Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya sedia'

Posted: 18 Mar 2014 02:18 PM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar kecil) menutup segala persoalan mengenai kesediaannya bertanding pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM, 25 Mei ini apabila menyatakan minat untuk merebut jawatan presiden badan induk tanah air itu.

Perkara itu didedahkan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya semalam yang menyatakan Tunku Ismail bersedia menawarkan diri untuk bertanding mengisi jawatan tertinggi FAM itu yang kini disandang Sultan Ahmad Shah.


"Bila saya tanya kawan-kawan Presiden PB (Persatuan Bola Sepak) Negeri, ramai yang tidak pasti sama ada mereka bersedia untuk menawarkan diri (bertanding) untuk jawatan Presiden FAM.

"Namun apabila saya sembah persoalan itu kepada DYTM Tuanku Presiden PBNJ (Tunku Ismail), ini titah baginda kepada saya... "I'll run for it (saya bersedia untuk bertanding). Saya sedia. Demi bola sepak tanah air," tulis Annuar dalam akaun Facebook miliknya.


Annuar, bekas Timbalan Presiden FAM yang tidak boleh bertanding mempertahankan jawatan itu akibat masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM nyata memuji pendirian Tunku Ismail kerana berani tampil demi bola sepak negara.


"Inilah semangat yang kita mahu. Aktivis bola sepak negara tidak boleh hanya mengeluh mengenai prestasi negara tanpa tampil memikul tanggung jawab memperbaikinya," katanya.

Foto

ANNUAR bertanya sendiri kepada Tunku Ismail mengenai isu jawatan Presiden FAM.

Persoalan mengenai siapakah yang bersedia bertanding merebut jawatan Presiden FAM mula hangat diperkatakan apabila badan induk itu mengumumkan pencalonan kini dibuka sebelum kongres pemilihan Mei ini.


Selain jawatan presiden, dua calon untuk timbalan presiden, naib presiden (empat) dan 10 ahli Exco yang membabitkan lapan calon lelaki dan dua wanita turut dipertandingkan dalam kongres pemilihan itu.

Tarikh akhir pencalonan pada 25 Mac ini dan sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi daripada Sultan Ahmad Shah mengenai pendiriannya sama ada masih mahu bertanding mempertahankan jawatannya.


Bagaimanapun bukan sesuatu yang mengejutkan jika Tunku Ismail membuat keputusan itu kerana sebelum ini beliau yang membangkitkan semula bola sepak Harimau Selatan sudah membayangkan untuk bertanding jika mendapat sokongan ahli gabungan.


Annuar yang mahu melihat perubahan dalam barisan kepimpinan FAM bagi penggal baru itu berkata, ramai pemimpin dari persatuan bola sepak negeri memberi reaksi positif untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.


"Difahamkan ramai pemimpin PB negeri sanggup menawar diri dalam saf Exco FAM kali ini. Satu perkembangan yang baik untuk bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Aura juara Magnussen

Posted: 18 Mar 2014 01:51 PM PDT

Melbourne: Ron Dennis percaya Kevin Magnussen (gambar) memiliki ciri-ciri pemandu yang boleh muncul juara Formula Satu (F1) dunia dari McLaren satu hari nanti.

Dennis yang kembali berada di paddock pada Grand Prix Australia hujung minggu lalu dengan peranan lamanya sebagai ketua eksekutif kumpulan McLaren, tahu beberapa perkara untuk membantu seorang pemandu menjadi juara.


Lagipun, beliau sudah melakukannya sebelum ini bersama beberapa personaliti hebat sukan itu termasuk Niki Lauda, Alain Prost, Ayrton Senna, Mika Hakkinen dan Lewis Hamilton.

Apabila Magnussen muncul pemandu rookie pertama sejak Hamilton menjejak podium selepas perlumbaan di Litar Albert Park, Melbourne, Dennis menyedari potensi dimiliki pemandu berusia 21 tahun itu.


Selepas berakhir di tangga ketiga di belakang juara Nico Rosberg dari pasukan Mercedes, pemandu Denmark itu kemudiannya dinobat sebagai naib juara selepas pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo dibatalkan kerana kesalahan penggunaan minyak.


