Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hanya hirup udara

Posted: 01 Mar 2014 08:31 AM PST

Kiev: Model Ukraine Valeria Lukyanova yang mencipta kontroversi sebagai 'patung Barbie hidup' mendakwa dia tidak lagi makan atau minum sebaliknya menggelar dirinya 'Breatharian' yang hanya memerlukan udara.

Walaupun ada yang mendakwa dia melakukan pembedahan plastik selain menggunakan Photoshop untuk kelihatan seperti anak patung, namun mungkin juga susuk tubuhnya yang terlalu kurus adalah disebabkan tidak makan sehingga berminggu-minggu lamanya.

Model berusia 23 tahun itu mendakwa kini mengamalkan 'Breatharianism' apabila melatih dirinya mendapat khasiat daripada cahaya dan udara.

"Malah sejak beberapa minggu ini saya tidak rasa lapar langsung dan berharap ini peringkat terakhir sebelum saya betul-betul mampu hidup hanya berbekalkan cahaya dan udara," katanya.

Foto

VALERIA yang terkenal sebagai patung Barbie hidup dikatakan tidak lagi makan atau minum.


Breatharianism adalah fahaman yang mempercayai makanan dan air tidak perlu untuk kehidupan, sebaliknya seseorang didakwa boleh hidup dengan menyerap 'makanan mikro-kosmik.'


Amalan itu dilihat berbahaya malah ada pengikutnya dilaporkan mati kelaparan.
Ini bukan kali pertama Valeria membuat kenyataan pelik.

Sebelum ini dia pernah mendakwa berasal dari planet lain, mungkin Zuhrah, namun mengakui dia sendiri tidak pasti planet asalnya.

Berikutan itu, Valeria mendakwa mampu bercakap dengan makhluk asing selain mampu mengembara merentasi masa.

Valeria yang menyasarkan untuk menjadi 'wanita paling sempurna di Internet' juga mengaku mendapat rawatan pakar psikiatrik kerana sering mendengar suara halus.

Walaupun ada pengguna YouTube, Tumblr dan laman sosial, Valeria mendapat sokongan kuat suaminya yang juga bertindak sebagai pengurusnya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Mati lima setengah jam

Posted: 01 Mar 2014 08:26 AM PST

Mississippi: Seorang lelaki yang disahkan mati oleh doktor bangkit sejurus sebelum dia diawet.

Kejadian berlaku di sebuah rumah mayat di Lexington, di sini, kelmarin.

Menurut laporan, pekerja rumah mayat itu bersiap sedia untuk mengawet Walter Williams apabila dia mula bergerak.

Terdahulu, doktor memeriksanya dan mengesahkan dia mati pada jam 9 malam. Bagaimanapun, pada jam 2.30 pagi, pekerja rumah mayat menelefon anak saudaranya untuk memberitahu dia masih hidup.

Foto

WILLIAMS terjaga sejurus sebelum diawet.


"Saya melihat sendiri pekerja hospital memasukkan bapa saudara saya ke dalam beg mayat untuk dihantar ke rumah mayat.


"Tidak lama selepas itu saya mendapat telefon dari rumah mayat mengatakan bapa saudara saya masih hidup," kata Eddie Haster.

Apabila ditanya mengenai kejadian itu, seorang doktor berkata, kejadian mungkin berpunca daripada perentak jantung terhenti sebelum berfungsi semula. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Nyaris tak mati kerana main telefon

Posted: 01 Mar 2014 08:24 AM PST

Shanghai: Kerana asyik bermain dengan telefon bimbitnya sambil bermundar-mandir di platform, seorang penumpang wanita berusia 50 tahun yang menanti kereta api di sebuah stesen di sini terjatuh ke landasan.

Mujur ketika kejadian tidak ada kereta api yang melintas dan wanita itu ditarik naik ke platform tanpa sebarang kecederaan.

Rakaman video menunjukkan penumpang itu tidak duduk diam sambil membelek telefonnya, tanpa melihat keadaan sekeliling sebelum dia terjatuh ke landasan.

Rakaman itu juga menunjukkan, walaupun selepas jatuh, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi, malah masih asyik melihat telefonnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

'Buka' balik Bangkok

Posted: 01 Mar 2014 08:18 AM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan antikerajaan Thai yang berkeras mahukan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berundur semalam mengumumkan mengakhiri tindakan 'menutup' ibu kota ini.

Keputusan itu dibuat berikutan semakin banyak tembakan dan serangan bom dilepaskan menyasarkan lokasi protes terutama pada waktu malam.

Jumlah peserta penunjuk perasaan pula dilihat merudum sejak beberapa minggu kebelakangan ini, malah ada lokasi protes hampir kosong pada waktu siang dengan penyokong hanya datang pada sebelah malam.

