Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mana pemain tempatan?

Posted: 29 Mar 2014 02:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Lima tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Super diisi pemain import, Paulo Rangel (Selangor), Luciano Figueroa (Johor Darul Ta'zim), Mohamad Ghaddar (Kelantan), Khairul Amri (LionsXII) dan Dickson Nwakaeme (Pahang).

Apa rasa pemain tempatan terutamanya yang bergelar penggempur bersama pasukan masing-masing apabila melihat kepada senarai berkenaan? Mungkin ada yang tidak merasa apa-apa dengan perkara itu tetapi tidakkah kita terfikir sampai bilakah pasukan yang bersaing di dalam Liga-M khususnya Liga Super selaku saingan tertinggi bola sepak negara, perlu bergantung kepada awang import untuk merobek gawang lawan.


Bagi pemain tempatan yang masih mempunyai semangat untuk terus maju di dalam karier masing-masing, mungkin mereka menganggap senarai itu sebagai satu cabaran untuk mereka menjaringkan lebih banyak gol dan jika itulah keadaannya, tahniah kerana anda pastinya bergelar penggempur hebat satu hari nanti.

Apa yang dibimbangkan ialah andai ia langsung tidak memberi kesan kepada pemain penyerang dan alasan popular yang bakal diluahkan hanyalah: "Yang penting pasukan kami menang. Tidak kiralah siapapun yang menjaringkan gol."


Memang tidak salah jika kita mengharapkan pemain import menjaringkan gol kerana itu sudah menjadi tanggungjawab mereka selaku pemain yang menerima habuan besar sebagai gaji bulanan tetapi persoalannya, sampai bilakah kita mahu terus mengharapkan mereka?


Ini liga kita dan sepatutnya ia sudah lama melahirkan penyerang berkualiti, bukan setakat seorang dua saja.

Foto

GHADDAR (tengah)

Foto

FIGUEROA

Jadikan Liga Perdana Inggeris sebagai contoh. Di sebalik kehebatan dipamerkan Luis Suarez, Robin van Persie, Mesut Ozil, Yaya Toure Sergio Aguero (sekadar beberapa nama), pasti ada penyerang Inggeris yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bintang berkenaan.


Wayne Rooney, Raheem Sterling dan Theo Walcott adalah penyerang tempatan dan ada kalanya, aksi mereka lebih menyerlah berbanding penyerang import.

Itulah yang sepatutnya dicontohi pemain kita - semangat untuk bersaing dan membuktikan bahawa kita juga boleh diharapkan untuk merobek gawang dan bukan sekadar goyang kaki di bangku simpanan.


Jurulatih juga perlu memainkan peranan dalam membangunkan penyerang tempatan dan apa salahnya kalau sesekali memberi peluang kepada anak tempatan membuktikan kebolehan mereka.


Jika dilihat kepada skop yang lebih dekat, LionsXII adalah contoh terbaik kerana menggunakan sepenuhnya tenaga anak tempatan untuk bersaing di dalam Liga Super.


Bayangkan betapa untungnya LionsXII apabila setiap minggu, mereka didedahkan dengan ancaman penyerang yang mewakili pelbagai skuad di Liga Super dan jangan terperanjat andai satu hari nanti, Malaysia akan lebih sukar untuk mengalahkan Singapura dalam apa juga pertandingan.


Ketika persoalan itu diajukan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemain tempatan seharusnya mengambil peluang yang ada untuk bersaing dengan penyerang import kerana itu antara sebab mengapa penggunaan tenaga import kembali dibenarkan di Liga-M.


"Memang ketika ini penyerang import dilihat lebih menyerlah tetapi kami di FAM mengharapkan supaya pemain kita berusaha sebaik mungkin untuk bersaing dengan mereka. Jangan terlalu mengharapkan pemain import untuk menjaringkan gol sebaliknya pemain kita harus turut sama berbuat demikian.


