Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kandungan tercampak keluar

Posted: 21 Mar 2014 11:58 AM PDT

Xiamen: Seorang saksi satu kemalangan ngeri membabitkan pasangan suami isteri melihat bayi yang berada dalam kandungan ibunya itu tercampak keluar selepas motosikal pasangan itu dilanggar lori.

Wang Zhau, 40, yang sarat mengandung dalam perjalanan ke hospital bersama suaminya Mao, 42, apabila motosikal mereka dirempuh lori.

Saksi berkata lori itu kemudian menggilis wanita berkenaan menyebabkan bayi yang berada dalam kandungannya terkeluar dan tercampak sejauh tiga meter.

Foto

XIAO hanya mengalami cedera ringan selepas tercampak keluar dari kandungan dalam kemalangan yang meragut nyawa ibu bapanya.

Pasangan berkenaan mati di tempat kejadian namun bayi mereka selamat dan dibawa ke hospital di wilayah Fujian China.

Bayi yang diberi nama Xiao Zhao oleh kakitangan hopital itu hanya calar-balar.

Jurucakap polis, Chan Chien berkata: "Ada saksi yang berkata wanita itu sempat melahirkan anaknya sebelum mati selepas dilanggar lori berkenaan manakala yang lain berkata, impak daripada perlanggaran itu menyebabkan bayi seberat 4.2 kilogram itu terkeluar dari rahim ibunya dan tercampak sejauh tiga meter.

Wanita itu sepatutnya dimasukkan ke bilik bersalin pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dan suaminya membuat keputusan untuk tidak menunggu ambulans.

Dia menghantar isterinya ke hospital menaiki motosikal.

Kemalangan berlaku ketika mereka tiba di simpang antara Maqing Lu dan Jiaosong Lu" kata Chan.

Polis mengesahkan mereka menahan pemandu lori berusia 45 tahun itu untuk membantu siasatan.

Kejadian yang menggemparkan yang menimpa bayi malang itu menjadi tajuk utama akhbar di China dan Badan Kebajikan Xiamen menyumbangkan 5,000 yuan (RM 2,658) untuk penjagaan bayi terbabit.

Orang ramai yang mengetahui berita itu turut melawatnya di hospital dengan membawa pelbagai hadiah untuk bayi berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Zirafah ucap selamat tinggal

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Rotterdam: Suasana mengharukan menyelubungi zoo di Belanda apabila seekor zirafah dilihat seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada bekas pekerja zoo yang tenat kerana menghidap barah.

Bekas pekerja berusia 54 tahun itu sebelum ini meminta supaya dia dibawa ke kandang zirafah di Zoo Rotterdam's Diergaarde Blijdorp.


Keadaan yang menyentuh hati itu menyaksikan seekor zirafah itu menghampiri lelaki berkenaan, Mario, dan dilihat seolah-olah memberi ciuman selamat tinggal.

"Haiwan itu mengenalinya dan dapat merasakan sesuatu yang buruk menimpanya. Ia suasana istimewa dan anda boleh melihat haiwan itu melemparkan senyuman kepada Mario yang sebelum sakit menghabiskan masa bekerja di kandang berkenaan," kata pengasas Ambulance Wish Foundation, Kees Veldboer. Mario kemudian meminta peluang mengucapkan selamat tinggal kepada semua rakan sekerjanya. "Kami gembira dapat menunaikan permintaan terakhir Mario," katanya.

Foto

MARIO dicium oleh seekor zirafah di zoo tempat dia pernah bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Lahir bayi pramatang 6.2kg

Posted: 21 Mar 2014 10:55 AM PDT

Jilin: Seorang wanita melahirkan bayi lelaki dengan berat luar biasa 6.2 kilogram di Changchun, China, baru-baru ini.

Menurut pihak hospital, bayi itu dilahirkan awal 10 hari dari tarikh yang dijangka.


"Dia mungkin bayi pramatang paling berat pernah dilahirkan di China, tetapi bukan bayi paling berat secara keseluruhan dan tidak pun mencipta rekod untuk tahun ini," katanya.

