Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Semangat membara kapten Azlan

Posted: 12 Mar 2014 10:37 AM PDT

Ipoh: Azlan Misron yang dilantik semula selaku kapten skuad negara di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menegaskan dia serta rakan sepasukan sudah sedia untuk mengutip tiga mata pertama dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah, bertemu Afrika Selatan hari ini.

Meskipun sedar beban digalasnya cukup berat kerana perlu menjadi pemimpin kepada rata-rata muka baru yang tidak mempunyai pengalaman bersaing dalam edisi ke-23 itu, Azlan tetap percaya barisan pemain muda yang menjadi pilihan Dhaarma sudah matang dan cukup bersedia untuk diturunkan pada perlawanan berkualiti tinggi.

"Walaupun barisan pemain kali ini dilihat jauh berbeza berbanding sebelum ini, saya tetap percaya mereka yang dipilih jurulatih tidak mempunyai masalah besar beraksi perlawanan kompetitif.

"Ini kerana mereka semua sudah mempunyai pengalaman luas pada saingan peringkat remaja termasuk di Piala Dunia.

Foto

DHAARMA (kiri) bersama Azlan ketika menjawab soalan wartawan.


"Asalkan kesemua mereka dapat bermain secara satu pasukan, saya yakin mereka mampu memikul tugas sebelum ini yang dipikul barisan pemain senior," katanya pada sidang media semalam.


Azlan berkata, muka baru yang dipilih Dhaarma harus membuktikan sifat kematangan mereka seawal perlawanan pertama bertemu Afrika Selatan, hari ini.

"Yang penting bagi pasukan negara setiap pemain perlu beraksi konsisten setiap perlawanan.

"Saya tidak fikir tahap persefahaman antara senior dan pemain muda akan menjadi masalah kerana mereka sudah mendapat persefahaman itu ketika sesi latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

'Setiap pemain ada kelebihan tersendiri'

Posted: 12 Mar 2014 10:32 AM PDT

Ipoh: "Setiap pemain yang saya pilih berkualiti."

Demikian kenyataan ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang beranggapan setiap pemain yang dipilihnya untuk menyertai kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula hari ini, mempunyai kelebihan masing-masing.

Dhaarma mengambil keputusan berani apabila menyenaraikan rata-rata barisan pemain muda pada kejohanan jemputan yang memasuki edisi ke-23 itu sambil merehatkan beberapa pemain utama termasuk bekas kapten pasukan Shahrun Nabil Abdullah.

Keputusan Dhaarma itu dilihat cukup berisiko ketika Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran untuk mara ke pentas final sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu.

Foto

AKSI skuad negara ketika menentang Kanada, baru-baru ini.


Namun pengendali berusia 45 tahun itu mempunyai alasan tersendiri dan tidak mahu ambil pusing dengan keputusan yang dikatakan drastik itu.


"Kalau pemain yang tiada kualiti memang saya tinggalkan.

"Tapi kalau anda lihat semula barisan pemain yang saya pilih, mereka sudah mempunyai pengalaman luas.

"Ada yang pernah beraksi pada Piala Remaja Asia ketika kita menjadi juara dan beraksi di Piala Dunia tahun lalu.

"Tapi kalau mereka sendiri tidak dapat beraksi dengan baik, apa saya boleh buat," katanya ketika ditemui pada sidang media semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Australia tekad kekal kejuaraan

Posted: 12 Mar 2014 10:30 AM PDT

Ipoh: Australia tanpa berselindung menyatakan hasrat mereka untuk sekali lagi muncul juara kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bermula hari ini, sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

Untuk membuktikan kesungguhan itu, mereka membawa barisan pemain terbaik yang rata-ratanya dijangka diturunkan pada saingan Piala Dunia yang akan berlangsung di The Hague, Belanda, pada Mei nanti.

Pengurus pasukan Martin Ferrari berkata, Piala Sultan Azlan Shah sentiasa memberikan kenangan istimewa kepada mereka dan atas faktor itu, Australia tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

"Hoki seperti sukan lain, memang tidak boleh dijangka keputusannya kerana kadang kala hala tuju perlawanan itu hanya akan ditentukan pada saat-saat akhir.

