Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hamil 8 bulan masih berlari

Posted: 28 Feb 2014 08:18 AM PST

Beijing: Sarat hamil tidak menghalang Xu Yunyun mengambil bahagian dalam pertandingan larian di Beijing, baru-baru ini.

Xu, pelari amatur berusia 28 tahun itu kini hamil lapan bulan dan percaya aktiviti itu mampu memudahkannya bersalin nanti.

"Saya pelari yang bersemangat dan tiada sebab untuk saya tidak boleh meneruskan aktiviti ini hanya kerana saya hamil.

"Saya berlari mengikut kesesuaian dan tidak memaksa diri," katanya.

Foto

XU yang sarat mengandung berlari di Taman Olimpik Beijing, baru-baru ini.


Menurut Xu, dia diberitahu bahawa senaman ialah cara terbaik bagi memastikan bayi yang dikandung sihat.


Bakal ibu itu menjadikan Paula Radcliffe yang berlari dua kali sehari pada lima bulan pertama kehamilannya pada 2006 sebagai inspirasi utamanya.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan AS pula berkata, wanita yang aktif berlari boleh mengambil bahagian dalam sukan lumba lari ketika hamil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

'Dah minta izin kambing'

Posted: 28 Feb 2014 08:14 AM PST

Abuja: Seorang penduduk kampung di Nigeria ditahan kerana berasmara dengan kambingnya tetapi tetap berkeras mengatakan dia tidak bersalah kerana sudah meminta kebenaran terlebih dulu daripada haiwan itu.

Menurut laporan media semalam, Malam Kamisu Baranda diserahkan kepada polis oleh ketua kampung di Dutse sebelum direman.

Lelaki berusia 20 tahun itu mengakui berasmara dengan kambing sebanyak 10 kali sebelum ini.

Alasan Baranda?


Dia mengulangi perbuatan itu kerana haiwan berkenaan benar-benar memuaskan nafsunya sehingga dia tidak berminat menjalin hubungan cinta dengan wanita.


Baranda berkata, dia membawa kambing berkenaan ke hutan berhampiran kediamannya untuk mengelak daripada rasa malu ketika melakukan perbuatan itu.

Katanya, dia hanya berasmara dengan kambingnya sendiri, selain turut meminta kebenaran daripada haiwan itu sebelum berasmara.

Dia juga mendakwa tidak faham mengapa berasmara dengan haiwan adalah satu kesalahan.

Baranda memberitahu jika dia tahu perbuatannya itu salah, dia tidak akan melakukan demikian.

Ketua majistret Dutse kemudian mengarahkan Baranda dipenjara dua minggu atas kesalahan itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Claudia ditawar RM5.5j untuk satu malam

Posted: 28 Feb 2014 08:14 AM PST

New York: Supermodel Claudia Schiffer mendedahkan bahawa dia pernah ditawarkan habuan £1 juta (RM5.46 juta) untuk menghabiskan malam bersama seorang putera Arab.

Namun, jelitawan dari Jerman itu berkata, wang gagal mengaburi matanya dan tawaran lumayan itu ditolak.

Kata Claudia, menjadi ratu catwalk dan seorang daripada wanita paling banyak mendapat tumpuan lensa kamera mendorong kepada pelbagai situasi luar biasa.

"Saya pernah melalui pelbagai pengalaman yang pelik dan satu daripadanya ialah tawaran yang diterima daripada seorang putera Arab.


"Dia bertanya sama ada dia boleh menyewa saya untuk makan malam dengan bayaran lumayan.


"Saya menolaknya, tetapi seorang supermodel lain menerima tawaran berkenaan," katanya.

Claudia, 43, bukan bintang berprofil tinggi pertama yang menolak pelawaan sedemikian.

Pada 2010 Myleene Klass mendedahkan dia menerima tawaran makan tengah hari bersama pelakon senarai A Hollywood.

Claudia juga mengakui dia terpaksa menyembunyikan sifat pemalunya di sebalik dunia peragaan.

"Namun, sifat itu dapat diatasi ketika saya bermekap dan mengenakan pelbagai pakaian untuk peragaan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Lawatan maut

Posted: 28 Feb 2014 08:13 AM PST

Bangkok: Seramai 15 orang, termasuk murid perempuan dan guru mereka terbunuh, manakala 45 yang lain cedera selepas bas yang dinaiki merempuh belakang treler 18 roda di tepi bukit di Prachin Buri awal pagi semalam.

Pegawai polis Wang Khon Daeng Kittikarn Klomree berkata, bas dua tingkat itu merempuh belakang treler yang penuh dengan muatan ubi kayu sebelum kedua-dua kenderaan berkenaan terhumban ke jurang kira-kira jam 4.30 pagi.

