Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Konsert GP F1 batal

Posted: 25 Mar 2014 12:12 PM PDT

Kuala Lumpur: Konsert yang membabitkan penyanyi Amerika Syarikat, Christina Aguilera di Grand Prix Formula Satu Malaysia pada hujung minggu ini terpaksa dibatalkan sebagai menghormati tragedi membabitkan pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

Konsert itu dijadual sempena GP F1 sepatutnya berlangsung di KLCC dan Sirkit Antarabangsa Sepang.

"Semua acara sukan terutama bertaraf antarabangsa tetap berlangsung seperti dirancang, tetapi akan dianjurkan secara sederhana.

"Kami tidak merancang untuk membatalkan acara itu kerana ia sudah dirancang sejak sekian lama. Kami harap pihak penganjur acara sukan utama di negara ini akan lebih bersimpati dengan tragedi MH370," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada wartawan selepas menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak sempena Anugerah Sukan Dunia Laureus di Kelab Diraja Selangor di Bukit Kiara, semalam.

Foto

LEGENDA bola sepak bergambar kenangan sebelum perlawanan.

Foto

KAIN rentang memperingati tragedi MH370.


Selain F1, beberapa acara sukan utama akan mengambil tempat di negara ini, termasuk Anugerah Sukan Dunia Laureus di Istana Budaya (hari ini) dan Kejohanan Golf EurAsia di Kelab Golf dan Country Glenmarie, Shah Alam (27-29 Mac).


Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Inmarsat dan AAIB membuat kesimpulan pesawat MH370 terbang melalui koridor selatan dengan kedudukan terakhir dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, berhampiran barat Perth, Australia yang terpencil serta jauh dari daratan.

Pesawat MH370 dengan 227 penumpang dan 12 kru berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac, jam 12.41 pagi, tetapi gagal dikesan radar sejam kemudian.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Laureus kurangkan aktiviti

Posted: 25 Mar 2014 12:09 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengerusi Akademi Sukan Dunia Laureus Edwin Moses mengumumkan aktiviti program untuk Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 akan dikurangkan selepas pesawat MH370 disahkan hilang di Lautan Hindi.

Menurutnya, beberapa acara terpaksa dibatalkan menjelang anugerah itu yang berlangsung hari ini.

"Setiap individu di Akademi Sukan Dunia Laureus sedih dengan tragedi ini. Berikutan Anugerah Sukan Dunia Laureus akan diadakan di Kuala Lumpur, kami turut merasai kesedihan dihadapi rakyat Malaysia.

"Justeru, kami berasa perlunya mengurangkan aktiviti menjelang majlis anugerah itu.


"Bagi pihak Akademi Laureus dan Keluarga Laureus di seluruh dunia, saya ingin berkongsi kesedihan dengan laporan terbaru ini dan berdoa untuk penumpang serta kru dan keluarga mereka kerana insiden malang ini menyentuh perasaan banyak pihak di seluruh dunia.


"Kami berharap acara bola sepak diadakan hari ini (semalam) akan menggambarkan perasaan sebenar kami dalam saat-saat sukar ini.

"Kami mempunyai komitmen terhadap legasi Laureus untuk golongan muda di Malaysia. Kami mempunyai komitmen terhadap mereka yang kami ingin penuhi dengan sukan menjadi peluang terbaik untuk pengikat kita yang dilanda kesedihan ini.

"Sehubungan itu, kami menghadiahkan Piala Perpaduan All Stars Laureus ini buat keluarga dan orang tersayang mangsa MH370," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Hamilton, Rosberg pamer bakat melukis

Posted: 25 Mar 2014 12:08 PM PDT

Kuala Lumpur: Pemandu pasukan Mercedes AMG PETRONAS Lewis Hamilton dan Nico Rosberg berada lebih sejam bersama 20 pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi untuk menghasilkan lukisan di Galeri Petronas, Suria KLCC, semalam.

Hasil lukisan itu kemudiannya dipamerkan kepada orang ramai di galeri berkenaan.

Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Norsyahidatul Ain Sirajuddin berkata, peluang melukis dan menghasilkan kerja seni bersama pelumba Formula 1 (F1) untuk Galeri PETRONAS adalah sesuatu yang mengujakan.

"Peluang seperti ini bukan senang nak dapat, saya rasa bertuah dan beruntung sangat apabila terpilih.