Bulan lepas seorang wanita melahirkan seorang bayi lelaki seberat 7.2 kilogram di Shanwei memecahkan rekod tujuh kilogram sebelum ini. Dianggarkan 6.9 peratus bayi yang dilahirkan di China mempunyai berat dan saiz melebihi kebiasaan, berpunca daripada peningkatan kadar obesiti dan diet tidak sihat yang diamalkan ibu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Tidak sah

Posted: 21 Mar 2014 10:53 AM PDT

Bangkok: Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam mengisytiharkan pilihan raya umum negara itu Februari lalu tidak sah, sekali gus merumitkan lagi krisis politik di negara berkenaan.

Hakim mahkamah mengundi 6 - 3 dalam memutuskan kesahihan pilihan raya umum yang dijalankan pada 2 Februari itu.


Hakim berpendapat ia menyalahi perlembagaan kerana pengundian di 28 kawasan tidak dilangsungkan pada hari sama selepas ia dihalang penyokong gerakan antikerajaan.

Menurut perlembagaan, pilihan raya umum mesti dijalankan serentak di seluruh negara. Selain melewatkan pembentukan kerajaan, keputusan mahkamah semalam juga membuka kemungkinan kepada penyelesaian kemelut semasa - jika pembangkang bersetuju menamatkan boikot mereka kepada peti undi. Suruhanjaya Pilihan Raya pula berkata, mereka mencadangkan rundingan dijalankan dengan pemimpin parti politik mengenai tarikh baru pilihan raya. Namun penyokong Yingluck Shinawatra bimbang dia akan disingkirkan dari jawatannya sebelum pilihan raya baru dijalankan. Ketika ini perdana menteri sementara itu berdepan dakwaan cuai ekoran kes difailkan Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan membabitkan skim subsidi beras.


Dia juga boleh disingkirkan melalui undi tidak percaya di parlimen dalam tempoh beberapa minggu lagi. Pengerusi gerakan Baju Merah yang prokerajaan, Jatuporn Prompan berkata, penunjuk perasaan mahu memberi tekanan dari segenap segi untuk membolehkan seorang perdana menteri bebas dilantik menggantikan Yingluck. Penulis David Streckfuss berkata, keputusan mahkamah semalam sangat jelas memihak kepada kumpulan antikerajaan. "Untuk itu mahkamah mempertaruhkan integriti dan reputasinya," katanya. Pembangkang Parti Demokrat pula semalam berkata, masih terlalu awal untuk mereka membuat pendirian sama ada akan menyertai pilihan raya baru atau sebaliknya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Singapura berang

Posted: 21 Mar 2014 10:53 AM PDT

Singapura: Detik hitam pengeboman oleh tentera Indonesia di Singapura hampir 50 tahun lalu dimarakkan semula semalam apabila dua anggota keselamatan berpakaian seperti pelaku serangan itu di sebuah forum pertahanan.

Delegasi Angkatan Tentera Singapura diarah menarik diri daripada menghadiri Dialog Pertahanan Antarabangsa Jakarta (JIDD) apabila dua anggota Tentera Laut Indonesia dilihat memakai tanda nama Usman dan Harun. Media melaporkan, kedua-dua anggota tentera terbabit ditempatkan di sebuah lot yang mempamerkan model kapal perang KRI Usman Harun.


Usman Mohamed Ali dan Harun Said dihukum gantung di Singapura apabila mereka didapati bersalah melakukan serangan bom di sebuah bangunan di Singapura pada 1965.

Kejadian itu menyebabkan tiga orang terbunuh dan berlaku ketika Indonesia melancarkan konfrontasi ke atas Malaya.


