Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Cabaran 13 kontinjen

Posted: 21 Mar 2014 10:34 AM PDT

Kuantan: Lebih 1,300 atlet yang mewakili 13 kontinjen seluruh negara akan bersaing pada kejohanan sukan Gabungan Agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan Awam Malaysia (GEMAPUTERA) pada 26 hingga 29 Mac ini.

Kejohanan dwitahunan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) membabitkan enam acara seperti bola jaring, golf, boling, futsal dan karom. Turut diadakan pertandingan memancing yang akan berlangsung di pusat rekreasi Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Balok.


Pengerusi penganjur Datuk Lias Mohd Noor berkata, kali pertama PKNP menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan pada 2000 dan penganjuran seterusnya pada 2026.

Menurutnya, penganjuran GEMAPUTERA bertujuan mengeratkan lagi kerjasama dalam kalangan agensi terbabit yang akan berkumpul sambil memburu kejayaan pada setiap pertandingan disertai.


Katanya, selain itu ia turut memberikan peluang perniagaan kepada peniaga kecil di daerah terbabit dengan aktiviti perniagaan di setiap gelanggang permainan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.


"Selain berusaha menjadi penganjur terbaik, saya juga berharap atlet PKNP tidak mengambil mudah usaha meraih kemenangan pada setiap acara dipertandingkan.

Foto

ADNAN (kiri) menandatangani plak sebagai tanda pelancaran logo sukan GEMAPUTERA di pejabat PKNP, semalam.

"Persediaan jangka panjang atlet diharap menjadi senjata utama buat kita merealisasi misi memburu juara keseluruhan berbekal kelebihan beraksi di gelanggang sendiri," katanya yang juga Ketua Eksekutif PKNP.


Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran logo GEMAPUTERA 2014 yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di pejabat PKNP Kompleks Terumtum, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail. Lias berkata, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan UDA Holding turut menyertai kejohanan itu dan penganjur mendapat kerjasama beberapa agensi seperti MPK, kampus Kuantan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kelab Golf Diraja Pahang.


Adnan turut berkata, atlet PKNP perlu memberikan tumpuan kepada usaha merangkul kejayaan dan tidak hanya berpuas hati menjadi penganjur saja.


"Aksi di gelanggang sendiri diharap menjadi kelebihan kepada kita mencatat kemenangan dalam semua acara dipertandingkan, peluang yang terhidang perlu direbut sebaik mungkin.


"Saya juga berharap peminat sukan tempatan tidak melepaskan peluang menonton dan memberi sokongan kepada atlet PKNP dalam usaha meningkatkan lagi semangat mereka memburu kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Pertarungan gergasi London

Posted: 21 Mar 2014 09:01 AM PDT

London: Arsene Wenger berharap boleh meraikan perlawanan ke-1,000 sebagai pengurus Arsenal dengan mengalahkan Chelsea yang kini mendahului empat mata di puncak liga apabila dua kelab gergasi London itu berentap hari ini.

Kali terakhir Wenger menjulang trofi sembilan tahun lalu namun kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur, minggu lalu membolehkan mereka merapatkan jurang selepas Chelsea pula mengalami kekalahan 0-1 di Aston Villa.


Arsenal juga beraksi kurang satu perlawanan berbanding skuad kendalian Jose Mourinho dan kemenangan di Stamford Bridge bakal memberi kelebihan kepada mereka dalam perebutan kejuaraan.

Arsenal turut beraksi di separuh akhir Piala FA menentang juara bertahan Wigan Athletic dan Wenger mengaku tidak mempunyai masa untuk mengimbau nostalgia lampau.


"Ia membuatkan anda berasa, "Ke mana perginya masa?" katanya. "Rasanya seperti saya baru bersama kelab ini semalam. Saya seperti tidak percaya sudah lama di sini.


"Mengapa? Mungkin kerana selalu fokus dan memikirkan perlawanan seterusnya. Apabila lihat ke belakang, anda akan fikir, "Sudah lama saya di sini." Pengurus Chelsea Mourinho berdepan tindakan salah laku oleh Persatuan Bola Sepak England selepas diarah meninggalkan padang ketika kalah di Villa namun beliau menikmati detik menggembirakan apabila anak buahnya menumpaskan Galatasaray, 2-0 untuk melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Pemain sayap, Eden Hazard tidak sabar untuk turun beraksi.


"Perlawanan menentang Arsenal tepat pada masanya selepas kami mengalami kekalahan dalam liga minggu lalu.

"Kami akan berehat dan pegawai kecergasan kelab membantu kami kembali cergas. Kami akan berusaha memberikan permainan terbaik di depan penyokong sendiri . Penting untuk memenangi perlawanan ini." Kekalahan Chelsea di Villa Park turut membuka pintu buat pasukan di tangga kedua Liverpool dan tangga keempat Manchester City.


Seperti Arsenal, Liverpool juga ketinggalan empat mata dan beraksi kurang satu perlawanan manakala City berada dalam kedudukan lebih baik apabila ketinggalan enam mata dan beraksi kurang tiga perlawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Peluang terbaik pulih status

Posted: 21 Mar 2014 09:00 AM PDT

Manchester: Michael Carrick mahu Manchester United memanfaatkan kunjungan ke West Ham untuk membuktikan kebangkitan ketika menentang Olympiakos bukanlah nasib semata-mata.

United mengharungi musim pertama yang sukar di bawah kendalian David Moyes dan dibayangi kekalahan terbaru 0-3 di laman sendiri menentang musuh tradisi, Liverpool, hujung minggu lalu.