"Apa yang boleh kami harapkan ialah pemain tempatan perlu lebih bijak dan belajar daripada pemain import masing-masing mengenai kaedah terbaik untuk menjaringkan gol. Tidak mustahil satu hari nanti, kita turut mempunyai penggempur berkaliber dan ia pernah dibuktikan satu masa lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

'Kami tak tertekan'

Posted: 29 Mar 2014 02:35 PM PDT

Liverpool: Brendan Rodgers tegas dan yakin anak buahnya langsung tidak merasai sebarang tekanan ketika mereka sedang meningkatkan usaha untuk mengukuhkan label selaku pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool dianggap sebagai antara pasukan paling digeruni dan malam ini, skuad kendalian Rodgers itu berpeluang cerah untuk menduduki tangga teratas liga - sama seperti 24 tahun lalu - dan mereka harus berterima kasih kepada catatan tujuh kemenangan berturut-turut setakat ini.


Mereka kini menduduki tangga kedua, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Chelsea dan bakal menjadi tuan rumah kepada pertemuan menentang Chelsea dan Manchester City pada hujung musim nanti.

Tetapi Rodgers dilihat cuba mengalihkan tumpuan terhadap pasukannya dan mendakwa Tottenham yang kini bergelut untuk menduduki kelompok empat teratas, bakal menjadi pasukan yang lebih tertekan berbanding anak buahnya.


"Pemain saya tenang dan mereka pasti dapat menumpukan perhatian," katanya. "Tidak ada pihak yang menjangkakan kami akan muncul juara dan sebab itu, kami tidak tertekan.


"Saya rasa, pasukan seperti Tottenham lebih tertekan berbanding kami kerana mereka mahu menduduki sekurang-kurangnya tangga keempat liga. Tambahan pula, sekiranya anda membelanjakan ratusan juta pound untuk membeli pemain, anda pasti merasa tekanan untuk menjadi yang terbaik.

"Kami dapat bermain seperti biasa dan kami sudah membuktikan betapa kami mampu beraksi tanpa rasa gerun pada sesiapapun." Rodgers tetap menyatakan bahawa sasaran Liverpool musim ini ialah untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik yang mampu. Begitupun, selepas membelasah Tottenham 5-0 di White Hart Lane Disember lalu, beliau sudah tentu mahu mencari satu lagi kejayaan malam ini.


"Kami bermain di Anfield dan kami menjangka boleh menang di tempat sendiri," katanya.

Anak buah Rodgers mengumpul kelebihan 11 mata berbanding pasukan di tangga kelima, Everton tetapi pengurus itu sudah mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu memikirkan soal layak ke Liga Juara-Juara musim depan.


"Masih ada baki tujuh perlawanan dengan 21 mata untuk direbut. Memang kami mahu menang semuanya. Sasaran kami ialah untuk menduduki tangga tertinggi yang kami mampu capai. Sasaran itu tidak berubah sejak awal musim." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Martinez bimbang berdepan Fulham 'baru'

Posted: 29 Mar 2014 02:35 PM PDT

London: Roberto Martinez berkata Everton akan berdepan Fulham 'baru' dan bukan lagi pasukan sama yang mereka tumbangkan 4-1 ketika pertemuan pertama kedua-dua pasukan awal musim ini.

Fulham yang ketika itu dibimbing Rene Meulensteen, kelihatan sumbang ketika bertandang ke Merseyside, Disember lalu tetapi kali ini, mereka akan bermain di Craven Cottage - gelanggang yang sama sekali tidak boleh diremehkan setiap lawan.


Meulensteen dipecat Februari lalu dan tempatnya digantikan Felix Magath yang bagaimanapun hanya mampu menjana satu kemenangan sepanjang lima aksi pertamanya.

Begitupun, Martinez percaya pengendali Jerman itu yang pernah dua kali memenangi Bundesliga bersama Bayern Munich pada 2005 dan 2006 pasti mempunyai pengaruh yang semakin kukuh di Cottagers.


Martinez berkata: "Fulham adalah pasukan yang bakal memberi masalah buat kami. Mereka menang ke atas Newcastle dan memiliki pemain yang sudah semakin sedar betapa pentingnya untuk mencapai kemenangan.


"Felix Magath berjaya menyerap tekanan dan beliau sudah mula menunjukkan kemampuannya selaku pengurus.

