Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Waspada ancaman Maziya

Posted: 09 Mar 2014 12:02 PM PDT

Kuala Lumpur: Selangor bakal menerima padah jika memperlekehkan kemampuan Maziya Sports & Recreation pada aksi perlawanan kedua kempen Kumpulan F Piala AFC di National Stadium, Male esok biarpun pasukan lawan dari Maldives itu dibelasah teruk sebelum ini.

Peringatan itu disuarakan oleh kapten Red Giants Mohd Bunyamin Omar supaya lebih berwaspada memandangkan rekod mereka menentang kelab dari negara itu tidak begitu memberangsangkan apabila kalah kepada New Radiant 2-0 di pusingan kalah mati tahun lalu.


"Memang kami mengharapkan kemenangan apabila beraksi di sana (Maldives) tapi kami menjangkakan ia perlawanan yang sukar. Berdasarkan pengalaman kami dalam kejohanan ini, kami tidak boleh memandang mudah cabaran pasukan dari Maldives.

"Kami perlu berhati-hati kerana walaupun pasukan mereka nampak tidak begitu kuat tapi mereka boleh beraksi dengan baik apabila bermain di gelanggang sendiri," katanya.


Nasib Selangor lebih baik pada permulaan kempen Piala AFC apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Arema Indonesia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 25 Februari lalu manakala Maziya tumpas 1-5 dengan kelab Vietnam, Hanoi T&T.


Bunyamin yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi aksi kelayakan Piala Asia minggu lalu yakin jurulatih Mehmet Durakovic mempunyai perancangan terbaik untuk menambah duka Maziya sekali gus membolehkan mereka kembali ke landasan kemenangan.

Foto

PEMAIN Selangor bakal hadapi kelab Maldives itu esok.

"Moral pasukan dalam keadaan terbaik ketika ini dan kami memang fokus kepada saingan Piala AFC musim ini. Kami berharap dapat beraksi mengikut taktikal yang diarahkan jurulatih untuk meraih keputusan baik di sana," kata pemain pertahanan itu.


Mehmet membawa 18 pemain ke Maldives semalam dan tidak berdepan masalah untuk menurunkan barisan terbaiknya termasuk penyerang yang berada di kemuncak prestasi Paulo Rangel yang kini sudah meledak enam gol dalam saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

'Malaysia perlu liga profesional'

Posted: 09 Mar 2014 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: "Segera wujudkan liga profesional".

Itu saranan pengurus Thailand, Tanawat Pyasongchayoen bagi meningkatkan mutu sepak takraw Malaysia dan seterusnya kembali mencabar kekuasaan negara Gajah Putih itu yang semakin mendominasi di pentas antarabangsa.

Badi kekalahan kepada Thailand berterusan apabila skuad lelaki dan wanita negara kecundang di pentas final Siri Super Akhir ISTAF 2013/14 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa semalam walaupun lawan tidak menurunkan pemain terbaik mereka.

"Saya fikir Malaysia perlu ada liga profesional seperti Thailand sebab itu kami mempunyai ramai pemain baru dan berbakat untuk diketengahkan. Sebelum wujudnya liga profesional, kami mengumpulkan kira-kira 100 pemain untuk dipilih mewakili negara namun semuanya sudah berubah apabila mempunyai liga.

Foto

SKUAD sepak takraw negara sekadar menduduki tempat kedua pada Siri Super Akhir ISTAF 2013/14.


"Kami kini mempunyai 1,000 pemain untuk dipilih mewakili negara. Sebab itu pemain yang dihantar adalah berkualiti, tidak kira pemain utama atau sebagainya," katanya selepas skuad lelaki dan wanita Thailand dinobatkan juara keseluruhan Siri Super ISTAF 2013/14.


Pandangan Pyasongchayoen menekankan kepentingan liga profesional yang perlu diwujudkan kerana pemain negara jelas kekurangan pengalaman akibat ketiadaan kejohanan yang berterusan dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) lebih banyak menumpukan kepada saingan berbentuk karnival.

"Saya melihat terdapat peningkatan dipamerkan pemain Malaysia kali ini krana terdapat pemain yang dihantar bermain di liga Thailand tahun lalu. Mereka memberikan tentangan sengit namun kami mampu mengatasi mereka di final ini," katanya.

