Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Gempar bom atas rumput

Posted: 18 Mar 2014 11:22 AM PDT

Kapar: "Saya terkejut apabila melihat sesuatu seperti bom berada atas rumput berdekatan kedai saya. Bimbang bom berkenaan meletup, saya terus menghubungi polis," kata seorang lelaki mengenai penemuan sebutir bom tangan di persimpangan Jalan Klang Sentral/KU5 di sini, semalam.

Beliau yang enggan dikenali berkata, bom berkenaan dipercayai diletakkan individu tidak dikenali malam kelmarin sebelum ditemui pagi semalam.

Menurut lelaki itu, sebelum dia menutup kedai kelmarin, tiada sebarang objek yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

Penemuan bom tangan atas rumput yang ditutupi pelepah pokok pinang itu membuatkan pengunjung dan orang ramai yang berada di kawasan itu gempar.

Foto

BOM tangan diletupkan UPB, semalam.


Ini kerana picu bom tangan berkenaan sudah ditarik individu tertentu, namun keadaan komponen berhampiran picu yang berkarat menyebabkan objek kecil berhampiran picu tidak terpelantik, sekali gus menghalang ia daripada meletup.


Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10 pagi sebelum sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebutir bom tangan yang dipercayai dibawa dari luar negara ditemui dan ia didapati sudah ditarik picunya menyebabkan anggota polis terpaksa meletakkan benteng pasir sebagai langkah keselamatan.

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dipanggil dan memaklumkan bom berkenaan perlu diletupkan.

"Pemeriksaan pegawai dan anggota UPB mendapati picu bom tangan berkenaan sudah ditarik namun ia tidak meletup kerana terdapat komponen pada bom terbabit berkarat.

"UPB menggunakan alat kawalan jauh kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk meletupkan bom tangan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, setakat ini, polis akan mengambil keterangan daripada pemilik kedai berhampiran tempat kejadian untuk mengumpul bukti dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

3 ahli 'Macau Scam' perdaya nenek tumpas

Posted: 18 Mar 2014 11:17 AM PDT

Subang Jaya: Tiga ahli sindiket 'Macau Scam' yang menyamar sebagai pegawai bank berjaya diberkas polis, Sabtu lalu, selepas menipu seorang nenek supaya memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta.

Suspek yang berusia 30-an dikesan berjaya memperdaya mangsa berusia 68 tahun itu dengan mendakwa kononnya kad kredit mangsa digunakan individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, ahli sindiket terbabit menghubungi mangsa dengan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai di sebuah bank terkemuka.

"Dalam perbualan itu, suspek mendakwa mangsa mempunyai hutang kad kredit dengan bank berkenaan.


"Suspek mendakwa ada individu menyamar dan menggunakan identiti mangsa untuk memohon kad kredit dan menggunakannya," katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.


Menurutnya, mangsa diarah menghubungi seorang lagi pegawai didakwa bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pemindahan wang dilakukan segera.

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek akur memindahkan semua wang simpanannya ke akaun bank diberikan suspek sebelum menyedari ditipu," katanya.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan tiga suspek warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Maut lepas 16 jam jatuh

Posted: 18 Mar 2014 11:16 AM PDT

Shah Alam: Seorang budak perempuan berusia tiga tahun maut akibat pendarahan dalam kepala selepas 16 jam mangsa terjatuh di dalam bilik air di rumah bapa saudaranya di Taman Air Manis, Sabak Bernam, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, insiden itu hanya disedari bapa saudara mangsa berusia 17 tahun selepas menemui mangsa dalam keadaan separuh sedar di dalam tandas berkenaan.

Bagaimanapun mangsa tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan berikutan didakwa pulih.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa didapati, muntah-muntah sebelum mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan namun mangsa disahkan mati kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Buka tujuh kuadran

Posted: 18 Mar 2014 11:06 AM PDT

Sepang: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan usaha kini memberi tumpuan mencari pesawat dan tidak mahu pelbagai spekulasi mengganggu gerakan terbabit.

Baginya, gerakan mencari berdepan dengan situasi yang sukar, malah semua pemimpin sama ada kuasa besar atau pemimpin ASEAN mengatakan insiden ini sangat unik, sukar dijangka, rumit dan kompleks.

Berikut sedutan sidang media harian yang diadakan semalam.

Foto

HISHAMMUDDIN bersama Anifah dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 di dua koridor

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memasuki dimensi antarabangsa, namun Malaysia masih mengetuai dan menyelaras operasi berkenaan.

Tetapi, beberapa negara lain turut memainkan peranan masing-masing terutama bagi operasi SAR di kawasan masing-masing.

Sejak 24 jam lalu, kami sudah bekerja keras mengecilkan skop carian di dua koridor berkenaan.