"Beliau membawa bersamanya pengalaman luas dalam bola sepak dan beliau juga pernah mencapai banyak kejayaan selaku pengurus. Sudah tentu beliau berjaya menyediakan pasukan mantap dan saya rasa keputusan yang tidak menyebelahi mereka sejak kebelakangan ini hanyalah disebabkan faktor nasib.


"Beliau mampu menjalin hubungan istimewa dengan pemainnya dan itulah sebabnya mengapa saya merasakan bahawa Fulham kali ini adalah berbeza dengan pasukan yang pernah bermain di Goodison Park. Mereka boleh beraksi dengan cemerlang hingga hujung musim ini terutamanya di Craven Cottage." Everton menang semua empat aksi terakhir mereka tetapi Martinez mengaku peluang anak buahnya untuk merakam satu lagi kemenangan bukanlah mudah kerana Fulham semakin bergaya selain mereka kini berusaha untuk menjauhkan diri daripada zon penyingkiran.

Martinez menambah: "Apabila anda berada di kedudukan buruk, anda akan tertekan bila beraksi di tempat sendiri kerana anda mahukan tiga mata. Bagaimanapun, memasuki fasa terakhir musim, tekanan itu sudah menjadi biasa dan anda mampu mengejutkan lawan. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Tiada separuh akhir

Posted: 29 Mar 2014 02:34 PM PDT

Miami: Kejohanan Terbuka Sony yang disifatkan sebagai salah satu acara tenis paling berprestij, sedikit cacat apabila pusingan separuh akhir tidak dapat dilangsungkan gara-gara dua daripada pemainnya terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Keadaan itu membuatkan pemain nombor satu dan dua dunia, Rafael Nadal serta Novak Djokovic mara ke perlawanan akhir tanpa perlu mengeluarkan peluh.


Djokovic yang juga juara tiga kali, layak ke perlawanan akhir selepas pemain Jepun Kei Nishikori terpaksa menarik diri akibat kecederaan pangkal paha dan beberapa jam kemudian, penganjur kejohanan sekali lagi dikejutkan apabila pemain pilihan ketujuh, Tomas Berdych mengumumkan bahawa dia juga terpaksa menarik diri gara-gara masalah perut sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada Nadal.

Beribu-ribu peminat yang hadir untuk menyaksikan kedua-dua perlawanan itu, pulang hampa dan hanya berkesempatan melihat aksi dua beregu wanita.


Ketika pengumuman dibuat penganjur berhubung pembatalan perlawanan separuh akhir itu, sebahagian besar penonton mula mengeluarkan pelbagai cemuhan dan tidak kurang juga yang dilihat meninggalkan tempat duduk masing-masing.


"Saya bersimpati dengan Kei. Simpati pada Tomas, kejohanan dan saya minta maaf kepada semua penonton," kata Nadal selepas pengumuman itu. "Memang ini tidak dijangka. Amat jarang sekali perkara sebegini berlaku walaupun ia bukan mustahil.

"Seingat saya, ia tidak pernah berlaku dalam sejarah pertandingan besar." Di sebalik penarikan diri dua pemain itu, Kejohanan Terbuka Sony tetap menjanjikan pertandingan akhir menarik yang menemukan dua pemain terkemuka dunia - pertemuan ke-40 antara mereka.


Berdasarkan catatan pertemuan, Nadal mengumpul 22 kemenangan berbanding 17 yang dimenangi Djokovic tetapi dia tidak pernah menjulang kejayaan di Terbuka Sony walaupun sudah tiga kali melangkah ke perlawanan akhir.

"Satu-satunya peluang yang ada untuk menundukkan Novak ialah bermain pada tahap terbaik sambil berharap dia tidak dapat mempamer aksi sebenar," kata Nadal.


"Saya sudah tentu akan melakukan yang terbaik. Saya tidak kira sama ada ia berlaku di kejohanan ini atau kejohanan lain. Bagi saya, tidak ada kejohanan yang tidak penting.


"Apa yang pasti, Miami adalah kejohanan berprestij yang saya tidak pernah berpeluang untuk memenanginya.


