Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


6 hilang nyawa

Posted: 15 Mar 2014 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan enam orang iaitu tiga lelaki dan tiga wanita maut kerana mengambil dadah melebihi dos, sementara tiga lagi menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ketika kejadian, semua mangsa yang berusia 19 hingga 27 tahun menghadiri satu konsert di Stadium Bukit Jalil, di sini.

Mereka dipercayai membeli dadah jenis syabu dari luar sebelum menggunakannya untuk berhibur di dalam stadium.

Menurutnya, enam mangsa yang mati adalah warga tempatan, sementara tiga warga tempatan dan seorang Singapura yang dalam keadaan kritikal masih dirawat.

Foto

KONSERT yang mengorbankan 6 nyawa yang diadakan malam kelmarin.

Foto

PASUKAN polis mengawal keadaan penonton pada Konsert Future Music Festival Asia di Bukit Jalil yang dibatalkan.


"Hasil bedah siasat mendapati mereka terlebih pengambilan dadah dan suhu badan terlalu panas.


"Selain itu, sepanjang konsert yang berlangsung sejak Khamis lalu, seramai 19 orang ditahan kerana kesalahan mengambil dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Mohmad berkata, tangkapan dijalankan anggota Bahagian Narkotik IPD Cheras itu turut merampas tiga pil Ecstacy, 20 pil khayal berwarna putih dan ganja seberat 3.7 gram.

"Siasatan juga mendapati mereka membeli bekalan dadah dengan harga sebiji antara RM60 hingga RM100.

"Bagi mengelak perkara lebih serius, kita mengambil keputusan membatalkan konsert terakhir pada malam ini (semalam)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Kontinjen Selangor untuk mengenal pasti sindiket yang membekalkan dadah kepada semua mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

Lagi PATI Turki

Posted: 15 Mar 2014 11:56 AM PDT

Bukit Kayu Hitam: Selepas 62 pendatang tanpa izin (PATI) warga Turki ditahan di Padang Besar tempoh hari, cubaan 28 PATI dari negara sama ke negara ini secara haram gagal apabila ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 sewaktu cuba melalui pagar sempadan Malaysia-Thailand, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, sepasukan anggota PGA diketuai Inspektor Jonathan Putra Laum melakukan rondaan ternampak sekumpulan PATI berjalan kaki selepas masuk melalui pagar sempadan.

Mereka dikatakan sanggup berjalan kaki melalui hutan negara jiran sebelum menyusuri ladang getah untuk masuk ke negara ini melalui pagar sempadan.

Ketika ditahan, kebanyakan PATI keletihan dan lapar, malah kanak-kanak cedera ringan selain koyak pakaian akibat meredah hutan sebelum tiba di lokasi.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 3 Bidor Deputi Superintendan S Sivanganam berkata, PATI itu masuk dengan mengangkat pagar dan menyusup seorang demi seorang berhampiran pos M2, di sini.

"Berdasarkan siasatan, mereka dipercayai mempunyai kaitan keluarga dan tidak memiliki dokumen perjalanan masuk ke negara ini.

"Daripada jumlah itu, 12 adalah lelaki dewasa berusia antara 19 hingga 42 tahun manakala wanita antara 16 hingga 47 tahun serta lapan kanak-kanak, termasuk bayi antara tiga bulan hingga tujuh tahun," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sivanganam berkata, pihaknya mempunyai masalah komunikasi mendapatkan maklumat berkaitan kumpulan itu disebabkan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris dan Malaysia.

Beliau berkata, disebabkan itu sukar mengetahui dari mana mereka masuk dan siapa membawa mereka ke kawasan itu untuk menyeludup masuk ke negara ini.

"Namun kita tidak menolak kemungkinan mereka datang dari Turki menaiki kapal laut bersama 62 PATI yang ditahan sebelum ini.

"Kumpulan ini mungkin bergerak berasingan mengikut tekong berikutan penemuan tali biru diikat pada tangan mereka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.

"Ini tangkapan kedua membabitkan kumpulan PATI warga Turki." katanya.

Foto

ANTARA PATI warga Turki yang ditahan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

Polis siasat rumah juruterbang

Posted: 15 Mar 2014 11:54 AM PDT

Shah Alam: Tiga anggota polis dari Bukit Aman memasuki kawasan perumahan juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah di Seksyen 13 di sini, jam 2.42 petang semalam.

Anggota polis menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan berpakaian preman masuk ke kawasan perumahan itu diiringi sebuah kereta peronda polis sejurus sidang media khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Toyota Estima berkenaan dilihat meninggalkan kawasan perumahan itu jam 4.46 petang.

Difahamkan, anggota polis berkenaan dibenarkan masuk ke kawasan perumahan juruterbang itu selepas mendapat kebenaran ahli keluarga Zaharie.