Buat ketika ini, bergantung kepada rayuan Red Bull dan tidak termasuk perlumbaan pertama F1 pada 1950 apabila semua pemandu membuat penampilan sulung, Magnussen adalah pemandu kelima dalam sejarah F1 berjaya menduduki sekurang-kurangnya tangga kedua menerusi penampilan sulung.

Foto

Dennis yang turut memutuskan untuk mengetepikan Sergio Perez sekali gus memberikan tempat itu kepada Magnussen berkata: "Satu langkah besar mengambil seorang pemandu dan memberinya peluang memandu kereta Grand Prix. Tidak kira bagaimana persembahannya, ia satu risiko besar.


"Tapi saya yakin, kemampuannya tidak boleh dipersoal kerana dia melakukan sesuatu melangkaui jangkaan, terutama kerana kebolehannya dan tidak melakukan kesilapan.

"Dia melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Keretanya langsung tidak terbabas ke tepi litar, menuruti setiap arahan dan bekerja keras pada masa tepat. Hanya pujian daripada saya buatnya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Tugas berat Murray pertahan gelaran

Posted: 18 Mar 2014 01:51 PM PDT

Miami, AS: Andy Murray perlu mengatasi prestasi tidak menentu dengan segera jika berhasrat mempertahankan kejuaraan Masters ATP Miami apabila berdepan barisan pemain ternama dunia.

Murray meninggalkan Miami tahun lalu dengan menduduki ranking kedua dunia selepas kemenangan sukar ke atas David Ferrer pada perlawanan akhir yang membolehkannya meraih kejuaraan Terbuka Sony kali kedua.


Dia kemudian merangkul kejuaraan Grand Slam kedua di Wimbledon, namun pemain berusia 25 tahun itu belum layak ke final sejak itu selepas menjalani pembedahan belakang September lalu dan kini berada di tangga keenam dunia.

Pemain Scotland itu tiada jawapan terhadap kekalahan di tangan pemain Kanada, Milos Raonic pada pusingan keempat di Indian Wells minggu lalu dan mengakui keyakinannya terjejas.


Pasti sukar untuknya menentang pemain ternama dunia seperti pemain nombor satu dunia Rafael Nadal, yang kembali ke Miami selepas tidak bertanding pada kejohanan tahun lalu kerana terpaksa berehat akibat kecederaan lutut.


Pemain nombor dua dunia Novak Djokovic turut hadir di Florida dengan keyakinan tinggi selepas meraih kejuaraan sulung tahun ini dengan menundukkan Roger Federer pada final Terbuka BNP Paribas kelmarin.

"Ia final pertama saya tahun ini," jelas Djokovic. "Ia penting untuk meningkatkan keyakinan dan saya harap boleh meneruskan rentak itu ke Miami hingga hujung musim." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Red Devils dalam bahaya

Posted: 18 Mar 2014 01:50 PM PDT

Manchester: Jika faktor sejarah diambil kira sudah pasti Manchester United tidak berdepan masalah mengatasi defisit 0-2 pada perlawanan pertama menentang Olympiakos dan melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Bagaimanapun realiti sebenar buat pengurus David Moyes dan barisan pemainnya adalah prestasi semasa memainkan peranan lebih penting berbanding kejayaan lampau di Old Trafford.


Musim hambar United mencapai tahap terburuk Ahad lalu apabila mereka dimalukan dengan kekalahan 0-3 kepada musuh tradisi Liverpool di laman sendiri yang mengakibatkan juara bertahan itu kini menduduki tangga ketujuh Liga Perdana sekali gus menyukarkan mereka menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas.

Satu-satunya harapan realistik untuk mereka bersaing dengan kelab elit Eropah musim depan adalah dengan memenangi pertandingan buat kali keempat Mei ini namun mereka perlu mengalahkan Olympiakos terlebih dulu pada pertemuan awal pagi esok.


"Semua pemain sedar pentingnya perlawanan Rabu ini dan apa yang kami perlu lakukan," kata Moyes.