"Ini adalah final saya yang keempat. Untuk layak buat kali keempat dalam satu kejohanan adalah baik dan justeru, saya perlu menumpukan perhatian." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Brazil idam kejuaraan keenam

Posted: 29 Mar 2014 02:34 PM PDT

Hatfield: Menjuarai Piala Dunia untuk kali keenam lebih bermakna buat Brazil berbanding mempamerkan 'permainan menarik', menurut pengarah teknikal Brazil, Carlos Alberto Parreira.

Parreira mengendali Brazil menjulang Piala Dunia 1994, berkata, penyokong Brazil menyukai apa dianggapnya sebagai 'bola sepak menghiburkan' dan menggelecek tetapi bukan mudah bermain aksi seperti itu sepanjang masa.


"Kami mahu bermain bola sepak dengan baik," katanya.

"Apa paling penting pada penghujung kejohanan adalah memenangi Piala Dunia. Cara bagaimana anda bermain tidak penting," katanya.


Pasukan Brazil kendalian Parreira terpaksa bergelut mencatat kemenangan pada kejohanan 1994 dan muncul juara menerusi sepakan penalti selepas seri 0-0 dengan Itali.


Pemain tengah Paulinho mengulangi apa diperkatakan oleh beliau.

"Jika kami terpaksa bermain buruk untuk memenangi perlawanan, kami akan melakukannya," kata Paulinho.


Parreira enggan memperbesarkan kebimbangan Piala Dunia di Brazil akan dicemari anti-kerajaan atau pengurusan yang lemah bakal memberi masalah kepada peminat yang datang menyaksikannya.

"Kami negara bola sepak. Terdapat sedikit kesulitan dalam penganjuran Piala Dunia tetapi saya boleh mengatakan suasana dalam stadium pasti akan menjadi sangat hebat," kata Parreira.


"Penyokong Brazil iaitu rakyat akan sentiasa berada di belakang pasukan kebangsaan negara itu," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Asia bangkit

Posted: 29 Mar 2014 02:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan Asia membuat kebangkitan menakjubkan pada pusingan akhir Piala EurAsia apabila memenangi enam daripada 10 acara perseorangan sekali gus berkongsi kejuaraan dengan Eropah di lapangan Kelab Golf dan Country Glenmarie, semalam.

Tidak sesiapa menjangka pasukan Eropah yang melangkah ke pusingan akhir dengan kelebihan 7-3, bakal berdepan saat memalukan apabila sebahagian besar pemain skuad berkenaan gagal mempamer aksi membanggakan seperti yang ditunjukkan pada hari pertama yang menyaksikan mereka menang 5-0 dalam acara four-balls, Khamis lalu.


Pencapaian skuad Asia itu menyamai catatan Eropah ketika mencipta 'Miracle of Medinah' di Piala Ryder 2012 apabila bangkit daripada ketinggalan 10-6 untuk menewaskan Amerika Syarikat 14.5-13.5.

Semalam, kebangkitan Asia dimulakan oleh bintang Thailand Prayad Marksaeng apabila dia yang ketinggalan empat mata selepas sembilan lubang pertama, berjaya mengikat pemain nombor 28 dunia, Jamie Donaldson selepas 18 lubang.


Ketika pemain Eropah hilang rentak, Asia pantas menyamakan kedudukan 8.5 selepas menang lima daripada tujuh permainan selain mencatat satu seri.


Pada saingan semalam, hanya kapten Eropah, Miguel Angel Jimenez yang berjaya melakar kemenangan bersih apabila mengatasi pemain negara, Nicholas Fung di lubang terakhir walaupun pada satu ketika, kedua-duanya terikat seri sepanjang 17 lubang.

Kekalahan Fung tidak melemahkan semangat Asia sebaliknya semua rakan sepasukannya memasang azam untuk menguasai permainan.


Asia mula menunjukkan belang apabila kapten pasukan, Thongchai Jaidee mengalahkan Graeme McDowell dengan keputusan 3-2 sambil pemain nombor satu Asia, Kiradech Aphibarnrat menundukkan Thomas Bjorn 2-1.

Selepas Marksaeng mengikat Donaldson, Asia beroleh satu lagi mata menerusi Kim Hyung-Sung yang mengalahkan Pablo Larrazabal 4-2 ketika Anirban Lahiri mengatasi Victor Dubuisson 2-1 dan Gaganjeet Bhullar menewaskan Thorbjorn Olesen 4-3.