Memang saya mengenali pelumba F1 dan minat dengan perlumbaan ini," katanya.

Norsyahidatul Ain, 23, berharap pemandu pasukan Mercedes AMG PETRONAS akan memenangi perlumbaan yang berlangsung di Litar Sepang, Ahad ini.

Hamilton dan Rosberg turut menaiki beca di sekitar KLCC.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Zulfahmi hambar

Posted: 25 Mar 2014 12:07 PM PDT

Sepang: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang Datuk Razlan Razali memberi kata dua kepada pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin selepas pelumba muda negara itu hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, kelmarin.

Pada perlumbaan pembuka tirai MotoGP musim ini, Zulfahmi yang mewakili pasukan Ongetta-AirAsia dengan menggunakan jentera baru Honda tidak mampu memberikan cabaran bermakna walaupun sudah memasuki tahun keempat bergelar pelumba profesional.

"Zulfahmi amat mengecewakan kami.

Kami sediakan dia dan menjaganya dari tahun pertama hingga sekarang dan musim ini dengan penukaran ke jentera Honda, dia masih kalah juga.

Kalau kita tengok keputusan penuh perlumbaan, pelumba Honda lain berkedudukan dalam kelompok 11 terbaik tapi malangnya Zulfahmi berkedudukan ke-18 dan bagi kami, keputusan itu tidak bagus.

"Kita mengikut apa yang dia hendak, termasuk peralatan serta jentera, tapi prestasinya semakin merosot.

Foto

ZULFAHMI gagal beri cabaran.


Saya tidak tahu apa masalah sebenar dia," katanya pada Seminar Perubatan F1 di Hotel Concorde Sepang, semalam.


Zulfahmi yang bermula dari petak ke-25 menamatkan saingan dengan catatan 38 minit 42.47 saat dan terlepas peluang mengutip mata pada perlumbaan itu.

"Dia boleh salahkan apa saja, jentera ataupun lain-lain, namun bagi saya Zulfahmi harus salahkan diri sendiri.

Saya sudah beri peringatan dan amaran kepadanya untuk meningkatkan prestasi menjelang perlumbaan kedua nanti.

"Kalau dia tidak buat sesuatu dari sekarang, saya yakin persembahannya akan merosot dan kariernya boleh berakhir.

Mulai sekarang dia mesti bangkit dan mencari kekuatan dirinya semula," katanya.

Perlumbaan 20 pusingan itu dimenangi pelumba Australia, Jack Miller dengan masa 38:05.810s diikuti Alex Marquez (38:06:04s) dan Efren Vazquez (38:06:09s).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

BAM belum putus pengganti Paulus

Posted: 25 Mar 2014 12:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu belum membuat sebarang keputusan mencari individu sesuai mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih beregu negara.

Semalam, Arena Metro melaporkan BAM tidak berminat melantik pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 Atlanta, Yap Kim Hock untuk mengemudi pasukan beregu lelaki negara selepas kerusi itu dikosongkan jurulatih dari Indonesia, Paulus Firman November lalu.

Bekas pakar beregu negara itu muncul menawarkan diri bagi mengisi kekosongan berkenaan dan sudah dipanggil BAM untuk hadir di sesi temu duga yang diketuai Presiden Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bersama Setiausaha Agung Ng Chin Chai dan Pengurus Besar Kenny Goh pada 14 Mac lalu.

"Sebelum ini kami sudah panggil dia (Kim Hock) untuk hadir temu duga.

Tapi kami belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin mendapatkan sentuhannya atau tidak.


Kami juga mempunyai beberapa calon lain dan akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang.

"Apapun tunggulah, kami akan membuat pengesahan secara rasmi apabila sudah bersedia," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.


Sementara itu, Norza turut mengakui kedudukan dua pemain perseorangan badminton negara iaitu Misbun Ramdan Misbun dan Zulfadli Zulkifli belum dibincangkan pihak pengurusan tertinggi BAM selepas kedua-dua pemain itu tidak hadir pada sesi pemilihan skuad Piala Thomas, minggu lalu.

"Kami sudah terima sijil sakit kedua-dua pemain itu, tapi kami belum bincangkan perkara itu.

Tunggulah keputusan selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Soon Huat terpilih ke New Delhi

Posted: 25 Mar 2014 12:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Pemain sokongan Goh Soon Huat mendapat tempat dalam skuad Piala Thomas negara selepas menduduki tangga teratas perlawanan percubaan yang diadakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memilih pemain ke kejohanan itu.