"Kami memiliki sasaran dan berharap boleh melakukannya." Kali terakhir United yang kini bergelut dengan prestasi gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara ialah 18 tahun lalu bagaimanapun tiada jaminan untuk mereka menumpaskan kelab dari Greece itu yang baru merangkul gelaran liga domestik keempat berturut-turut.

Ia kejuaraan ke-16 mereka dalam 18 kempen liga sekali gus melengkapkan koleksi 41 kejuaraan dalam semua pertandingan.


Rekod pertemuan dengan kelab Inggeris nyata tidak memberikan kelebihan kepada Olympiakos.

Sebelum Olympiakos mencipta kemenangan di Athens pada 25 Februari lalu, United gah dengan rekod kemenangan dalam semua empat pertemuan antara kedua-dua kelab.


Mereka juga memenangi semua lima perlawanan menentang kelab dari Greece di gelanggang sendiri manakala Olympiakos tumpas semua 11 perlawanan di England. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

'Ayuh juang'

Posted: 18 Mar 2014 01:50 PM PDT

London: Pemain tengah Manchester United, Juan Mata menggesa rakan sepasukan supaya meneruskan tradisi semangat kelab itu dalam usaha menyingkirkan Olympiakos pada pusingan kedua Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi esok.

Cabaran United musim ini bergantung kepada keputusan dengan Olympiakos selepas mereka tumpas 0-2 pada perlawanan pertama di Greece dan moral pemain semakin terjejas apabila kecundang 0-3 kepada musuh tradisi Liverpool pada Liga Perdana, Ahad lalu.


Kekalahan itu menyebabkan juara Inggeris itu kini menduduki tangga ketujuh liga dan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan kabur melainkan mereka memenangi pertandingan itu musim ini.

Mata yang tidak layak beraksi menentang Olympiakos selepas bermain untuk Chelsea dalam Liga Juara-Juara sebelum berpindah ke pasukan musuh Liga Perdana dengan bayaran £37.1 juta (RM201 juta) menegaskan United akan bangkit semula.


"Sesi latihan kami minggu ini sangat baik dan kami mengharapkan keputusan positif dalam perlawanan itu nanti," katanya.


"Kami sedar sejarah kelab ini dan mereka banyak mencapai kejayaan menerusi semangat juang yang tinggi.

"Itu yang kami perlukan untuk mengalahkan Olympiakos dan melepasi halangan dalam Liga Juara-Juara.


"Seperti yang anda tahu, saya tidak boleh beraksi dalam Liga Juara-Juara musim ini tapi saya akan memberikan sokongan penuh kepada pasukan ini di Old Trafford seperti penyokong lain," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Klopp berang tengok latihan

Posted: 18 Mar 2014 01:49 PM PDT

Dortmund, Jerman: Jurulatih panas baran Borussia Dortmund, Juergen Klopp tidak membenarkan penyokong menyaksikan pasukannya berlatih minggu ini bagi memastikan tiada gangguan menjelang perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Zenit St Petersburg, awal pagi esok.

Klopp terpaksa menyaksikan perlawanan di tempat duduk penonton selepas beliau diarah meninggalkan padang ketika tumpas 1-2 kepada Borussia Moenchengladbach, Sabtu lalu iaitu kekalahan keempat liga buat Dortmund musim ini menjelang aksi Liga Juara-Juara.


Beliau perlu berkelakuan lebih baik minggu ini namun Dortmund sudah berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke suku akhir selepas menang selesa 4-2 pada pertemuan pertama di Russia bulan lalu.

Klopp tetap mempertahankan tindakannya berhubung insiden Sabtu lalu dengan menyatakan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan ketika mempersoal keputusan pengadil.


"Apabila anda bersama 80,000 penyokong yang bersemangat dan hanya seorang tidak memahaminya maka anda juga boleh dikenakan tindakan," kata jurulatih itu yang turut dibuang padang pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.


"Saya hanya menjerit 'kenapa anda tidak ambil tindakan?' walaupun saya mempersoal keputusannya dengan reaksi muka saya yang cukup terkenal ini," katanya.