Kami masih memberi tumpuan kepada empat fokus carian termasuk mendapatkan maklumat satelit, analisis mengenai data radar penerbangan awam, meningkatkan keupayaan aset di udara dan daratan serta meningkatkan kepakaran dalam bidang teknikal.

Berkenaan data radar awam itu, kami sudah menghubungi beberapa negara lain yang mempunyai akses kepada data satelit.

Bagi perkembangan analisis data radar di selatan koridor, kami difahamkan Australia dan Indonesia sudah bersetuju mengetuai bidang analisis itu di kawasan masing-masing.

Manakala, China dan Kazakhstan pula bersetuju meneliti analisis data radar di Koridor Utara termasuk negara lain berdekatan mereka.

Bagi perkembangan aset udara dan daratan pula, saya sudah bercakap dengan kebanyakan pemimpin ASEAN bagi meminta sokongan aset yang berupaya mengesan di dasar laut.

Kami juga meminta bantuan beberapa negara asing lain bagi meneliti data radar primer negara masing-masing.

Bagi operasi SAR di Koridor Utara, kami membahagikan kawasan carian kepada tujuh kuadran (quadrant) di mana setiap kuadran mewakili blok carian di kawalan seluas 160,000 batu nautika persegi.

Kaedah carian dan operasi di koridor Selatan juga hampir sama dengan Koridor Utara dengan keseluruhan kawasan carian di dua koridor berkenaan seluas kira-kira 2.24 juta batu nautika persegi.

Ia kawasan yang sangat luas dan Malaysia pastinya tidak boleh menggerakkan aset di semua blok carian di dua koridor itu.

Justeru, saya merayu kepada banyak negara untuk tampil dan seterusnya menawarkan bantuan bagi menyokong SAR.

Hari ini (semalam), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan.

Penghantaran aset baru itu membabitkan helikopter Super Lynx.

Buat masa ini, empat kapal sudah dihantar di koridor selatan termasuk dua helikopter.

Selain itu, negara turut menghantar dua pesawat C-130 ke kawasan Indonesia bagi operasi SAR.

Pada masa sama, beberapa negara lain turut menyumbang bantuan aset termasuk pesawat P-8 Poseidon dan P-3 Orion.

Selain itu, Australia juga menghantar tiga pesawat P-3 Orions dan sebuah pesawat C-130 Hercules.

Kerajaan New Zealand juga akan menghantar pesawat P-3 Orion bagi menyokong SAR dengan Australia.

Kerajaan Korea Selatan turut menghantar sebuah P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules manakala, Jepun pula memberi jaminan menghantar dua P-3 Orions, dua C-130s dan sebuah pesawat jet Gulfstream.

Emiried Arab Bersatu (UAE) pula memberi jaminan menghantar sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8.

Manakala, aset milik Korea, Jepun dan UAE kini sudah berada di Malaysia sementara menunggu arahan daripada kerajaan masing-masing.

Pada masa sama, China juga sudah mengatur perjanjian dengan Australia untuk menghantar pesawat di Koridor Selatan.

Kami juga sudah meminta Indonesia untuk melihat semula bukan hanya maklumat satelit, tetapi juga sumber data lain yang merangkumi kawasan utara dan selatan negara itu.

Koridor Selatan lebih mencabar sebab kawasan itu sangat besar.

Oleh itu, kita memerlukan bantuan Indonesia dan Australia.

Saya juga bercakap dengan Amerika Syarikat (AS) mengenainya pagi ini berhubung satelit, radar, pesawat dan kapal laut pihak mereka untuk membantu di koridor selatan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

SAF tawar bantuan

Posted: 18 Mar 2014 11:03 AM PDT

Singapura: Angkatan Tentera Singapura (SAF) menawarkan bantuan kepada Malaysia melalui Pusat Fusion Maklumat (IFC) yang mempunyai rangkaian dengan 13 tentera laut dan 51 syarikat perkapalan awam di seluruh dunia bagi mencari pesawat penerbangan MH370.

Dalam satu kenyataan, SAF berkata, IFC mengaktifkan rangkaiannya dengan kapal-kapal untuk melaporkan sebarang pemandangan luar biasa di kawasan carian.

Lebih banyak syarikat dijangka akan dihubungi.

Kenyataan itu menyebut, IFC juga mempunyai pegawai perhubungan antarabangsa dari 13 negara yang boleh membantu menyelaras tindakan dari Australia, Brunei, Perancis, India, Indonesia, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Peru, Filipina, Thailand, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Menurut SAF, pesawat peronda Tentera Laut Republik Singapura Fokker-50 (F-50 MPA) yang dikerahkan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth pada 14 Mac lalu telah kembali ke Singapura, pada Isnin berikutan pihak berkuasa Malaysia menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

No comments:

Post a Comment