"Kami pernah melaluinya pada tahun lalu iaitu ketika bertemu Malaysia pada aksi final.

"Kami harap dapat pulang sebagai juara sekali lagi.

Ketika ini kami sedang melakukan persiapan untuk ke Piala Dunia dan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ini cukup penting untuk menguji setiap pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

FAM perlu lebih masa siasat insiden terowong Larkin

Posted: 12 Mar 2014 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kes terowong Larkin itu memerlukan penelitian dan mungkin membabitkan ramai saksi, jadi perlukan sedikit masa."

Itu alasan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Taufek Abdul Razak ketika menepis dakwaan jawatankuasa itu melengah-lengahkan perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan insiden pergaduhan dalam terowong Larkin.

Selepas lebih sebulan insiden pergaduhan membabitkan pemain dan pegawai T-Team serta Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin berlaku, kes itu masih belum ada penyelesaian.

FAM mengeluarkan surat pertuduhan kepada Johor DT menerusi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) atas kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan di bawah Artikel 28.1 dan pihak pengurusan skuad Harimau Selatan itu kemudian menjawab surat pertuduhan berkenaan Isnin lalu.

Taufek mengesahkan beliau masih belum meneliti surat penjelasan Johor DT itu dan menjangkakan kes terowong Larkin itu akan dibicarakan minggu depan selepas beberapa lagi kes yang lebih awal diselesaikan.

"Jawatankuasa Tatatertib akan bermesyuarat esok (hari ini) tapi tidak membincangkan mengenai kes terowong Larkin.

Saya belum melihat surat penjelasan Johor DT itu dan mungkin saya akan meneliti surat itu esok (hari ini).

Jawatankuasa Tatatertib perlu menyelesaikan beberapa kes lain dulu dan saya jangka kes terowong Larkin ini akan dibawa pada mesyuarat minggu depan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan mengendalikan kes itu dengan telus dan tidak teragak-agak mengheret mana-mana individu yang terbabit dalam insiden itu.

"Siapa yang terbabit kami akan panggil, tiada pengecualian," tegasnya.

Kontroversi tercetus di Stadium Larkin apabila didakwa berlakunya pergaduhan dalam terowong ketika pemain dan pegawai Johor DT dan T-Team menuju ke bilik persalinan selepas tamat babak pertama dengan pasukan tuan rumah mendahului 2-1.

The Titans bertindak menarik diri daripada babak kedua perlawanan selepas mereka mendakwa pemain import Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari pegawai tertinggi Johor DT.

Sementara itu, Taufek mengesahkan Jawatankuasa Tatatertib akan bersidang hari ini untuk membicarakan kes salah laku penyokong membabitkan enam pasukan antaranya Pahang, Kedah, Perak dan Sarawak yang bertindak membakar suar dan mercun, membaling bom asap, menceroboh ke dalam stadium serta menghina FAM dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia.

Selepas kes itu, Jawatankuasa Tatatertib sekali lagi akan bermesyuarat bagi membicarakan kes penyerang import Johor DT Pablo Aimar dan Luciano Figueroa yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pertahanan Pahang dari Jamaica, Damion Stewart selain kes pergaduhan penyokong Pahang dan Johor DT di luar Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari lalu dan insiden penyokong Johor DT didakwa memecahkan cermin kereta pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad, Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

'Kita perlu realistik'

Posted: 12 Mar 2014 10:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun berpendapat walau sesiapa saja yang menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Datuk K Rajagopal, baik jurulatih import mahupun tempatan, ia tetap tidak akan membawa impak mendalam terhadap prestasi Harimau Malaya.

"Bagi saya, kita perlu realistik dengan melihat kemampuan pemain yang kita ada ketika ini. Jika kita ambil jurulatih luar yang hebat sekalipun, belum tentu beliau dapat membawa kesan dan impak kepada pasukan kebangsaan.

"Siapapun dilantik nanti, saya rasa tidak banyak yang beliau mampu lakukan. Jangan letakkan harapan terlalu tinggi terhadap jurulatih itu kerana standard pemain kita sebenarnya hanya di peringkat rantau ini.