Soo Huat mengalahkan bekas pemain antarabangsa Tan Chun Seang 21-14, 21-13 untuk menduduki tangga teratas dalam pemilihan selama tiga hari di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Menurut BAM, jemputan sudah dibuat untuk memilih pemain bukan BAM bagi menyertai perlawanan percubaan yang dijalankan secara 'round robin'.

"Percubaan dan pemilihan itu merupakan antara keseluruhan program yang BAM akan terus lakukan secara berkala bagi menghadapi kejohanan besar pada 2014 seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"BAM akan turut menjemput Zulfadli Zulkiffli dan Misbun Ramdan Misbun untuk menyertai latihan pusat dengan kami," katanya.

Kejohanan Piala Thomas akan berlangsung di New Delhi dari 18 hingga 25 Mei ini.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

'Peluang belum lagi tertutup'

Posted: 25 Mar 2014 12:02 PM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan tidak menutup peluang dua bekas tekong kebangsaan untuk kembali menyarung jersi negara terutamanya bagi mengharungi Sukan Asia di Korea Selatan penghujung tahun ini.

Namun Jamaluddin mengingatkan dua tekong berkenaan supaya mempamerkan prestasi terbaik di Liga Takraw Thailand (TTL) bersama Phrae Takraw Club untuk mendapat peluang berkenaan.

"Tidak mustahil untuk mereka berdua dipertimbangkan semula seandainya prestasi memberangsangkan dipamerkan.

Kami tidak menolak mereka yang beraksi baik namun kata putus bukan saya yang melakukannya.

"Bukan saja kedua-dua pemain itu, jika ada mana-mana pemain tanpa mengira posisi yang menonjol, kami akan pertimbangkan," kata Jamaluddin yang berada dalam misi membentuk regu terbaik menjelang temasya terbesar benua Asia itu.

Dua tekong berpengalaman Noor Azman Abd Hamid dan Tunku Noor Azwari Tunku Ishak kini beraksi di TTL selepas tidak tersenarai dalam skuad negara yang memulakan program awal tahun ini namun kedua-duanya bersikap terbuka sekiranya dipanggil menyertai skuad negara.

Menurut Jamaluddin, pemilihan kedua-dua pemain itu beraksi di luar juga dilihat sebagai cabaran kepada mereka yang berada dalam skuad elit ketika ini untuk memberikan persembahan dikehendaki.

Skuad elit negara yang dikumpulkan awal tahun ini kini mempunyai lapan tekong serta masing-masing 10 apit kiri dan kanan.

"Kami tidak akan menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sehingga penghujung April kerana mahu memastikan program yang diarahkan Institut Sukan Negara (ISN) dilakukan dengan sempurna.

Tumpuan ketika ini lebih cenderung kepada tahap kecergasan dan kemahiran pemain," katanya.

Pada saingan siri akhir Siri Super ISTAF baru-baru ini, skuad negara mengulangi skrip sama apabila tewas kepada Thailand di final sekali gus menyaksikan mereka sekadar naib juara pada empat sirkit yang berlangsung sejak awal tahun lalu.

Foto

JAMALUDDIN (kiri) akan panggil pemain pamer prestasi terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

'Lupakan insiden malang'

Posted: 25 Mar 2014 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba negara Azizulhasni Awang mahu melupakan insiden malang ketika Kejohanan Dunia dengan memberi tumpuan terhadap latihan dalam usahanya menghadiahkan pingat emas buat negara di dua temasya utama.

Sukan Asia dan Komanwel menjadi fokus utamanya selepas ini dengan segala perancangan sudah diatur ketua jurulatih John Beasley bagi memastikan pelumba negara itu berada di landasan tepat untuk memberi saingan.

Azizulhasni yang juga penyandang juara acara keirin Sukan Asia, tetapi dinafikan pingat emas di Sukan Komanwel berkata, perancangnya selepas ini melakukan latihan seperti biasa dengan mengikuti segala program dirancang Beasley.

Katanya, dia perlu terus menggilap prestasi semasa bagi memastikan kemuncak prestasinya berada di tahap tertinggi.

"Saya perlu fokus dan mengikut segala perancangan ditetapkan Beasley.

Dua temasya itu penting buat saya.