Selepas melanggar belakang treler, katanya, bas itu terbabas dari jalan raya lalu merempuh pokok.

"Kebanyakan mangsa mati selepas tercampak keluar dari bas," katanya.

Foto

PETUGAS penyelamat menyusun mayat murid dan guru yang terbunuh dalam nahas di Prachin Buri, Thailand, semalam.


Kittikarn berkata, siasatan mendapati nahas berlaku akibat kegagalan sistem brek pada bas berkenaan.


Semua pelajar perempuan di bawah usia 10 tahun itu dan guru mereka dari Nakhon Ratchasima dalam perjalanan untuk lawatan ke pantai Jomtien berhampiran Pattaya di Chon Buri.

Sebuah bas lagi yang membawa murid lelaki turut menuju ke destinasi sama.

Menteri Kesihatan Awam Pradit Sintawanarong berkata, 11 orang maut di tempat kejadian, manakala 45 lagi cedera dan dikejarkan ke Hospital Kabin Buri serta Hospital Nadee untuk rawatan.

Empat lagi mangsa mati di hospital.

Menurutnya, 12 daripada mangsa adalah kanak-kanak dan tiga lagi orang dewasa. Seramai 26 mengalami cedera ringan dan 19 lagi masih dirawat di hospital.

Kementerian Kesihatan Awam turut mengerah 40 petugas perubatan kecemasan merawat mangsa yang cedera.

Polis masih menahan pemandu bas terbabit Sompong Saebae, 30, yang terselamat dalam nahas itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Yingluck sanggup mati pertahan demokrasi

Posted: 28 Feb 2014 08:10 AM PST

Bangkok: Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra semalam menegaskan, dia "bersedia untuk mati di medan tempur" demi mempertahankan prinsip demokrasi yang menjadi pegangannya.

Yingluck yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebagai pemimpin kerajaan Thailand, dia juga mengetuai amalan prinsip demokrasi di negaranya.

"Justeru, sebarang cadangan rundingan dengan pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban perlu selaras dengan prinsip demokrasi," katanya.

Yingluck berkata demikian sebagai reaksi terhadap tawaran Suthep untuk pertemuan empat mata dengannya dalam percubaan mengakhiri kekacauan politik berlarutan di negara itu.

Bagaimanapun, Yingluck berkata, Suthep perlu menamatkan tunjuk perasaan terlebih dulu agar lebih ramai peserta dapat diundang ke pertemuan itu.


"Saya juga menteri pertahanan dan itu bermakna saya bagaikan tentera yang perlu menunaikan tanggungjawabnya hingga detik akhir.


"Tentera perlu berjuang hingga detik terakhir dan mati dalam medan tempur.

Saya bersedia untuk mati dalam pertempuran menegakkan demokrasi," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Profesor 'tidak bertepuk sebelah tangan'

Posted: 28 Feb 2014 08:09 AM PST

Singapura: Mahkamah Tinggi Singapura membatalkan sabitan terhadap seorang profesor undang-undang yang dipenjarakan atas tuduhan meminta khidmat seks dan hadiah daripada penuntutnya sebagai pertukaran untuk mendapat gred yang baik.

Bekas profesor undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), Tey Tsun Hang, 42, dipenjarakan lima bulan tahun lalu selepas didapati bersalah terhadap enam tuduhan rasuah oleh mahkamah daerah berikutan hubungannya dengan Darinne Ko pada 2010.

Mahkamah daerah memutuskan bahawa dia mengeksploitasi penuntut perempuan terbabit dengan meminta khidmat seks dan pelbagai hadiah, termasuk kemeja berjenama dan pen edisi khas daripada Ko.

Bagaimanapun, peguam Tey, Peter Low semalam berkata, hakim mahkamah tinggi Woo Bih Li "membenarkan rayuan dan membatalkan sabitan" berkenaan - lima bulan selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

"Mahkamah mendapati perkara pokok dalam kes ini tidak berlaku begitu saja.

"Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi dan ketika itu Ko mencintai Tey," katanya.


Low berkata, dia gembira Tey dibebaskan daripada semua enam tuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya.

NUS yang tahun lalu mengumumkan sudah menamatkan perkhidmatannya di universiti berkenaan.

Semalam NUS berkata, Tey boleh "memohon petisyen agar jawatannya dikembalikan" di universiti itu.

Bagaimanapun, dia masih tertakluk dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan tatakelakuan kakitangan NUS.

Jika Tey ingin kembali bertugas di NUS, pihak universiti terlebih dulu perlu melantik jawatankuasa inkuiri bagi memastikan sama ada dia benar-benar bersalah dalam sebarang salah laku.


