Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Beasley buat surat bantahan

Posted: 07 Mar 2014 11:17 AM PST

Kuala Lumpur: Episod pembatalan jaguh pecut negara, Azizulhasni Awang di Kejohanan Berbasikal Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia hujung bulan lalu tidak berakhir begitu itu apabila ketua jurulatih negara John Beasley memutuskan untuk menghantar surat bantahan kepada Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Brian Cookson.

Isi kandungan surat itu yang melaporkan kecuaian serta mempertikaikan mutu pengadil UCI, dikatakan turut mendapat sokongan beberapa jurulatih negara lain yang juga mempersoalkan keputusan badan induk berbasikal itu sepanjang berlangsungnya Kejohanan Dunia berkenaan.


Beasley berkata, surat itu bertujuan mempersoalkan sistem pengadilan dan kecuaian UCI ketika membuat keputusan yang dianggap tidak adil sepanjang kejohanan itu berlangsung.

"Saya bersama beberapa jurulatih beberapa negara lain bersepakat untuk melaporkan kecuaian mereka. Ini Kejohanan Dunia dan kami mengharapkan mutu pengadilan yang bertaraf dunia.


"Bukan sekali tapi apa yang berlaku di Cali kali ketiga Azizul dibatalkan. Bagi saya, Azizul seperti menjadi mangsa kelalaian pengadilan.


"Kita tunggu saja apa yang berlaku selepas ini dan diharapkan akan ada tindakan daripada Presiden UCI," katanya. Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, beliau akan terlebih dulu meneliti laporan Beasley dalam masa terdekat ini.

Foto

Azizulhasni Awang

Naim berkata, PKBM akan berbincang mengenai tindakan yang perlu diambil selepas menerima laporan Beasley yang turut menggalas tugas sebagai pengurus pasukan di Cali.


"Beliau berada di sana semasa kejadian berlaku jadi tahu apa sebenarnya yang berlaku. PKBM akan menunggu laporannya dan selepas itu kita akan bincang bentuk tindakan yang boleh diambil," katanya.

Tiga penyertaan Azizulhasni dalam siri Piala Dunia dibatalkan sehingga mencetuskan persoalan terhadap mutu pengadilan ketika rakaman video jelas membuktikan dia tidak bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Spurs uji kekebalan Chelsea

Posted: 07 Mar 2014 11:01 AM PST

London: Keengganan pengurus Chelsea, Jose Mourinho meletakkan pasukannya sebagai pilihan utama memenangi kejuaraan Liga Perdana akan diuji lagi jika mereka menundukkan Tottenham Hotspur, awal pagi esok.

Blues tampil pada pertembungan di Stamford Bridge itu empat mata di depan Liverpool dan Arsenal, dengan Manchester City dua mata lagi di belakang di tangga keempat namun bermain kurang dua perlawanan.


Ketika tiada seorang pun pencabar terdekatnya beraksi dalam liga hujung minggu ini kerana Arsenal dan City terbabit dalam Piala FA manakala Liverpool tidak bermain, anak buah Mourinho sepatutnya mengambil kesempatan itu untuk mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

Pengurus itu bagaimanapun lebih mengutamakan tumpuannya terhadap cabaran musim depan apabila beliau menjangkakan kelab itu akan merekrut penyerang bertaraf dunia berikutan musim mengecewakan buat Fernando Torres, Samuel Eto'o dan Demba Ba.


Beliau pantas memberikan bayangan kuat penyerang AC Milan, Mario Balotelli berada di puncak senarai pemain dikehendakinya.


Kedua-duanya pernah bersama di Inter Milan sebelum penyerang Itali itu menyertai Manchester City dan Mourinho menegaskan beliau sedia bersatu semula dengan penyerang itu.

Foto

Jose Mourinho

"Dalam bola sepak, anda tidak tahu masa depan," kata Mourinho. "Balotelli berada di sebuah kelab besar ketika ini, tapi anda tidak tahu apa yang akan berlaku.


"Mereka mahu mengekalkan pemain terbaik terutama sekali pemain terbaik Itali. Tapi Mario pernah beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris sebelum ini.

