Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ciuman selamat tinggal

Posted: 07 Mar 2014 11:41 AM PST

Beijing: Seorang lelaki yang dipercayai cuba melepaskan kura-kura peliharaannya dimasukkan ke hospital selepas binatang itu menggigit bibirnya ketika dia mencium haiwan itu.

Setakat ini tiada laporan mengenai keadaan lelaki berkenaan. Gambar kejadian itu dirakam rakan mangsa yang kemudian dimuat naik di Internet sebagai peringatan kepada pencinta haiwan peliharaan supaya mengutamakan keselamatan.


Ia mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman Weibo yang menyifatkan kejadian itu, sebagai 'ciuman selamat tinggal' daripada haiwan peliharaan berkenaan kepada tuannya.

Menurut laporan, kura-kura itu dari baka yang berbahaya dan berasal dari Amerika Utara.


Reptilia itu ditemui di Tasik Weishan yang terletak di selatan wilayah Anhui dan ia yang pertama seumpamanya ditemui di situ.


Kura-kura itu dianggap berbahaya kepada ekosistem China dan orang ramai diberi amaran supaya tidak melepaskannya secara sembarangan. - Agensi

Foto

GAMBAR dirakam rakan mangsa yang dimuat naik ke Internet.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Lelaki buta nyaris digilis kereta api

Posted: 07 Mar 2014 11:35 AM PST

Los Angeles: Seorang lelaki buta bernasib baik kerana masih hidup selepas terjatuh ke atas landasan kereta api ketika kenderaan itu hampir tiba ke stesen berkenaan.

Jurucakap Lembaga Pengangkutan Bandar Raya Los Angeles berkata, lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan apabila dia terus berbaring dan kereta api yang terpaksa brek mengejut itu berhenti betul-betul di atasnya.

"Syukurlah, kereta api berkenaan 'melanggar' lelaki terbabit tetapi dia tidak cedera," kata jurucakap LA Metro, Paul Gonzales ketika ditemui.

"Pada pandangan saya, ini adalah suatu keajaiban.


"Lelaki itu sangat bernasib baik kerana masih hidup," kata Paul.


Lelaki berusia 47 tahun itu terjatuh dari platform di stesen Wilshire dan Vermont yang terletak di Koreatown bandar berkenaan ketika kereta api Red Line terbabit menghampiri stesen berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Sanggup tiduri suami rakan

Posted: 07 Mar 2014 11:35 AM PST

Lagos: Seorang wanita bertindak keterlaluan apabila tidur dengan suami kawan baiknya kononnya untuk membuka mata wanita itu terhadap perangai sebenar lelaki terbabit.

Wanita berusia 42 tahun itu membuat keputusan itu selepas gagal meyakinkan sahabatnya suaminya kerap mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Hasilnya, wanita itu kini mengandung anak lelaki terbabit namun tidak berhasrat menggugurkan kandungannya kerana menganggap menganggap sudah tiba masanya dia menjadi ibu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Tangguh tarik perintah darurat

Posted: 07 Mar 2014 11:30 AM PST

Bangkok: Pihak berkuasa Thai menangguhkan keputusan sama ada untuk mengekalkan perisytiharan darurat di bandar raya ini selepas dua orang dilapor cedera dalam kejadian tembak-menembak di satu lokasi protes antikerajaan, semalam.

Menurut polis, dua yang cedera adalah pemandu teksi dan penumpangnya, wanita, selepas terkena tembakan dilepaskan dari Taman Lumpini yang kini menjadi lokasi tunggal penunjuk perasaan antikerajaan.

Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Paradorn Pattanathabutr berkata, pihaknya belum mencapai sebarang keputusan terhadap permintaan dikemukakan golongan peniaga Bangkok, sebaliknya akan menimbangkan semula minggu depan jika keadaan lebih baik.

"Kami akan membiarkan unit risikan tentera dan polis menimbangkan sama ada perintah darurat perlu diteruskan atau sebaliknya," katanya.

Foto

PENUNJUK perasaan melakukan demonstrasi di luar bangunan Shinawatra.


Kemelut politik Thai yang bermula sejak empat bulan lalu semakin memberi kesan terhadap pengguna serta industri pelancongan Bangkok.


Presiden Persatuan Hotel Thai Surapong Techruvichit, berkata, jumlah penginap dilihat menurun antara 20 hingga 25 peratus pada dua bulan pertama tahun ini berbanding 70 hingga 80 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berharap tempoh darurat selama 60 hari yang dikuatkuasakan pada 22 Januari lalu dihentikan untuk kebaikan semua peniaga Bangkok.

"Jika itu berlaku saya rasa kita mampu mendapat balik pelancong kita dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.

"Ini baik bukan saja untuk industri perhotelan malah semua jenis perniagaan," katanya.