Singapura masih sebahagian daripada Malaya ketika itu. Sebelum ini Singapura sudah menyatakan bantahan mereka terhadap keputusan Jakarta menamakan kapal mereka Usman Harun. Dalam kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, kerajaan berkata, mereka kecewa dengan tindakan Kementerian Luar Indonesia serta tentera negara itu. "Meletakkan dua anggota tentera laut di JIDD tidak menzahirkan semangat ditunjuk Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa pada 11 Februari lalu yang berjanji tidak akan melakukan sesuatu yang boleh dianggap berniat jahat," kata kenyataan itu. Jurucakap Tentera Laut Indonesia, Untung Suropati berkata, kedua-dua anggota mereka yang dihukum gantung di Singapura itu adalah "wira" dan wajar menjadi teladan kepada generasi muda. "Kami perlu tunjukkan kepada golongan muda Indonesia bahawa pernah ada wira yang hebat dilahirkan negara ini," katanya. - AFP

Foto

DUA anggota tentera dengan nama Usman dan Harun ditugaskan bersama model kapal perang KRI Usman Harun di Jakarta semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

PDI-P nilai semua pandangan positif

Posted: 21 Mar 2014 10:50 AM PDT

Jakarta: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) masih memikirkan calon yang sesuai untuk digandingkan dengan Joko Widodo (Jokowi) dalam usaha mereka merebut jawatan presiden dan naib presiden pertengahan tahun ini.

Pemimpin kanan PDI-P, Maruarar Sirait berkata, calon naib presiden mewakili parti itu akan diumum selepas pemilihan ahli legislatif berakhir bulan depan. "Namun semua cadangan sedang dipertimbang kerana semua pihak dibenarkan memberi pandangan.


"PDI-P akan memandangnya dari sudut positif," katanya di bangunan parlimen semalam. Menurut Maruarar Ketua Umum PDI-P Megawati Sukarnoputri adalah pemimpin demokratik ketika membuat sebarang keputusan.

Seperti ketika memutuskan untuk memilih Jokowi, katanya, Megawati mendengar semua pandangan yang ada, termasuk keputusan kaji selidik, tokoh agama, petani, nelayan, buruh, media dan ahli perniagaan. Ketika ini, kata Maruarar, PDI-P belum mempunyai sebarang tokoh muktamad bagi menjadi regu Gabenor Jakarta itu.


"Kami mendapati ada beberapa nama yang berpotensi, seperti Abraham Samad, Jusuf Kalla, Ryamizad Ryacudu, Mahfud MD, Jen (B) Moeldoko dan lain-lain," katanya. Menurut Maruarar Sirait, nama yang muncul itu membuka ruang perbahasan di kalangan orang ramai dan mendedahkan pelbagai aspek kelebihan dan kekurangan tokoh terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Pecat pengamal poligami

Posted: 21 Mar 2014 10:50 AM PDT

Jakarta: Komisi Nasional Antikekerasan Terhadap Perempuan (Komnas Perempuan) menyambut baik tindakan Datuk Bandar Surabaya yang memecat kakitangannya kerana mengamalkan poligami.

Timbalan Pengerusi Komnas Perempuan, Masruchah berkata, Tri Rismaharini mengambil tindakan yang betul kerana kakitangan awam berikrar untuk tidak melanggar peraturan atau perlembagaan. "Ia adalah pengajaran kepada kakitangan awam lain supaya mengekalkan keharmonian keluarga masing-masing," katanya. Tri Rismaharini memecat 30 kakitangan awam Surabaya pada tahun lalu tetapi tidak dapat dipastikan daripada jumlah itu, beramai ramai dikenakan tindakan berkenaan kerana poligami.


Sesetengah mereka dibuang kerja kerana faktor lain. Namun Selasa lalu Tri Rismaharini berkata, kebanyakan daripada mereka dipecat kerana berkahwin lebih seorang tanpa kebenaran.

"Selebihnya atas kesalahan menyalahgunakan dana kerajaan," katanya. Sebelum itu, kata Tri Rismaharini, dia sudah mengeluarkan surat amaran tetapi ia tidak diendah kakitangan terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Demokrat selamba bergantung pada SBY

Posted: 21 Mar 2014 10:50 AM PDT

Jakarta: Ahli Dewan Pembina Parti Demokrat, Ahmad Mubarok mengakui pihaknya masih bergantung kepada ketokohan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menjelang pemilu bulan depan.

Kata Ahmad, dia tidak menganggap langkah itu sesuatu yang salah kerana dapat meningkatkan peluang Parti Demokrat di kalangan pengundi. "Sama saja, kan? "Parti Golkar juga masih bercakap mengenai Suharto, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menggunakan nama Sukarno," katanya.