"Saya akan terus berlatih biarpun apa yang berlaku di Kejohanan Dunia masih lagi dirasai, tapi semua itu perlu dilupakan dan episod baru perlu dibuka," katanya.

Di sebalik kekecewaan itu, Azizul sedar tahap prestasinya semakin baik dan biarpun pulang tangan kosong daripada Siri Piala Dunia Klasik dan Kejohanan Dunia, dia tetap meluahkan rasa gembira kerana dapat melihat adanya peningkatan drastik dalam prestasi semasanya.

Azizul selepas ini dijadual beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia yang berlangsung di Astana Kazakhstan dari 21 Mei hingga 1 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

MSP tekad tingkat prestasi atlet SUKMA

Posted: 25 Mar 2014 12:00 PM PDT

Kuantan: Majlis Sukan Pahang (MSP) dengan kerjasama persatuan sukan negeri akan memastikan atlet Pahang yang beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis mampu meraih kejayaan membanggakan.

Pengarah MSP Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi berkata, faktor utama diberikan perhatian adalah memiliki daya ketahanan mental dan fizikal tinggi.

Menurutnya, setakat ini, semua atlet giat menjalani latihan bersama persatuan masing-masing dalam usaha meraih pingat terutama emas di Perlis nanti.

"Bagi pihak MSP, kita sedia memberikan kerjasama penuh kepada mereka, khususnya persatuan sukan untuk membentuk atlet yang mampu berdaya saing sekali gus mencipta kejayaan buat kontinjen Pahang.

"Semangat juang tinggi dan pencapaian terbaik yang dicapai pada SUKMA 2012 di Pahang diharap menjadi motivasi terbaik buat atlet terutama mereka yang kali pertama menyertai kejohanan ini," katanya, semalam.

Pada SUKMA 2012 yang berlangsung di Kuantan, Pekan dan Temerloh, Pahang, kontinjen tuan rumah itu melakar sejarah tersendiri apabila mengutip 45 pingat emas dan menduduki tangga ketiga keseluruhan.

Pencapaian itu dianggap yang terbaik pernah dicatatkan negeri itu sepanjang temasya SUKMA.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Dua MB calon Timbalan Presiden

Posted: 25 Mar 2014 11:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Perebutan jawatan Timbalan Presiden antara yang bakal mendapat tumpuan pada Mesyuarat Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 25 Mei ini apabila dua Menteri Besar turut dicalonkan untuk bertanding.

Selepas tarikh tutup pencalonan kelmarin, antara dua nama yang dicalonkan ahli gabungan bagi bertanding jawatan kedua tertinggi badan induk itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.

Kedua-dua individu itu tidak asing dalam kancah bola sepak tempatan apabila Mukhriz kini menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Kedah manakala Mohamad Hassan sudah lama memimpin persatuan bola sepak negeri kelahirannya Negeri Sembilan.

Kehadiran dua muka baru itu bakal melengkapkan senarai 14 calon bagi merebut dua jawatan Timbalan Presiden yang dikemukakan 20 ahli gabungan FAM selepas tiga lagi nama Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah turut tersenarai.

Bagaimanapun masih belum pasti kesemua 14 calon itu bersedia untuk bertanding kerana senarai akhir calon hanya akan diketahui pada 19 April selepas calon terbabit memaklumkan kepada FAM.

Yang pasti penyandang Timbalan presiden tidak akan mempertahankan jawatan itu apabila Tengku Abdullah kemungkinan bakal bertanding jawatan Presiden manakala Tan Sri Annuar Musa tidak dibenarkan terbabit pada sesi kongres ke-50 itu kerana masih menjalani penggantungan dua tahun enam bulan atas kesalahan melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Buat masa ini, calon terbabit mengambil sikap berdiam diri walaupun sudah boleh mula melobi bagi meraih 30 undi ahli gabungan pada pemilihan itu nanti.

"Saya belum dimaklumkan secara rasmi mengenai pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden.

Buat masa ini saya tidak boleh membuat sebarang komen mengenai perkara ini.

Mungkin dalam tempoh seminggu dua lagi," kata Afandi yang kini memegang jawatan Naib Presiden FAM.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, persaingan merebut kerusi Presiden kemungkinan bakal membabitkan pertembungan tiga penjuru apabila penyandang Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat pencalonan ahli gabungan.

Turut dipertandingkan empat kerusi Naib Presiden dan 10 kerusi Exco membabitkan lapan calon lelaki dan dua wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

No comments:

Post a Comment