Insiden Klopp dibuang padang dianggap sesuatu yang tidak diingini dalam pasukan bagaimanapun pemainnya kekal fokus mengejar sasaran utama selepas gelaran Bundesliga kini hampir pasti kekal di Munich.


"Kami mempunyai perlawanan penting Rabu ini dan masih belum sah ke pusingan seterusnya," kata pemain pertahanan Marcel Schmelzer. "St Petersburg pasti memberi tentangan hebat." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

'Pedulikan kritikan luar'

Posted: 18 Mar 2014 01:49 PM PDT

London: Pemain tengah Tomas Rosicky menegaskan Arsenal tidak akan mempedulikan pengkritik mereka ketika pasukan kendalian Arsene Wenger itu menyasarkan untuk kekal bersaing memburu kejuaraan Liga Perdana.

Perancang tengah dari Republik Czech itu meledak gol menakjubkan selepas hanya 72 saat di Tottenham Ahad lalu, yang terbukti memadai untuk memenangi pertembungan jiran setempat utara London itu di sebalik tekanan bertali-arus dilancar pasukan tuan rumah.


Wenger akan mengendalikan perlawanan ke-1,000 menentang Chelsea, Sabtu ini dengan pasukannya ketinggalan hanya empat mata di belakang pendahulu itu dan Arsenal beraksi kurang satu perlawanan.

Gunners bagaimanapun kekal antara pasukan yang mampu merangkul kejuaraan liga. Manchester City dua mata di belakang Arsenal dan Liverpool namun beraksi kurang dua perlawanan.


Rosicky bagaimanapun menceritakan keyakinan tinggi dalam kalangan skuad Arsenal, yang bertindak balas dengan baik berikutan kekecewaan disingkirkan Bayern Munich daripada cabaran Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu lalu.


"Anda tidak boleh pengaruhi apa orang sekeliling anda kata. Bukan bermakna saya tidak menghormati anda (media), tapi saya tidak kisah dengan apa yang anda katakan, jangan anggapnya negatif tapi beginilah caranya," jelas Rosicky.

Foto

"Apa yang diambil kira adalah turun ke padang dan memenangi perlawanan, jika tidak menang, jelas anda benar.


"Sejak saya berada di England dan bermain buat Arsenal, ini kali pertama saya menyaksikan empat pasukan secara asasnya bersaing merebut kejuaraan.

"Anda boleh saksikan betapa ia sukar diramal, kami kalah kepada Stoke (hujung minggu lalu), Chelsea tewas kepada Aston Villa (Sabtu lalu) dan setiap perlawanan amat penting buat setiap pasukan.


"Ia boleh berubah dengan pantas dalam dua perlawanan dan sudah tentu anda bercakap mengenai Chelsea dan City tapi anda juga tidak boleh ketepikan Liverpool," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

FA tolak tukar nama Hull Tigers

Posted: 18 Mar 2014 01:48 PM PDT

London: Hasrat pemilik Hull City, Assem Allam mengubah nama kelab itu kepada Hull Tigers musim depan mungkin tidak kesampaian apabila Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dinasihatkan ahlinya supaya menolak permintaan itu.

"FA mengesahkan ahli jawatankuasa (ajk) bermesyuarat pada 12 Mac lalu dan mengemukakan cadangan kepada Majlis FA supaya menolak permintaan Hull menukar nama kepada Hull Tigers bermula musim depan," menurut satu kenyataan dalam laman web FA semalam.


Cadangan itu kini akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Majlis FA 9 April ini namun Allam boleh mengemukakan satu lagi permohonan mengubah nama kelab Liga Perdana itu selepas 109 tahun.

Pemilik kelahiran Mesir yang membeli Hull pada 2010 selepas berjaya dalam perniagaan di kawasan itu, percaya perubahan kepada Hull Tigers mampu membantu meraih lebih banyak keuntungan namun cadangannya dibantah penyokong.


Allam pernah berkata, beliau akan meninggalkan kelab itu jika FA menolak permohonannya.