Sementara itu, pihak tentera masih enggan campur tangan malah menggesa semua pihak berbincang secara baik.

Bagaimanapun, anggota tentera dilihat masih mengawal keadaan di pondok kawalan sehingga ditegur Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang bimbang keadaan itu lebih menakutkan pelancong.

Berikutan itu, pos kawalan dihiasi pasu berisi bunga merah jambu untuk "memberinya suasana lebih lembut," kata Major Jeneral Wara Boonyasit.

Yingluck semalam mengulangi keengganannya meletakkan jawatan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Polis Riau buru empat disyaki bakar hutan

Posted: 07 Mar 2014 11:26 AM PST

Riau: Polis melancarkan gerakan memburu empat orang disyaki melakukan pembakaran membersihkan tanah hutan di sini.

Ketua polis Riau Brigadier Jeneral Condro Kirono berkata, polis sedang menyiasat tujuh kes membabitkan kebakaran hutan dan ladang dengan satu daripadanya membabitkan sebuah syarikat.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat terbabit.

"Individu diburu adalah pelabur dan penjual kawasan diwartakan untuk pemuliharaan," katanya.


Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNCB) melaporkan 10,502 hektar tanah hutan di Riau dibakar mengakibatkan jerebu tebal di kawasan itu selain mengganggu kehidupan seharian.


Ketuanya Syamsul Maarif berkata, 99 peratus daripada kebakaran itu sengaja dilakukan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Tarikh pilihan raya semula belum pasti

Posted: 07 Mar 2014 11:26 AM PST

Hat Yai: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan beberapa tarikh untuk pilihan raya semula di wilayah selatan selepas penunjuk perasaan menghalang pengundian ketika proses pemilihan bulan lalu.

Pengerusi SPR Somchai Srisuttiyakon berkata, tarikh berkenaan bagaimanapun hanya akan diluluskan secara rasmi selepas mesyuarat suruhanjaya berkenaan yang akan diadakan Selasa ini.

Setakat ini, suruhanjaya itu merancang mengadakan pilihan raya semula di Narathiwat, Yala dan Pattani pada 5 April manakala Satun, Nakhon Si Thammarat, Phuket, Phangnga, Chumphon dan Ranong pada 26 April ini.

Keputusan itu dicapai di sebuah seminar di Hat Yai, di mana pihak SPR menemui wakil parti politik terbabit bagi membincangkan isu berkenaan.


Kerajaan sementara turut meminta suruhanjaya itu mengadakan pilihan raya semula di 28 kawasan di selatan Thai yang tidak dapat mengadakan pemilihan pada 2 Februari disebabkan semua calon dihalang mendaftarkan diri.


SPR masih belum memutuskan tarikh untuk pilihan raya semula di 28 kawasan itu yang kebanyakannya dikuasai Parti Demokrat.

Buat masa ini, agensi berkenaan menunggu mahkamah membuat keputusan sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk menetapkan tarikh baru pilihan raya di kawasan terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

PDI-P, Gerindra, Golkar dahului parti lain

Posted: 07 Mar 2014 11:26 AM PST

Jakarta: Hasil tinjauan Pusat Kepemimpinan Kebangsaan (NLC) menunjukkan PDI Perjuangan, Gerindra dan Golkar adalah tiga parti politik paling popular menjelang pilihan raya umum 9 April ini.

Pengarah Urusan NLC Taufik Bahaudin berkata, daripada 2,020 responden ditemui, 31 peratus memilih PDI Perjuangan manakala 23 peratus lagi Gerindra dan 17 peratus Golkar.

"Hasil tinjauan dilakukan secara rambang pada akhir Januari lalu, jelas parti pembangkang mendapat tempat di hati rakyat," katanya.

Menurutnya, keadaan ini mungkin dipengaruhi pandangan masyarakat terhadap prestasi parti pemerintah yang dianggap tidak memuaskan kerana tidak membawa pembangunan atau peningkatan lebih positif untuk Indonesia.


"Malah ada yang berpendapat keadaan kini lebih buruk berbanding tahun sebelumnya," katanya.


Selain itu, Hanura terletak di tangga keempat dengan enam peratus disusuli Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dengan lima peratus.

"Parti pemerintah Demokrat hanya dipilih empat peratus responden.

"Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Amanat Nasional (PAN) masing-masing dipilih dua peratus responden manakala hanya satu peratus memilih NasDem," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

'Bahaya' jika Jokowi, Prabowo tak bertanding

Posted: 07 Mar 2014 11:25 AM PST

Jakarta: Pemerhati politik Romo Franz Magnis Suseno menjangkakan konflik akan meletus jika Jokowi dan Prabowo tidak dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

"Saya berharap tidak ada kekerasan kerana setiap pilihan raya berjalan lancar baik selama ini, melainkan ada pihak membuat hal yang boleh menghalang prosesnya.