Sehubungan itu, ketua mereka Suthep Thaugsuban mengumumkan penunjuk perasaan akan berhimpun di satu pentas demonstrasi saja, di Taman Lumpini bermula Isnin.

Katanya, ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dialami warga Bangkok akibat demonstrasi.

"Saya bersimpati dengan penduduk Bangkok yang turut menyokong kami.

"Ini tidak menjejaskan perjuangan kami menyekat kuasa politik Shinawatra.

"Saya akan menghabiskan proses mengakhiri 'permainan' ini secepat mungkin...

sebelum Mac berakhir," katanya.

Yingluck berdepan tekanan kuat untuk meletakkan jawatan sepanjang empat bulan lalu.

Dia juga berdepan tuduhan cuai berkaitan dengan skim subsidi beras yang didakwa membabitkan rasuah.


Jika didapati bersalah dia boleh dipecat daripada jawatannya selain dilarang terbabit dalam politik selama lima tahun.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Sasar tutup daerah pelacur sebelum puasa

Posted: 01 Mar 2014 08:18 AM PST

Surabaya: Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini menyasarkan untuk menutup pusat pelacuran di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai Dolly, sebelum Ramadan tahun ini.

Bercakap kepada wartawan di satu majlis taklimat di ibu pejabat polis di sini, Rismaharini berkata, pihaknya kini melakukan penyusunan semula dari semua aspek, termasuk membimbing pelacur meninggalkan kegiatan maksiat itu.

Rismaharini juga berkata, pihak berkuasa tempatan mengharapkan bantuan polis, tentera dan ulama dalam usaha mengakhiri kegiatan pelacuran di wilayah berkenaan dalam usaha untuk membuktikan penutupan kegiatan itu bukan main-main atau dilakukan sambil lewa.

Taklimat berkenaan turut dihadiri wakil penduduk sekitar kawasan maksiat, tokoh agama, ketua kampung, polis dan juga tentera.

Rismaharini, datuk bandar wanita pertama Surabaya mengakui masih berdepan dengan halangan untuk menutup Dolly, khususnya mereka yang bukan di kalangan penduduk kawasan itu.

"Mereka sengaja menangguhkan usaha kami sedangkan penduduk asal Dolly mahukan pusat maksiat ditutup," katanya ketika ditemui.

Usaha menutup Dolly dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk membeli rumah milik penduduk yang sebelum ini dijadikan rumah pelacuran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Jerebu Riau menuju Singapura

Posted: 01 Mar 2014 08:17 AM PST

Jakarta: Agensi kaji cuaca Indonesia memberi amaran jerebu yang melanda Riau sejak hampir sebulan lalu bakal melanda Singapura pula akibat perubahan arah angin.

"Sebelum ini angin bertiup dari utara dan timur ke arah selatan namun kini mula berubah hala.

"Ini mungkin mengakibatkan Singapura mendapat jerebu," kata Sugarin ketua Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG).

Kebakaran hutan di Riau mula dikesan awal bulan lalu merangkumi kawasan hampir seluas 6,000 hektar mendorong Gabenor Annas Maamum mengisytiharkan darurat, Rabu lalu.

Seramai 40 orang ditahan kerana menyebabkan kebakaran itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Askar Zionis tembak mati wanita tak siuman

Posted: 01 Mar 2014 08:17 AM PST

Gaza: Seorang wanita tidak siuman ditembak mati oleh askar Israel awal semalam. Rejim Zionis mengesahkan askarnya melepaskan tembakan itu berhampiran pagar sempadan di kawasan Khazaa di Khan Yunis.

"Mayat Amena Atiyyeh Odeih, 57, ditemui berhampiran pagar sempadan dan kami masih belum dapat membawanya keluar dari kawasan itu kerana tentera Israel masih melepaskan tembakan," kata seorang jurucakap kementerian kesihatan Palestin.

Jurucakap rejim Zionis berkata, wanita itu enggan berundur walaupun selepas tembakan amaran dilepaskan.

"Ia menyebabkan anggota kami menembaknya," kata jurucakap itu.

Menurut jiran mangsa, wanita berkenaan tidak siuman.

Kejadian berlaku selepas sebuah pesawat Zionis mengebom kawasan yang disyaki tempat melancar roket di utara Gaza.

Ketegangan meningkat di sekitar Gaza sejak kebelakangan ini selepas setahun tenang.

Peningkatan serangan Israel dan tembakan roket oleh pejuang Palestin mencetuskan kebimbangan kemungkinan konflik baru meletus antara rejim Zionis dengan kerajaan Hamas yang mentadbir Gaza.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Crimea rayu bantuan Russia

Posted: 01 Mar 2014 08:16 AM PST

Sevastopol, Ukraine: Perdana Menteri Crimea Sergei Aksenov semalam berkata, dia kini berkuasa terhadap polis dan tentera di wilayah itu serta merayu presiden Russia membantu mengekalkan keamanan di semenanjung berkenaan.