Foto

KENDERAAN dinaiki anggota polis keluar dari kawasan perumahan juruterbang Kapten Zaharie.


Namun, usaha wakil media masuk ke kawasan perumahan itu tidak berhasil kerana tidak dibenarkan pengawal keselamatan yang bertugas kerana ia perlu mendapat kebenaran pemilik kediaman terlebih dulu.


Metro Ahad difahamkan, pasukan berkenaan 'mencari sesuatu' yang boleh membantu siasatan dan ia seakan-akan menjurus kepada perisian komputer.

Bagaimanapun, tiada maklumat didedahkan kepada media berkaitan kehadiran polis ke rumah berkenaan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

Sempadan Kazakh-Turkmenistan

Posted: 15 Mar 2014 11:51 AM PDT

Sepang: Hari kelapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu minggu lalu memasuki fasa baru apabila pasukan penyiasat mendapat petunjuk lokasi terbaru membabitkan dua koridor carian.

Perkembangan terbaru itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di pusat media Hotel Sama-Sama di sini, semalam.

Najib berkata, pencarian MH370 kini bertumpu sama ada di dua koridor iaitu koridor utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan serta Turkmenistan dan koridor selatan bertumpu dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Katanya, operasi SAR di sekitar Laut China Selatan dihentikan serta-merta.

Foto

PERDANA Menteri pada sidang media berhubung pesawat MH370 bersama (dari kiri) Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, Hishammuddin, Azharuddin dan Ahmad Jauhari.


"Maklumat diterima Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan agensi sama di beberapa negara lain itu mengesahkan komunikasi terakhir pesawat dikesan oleh satelit bertumpu di dua koridor berkenaan.


"Bagaimanapun, pasukan penyiasat sedang bekerja keras untuk mengesahkan lanjut maklumat berkenaan.

"Kementerian Luar (Malaysia) bersama pakar teknikal siasatan juga sudah memaklumkan perkembangan baru itu kepada kementerian luar di beberapa buah negara berkaitan kerana dua koridor itu meliputi banyak negara.

"Saya juga sudah mengarahkan Kementerian Luar untuk memberi penjelasan sama kepada wakil negara yang mempunyai penumpang dalam pesawat itu," katanya.

Katanya, pihak MAS juga sudah memaklumkan perkara sama kepada ahli keluarga penumpang dan kru.

Sementara itu, mengulas mengenai sistem komunikasi pesawat (transponder) yang dimatikan dengan sengaja, Najib berkata, Sistem Pautan Data Digital Bagi Penghantaran Pesanan Pendek Antara Pesawat dengan Stesen Darat atau Aircraft Communications Addressing and Reporting System (ACARS) dimiliki pesawat MH370 disahkan tidak berfungsi sebelum pesawat itu tiba di pantai timur.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

Ucapan penuh Datuk Seri Najib

Posted: 15 Mar 2014 11:50 AM PDT

TUJUH hari lalu pesawat MAS MH370 hilang. Kami menyedari ketika ini adalah detik yang sukar kepada keluarga penumpang pesawat itu.

Tiada perkataan dapat menggambarkan keperitan yang mereka lalui.

Doa kami bersama mereka.

Saya mengikuti perkembangan operasi mencari yang dilakukan setiap jam.

Pada permulaan operasi, saya arahkan kawasan pencarian diperluaskan.

Saya arahkan pihak berkuasa Malaysia untuk berkongsi semua maklumat berkaitan secara telus dengan semua pasukan penyiasat dan saya telah meminta semua rakan dan sekutu negara berkaitan menyertai operasi ini.

Sehingga kini 14 negara membabitkan 43 kapal dan 58 pesawat menyertai operasi pencarian.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua negara berkenaan di saat genting ini.

Sejak hari pertama pasukan keselamatan Malaysia bekerjasama dengan rakan antarabangsa termasuk beberapa negara jiran dan pihak berkuasa penerbangan serta pasukan mencari antarabangsa.

Kebanyakan daripada mereka sudah berada di lapangan operasi sejak Ahad lalu.

Kami berkongsi maklumat dengan pasukan keselamatan mempunyai pengalaman berkaitan yang diperlukan untuk mengkaji data.

Kami berusaha tanpa henti untuk membantu siasatan dan kami meletakkan keutamaan pencarian pesawat itu melebihi keselamatan negara kami.

Kami sudah melakukan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi.

Bagi setiap peringkat, kami bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan.

Kami mengikut setiap petunjuk yang boleh dipercayai.


Kadangkala petunjuk itu tidak membawa apa-apa hasil.

Ada banyak spekulasi, kami faham keluarga penumpang dan masyarakat dunia terdesak untuk mendapatkan maklumat.

Tetapi kami mempunyai tanggungjawab terhadap siasatan dan keluarga iaitu dengan hanya menyalurkan maklumat yang telah disokong.