"Saya tidak akan menjadi pengurus Milan atau pasukan kebangsaan Itali, tapi dia seorang budak baik dan seseorang yang saya suka bekerjasama dengannya sekali lagi." Kemenangan 3-1 Chelsea di Fulham sebelum ini mendapat inspirasi daripada hatrik Andre Schurrle, yang menjaringkan tiga gol dalam tempoh 17 minit pada babak kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

United perlu bangkit

Posted: 07 Mar 2014 10:59 AM PST

Birmingham, England: Manchester United bertandang ke West Brom malam ini bagi permulaan satu tempoh yang menentukan sama ada musim buruk mereka tidak boleh dikawal lagi.

Selain tersingkir pada separuh akhir Piala Liga menerusi penentuan penalti, anak buah David Moyes kalah enam perlawanan sejak awal tahun.


Keaiban terbaru hadir apabila kelab Greece, Olympiakos menang 2-0 pada perlawanan pertama, pusingan kedua Liga Juara-Juara pada 25 Februari lalu.

United tidak beraksi sejak itu namun mereka berdepan tempoh sibuk dalam beberapa minggu ini dan penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu tidak boleh melakukan sebarang kesilapan lagi.


Selepas perlawanan malam ini di The Hawthorns, mereka menanti kunjungan Liverpool dalam Liga Perdana sebelum perlawanan kedua menentang Olympiakos, manakala pertembungan jiran setempat menentang Manchester City hadir menjelang hujung bulan ini.


Bekas pemain tengah Chelsea, Juan Mata kini gembira dengan cara dia menyesuaikan diri dalam beberapa minggu pertama sejak tiba di Old Trafford Januari lalu.

"Saya berasa amat gembira. Kehidupan di Manchester bagus," - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

'Kami tak tertekan'

Posted: 07 Mar 2014 10:58 AM PST

London: Mathieu Flamini menegaskan Arsenal tidak akan terganggu dengan pertembungan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich minggu depan apabila mereka berdepan Everton pada suku akhir Piala FA malam ini.

Anak buah Arsene Wenger akan cuba mengatasi defisit 0-2 daripada perlawanan pertama apabila mereka berkunjung ke Arena Allianz hanya tiga hari selepas berdepan pasukan kendalian Roberto Martinez di Stadium Emirates, dengan pertembungan Liga Perdana menentang Tottenham menyusul hujung minggu depan.


Namun pemain tengah Perancis itu yakin Gunners boleh menangani jadual padat dan mengekalkan cabaran mereka dalam semua tiga pertandingan.

Dia juga sedar Piala FA menghadirkan peluang baik buat kelab itu untuk merangkul kejuaraan buat kali pertama sejak 2005.


Dalam kalangan pencabar Arsenal bagi kejuaraan Liga Perdana, hanya Manchester City masih kekal bersaing dalam piala dan berdepan ulangan final musim lalu menentang Wigan sehari selepas pasukan Wenger bertemu Everton.


"Piala FA satu lagi kejuaraan, ia satu lagi sasaran," jelas Flamini.

Foto

REAKSI pemain Arsenal selepas tumpas kepada Bayern pada perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

"Arsenal sudah lama memburu kejuaraan. Kami berjuang bagi setiap pertandingan. Saya bercakap mengenai Liga Perdana, Liga Juara-Juara.


"Sekalipun ia tidak mudah tapi kami akan ke Jerman, kami tidak rugi apa-apa dan kami akan memberikan segala-galanya.

"Piala FA satu lagi objektif jadi kami perlu bermain dengan 100 peratus dan dengan kualiti pasukan, saya yakin kami mempunyai pemain mencukupi untuk bermain semua pertandingan.


"Kami tahu ia perlawanan yang sukar, terutama tiga hari sebelum Liga Juara-Juara. Tapi jika anda pasukan ternama, anda perlu menerima hakikat ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Pellegrini terbaik!

Posted: 07 Mar 2014 10:57 AM PST

London: Sergio Aguero menyanjung Manuel Pellegrini sebagai pengurus sejati mengemudi pemburuan trofi Manchester City ketika pasukannya berazam membalas dendam pada Piala FA menentang Wigan.

Pellegrini mencetus impak besar di City sejak tiba dari Malaga tahun lalu dan beliau meraikan kejuaraan sulungnya dalam kancah bola sepak Inggeris hujung minggu lalu apabila menundukkan Sunderland pada final Piala Liga.