"Apa yang lebih penting dan mustahak, generasi akan datang, maksud saya kita seharusnya memikirkan soal pembangunan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pertandingan Bola Sepak Kewangan 2014, di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam.

Foto

CHIN Aun (duduk kiri) bersama Zaquan mencuba permainan aplikasi online "Visa Financial Football" sambil disaksikan Pengurus Besar Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit, Azman Hashim (berdiri kanan) dan Pengarah Pembangunan Peniagaan VISA Malaysia, Ng Koon Boon (berdiri kiri).

Foto

TEONG Kim pernah melatih skuad B-19 Bayern.

Foto

O'LEARY disenarai pendek FAM sebagai calon jurulatih Harimau Malaya.


Arena Metro kelmarin melaporkan FAM sudah menyenarai pendek enam jurulatih asing termasuk dua calon baru membabitkan bekas pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United dan Aston Villa, David O'Leary serta jurulatih berbangsa Itali, Fabio Lopez.


Selain dua jurulatih itu, FAM turut mengintai empat calon lain - Peter Reid (bekas jurulatih Thailand), Bob Houghton (bekas jurulatih China), Zdenek Zemen (bekas jurulatih AS Roma) dan Marcel Desailly (bekas pemain kebangsaan Perancis).

"Seharusnya kita perlu mencari jurulatih yang hebat untuk peringkat akar umbi bukannya senior. Bila kita ada bakat yang bagus, saya yakin impian melangkah ke pentas lebih tinggi akan tercapai," katanya.

Chin Aun, 62, yang juga dikenali sebagai Tauke berkata, beliau memuji usaha dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta FAM dalam mewujudkan Projek Pembangunan Bola Sepak Malaysia.

"Pada saya pemilihan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Malaysia itu amat tepat. Teong Kim memiliki pengalaman di samping ilmu yang banyak dalam membimbing sesebuah pasukan.

"Saya harap janganlah ada mana-mana pihak yang mengganggu tugas Teong Kim. Biar beliau buat kerja dan saya yakin kita akan dapat melihat kelompok pemain muda berbakat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang," katanya.

Teong Kim yang juga bekas pemain kelab Hertha Berlin 87 dalam kancah Bundesliga pernah menjadi pembantu jurulatih skuad bawah 19 tahun Bayern Munich selama enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Zaquan rindu sarung jersi Harimau Malaya

Posted: 12 Mar 2014 10:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak mahu merampas kembali tempatnya dalam skuad Harimau Malaya selepas hampir setahun disisihkan akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, kecederaan lutut kirinya beransur pulih dan berharap mampu beraksi buat Johor Darul Ta'zim II (JDT II) secepat mungkin.

"Tulang rawan saya semakin pulih dan memerlukan sedikit masa lagi sebelum boleh beraksi kembali.

Ketika ini saya sudah mula menjalani latihan ringan di ISN (Institut Sukan Negara) di bawah pemantauan mereka.

"Doktor menasihatkan saya bersabar kerana perlu tunggu tulang itu tumbuh kembali.


Saya tidak boleh nyatakan tempoh sebenar akan pulih sepenuhnya, tapi yang pasti, saya sudah turun berlatih.


"Sudah semestinya saya mahu kembali menyarung jersi negara.

Sebelum ini saya sudah lama beraksi buat negara, jadi memang sedikit janggal apabila hanya boleh melihat rakan lain bermain.

Saya yakin boleh kembali merebut tempat," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pertandingan Bola Sepak Kewangan 2014, di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam.

Zaquan yang terpaksa berehat panjang selepas pembedahan pada April tahun lalu, mengakui saudara kembarnya yang juga ketua pasukan skuad kebangsaan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak banyak memberi semangat kepadanya untuk kembali pulih dan bermain seperti dulu.