Jika dia didapati bersalah, maka sekatan akan dikuatkuasakan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Filipina pecah rekod dunia permohonan derma organ

Posted: 28 Feb 2014 08:09 AM PST

Manila: Filipina berjaya memecahkan rekod dunia milik India apabila mengumpulkan permohonan mendermakan organ paling ramai dalam tempoh sejam, kata pihak berkuasa kesihatan semalam.

Kejayaan itu masih menunggu pengesahan rasmi daripada Rekod Dunia Guinness.

Setiausaha Pembantu Kesihatan Eric Tayag berkata, kempen berkenaan berjaya mengumpulkan 3,548 permohonan dalam satu acara yang diadakan di kampus Universiti Politeknik Filipina di Manila.

Rekod dunia sebelum ini dipegang India yang mengumpul sebanyak 2,755 permohonan.

Dalam acara yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ itu, sukarelawan mengisi borang dengan senarai organ yang rela didermakan selepas mati.

Borang itu, kata Tayag, kemudian diperiksa dan direkodkan penganjur.

"Kami mempunyai ramai pesakit yang memerlukan organ dan acara ini menjadi sebahagian usaha Jabatan Kesihatan Filipina menangani kekeliruan berkaitan dengan pendermaan organ," katanya.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Mengimbau detik hitam Indonesia

Posted: 28 Feb 2014 08:08 AM PST

Madiun: Sebuah dokumentari mengerikan mengenai pembunuhan beramai-ramai terburuk sejak Perang Dunia Kedua berakhir disebut-sebut bakal memenangi Anugerah Academy esok.

Tidak seperti filem lain, orang ramai tidak boleh mengharap semua tenaga utama di belakang tabir filem itu akan naik ke pentas menerima piala paling berprestij berkenaan.
Puncanya - pengarah terbabit tidak yakin nyawanya terjamin.

Dokumentari hampir tiga jam berjudul 'The Act Of Killing' itu berkisar mengenai pembantaian penyokong dan anggota parti komunis terbesar di luar China dan Soviet Union.
Ia juga memaparkan dua penjual tiket wayang - Anwar Congo dan Adi Zulkadry - menjadi 'mesin pembunuh' sejurus selepas Sukarno disingkirkan daripada jawatan presiden.
Sepanjang penggambaran dokumentari itu, kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang tanda kesal atau sedih atas perlakuan mereka hampir 50 tahun lalu.

Foto
Foto

PENGARAH Oppenheimer sudah melakar kerajaan apabila filemnya memenangi anugerah dokumentari terbaik BAFTA di London pertengahan bulan lalu.

Foto

ADI Zulkadry (kiri) dan Anwar Congo disolek sebelum melakonkan semula detik bagaimana mereka menyeksa serta membunuh suspek PKI.

Sekurang-kurangnya 500,000 orang terbunuh dalam kekacauan yang bermula pada hujung 1965 itu apabila Suharto dan tentera Indonesia mengambil alih kerajaan gara-gara rampasan kuasa komunis yang gagal.
Kira-kira sejuta lagi penduduk Indonesia dipenjara.

Membayangkan betapa sensitif isu itu, penerbit bersama dokumentari berkenaan dan kru lain enggan nama mereka didedahkan.
Penerbit bersama warga Indonesia itu berkata, mungkin mereka paranoid keterlaluan tetapi selepas berbincang dengan pelbagai kumpulan aktivis mengenai risiko yang dihadapi, mereka memutuskan untuk merahsiakan identiti masing-masing.

"Pelbagai kemungkinan boleh berlaku, termasuk mengancam nyawa," katanya.
Tercetus ketika era Perang Dingin, keganasan politik itu kebanyakannya bertumpu di Jawa dan Bali.

Pada awalnya ia adalah operasi tentera yang dijalankan bagi menghapuskan ancaman Parti Komunis Indonesia (PKI).

Ia diketuai Jen Sarwo Edhie Wibowo yang juga bapa Wanita Pertama Indonesia ketika ini.

Kempen itu kemudian merebak menjadi operasi pembunuhan beramai-ramai yang menyaksikan kumpulan Islam terbesar Indonesia, pemilik tanah dan pertubuhan separa tentera - selain individu yang mungkin berdendam dengan jiran - melepaskan kemarahan masing-masing.

Seorang daripada bekas tahanan tentera, Parmoen Soedjarwo berkata, dia dipukul setiap malam selama enam tahun tanpa mengetahui apa kesalahannya.

"Entah apa salah saya.