Jaidee pantas memuji aksi pemainnya dan menyifatkan kesungguhan mereka menjadi kunci kejayaan semalam.


"Kami mengadakan perbincangan malam tadi (semalam) dan saya memberitahu mereka bahawa di dalam golf, apa saja boleh berlaku. Mereka bermain cemerlang dan walaupun kami ketinggalan dengan empat mata, semangat juang pemain Asia tetap tinggi ketika melangkah ke pusingan akhir," kata Jaidee.


Asia mengatasi Eropah buat kali pertama dengan mata 9.5-8.5 apabila Siddikur Rahman mengatasi Stephen Gallacher 4-3 tetapi Joost Luiten berjaya menundukkan Koumei Oda di lubang terakhir.


Gonzalo Fernandez-Castano dan Hideto Tanihara menjadi tumpuan apabila kedua-duanya terikat seri sepanjang 14 lubang dan tekanan yang dihadapi Fernandez-Castano hampir membawa padah apabila dia terlepas putt di lubang ke-15 sekali gus memberikan kelebihan buat lawannya yang berusia 35 tahun itu.


Fernandez-Castano berjaya membenam eagle di lubang ke-16 dan pada baki dua lubang terakhir, kedua-dua pemain tetap mencatat seri.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan hadiah kepada kedua-dua pasukan dan sebelum itu, semua yang hadir bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa pesawat MH370.


Dalam ucapannya, Najib turut mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah Piala EurAsia edisi 2016 dan 2018. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Patuhi syarat perpindahan, pendaftaran kedua pemain

Posted: 29 Mar 2014 02:33 PM PDT

Minggu lalu, artikel saya menyentuh mengenai perpindahan dan pendaftaran kedua pemain Liga Malaysia musim 2014.

Berlaku sedikit kekeliruan berhubung beberapa maklumat di dalam artikel berkenaan dan saya ingin menarik perhatian semua pihak berhubung isu terbabit dan adalah penting untuk saya menjelaskan dengan lebih mendalam.


Tidak dinafikan terdapat percanggahan berhubung tarikh dan syarat sudah ditetapkan. Selaku manusia biasa, saya tidak terlepas daripada kesilapan dan ingin memohon maaf di atas kesalahan berkenaan.

Justeru, di kesempatan ini saya ingin membetulkan semula tarikh dan syarat seperti yang sudah diputuskan jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


Seperti semua maklum, tarikh pendaftaran pemain tempatan adalah 23 Mac hingga 22 April 2014 manakala bagi pemain import, tarikh ditetapkan ialah 23 Mac hingga 19 April.


Kedua-dua tarikh ditetapkan itu sama seperti terkandung di dalam surat pekeliling FAM kepada semua ahli gabungan sebelum ini.

Bagi penjelasan lanjut, saya ingin menjelaskan menarik perhatian semua yang terbabit di dalam pentas bola sepak negara mengenai jumlah pertukaran pemain tempatan serta import yang dibenarkan.


Bagi pemain tempatan, pemain yang dibenarkan untuk ditukarkan ialah 3 orang tetapi mestilah bukan daripada kalangan pemain yang sedang beraksi di dalam Liga-M sebaliknya setiap pasukan boleh mengambil pemain di liga bawahan.

Andai ada perpindahan membabitkan pasukan yang bermain di Liga Super atau Perdana, kedua-dua pihak (majikan sedia ada dan majikan baru) hendaklah bersetuju melepaskan atau mengambil pemain berkenaan menerusi borang persetujuan yang dikenali sebagai C06.


Sebagai badan induk yang menguruskan bola sepak Malaysia, kKami tidak mahu berlaku pertelagahan berhubung kes 'curi pemain' dan rasanya semua ahli gabungan FAM sudah sedia maklum. dengan peraturan berkenaan.


Bagi pemain import pula, jumlah pengambilan pemain baru yang dibenarkan ialah 4 orang tetapi mestilah daripada kalangan mereka yang tidak beraksi di Liga-M.


Seperkara lagi, mulai tahun lalu, FAM menetapkan pinjaman pemain tidak lagi dibenarkan sepanjang pendaftaran kedua ini.


