanggan sedia ada bagi mengaburi mata pihak berkuasa.


"Antara barangan yang dirampas termasuklah empat jana kuasa elektrik dan dua lori dipercayai hasil samun dianggarkan bernilai RM500,000," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam, 18 Februari lalu, tujuh lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan kayu menyamun sebuah kilang peralatan pembinaan jalan raya dengan mengikat tiga pengawal keselamatan kilang berkenaan.


"Ketika kejadian, tiga pengawal keselamatan yang sedang bertugas diacu parang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Selebriti ikut trend semasa

Posted: 24 Feb 2014 02:19 PM PST

Kuala Lumpur: Mengikut trend semasa dan mahu kelihatan lebih cantik. Itu antara alasan utama, mengapa pembedahan kosmetik menjadi pilihan segelintir selebriti dan golongan berada masa kini.

Menurut Perunding Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Pakar Ampang Puteri Datuk Dr A Jalil Jidon, walaupun kaedah kosmetik berkenaan sering dikaitkan dengan individu kurang keyakinan diri, namun sebenarnya ia sudah dipengaruhi trend semasa.


"Kalau hendak dibandingkan, ramai yang datang (mendapatkan rawatan) sudah memiliki wajah yang cantik. "Tapi mereka mahu memperbaiki kelemahan kecil pada wajah supaya nampak lebih cantik, sekali gus memuaskan kehendak diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Pengaruh budaya luar

Posted: 24 Feb 2014 02:18 PM PST

Kuala Lumpur: Berhabisan wang ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan wajah menawan adalah bukti timbulnya nilai estetika baru, hasil pengaruh budaya luar dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan selebriti tempatan.

Presiden Lembaga Kaunselor Profesional Malaysia, Prof Madya Dr Fadzil Che Din berkata, orang ramai kini mempunyai terjemahan tersendiri terhadap kecantikan.


"Kalau dulu, wajah cantik dinilai berdasarkan keaslian rupa, keindahan semula jadi dan bentuk moleknya, namun kini ramai yang mula mengimpikan dagu berbelah, bibir terletak, mata galak serta raut sempurna.

"Semua ini nyata menunjukkan bahawa nilai estetika manusia sudah jauh berubah dan dipengaruhi banyak unsur luar termasuk dari Hollywood, Bollywood, Korea, Jepun serta nilai industri hiburan itu sendiri," katanya.


Begitupun, katanya, 'serangan' nilai baru itu menular lebih pantas seiring kemajuan teknologi serta perkembangan dunia kecantikan semasa.


"Kalau dulu, kita kena tunggu tiga hingga enam bulan untuk melihat pengaruhnya kepada masyarakat. Namun kini, tempoh tiga hingga enam hari pun sudah menonjolkan banyak perubahan," katanya.

"Antara faktor yang mendorong seseorang mengubah wajah mereka adalah kestabilan jiwa, pemikiran serta kurang didikan agama. Golongan ini biasanya keliru dan tidak tahu kehendak diri yang sebenar hingga mudah terikut-ikut dengan perubahan semasa.


"Selain itu, ada juga yang terpengaruh untuk melakukan pembedahan plastik kerana terlalu banyak disajikan dengan imej kecantikan," katanya.

Jelas Dr Fadzil, walaupun perubahan wajah (cantik) boleh meningkatkan keyakinan diri, namun tidak mustahil ia juga boleh merosakkan kehidupan pelakunya.


"Keyakinan memang akan bertambah sebab niat asal golongan ini adalah untuk mencari imej kendiri, bergaya, tampil cantik dan menawan.


"Tapi yang selalunya menjadi masalah apabila keyakinan diperoleh itu gagal diurus dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

No comments:

Post a Comment