Motivasi utama kami sentiasa untuk mencari pesawat berkenaan.

Bagi fasa pertama operasi mencari, kami menjalankan pencarian berdekatan lokasi terakhir MH370 hilang radar di Laut China Selatan.

Pada masa sama, berdasarkan radar primer Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) percaya mengesan kehadiran pesawat tetapi tak dipastikan MH370 yang berpatah balik.

Data radar primer itu menunjukkan bahawa pesawat berkenaan mengikut laluan penerbangan menuju kawasan utara Selat Melaka.

Berdasarkan data itu yang turut disokong beberapa pihak berkuasa negara berkaitan, kami memperluaskan operasi mencari merangkumi Selat Melaka sebelum ke Laut Andaman.

Pada pagi ini saya diberikan taklimat oleh pasukan penyiasat yang membabitkan FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan), NTSB (Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan), AAIB (Biro Siasatan Kemalangan Udara) dan pihak keselamatan Malaysia serta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai maklumat terbaru dan apa yang berlaku kepada MH370.

Berdasarkan maklumat satelit terbaru, kami boleh katakan bahawa Sistem Pautan Data Digital Bagi Penghantaran Pesanan Pendek Antara Pesawat dengan Stesen Darat atau Aircraft Communications Addressing and Reporting System (ACARS) tidak berfungsi sebelum pesawat tiba di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Sejurus selepas itu sistem komunikasi pesawat (transponder) dimatikan sebaik pesawat menghampiri sempadan pusat kawalan udara antara Malaysia dan Vietnam.

Selepas itu, radar primer TUDM percaya mengesan kehadiran pesawat tetapi tak dipastikan MH370 yang berpatah balik.

Pesawat itu kemudian terbang bepatah balik arah barat semenanjung sebelum menuju barat laut.

Selepas itu, liputan radar primer tentera menunjukkan pergerakan pesawat konsisten sengaja dilakukan seseorang dalam pesawat itu.

Hari ini, berdasarkan maklumat satelit, kami dapat sahkan bahawa pesawat yang terdapat dalam radar primer itu adalah MH370.

Selepas banyak kerja forensik FAA, NTSB dan AAIB sudah mengkaji data itu secara berasingan dan mengesahkan maklumat itu tepat.

Daripada maklumat terbaru itu juga, komunikasi terakhir dikesan pada jam 8.11 pagi pada 8 Mac.

Pasukan risikan kini sedang mencari kesimpulan berapa jauh pesawat boleh terbang selepas kali terakhir hilang dari radar.

Itu akan membantu kita mengecilkan skop operasi pencarian.

Berdasarkan data satelit, kita tidak dapat mengesahkan lokasi pesawat apabila ia kali terakhir dikesan dengan satelit.

Bagaimanapun, berdasarkan data baru diterima oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan agensi sama di beberapa negara lain mengesahkan komunikasi terakhir pesawat yang dikesan oleh satelit kemungkinan berada di dua koridor iaitu di koridor utara berhampiran Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pasukan penyiasat sedang mengesahkan lanjut maklumat berkenaan.

Berkaitan perkembangan terbaru ini, pasukan keselamatan Malaysia memfokuskan semula siasatan terhadap kru dan penumpang pesawat berkenaan.

Mengenai laporan media mengatakan pesawat itu dirampas, saya ingin menegaskan kami sedang menyiasat segala kemungkinan pesawat MH370 melencong daripada laluan asal penerbangan.

Maklumat baru diterima berhubung komunikasi satelit itu memberi impak baru kepada operasi mencari dan menyelamat.

Justeru kami menamatkan SAR di Laut China Selatan dan menyusun semula penghantaran aset.

Kami juga sedang bekerjasama dengan beberapa negara berkaitan untuk meminta maklumat yang relevan berhubung operasi SAR termasuk maklumat berkaitan data radar.

Oleh kerana dua koridor baru itu membabitkan banyak negara, kementerian agensi luar negara itu sudah dimaklumkan maklumat baru itu oleh Kementerian Luar Malaysia dan pakar siasatan teknikal.

Saya juga sudah mengarahkan Kementerian Luar untuk menyediakan penjelasan menyeluruh kepada wakil kerajaan luar yang mempunyai penumpang dalam pesawat itu bagi setiap kerakyatan.

Pagi ini MAS sudah memaklumkan kepada ahli keluarga penumpang dan kru mengenai perkembangan terbaru itu.

Jelas, pencarian MH370 memasuki fasa baru.

Sejak tujuh hari lalu kami mengambil kira semua petunjuk yang ada dan melihat kepada sebarang kemungkinan itu.

Kepada keluarga dan rakan terbabit dalam insiden, kami berharap maklumat baru itu memberikan kami selangkah ke hadapan untuk mencari pesawat itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/16

No comments:

Post a Comment