Skuad lelaki negara kendalian Jamaluddin tunduk 3-0 (15-12, 15-10, 15-7) kepada Thailand dalam tempoh 61 minit walaupun mendapat sokongan padu kira-kira 5,000 penyokong tempatan. Nasib sama menimpa skuad wanita negara yang tewas 3-0 (15-4, 15-8, 15-13) di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

Barcelona tewas lagi

Posted: 09 Mar 2014 08:44 AM PDT

Madrid: Barcelona mengalami kekalahan ketiga dalam tujuh perlawanan liga apabila mereka kecundang 0-1 kepada pasukan yang bergelut dengan zon penyingkiran Valladolid, kelmarin.

Penyerang Itali, Fausto Rossi menjaringkan gol tunggal perlawanan apabila dia merembat kencang dari jarak dekat selepas 17 minit.


Atletico Madrid mengambil kesempatan berikutan kekalahan Barca untuk merampas kedudukan teratas liga berdasarkan rekod pertembungan baik menentang Real Madrid apabila dua gol David Villa membantu mereka menang 2-0 ke atas Celta Vigo di Balaidos.

Bagaimanapun, Real boleh merampas semula kedudukan mereka di puncak dan melonjak empat mata di depan Barcelona jika menang ke atas Levante di halaman sendiri, awal pagi tadi.


Kemenangan buat Valladolid memberi kesan besar di kelompok bawahan liga apabila La Pucela keluar dari zon penyingkiran menerusi kemenangan kelima mereka musim ini.


"Kekurangan kami hari adalah sesuatu yang tidak biasa berlaku, pegangan bola dan gerakan pemain ketika tidak mendapat bola dan untuk mencari ruang. Akibatnya kami sukar menembusi benteng lawan," akui bos Barca, Gerardo Martino.

Foto

MESSI jelas kecewa selepas tamat perlawanan.

"Kami kurang idea, pergerakan dan usaha menembusi benteng lawan tapi saya tidak fikir ia disebabkan sikap." Kekalahan itu bermakna juara Sepanyol itu kini perlu menundukkan Real Madrid di Santiago Bernabeu dalam tempoh dua minggu lagi jika mahu mencerahkan peluang mempertahankan kejuaraan.


Apatah lagi pasukannya berdepan perlawanan kedua, pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester City dalam tempoh tiga hari lagi, Martino mengakui kini pasukannya jauh daripada prestasi sebenar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

Gol Di Natale jejas peluang AC Milan

Posted: 09 Mar 2014 08:44 AM PDT

Milan: Penyerang veteran Antonio Di Natale menyumbat gol tunggal kemenangan pada babak kedua buat Udinese sekali gus menjejaskan keinginan AC Milan layak ke Liga Europa, awal pagi semalam.

Kekalahan ketiga Milan dalam tujuh perlawanan di bawah kendalian Clarence Seedorf menyebabkan Rossoneri merudum satu anak tangga ke tangga ke-11 dengan perbezaan enam mata di belakang pasukan tangga kelima, Inter Milan.


Ia kali pertama Milan, yang kecundang 0-2 kepada Juventus di laman sendiri minggu lalu, kalah dua perlawanan berturut-turut dalam liga musim ini.

"Kami tidak dapat menyaingi Udinese. Mereka pasukan mantap yang tahu mencipta peluang dan pantas ketika menyerang.


"Kami masih meningkat sebagai sebuah pasukan dan masalah kami tidak akan diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu. Kini kami perlu mengalih fokus terhadap Atletico Madrid (perlawanan Liga Juara-Juara)," kata Seedorf.


Milan menang tiga daripada empat pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan dan penyerang veteran Udinese, Di Natale menyatakan kepentingan kemenangan yang melonjakkan pasukan utara itu satu anak tangga ke tangga ke-14.

"Ia kemenangan hebat buat kami menentang pasukan sebesar Milan. Kami amat mahukan kemenangan ini," kata Di Natale. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

City miliki kelebihan

Posted: 09 Mar 2014 08:43 AM PDT

London: Jose Mourinho menegaskan beliau lebih suka berada di tempat Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekalipun pasukannya Chelsea menjarakkan pendahuluan kepada tujuh mata.

Kemenangan 4-0 Chelsea ke atas Tottenham membolehkan pasukan Mourinho mengumpul 66 mata, manakala Liverpool dan Arsenal di tangga kedua dengan 59 mata sekalipun bermain kurang satu perlawanan.


City dua mata lagi di belakang namun beraksi kurang tiga perlawanan berbanding Chelsea dan memiliki perbezaan gol mengagumkan menyebabkan Mourinho mendakwa kelebihan dalam perebutan muncul juara menjadi milik anak buah Manuel Pellegrini.