Saya harap penjelasan ini akan dapat memuaskan hati semua pihak dan seperti yang semua maklum, kami di FAM sentiasa mengamalkan dasar buka pintu kepada mana-mana ahli gabungan yang mahu mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai bola sepak kita.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Malaysia mahu ubah kalendar F1

Posted: 29 Mar 2014 02:32 PM PDT

Sepang: Malaysia mungkin meminta penganjur perlumbaan Formula Satu (F1) untuk mengubah kalendar perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kepada pertengahan atau hujung saingan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, perubahan kalendar itu perlu dilakukan bagi membolehkan rakyat Malaysia dapat turut sama merasai bahang saingan yang memasuki tempoh kemuncaknya.


"Mungkin kita akan berbincang dengan pihak penganjur F1 bagi melewatkan jadual perlumbaan di Malaysia.

"Bermakna, Malaysia juga tidak sekadar diberi peluang menganjurkan perlumbaan ini hanya pada awal pusingan terutama di pusingan kedua," katanya.


Sejak menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada 1999, kalendar perlumbaan di Malaysia hanya diletakkan pada penghujung saingan sebanyak dua kali iaitu pada tahun pertama penganjurannya serta setahun kemudian.


Bermula 2001 hingga tahun ini, kalendar perlumbaan di Sepang diletakkan pada pusingan awal.

Sementara itu, Razlan berkata, setakat ini pihaknya tidak bercadang untuk menganjurkan perlumbaan pada waktu malam seperti yang dianjurkan negara jiran, Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Beranilah sikit!

Posted: 29 Mar 2014 02:32 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kita ada penyerang, tapi kebanyakan mereka sering gugup di depan gawang. Saya harap penyerang kita dapat belajar daripada pemain import mengenai kaedah betul menjaringkan gol. Kalau tidak, sampai bila-bila pun, kita akan tetap mengharapkan kepada penyerang import," kata jurulatih Perlis, Reduan Abdullah.

Reduan yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, bukan sesuatu menghairankan apabila senarai penjaring terbanyak Liga Super ketika ini diisi pemain import kerana setiap pasukan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemain luar di posisi berkenaan.


"Saya tidak memandang perkara itu daripada sudut negatif sebaliknya saya beranggapan penyerang kita perlu belajar dan berani. Mereka perlu menganggap itu sebagai satu cabaran buat mereka. Apa maknanya jika bermain di posisi serangan tetapi tidak menjaringkan gol.

"Tidak salah kalau kita belajar daripada mereka (pemain import). Lihat saja aksi mereka yang tidak gugup di depan gawang, tapi pemain kita ada kalanya terkial-kial meletakkan bola di dalam gawang lawan.


"Kita pernah ada ramai penyerang berkualiti dan tidak mustahil kita akan memiliki kelompok penyerang disegani satu hari nanti. Cuma kita perlu belajar dan tidak cepat mengalah," katanya.


Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Dr Ibrahim Saad berkata, mungkin badan induk kebangsaan itu boleh mengehadkan pengambilan pemain import bagi mengelak daripada negara mengalami masalah ketandusan penyerang berkualiti.

"Mungkin FAM boleh meletakkan syarat menghalang pengambilan terlalu ramai pemain penyerang. Benarkan setiap pasukan hanya mempunyai seorang pemain import manakala lebihkan pemain import di posisi pertahanan dan sebagainya.


"Dengan cara itu, pemain tempatan yang beraksi di bahagian serangan pasti berdepan kesukaran menembusi benteng lawan dan daripada situlah mereka boleh belajar bagaimana untuk menjaringkan gol.

"Mungkin cadangan itu dilihat sebagai pelik, tapi untuk membolehkan pasukan kebangsaan kita maju dan memiliki penyerang berkaliber, tidak ada salahnya kita cuba kaedah sedemikian.


"Ini liga kita dan tujuan liga diadakan ialah untuk melahirkan pemain berkualiti. Kalau kita asyik mengharapkan tenaga import menjaringkan gol, sampai bilakah kita boleh mendabik dada atas kejayaan yang dijana anak watan kita sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

No comments:

Post a Comment