Ahmad berkata, Susilo adalah pengasas dan ikon Parti Demokrat. Katanya, dia masih yakin peluang parti mereka masih tinggi dalam pemilu kali ini. "Parti Demokrat dipercayai selalu buat kejutan. "Pada 2004 kita menyasarkan undi hanya 3.5 peratus tetapi memperoleh 7.5 peratus. "Pada 2009 sasaran kami ialah 15 peratus namun berjaya mengumpul 21 peratus undi," katanya dalam satu kenyataan. Parti itu juga tidak bercadang mengubah strateginya ketika calon paling popular, Joko Widodo dipertaruhkan PDI-P. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Ukraine undur tentera

Posted: 21 Mar 2014 10:49 AM PDT

Moscow: Presiden Vladimir Putin semalam menandatangani perundangan yang melengkapkan proses menjadikan Crimea sebagai sebahagian daripada Russia walaupun ditentang pemimpin Barat yang menganggap wilayah itu masih milik Ukraine.

Dalam majlis di Kremlin yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen negara itu juga menyaksikan Putin meluluskan undang-undang mewujudkan dua daerah pentadbiran baru negara itu - Crimea dan bandar pelabuhan Sevastopol.


Dewan Senat Russia semalam sebulat suara meluluskan rang undang-undang menerima kemasukan |Crimea. . Semua 155 orang ahli dewan senat meluluskan undang-undang itu.

"Kami bukan sekadar pemerhati tetapi sebahagian daripada upacara bersejarah dan dengan penuh rasa patriotik, kami melaksanakan misi bersejarah ini," kata Speaker Dewan, Valentina Matviyenko.


Sementara itu, Ukraine mula mengundurkan tenteranya dari wilayah itu kerana bimbang Russia merancang serangan ke kawasan lain negara itu selepas menawan tiga kapal Ukraine di Crimea. Tentera Russia menguasai majoriti kawasan semenanjung Laut Hitam apabila menawan tiga kapal perang Ukraine dan mengambil alih beberapa markas tentera.


Amerika Syarikat kelmarin meluaskan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Moscow berhubung tindakannya terhadap Ukraine dan menjadikan Putin serta 19 lagi individu lain sebagai sasaran sekatan.

Foto

LELAKI dengan uniform tanpa lambang melihat seorang daripada anak kapal Ukraine yang ditawan di Sevastopol.

Presiden Barrack Obama juga memberi amaran lebih banyak yang akan dilakukan jika keadaan semakin buruk.


Ukraine memberitahu tentera mereka berdepan ancaman di Crimea selepas ibu pejabat tentera laut ditawan, satu lagi kemudahan tentera laut di Bakhchisaray.

Keadaan itu menyaksikan tentera laut mula mengosongkan markas mereka dan ada diantaranya berpaling tadah menyertai tentera Russia.


Daripada 25,000 anggota, masih terdapat ribuan yang terperangkap di dalam wilayah itu dan mula dikepung tentera Russia.


"Kami merancang pelan tindakan untuk membawa keluar bukan sahaja anggota, malah ahli keluarga mereka yang berada di Crimea dengan cara yang paling cepat," kata setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Andriy Parubiy. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

32 etnik Tartar minta status pelarian di Poland

Posted: 21 Mar 2014 10:47 AM PDT

Warsaw: Seramai 32 orang keturunan Tartar di Crimea memohon taraf pelarian di Poland selepas semenanjung Laut Hitam itu menjadi sebahagian daripada Russia.

Mereka yang terdiri daripada lapan keluarga berbuat demikian di sempadan Ukraine dan kawasan selatan Poland, kata jurucakap pengawal sempadan Poland, Agnieszka Golias.


"Mereka menggunakan alasan keadaan semasa di Crimea. Kami menerima permohonan mereka dan menjalankan prosedur pendaftaran yang diperlukan. "Untuk sementara waktu mereka mungkin dihantar ke pusat perlindungan pelarian," katanya ketika ditemui. Etnik Muslim yang mewakili 12 hingga 15 peratus populasi di Crimea membantah pencerobohan Russia di semenanjung itu dan kebanyakan mereka memboikot pungutan suara yang dijalankan minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

No comments:

Post a Comment