"Dia banyak memberi dorongan kepada saya, malah tanggungjawab dipikulnya sebagai kapten pasukan negara membuatkan saya lebih bersemangat untuk kembali merebut tempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Gah di laman sendiri

Posted: 12 Mar 2014 10:21 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan menampilkan aksi sebenarnya hanya selepas 67 minit perlawanan ketika menewaskan South China 2-0 dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Persembahan The Red Warriors (TRW) sebelum itu nyata kurang menyengat apabila ketua jurulatih Steve Darby tidak menyenaraikan empat tonggak dalam kesebelasan utama dengan Mohamad Ghaddar, Mohamed Shawky Aly, Mohd Badhri Radzi dan Nik Shahrul Azim Ab Halim memanaskan bangku simpanan.

Begitupun, sejurus babak pertama bermula, tuan rumah terlebih dulu dilihat mengasak kubu pelawat menerusi gerakan satu dua membabitkan penyerang import Francis Forkey Doe dengan Khairul Izuan Rosli namun pemain sayap, Tengku Hasbullah Raja Hassan gagal melepaskan rembatan tepat ke gawang lawan.

Empat minit berselang, giliran South China pula mengatur gerakan dan mengucar-kacir pertahanan Kelantan sehingga memberi ruang kepada penyerang import pasukan pelawat, Sasa Kajkut melepaskan rembatan dalam kotak penalti namun tersasar.

Foto

GHADDAR (kiri) berjaya menewaskan Hung Fai untuk gol kedua Kelantan.


Minit ke-26, giliran tuan rumah berpeluang memecah kebuntuan menerusi sepakan sudut Tengku Hasbullah namun percubaan pemain tengah, Amar Rohidan tersasar melepasi palang gol.


Wan Zaharul Nizam Zakaria bagaimanapun hampir menjaringkan gol pada minit ke-53 selepas menerima umpanan Forkey Doe, namun percubaan leretnya dalam kotak penalti sedikit tersasar ke kanan gawang.

Kemasukan Mohd Badhri, Shawky dan Ghaddar pada minit ke-67 menggantikan Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbullah dan Khairul Izuan mengubah terus rentak permainan Kelantan dengan jentera serangan gergasi Pantai Timur itu mula menyengat.

Perubahan percaturan itu menyaksikan Wan Zaharul Nizam atau Kecik memecah kebuntuan pada minit ke-71 hasil gerakan Ghaddar dan Shawky sekali gus menceriakan kira-kira 4,000 penyokong tuan rumah.

Kelantan terus mengukuhkan kedudukan apabila Ghaddar menjaringkan gol kedua tuan rumah yang menewaskan penjaga gol South China, Yap Hung Fai selepas menerima hantaran Badhri untuk kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Silap undang padah

Posted: 12 Mar 2014 10:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic kecewa dengan kegagalan Merah Kuning meraih tiga mata dalam saingan Piala AFC apabila diikat kelab Maldives, Maziya Sports & Recreation 1-1 kelmarin.

"Kami seharusnya mendapat tiga mata, namun satu kesilapan mengundang padah walaupun pemain bekerja keras (memburu kemenangan).

"Kami mendapat banyak peluang pada separuh masa pertama, seharusnya kedudukan sudah 3-0 (memihak Selangor) pada 45 minit pertama," kata pengendali dari Australia itu.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal babak kedua selepas penjaga gol Mohd Hamsani Ahmad dilayangkan kad merah kerana mengasari Assadhulla Abdulla dalam kotak penalti pada minit ke-50 yang disusuli sepakan penalti Ahmed Mohamed untuk kedudukan 1-1 apabila penjaga gol gantian, Mohd Farizal Marlias, tertewas.

Jaringan itu menafikan ledakan separuh masa pertama Selangor yang dilakukan pemain pertahanan, Steve Pantelidis pada minit ke-42.

Namun pengendali itu jelas tidak menyalahkan anak buahnya apabila menyifatkan mereka sudah memberikan yang terbaik terutamanya ketika beraksi dengan 10 pemain menentang lawan yang bersungguh-sungguh memburu gol kemenangan.

Sementara itu jurulatih Maziya Ismail Mahefooz berkata, mereka seharusnya meraih tiga mata penuh walaupun Selangor lebih kuat pada perlawanan yang berlangsung di Stadium National, Male itu.

"Punca utama kegagalan kami meraih kemenangan adalah beberapa pemain utama tidak beraksi dengan maksimum.