Hull berdepan kelab divisyen tiga Sheffield United pada separuh akhir Piala FA bulan depan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Gergasi Merah perlu motivasi

Posted: 18 Mar 2014 01:48 PM PDT

Kuala Lumpur: Barisan pemain Selangor memerlukan suntikan motivasi fizikal dan mental bagi memastikan mereka mampu memberikan saingan apabila turun menentang kelab Vietnam, Hanoi T&T hari ini.

Anak buah Mehmet Durakovic dibayangi masalah keletihan dan kecederaan selepas mengharungi jadual padat dalam kancah saingan domestik dan Piala AFC dengan aksi di Stadium Hang Day di Hanoi itu perlawanan ketiga mereka dalam lapan hari dengan seteru Liga Super, Kelantan menanti pada Sabtu.


"Jika menang, ia keputusan hebat, namun seri juga akan menggembirakan kerana saya mempunyai ramai pemain cedera. Situasi ini amat sukar buat kami kerana tidak mempunyai jumlah pemain yang ramai dan terpaksa memanfaatkan setiap individu.

"Kami akan cuba memberikan yang terbaik kerana sedar lawan mempunyai rentak bagus apabila meraih enam mata. Saya ada menonton dua perlawanan awal mereka menerusi rakaman video. Yang pasti, kami perlu berhati-hati," kata Durakovic yang masih gagal membimbing Selangor meraih kemenangan selepas mencatatkan dua keputusan seri dalam aksi Piala AFC sebelum ini.


Bercakap pada sidang media semalam, Durakovic menjelaskan tiga pemainnya iaitu Paulo Rangel, Andik Vermansyah dan Mohd Farizal Marlias masih belum pasti diturunkan selepas dibayangi kecederaan.


"Peluang ketiga-tiga pemain ini masih 50-50 dengan Mohd Bunyamin Omar dan S Kunanlan sedikit keletihan," kata Durakovic yang dijangka membuat beberapa perubahan pemain kesebelasan utama.

Sementara itu, Bunyamin yang juga kapten Merah Kuning mengakui mereka sedikit keletihan namun mahu memberikan aksi terbaik pada perlawanan ketiga peringkat Kumpulan F itu.


"Apa yang saya tahu jentera serangan Hanoi T&T amat berbahaya, kami perlu berhati-hati," katanya mengenai jentera serangan lawan yang sudah meledak lapan gol selepas dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Kekal aksi konsisten

Posted: 18 Mar 2014 01:47 PM PDT

Kuala Lumpur: Kemampuan menyapu tiga mata penuh ketika melayan kunjungan T-Team di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat lalu perlu diteruskan sehingga ke penghujung saingan Liga Super.

Nada tegas itu disuarakan pengendali PKNS FC Wan Jamak Wan Hassan yang mahu anak buahnya segera mempamerkan aksi lebih konsisten dan tersusun. "Kami tidak harus berasa puas dengan kemenangan ke atas T-Team kerana perjalanan liga masih jauh. Apa yang merisaukan saya, aksi pemain kadang kala tidak konsisten. "Selepas kemenangan ini, saya harap pemain akan lebih konsisten dan memungut seberapa banyak mata dalam baki perlawanan," katanya.


Beliau amat berpuas hati dengan prestasi beberapa pemainnya terutama di barisan pertahanan.

"Barisan pertahanan dilihat semakin baik. Saya begitu berpuas hati dengan aksi Mohd Helmi Remeli dan Hamka Hamzah yang bertahan dengan baik. Begitu juga dengan Shahrul Azhar Ture dan Muhd Khairu Azrin Khazali yang menunjukkan peningkatan.


"Cuma sekali lagi, saya agak kecewa penyerang gagal manfaatkan sebarang peluang. Ketiga-tiga gol kita bukan dijaringkan penyerang dan ini amat merisaukan.


"Saya akan cuba pertajamkan jentera serangan ketika latihan sebelum kami berangkat ke Singapura bagi membuat perhitungan menentang LionsXII, Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

No comments:

Post a Comment