"Saya lebih suka berada di posisi mereka. Jika mereka menang perlawanan, mereka berada di puncak liga," jelasnya.


"Jika City menang baki 12 perlawanan, mereka juara. Semuanya kini bergantung kepada mereka." Pengurus Chelsea itu bagaimanapun mengakui pasukannya meraih objektif awal memastikan kelompok empat teratas selepas berada 13 mata di depan Tottenham di tangga kelima.


"Tidak mungkin kami gagal berada dalam kelompok empat teratas. Kami 13 mata di depan Tottenham dan 15 di depan Manchester United dan Everton." Samuel Eto'o meletakkan Chelsea dalam laluan kemenangan dengan gol pembukaan pada minit ke-56.

Kekasaran Younes Kaboul ke atas Eto'o menyebabkan pertahanan Tottenham itu dilayangkan kad merah sekali gus membolehkan Eden Hazard menambah gol kedua pada minit ke-59 menerusi sepakan penalti.


Penyerang gantian Demba Ba kemudiannya menggunakan kesilapan pertahanan untuk menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit terakhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

'Komitmen pemain buat saya bangga'

Posted: 09 Mar 2014 08:43 AM PDT

Birmingham, England: Pengurus Manchester United, David Moyes menyanjung transformasi pemainnya apabila mereka bangkit daripada kekalahan Liga Juara-Juara dengan mengatasi West Brom 3-0 kelmarin.

Jaringan Phil Jones, Wayne Rooney dan Danny Welbeck mengurangkan tekanan buat Moyes dan menyaksikan United melonjak ke tangga keenam Liga Perdana.


Ia tindak balas baik pada perlawanan pertama United sejak tumpas 0-2 kepada Olympiakos pada perlawanan pertama, pusingan kedua Liga Juara-Juara 25 Februari lalu.

"Sikap mereka amat berbeza," jelas Moyes. "Pemain mempamerkan usaha dan komitmen mereka, bukan hanya bermain dengan bagus. Saya fikir ia terbukti dengan persembahan mereka.


"Apa yang paling menggembirakan saya adalah gol. Pasukan bermain dengan bagus di semua bahagian.


"Saya fikir dua pemain di serangan, Wayne dan Robin van Persie amat bagus dengan Juan Mata dan Adnan Januzaj di bahagian sayap." Moyes menegaskan beliau terpaksa menggantikan Van Persie kerana penyerang Belanda itu hampir dibuang padang. - AFP

Foto

ROONEY (kiri) jaring gol kedua United.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

UiTM Perlis cipta sejarah baru

Posted: 09 Mar 2014 08:42 AM PDT

Arau: Pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Perlis mencipta sejarah apabila merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Universiti Malaya (UM) pada saingan Liga Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2014, baru-baru ini.

UiTM Perlis menang 3-1 dalam perlawanan di Stadium Mini Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Perlis.


Pengurus pasukan UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin berkata, kejayaan itu secara tidak langsung melonjakkan semangat anak buahnya untuk kekal sebagai pendahulu Divisyen Satu tahun ini.

"Kemenangan itu adalah permulaan baik. Kami akan terus membaiki kelemahan untuk mengutip mata penuh pada perlawanan seterusnya.


"Pasukan UM bukanlah lawan mudah namun beraksi di gelanggang sendiri menjadi kelebihan buat pasukan," katanya.


Zailuddin yang juga Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar berkata, kemenangan itu amat bermakna kerana UiTM Perlis bermula dalam Divisyen Dua ketika Liga IPT mula diperkenalkan tiga tahun lalu dan menapak satu demi satu anak tangga untuk mencapai kedudukan sekarang.

Dalam perlawanan itu, UiTM Perlis selaku juara bertahan Divisyen Satu membuka jaringan hasil rembatan Mustafa Amini Ismail seawal minit ke-13 sebelum Mohd Akmal M Zahir menyumbat gol kedua m-17 menerusi sepakan penalti.


Pasukan tuan rumah terus cemerlang dengan gol ketiga m-33 menerusi Mustafa Amini sebelum UM mendapat gol tunggal m-45 oleh Nur Eqhwan Haffifey.

Sementara itu jurulatih UM, Jeffery Mokhtar berkata, kurang persediaan menjadi punca anak buahnya gagal menyaingi kehebatan tuan rumah.


"Nasib tidak menyebelahi kami kerana sudah mencuba sebaik mungkin untuk menyamakan kedudukan, namun hanya berjaya mencipta satu gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

SCNZ muncul juara ragbi MCKK

Posted: 09 Mar 2014 08:41 AM PDT

Kuala Kangsar: Pendatang baru, Scots College New Zealand (SCNZ) muncul juara Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7`S Edisi ke-4 di padang sekolah itu baru-baru ini.