Dalam kenyataan yang dilaporkan media tempatan dan Russia, Aksenov berkata, dia mempunyai kuasa mutlak untuk mengeluarkan arahan terhadap pasukan tentera, polis dan keselamatan.

Dia menggesa komander yang tidak bersetuju dengan tindakannya meletakkan jawatan.

"Saya memahami tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan dan nyawa penduduk di sini.


"Saya merayu Presiden Vladimir Putin menjamin keamanan di Republik Crimea ini," katanya yang juga ketua parti pro-Russia di wilayah milik Ukraine itu.


Aksenov dilantik Khamis lalu selepas keadaan semakin tegang berikutan keengganan Crimea tunduk kepada kepemimpinan baru Ukraine di Kiev yang menggulingkan Presiden Viktor Yanukovych, minggu lalu.

Lelaki bersenjata disyaki askar Russia dilihat mengambil alih kawalan lapangan terbang utama dan pusat komunikasi di Crimea, pangkalan Armada Laut Hitam Russia.

Sementara itu, duta Ukraine ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Yuriy Sergeyev berkata, 10 pesawat pengangkut Russia dan 11 helikopter penyerang dilihat tiba di Crimea secara haram.

Askar Russia juga dilapor mengawal dua lapangan terbang di wilayah itu.

"Ada antara mereka memperkenalkan diri sebagai orang RussiaKami dapat mengenal pasti beberapa unit di situ.

"Malah, askar Russia juga kini mengawal pusat kawalan trafik udara di Crimea," katanya.

Sementara itu, di Kiev, Menteri Dalam Negeri baru Ukraine Arsen Avakov menuduh Russia melakukan pencerobohan tentera di Crimea. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Klip video 'sorok' kalimah Allah

Posted: 01 Mar 2014 08:15 AM PST

Los Angeles: Klip video Katy Perry berjudul 'Dark Horse' dilihat sudah disunting selepas petisyen yang dibuat menerusi Internet melabelkannya menghina agama berikutan pemakaian kalung yang mempunyai kalimah Allah.

Selepas lebih 65,000 orang menandatangani petisyen berkenaan, Shazad Iqbal, aktivis yang membuat petisyen itu berkongsi berita penyuntingan semula video klip berkenaan.

"Saya sangat teruja untuk memberitahu anda semua, kalimah Allah yang terdapat dalam klip video 'Dark Horse' sudah dibuang dan kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan anda semua.

"Saya berterima kasih kepada anda. Suara kita sudah didengari! Semoga Allah merahmati anda semua," tulis Shazad.


'Dark Horse' yang menampilkan penyanyi rap, Juicy J itu menarik lebih 42.5 juta tontonan sejak dimuat naik lebih seminggu lalu.


Di dalam klip video berkenaan, Katy Perry memainkan watak ratu Mesir purba yang mencari pasangan dan kemudiannya menghancurkan mereka sekiranya mereka gagal menepati cita rasanya.

Dalam klip video yang asal, seorang lelaki didapati memakai kalung yang tertera kalimah Allah disumpah menjadi pasir oleh Katy dan dalam versi rasmi yang sudah dimuat naik kini, kalung itu dikaburkan.

Melalui petisyen yang dibuat di laman Change.org, Shazad menulis, "Video ini mengundang kontroversi terhadap penonton kerana menghina Islam." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Lepas bapa, nenek pula ditukul

Posted: 01 Mar 2014 08:14 AM PST

Taipei: Seorang lelaki Taiwan ditahan kerana disyaki membunuh neneknya menggunakan tukul besi, tujuh tahun selepas dia membunuh bapanya menggunakan senjata yang sama.

Lelaki yang dikenali dengan nama keluarganya, Lee mempunyai sejarah gangguan mental dan didakwa menyerang neneknya kelmarin, memukul kepala dan mukanya dengan tukul serta merodok mata mangsa dengan pemutar skru di rumah mereka di selatan Taiwan.

Lee, 35, mengejutkan ibunya selepas didakwa melakukan jenayah berkenaan dan apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui mayat neneknya yang berusia 85 tahun di atas lantai dengan muka hancur.

Kesan darah terdapat pada muka dan tangan Lee.


Lee mendakwa dia mengalami halusinasi dan mungkin sudah keluar membunuh orang lain jika tidak membunuh neneknya, lapor akhbar Apple Daily.


Lee pernah ditahan pada 2007 atas tuduhan membunuh ayahnya menggunakan tukul kerana marah pada mangsa yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dan mendera ibunya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

No comments:

Post a Comment