Kejayaan di Wembley itu mungkin yang pertama namun menjanjikan banyak lagi buat Pellegrini menurut Aguero, yang kagum dengan cara pengendali dari Chile itu menyuntik ketenangan ke kelab yang bergelut mengelak berita negatif di bawah bos terdahulu Roberto Mancini.

"Setiap pengurus berbeza dan Manuel lebih banyak bercakap dengan kami selain melayan setiap pemain sama rata," kata Aguero.


"Ini amat penting. Beliau menyatakan sesuatu yang memberikan motivasi kepada kami. Saya gembira kerana Piala Liga adalah trofi pertama buat Manuel.


"Kami pantas menyesuaikan diri dengan corak permainannya dan saya gembira beliau banyak memberi panduan." Cabaran Pellegrini berikutnya adalah membalas dendam satu daripada kekalahan memalukan dalam sejarah kelab itu pada final Piala FA tahun lalu di tangan Wigan. City akan berdepan kelab itu pada aksi suku akhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Misi benam Valladolid

Posted: 07 Mar 2014 10:22 AM PST

Madrid: Barcelona mungkin mampu mendapat rangsangan dengan kembali ke puncak La Liga hanya tiga hari sebelum menanti kunjungan Manchester City dalam Liga Juara-Juara menerusi kemenangan ke atas Valladolid di gelanggang lawan malam ini.

Kelab Catalunya itu ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Real Madrid, namun ketika Los Blancos tidak beraksi hingga awal pagi Isnin ini apabila mereka menjadi hos kepada Levante, Barca boleh menghuni semula kedudukan teratas sekurang-kurangnya buat 24 jam.


Juara Sepanyol itu berdepan satu lagi keresahan di luar padang apabila kapten Carles Puyol mengumumkan dia akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini.

Marc Bartra seorang daripada pemain yang akan mendapat faedah dengan pemergian Puyol kerana pemain berusia 23 tahun itu akan menjadi pemain utama di pertahanan tengah.


Bagaimanapun, dia menegaskan dia akan hilang sokongan dan dorongan Puyol ketika dia menuju puncak dalam ranking di Nou Camp.


"Dia banyak membantu saya di padang. Selepas setiap serangan lawan dia memberikan saya nasihat begitu juga selepas setiap perlawanan atau sesi latihan. Dia seorang yang amat penting bukan saja buat saya tapi seluruh pasukan," katanya.

Foto

BARTRA (kanan) bakal menjadi pemain utama di pertahanan tengah.

Bartra dijangka bermula dalam kesebelasan utama malam ini kerana Gerard Pique masih diketepikan berikutan kecederaan betis.


Bartra berazam untuk menggunakan setiap peluang diterimanya daripada bos Barca, Gerardo Martino.

"Saya sedar di mana saya berada iaitu dalam pasukan utama di Barcelona yang mana tiada siapa terjamin untuk memulakan perlawanan.


"Bersama jurulatih ini, tiada seorang pun dalam kalangan 20 pemain pasukan utama tahu sama ada kami akan memulakan perlawanan atau di bangku simpanan. Beliau mengurus dengan amat baik kerana setiap minggu anda berasa anda berpeluang untuk diturunkan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Juve tekad lunas dendam

Posted: 07 Mar 2014 10:20 AM PST

Milan: Juventus menerima kunjungan Fiorentina bagi perlawanan pertama daripada tiga pertemuan kedua-dua kelab itu dalam tempoh dua minggu dengan misi membalas dendam berada dalam benak fikiran mereka ketika pemburuan scudetto dengan AS Roma menuju fasa genting.

Juventus akan menjadi hos kepada La Viola dua kali dalam tempoh lima hari, pertemuan pertama pusingan ketiga Liga Europa selepas pertembungan Serie A esok, sebelum bertandang ke Florence bagi perlawanan kedua pada 20 Mac ini.


Pasukan juara kendalian Antonio Conte mendahului 11 mata di depan Roma yang beraksi kurang satu perlawanan dan menampilkan gandingan serangan terbaik liga Carlos Tevez (Gambar, 15 gol) dan Fernando Llorente (11), kedua-duanya sudah menjaringkan 26 gol antara mereka.