"Mereka mencabut kuku dan mengenakan renjatan elektrik pada badan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Madiun, Jawa Timur.

Kata Parmoen, tentera bertanya sama ada dia menganggotai PKI.

"Apa saja yang mereka tanya, saya cuma jawab: Ya, ya, ya walaupun saya tidak faham apa yang ditanyakan.

"Saya akan katakan apa saja untuk menyelamatkan nyawa dan berharap dapat dibebaskan segera," katanya.

Parmoen - yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera - akhirnya dibebaskan pada 1978.

Sama seperti mangsa lain, dia mendapati hidupnya tidak berubah baik selepas itu.
Mereka dipulaukan daripada masyarakat, sukar mendapat pekerjaan, memohon pinjaman atau memulakan perniagaan.

Sementara itu pengarah The Act Of Killing, Joshua Oppenheimer berkata, pada hari pertama penggambaran filem berkenaan, Anwar tidak teragak-agak menunjukkan bagaimana dia membunuh menggunakan wayar.

"Kemudian, dia membuat tarian cha-cha," katanya.

Kata Oppenheimer, ada kira-kira 40 orang lain di set penggambaran itu bercerita mengenai pembunuhan yang berlaku.

"Mereka hanya membuka mulut selepas Anwar menari di tempat pernah berlaku pembunuhan membabitkan ratusan - atau ribuan - orang," katanya.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

1,000 penyeludup bayi ditangkap

Posted: 28 Feb 2014 08:03 AM PST

Beijing: Lebih 1,000 orang yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan bayi ditahan dalam operasi yang dijalankan polis China bulan ini.

Dalam operasi besar-besaran itu juga, seramai 382 bayi berjaya diselamatkan, lapor media tempatan semalam.

Beijing News melaporkan, seramai 1,094 orang suspek yang terbabit dalam empat siri sindiket penyeludupan bayi ditahan dalam operasi di seluruh China sejak 19 Februari lalu.

Menurut akhbar itu, aktiviti penyeludupan kanak-kanak semakin berleluasa di China membabitkan 10,000 kanak-kanak yang dipercayai diculik setiap tahun.

Kejadian itu - antara lain - didorong oleh undang-undang yang mengehadkan kelahiran seorang anak bagi setiap keluarga dan tradisi masyarakat China yang lebih menginginkan anak lelaki.

Kegiatan itu terbongkar selepas penyiasatan dijalankan ke atas beberapa laman sesawang perkhidmatan anak angkat yang dikatakan menjadi 'topeng' kepada sindiket penyeludupan kanak-kanak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, penggunaan laman sesawang berkenaan menjadi taktik terbaru sindiket itu mengaburi pihak berkuasa.

Masih belum diketahui sama ada bayi yang diselamatkan itu akan dikembalikan kepada keluarga masing-masing atau sebaliknya.

Bulan lalu, China menangguhkan hukuman mati yang biasanya ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang doktor yang menculik dan menjual bayi baru dilahirkan dalam satu kes yang menarik perhatian umum.

Zhang Shuxia didapati bersalah menculik tujuh bayi dengan memperdayakan ibu bapa mangsa kononnya anak mereka sakit atau mati.

China tidak mendedahkan statistik kanak-kanak yang diselamatkan setiap tahun tetapi mengatakan 24,000 diselamatkan pada 10 bulan pertama 2013.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Struktur tak kukuh punca tragedi

Posted: 28 Feb 2014 08:01 AM PST

Seoul: Polis Korea Selatan semalam menyalahkan pembinaan yang tidak berkualiti menjadi punca bumbung sebuah gimnasium runtuh dan mengorbankan 10 orang pada minggu lalu.

Polis juga dijangka memfailkan kes berkenaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang jenayah.

Bumbung gimnasium di sebuah pusat percutian berhampiran bandar Gyeongju itu runtuh selepas gagal menampung bebanan salji yang melitupinya pada 17 Februari lalu.

Ketika kejadian kira-kira 560 pelajar kolej sedang menghadiri konsert di situ.

Selain 10 orang maut, 120 yang lain turut cedera.

Penyiasat kanan polis Bae Bong-gil berkata, bukti menunjukkan ada kelemahan pada struktur dan kawalan pengurusan yang longgar.

Katanya, penggunaan bolt penyambung tiang tambahan dengan bumbung tidak mencukupi dan bahan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan kerajaan menyebabkan bumbung itu runtuh.

"Pengurusan pusat percutian itu juga tidak membuang salji yang melitupi bumbung berkenaan," katanya.

Dia juga mengatakan, gimnasium itu dijadikan auditorium tanpa kebenaran pihak yang sepatutnya.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

No comments:

Post a Comment