"Bagaimanapun, jika Jokowi dan Prabowo tidak dicalonkan menjadi presiden, keadaan mungkin lebih berat," katanya dalam perbincangan bertajuk 'Mengarahkan Haluan Politik Indonesia Pasca-Reformasi' di Jakarta, baru-baru ini.

Menurutnya tanda tanya akan timbul jika Jokowi dan Prabowo tidak dicalonkan kerana mereka dianggap dua tokoh politik yang paling ramai penyokong.


"Orang ramai melihat dua tokoh itu sangat popular jadi kegagalan mereka dicalonkan pasti menimbulkan syak bahawa wujud manipulasi supaya mereka tidak dipilih," katanya.


Indonesia akan mengadakan pilihan raya umum pada 9 April depan sementara pilihan raya presiden dijadual berlangsung 9 Julai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Tidak endah amaran AS

Posted: 07 Mar 2014 11:25 AM PST

Moscow: Presiden Vladimir Putin tidak mengendahkan amaran Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama mengenai pencerobohan tentera Moscow di Crimea.

Putin menyatakan Russia tidak boleh mengabaikan rakyatnya yang berada di Ukraine apabila mereka meminta bantuan.

Selepas perbualan telefon selama sejam, Putin membuat kenyataan yang Moscow dan Washington berbeza pendapat mengenai keadaan yang berlaku di bekas republik Soviet yang katanya dikuasai secara tidak sah pihak berkuasa yang baru.

"Rakyat Russia yang berada di sana meminta bantuan dan kami tidak akan mengabaikannya dan tindakan diambil sejajar dengan peraturan antarabangsa," kata Putin

Foto

PENDUDUK di Simferopol melintas sepanduk yang dipasang aktivis pro-Russia di luar Parlimen Crimea, semalam.


Konfrontasi terburuk sejak Perang Dingin berakhir berpunca daripada penggulingan Presiden Viktor Yanukovich selepas protes ganas di Kiev berlaku bulan lepas bertambah buruk kelmarin apabila Parlimen Crimea yang dikuasai etnik Russia memutuskan untuk menyertai Russia.


Wilayah itu bakal mengadakan pungutan suara pada 16 Mac.

Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan Obama mengecam pungutan suara itu dan menyifatkannya sebagai tidak sah dan mengatakan ia bakal melanggar perlembagaan Ukraine.

Ketua Parlimen tertinggi Russia berkata, Crimea berhak menentukan nasib sendiri dan mengelak risiko peperangan antara dua negara 'bersahabat' itu.

Sebelum menghubungi Putin, Obama mengumumkan sekatan pertama ke atas Russia sejak krisis bermula dengan mengharamkan visa dan pembekuan aset ke atas mereka yang identitinya belum didedahkan. Mereka didakwa mengancam keselamatan Ukraine.

Jepun menyokong pendirian berkenaan dan menyifatkan tindakan Russia sebagai ancaman kepada keselamatan dan keamanan antarabangsa, selepas Obama menghubungi Perdana Menteri Shinzo Abe.

China yang menjadi sekutu rapat Russia dalam mengekang pengaruh Barat di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil langkah berhati-hati dengan berkata sekatan ekonomi bukan cara terbaik menyelesaikan krisis. Ia juga mengelak membuat kenyataan mengenai pungutan suara bagi pemisahan Crimea.

Kesatuan Eropah yang menjadi rakan kongsi ekonomi terbesar Russia, membuat perancangan dengan tiga langkah untuk mendesak penyelesaian secara perundingan dan mengelakkan sekatan.

Brussels dan Washington juga segera mengumumkan bantuan dari sudut pentadbiran dan kewangan bagi mengukuhkan pihak berkuasa yang baru di Ukraine. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

Presiden Palestin enggan iktiraf Israel

Posted: 07 Mar 2014 11:22 AM PST

Gaza: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata beliau tidak akan mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi dan tidak akan menerima ibu negara Palestin di dalam wilayah Israel.

Kenyataan pemimpin Palestin itu menggambarkan jurang antara beliau dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu masih luas selepas rundingan tujuh bulan yang diusahakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.

Kenyataan Mahmoud itu disiarkan agensi berita Palestin, WAFA semalam.

Ketika bercakap kepada aktivis belia parti Fatah, Mahmoud berkata, beliau tidak akan berganjak daripada pendiriannya menolak tekanan antarabangsa supaya rakyat Palestin mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi.


"Mereka mendesak dengan mengatakan "keamanan tak mungkin tercapai tanpa negara Yahudi". Itu mustahil dan kami tak akan terima." katanya.


Netanyahu sebelum ini berkata, pengiktirafan itu perlu sebagai bukti rakyat Palestin benar serius untuk berdamai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08

No comments:

Post a Comment