Di sebalik statistik itu, Llorente berkata, Bianconeri akan menjadikan kekalahan tunggal mereka setakat ini musim ini, 2-4 di tangan Fiorentina Oktober lalu, sebagai inspirasi bagi perlawanan pertama daripada tiga pertemuan itu.


"Kami mahu membalas dendam," kata Llorente. "Fiorentina satu-satunya pasukan yang menundukkan kami musim ini jadi kami perlu membuktikan apa yang berlaku di sana hanyalah satu kebetulan." Juventus tidak kalah sejak itu namun akan turun tanpa pemain tengah Andrea Pirlo kerana penggantungan sekalipun Conte boleh mengharapkan kekuatan bahagian tengah dianggotai Paul Pogba, Arturo Vidal dan Claudio Marchisio.


Vidal mencetus kebimbangan pada pertengahan minggu apabila dia dikeluarkan lebih awal kerana masalah otot ketika bermain buat Chile menentang Jerman, namun dia dijangka bermula dalam kesebelasan utama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Berlusconi nafi cari pembeli

Posted: 07 Mar 2014 09:51 AM PST

Milan: Pemilik AC Milan, Silvio Berlusconi menafikan laporan beliau mengarahkan jururunding mencari pembeli kelab gergasi Serie A itu.

Laporan Bloomberg awal kelmarin mendakwa Berlusconi, bekas Perdana Menteri Itali, mengarahkan syarikat kewangan Amerika, Lazard mencari pembeli berpotensi.


Bagaimanapun Berlusconi, yang menyaksikan Milan menang lima daripada tujuh kejuaraan Liga Juara-Juara di bawah pemilikannya yang bermula pada 1986 berkata, beliau tidak berhasrat menjual kelab itu. "Tidak, tidak, tidak," Berlusconi memberitahu wartawan apabila ditanya jika beliau mahu menjual Milan.

Syarikat Berlusconi, Fininvest, mengeluarkan kenyataan menafikan kebenaran laporan itu.


Kemudian, pada satu majlis di Milan, Berlusconi menjelaskan: "Saya mahu memberi kepastian kepada semua penyokong Milan, saya tidak berniat menjual kelab ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Dua muka baru perkuat ATM

Posted: 07 Mar 2014 09:42 AM PST

Kuala Lumpur: Tentera mempertaruhkan dua muka baru sebagai penyerang dalam pertemuan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur Kuantan malam ini.

Pemain yang menjadi pilihan jurulatih B Sathianathan itu ialah bekas pemain FELDA United Azrul Ahmad dan Riduwan Maon.


Menurutnya, mereka diberikan kepercayaan bagi menggantikan penyerang import Marlon Alex James dan Juan Manuel Arostegui yang terpaksa direhatkan kerana masih cedera.

Jika diturunkan kedua-dua pemain itu akan bergandingan dengan ketua pasukan Hairuddin Omar yang selalunya berpasangan dengan James dan Arostegui.


"Saya terpaksa menggunakan khidmat kedua-dua pemain itu dan berharap mereka mampu menggalas cabaran untuk meraih mata penuh," katanya.


Selain Azrul dan Riduwan, Gladiators akan mendapatkan khidmat simpanan skuad Harimau Malaya, Venice Elphi di bahagian sayap.

Gladiators juga akan diperkukuhkan dengan pemain tengah dari Argentina, Bruno Marteloto yang dibantu penolong ketua pasukan Rezal Zambry.


Amiridzwan Taj Tajuddin yang dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Uzbekistan, Velentin Kovalenko kerana menjatuhkan pemain Yaman, Sadam Hussein dalam aksi kelayakan Piala Asia akan mengetuai bahagian pertahanan.

Taj dibantu Nor Fazly Alias, Irwan Fadzly Idrus dan Affize Faisal Mamat serta penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein.


"Inilah gandingan yang dapat saya turunkan selepas mengambil kira senarai panjang pemain cedera ketika ini," kata Sathianathan.


Antara mereka yang berada dalam senarai kecederaan itu termasuk bekas pemain kebangsaan, K Ruben, Christe Jayaselan dan pemain pertahanan dari Australia, Spase Dilevski.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

No comments:

Post a Comment