Wakil Kiwi itu yang turun selaku pilihan awal kejohanan seperti dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengatasi Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, 36-14 bagi merangkul piala pusingan N.J. Ryan.


Scots College mengutip mata daripada 6 `try' berbalas dua gol lawan.

Malo Tauitam muncul wira Scots College apabila menyumbang empat `try ' manakala TJ Va'a dan Joe Boswell masing-masing satu.


Manakala semua mata STAR disumbangkan Muhammad A'Aziem.


Scots College mara ke perlawanan akir selepas menundukkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) , Johor 43-0.

Manakala STAR mara selepas mengatasi tuan rumah dan juara bertahan, MCKK 31-26.


Kejohanan bawah 17 tahun itu disertai 19 sekolah dan lima pasukan luar termasuk Trafalgar High School dari Afrika Selatan, Sekolah Sukan Hong Kong, Vajiravudh Kolej Thailand dan Kolej Antarabangsa Singapura.

Acara Plate dimenangi Sekolah Sukan Hong Kong selepas menumpaskan Vajiravudh Kolej Thailand 12-5.


Sementara kategori Bowl milik Sekolah Sains Sultan Mahmud, Terengganu yang mengecewakan SMK Taman Kosas, Selangor 24-7.


Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya mengatasi Sekolah Sultan Abdul Halim Kedah untuk meraih kategori Shield.


Upacara penyampaian hadiah disempurnkan oleh Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut hadir pada majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

100 bekas pelajar meriah karnival

Posted: 09 Mar 2014 08:41 AM PDT

Melaka: Lebih 100 bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) menyertai Karnival Sukan Alumni di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan sekitar 1980-an turut menyertai aktiviti sukan itu bersama bekas rakan lamanya.


Yang Dipertua Alumni MOZAC Abdul Halem Berahim berkata, antara sukan dipertandingkan adalah bola keranjang, bola tampar, galah panjang dan badminton yang turut membabitkan pelajar sekolah berkenaan.

Katanya, kehadiran Idris turut memberi impak besar terhadap program yang dilaksanakan selain membakar semangat warga sekolah itu untuk berjaya dalam sukan dan akademik.


"Idris yang juga bekas pemain ragbi dan kriket sekolah itu juga aktif dalam setiap aktiviti sukan sepanjang menuntut di MOZAC. Kejayaan Idris membantu sekolah menjuarai kriket peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 1983 antara kejayaan paling manis MOZAC dalam bidang sukan.


"Apa yang membanggakan pasukan kriket sekolah juga muncul juara peringkat negeri baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

Jang semakin meningkat

Posted: 09 Mar 2014 08:40 AM PDT

Seremban: Selepas sekadar mencatat seri tanpa jaringan dengan KL SPA FC dalam saingan Liga Perdana di gelanggang sendiri, Jumaat lalu, jurulatih Negeri Sembilan, V Sundramoorthy yakin pemain akan mempamerkan persembahan lebih baik pada perlawanan berikutnya.

Menurutnya, kemenangan harus dicapai dalam aksi kelmarin berikutan banyak peluang jaringan diperoleh malah barisan depan yang diterajui Jozef Kaplan dan Jean-Emmanuel Effa Owona berfungsi dengan baik.


"Nasib jelas tidak menyebelahi pasukan kerana beberapa percubaan tidak menepati sasaran kerana ketangkasan penjaga gol KL SPA FC, Mahathir Mohamed.

"Apapun saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain kerana mencipta banyak peluang, malah mendominasi sebahagian besar perlawanan, cuma gagal menghasilkan jaringan.


"Saya yakin, pemain akan bangkit dengan persembahan lebih baik dalam aksi berikutnya selepas ini kerana kita mensasarkan untuk meraih mata dalam setiap perlawanan bagi memudahkan laluan ke puncak liga," katanya selepas perlawanan.


Sundramoorthy berkata, prestasi skuad bimbingannya sudah menunjukkan peningkatan memberangsangkan biarpun masih terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki tetapi beliau percaya pemain sudah berjaya melaksanakan tugas diarahkan dengan baik.

Bekas penyerang kebangsaan Singapura itu berkata, dia akan merangka strategi lebih baik dalam memastikan kemenangan dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim 11, 14 Mac ini di gelanggang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

No comments:

Post a Comment