Saya kecewa dengan keputusan ini kerana kemenangan di laman sendiri amat penting," katanya.

Selangor dijadualkan tiba hari ini akan kembali menyambung saingan dalam kancah Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini, disusuli menentang kelab Vietnam, Hanoi T&T di Hanoi pada Rabu depan.

Foto

PEMAIN import Selangor, Paolo Rangel (kiri) gagal temui penyudah ketika menentang Maziya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Perak sedia uji import

Posted: 12 Mar 2014 10:14 AM PDT

Ipoh: Perak sudah menyenarai pendek beberapa pemain dalam usaha mereka memburu penyerang import berwibawa bagi memantapkan skuad Bos Gaurus dalam kancah Liga Super musim ini.

Pengurus pasukan Datuk Azhar Ahmad yang mengakui usaha mendapatkan pemain itu hasil kerjasama dengan kelab penyokong dan individu tertentu berkata, pemain berkenaan akan menjalani ujian dalam tempoh terdekat ini.

"Beberapa pemain dari Korea Selatan, Indonesia, Vietnam dan Thailand akan diuji.

Mereka antara calon yang dirasakan boleh membantu meningkatkan kemampuan Perak dalam baki kempen musim ini.

"Saya yakin kumpulan pemain yang datang untuk diuji kali ini lebih berkualiti kerana masih terbabit dengan liga di negara tertentu.

Saya faham kebimbangan penyokong melihat pencapaian pasukan dalam perlawanan setakat ini dan berasa perlunya untuk mencari penyelesaian," katanya.

Menurut Azhar, kehadiran pemain terbabit di Ipoh tidak lagi melalui ejen sebaliknya melalui kenalan serta orang perseorangan.

Beliau gembira dengan kerjasama dan pembabitan secara langsung kelab penyokong bagi mencari penyerang import berwibawa itu.

Perak begitu terdesak untuk mendapatkan penyerang berwibawa selepas dua pemain, Zelemir Terkes dan Eliel Da Cruz Gordiano gagal memberi sumbangan bermakna.

Malah Terkes memilih haluan berbeza untuk menyertai sebuah pasukan Liga Super Indonesia (ISL) manakala pemain dari England, Nathan Ellington@Jamal yang dibawa pulang bersama dari Palembang sejak 2 Mac lalu nyata tidak memenuhi piawaian pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Jalal tekad rampas posisi bek kanan

Posted: 12 Mar 2014 10:14 AM PDT

Kuantan: Selepas terpinggir sekian lama, pemain veteran Pahang, Jalaluddin Jaafar berharap dapat kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

Sepanjang dua bulan skuad Tok Gajah dilatih Ronald Smith, nama Jalaluddin seolah-olah dilupakan apabila posisi miliknya itu dikuasai sepenuhnya pemain muda Mohd Saiful Nizam Miswan dan Mohd Razman Roslan.

"Saya kini terpaksa bersaing untuk merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama.

Peluang untuk turun beraksi sebelum ini seperti tertutup rapat, namun saya harap ia akan terbuka kembali selepas ini.

"Jurulatih (Zainal) mungkin dapat memberikan peluang kepada saya turun selepas ini kerana saya ingin buktikan yang kudrat saya masih kuat dan mampu bersaing dengan pemain muda, sama seperti musim lalu," katanya, semalam.

Jalaluddin berkata, dia tidak pasti apa yang menyebabkan namanya tercicir daripada kesebelasan utama sebelum ini namun, sebagai pemain dia akur dengan keputusan jurulatih.

Katanya, pada usia mencecah 38 tahun, dia masih lagi cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan dan hanya penilaian jurulatih yang memisahkannya dengan kesebelasan utama.

"Saya menaruh keyakinan penuh Zainal akan memberi peluang kepada saya.


Sebelum bersara musim depan, saya ingin terus menabur bakti kepada Pahang.

"Saya yakin Zainal mampu menggalas cabaran untuk membawa kami ke landasan sebenar seperti 2004 ketika Pahang menjulang piala Liga Super," katanya yang berharap misi Tok Gajah meraih kejayaan berganda musim ini akan menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

No comments:

Post a Comment