Skuad kendalian Moyes bangkit mengatasi defisit 0-2 di tangan kelab Greece itu pada pusingan kedua Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi kelmarin dengan kemenangan 3-0 yang menyaksikan mereka melangkah ke suku akhir.

Bagaimanapun, aksi konsisten amat sukar dipamerkan sejak Moyes menggantikan Alex Ferguson pada pra-musim dan dengan baki sembilan perlawanan, juara Liga Perdana itu ketinggalan 12 mata berbanding pasukan tangga keempat, Manchester City.


Carrick optimis kemenangan ke atas Olympiakos boleh menjadi titik perubahan menjelang kunjungan ke Upton Park, hari ini.


"Saya harap ini akan menambah tahap keyakinan namun saya tidak mahu terbawa-bawa," kata Carrick yang juga bekas pemain kesayangan Hammers. "Kadang-kala musim ini kami sudah selangkah ke depan tapi dua langkah ke belakang. Pada masa lalu apabila kami hambar, kadang-kala kami mendapat keputusan yang tidak dijangka.

"Kami mempunyai perlawanan pada Sabtu (hari ini) menentang West Ham untuk difikirkan selain Manchester City pada Selasa.


"Musim kami tidak bagus dan kini perlu lebih konsisten. Semoga kejayaan ini akan melonjakkan kami namun perlu mengambilnya selangkah demi selangkah."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Tunggu hujung musim

Posted: 21 Mar 2014 08:55 AM PDT

Liverpool: Brendan Rodgers tetap menegaskan Liverpool tidak fokus untuk merangkul gelaran Liga Perdana walaupun ketika ini mereka memberi tekanan kepada pendahulu Chelsea.

Liverpool bertandang ke Cardiff, hari ini, empat mata di belakang Chelsea dan beraksi kurang satu perlawanan. Skuad dari Merseyside itu juga memiliki kelebihan apabila anak buah Jose Mourinho bakal masih perlu berkunjung ke Anfield.


Kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi Manchester United, minggu lalu membolehkan Liverpool mengumpul 26 mata daripada 30 mata maksimum sejak awal tahun ini serta mencetuskan keyakinan mereka boleh merebut kejuaraan pertama sejak 1990.

Selepas kunjungan ke Wales, Liverpool bakal berdepan pasukan bawahan liga Sunderland dan Tottenham sebelum bertandang ke West Ham.


Mereka akan beraksi di laman sendiri menentang Manchester City dan Chelsea dengan kunjungan ke Norwich antara perlawanan itu dan mereka bakal menamatkan kempen berdepan Crystal Palace dan Newcastle.


Bagaimanapun pengurus Liverpool Rodgers menyatakan, kemenangan di Old Trafford tidak menyebabkan anak buahnya mula berbicara mengenai peluang Reds menamatkan kemarau kejuaraan.

"Keputusan di Old Trafford hebat, namun kami langsung tidak bercakap soal memenangi gelaran. Kami cuma menikmati hasil usaha keras dan memberi fokus kepada perlawanan dengan Cardiff.


"Saya tidak tahu bagaimana peluang kami untuk memenangi liga. Kami masih perlu mengharungi banyak perlawanan sukar. Pertemuan menentang Cardiff pasti sukar. Kami akan bercakap mengenai kejuaraan ini apabila musim ini berakhir." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Clichy idam juara liga

Posted: 21 Mar 2014 08:50 AM PDT

Manchester: Pertahanan Manchester City Gael Clichy mengaku kegagalan memenangi Liga Perdana musim ini tidak boleh diterima menjelang pertemuan dengan Fulham malam ini.

City sudah memenangi Piala Liga namun dikejutkan dengan kekalahan kepada Wigan Athletic pada suku akhir Piala FA selain disingkirkan Barcelona di pusingan kedua Liga Juara-Juara.


Mereka kini menghuni kedudukan keempat Liga Perdana dan ketinggalan enam mata kepada Chelsea namun kekurangan tiga perlawanan berbanding pendahulu liga itu.

Pertahanan kiri Perancis itu berkata, City perlu melupakan kekecewaan sebelum ini dan memastikan saingan dalam satu-satunya perebutan trofi yang masih ada.


"Hanya memenangi Piala Liga tidak mencukupi," kata Clichy.


"Jika anda tidak mempunyai tenaga dan keinginan untuk menang setiap perlawanan tanpa mengira lawan, anda tidak mempunyai kaitan dengan City. "Projek ini hebat dan kami bernasib baik berada di sini, berkongsi bersama rakan sepasukan, namun anda sedar, ia tempoh yang penting dan kami perlu meraih mata sehingga penghujung musim, bermula dengan Fulham.

"Kejuaraan tetap kejuaraan, tahun ini belum lagi diraih namun kami akan cuba sebaik mungkin untuk memberikan penyokong City sesuatu yang boleh dikongsikan sehingga penghujung musim." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Ulangan final 1999

Posted: 21 Mar 2014 08:47 AM PDT

Nyon, Switzerland: Juara bertahan Bayern Munich diundi menentang Manchester United dalam perlawanan ulangan final Liga Juara-Juara 1999 membabitkan pasukan dipenuhi bintang itu dalam undian suku akhir yang berlangsung di Nyon, semalam.

Namun kapten Bayern, Philipp Lahm memberi amaran bahaya akan menimpa andai mengambil mudah pertemuan itu berdasarkan prestasi semasa United.


"Kami tidak boleh terlalu yakin dan memandang mudah cabaran United berdasarkan kedudukan EPL," katanya. "Kami perlukan persiapan rapi dan kekuatan minda kerana saya yakin Bayern mampu layak ke separuh akhir." Sementara itu Setiausaha Agung Manchester United John Alexender gembira dengan undian itu kerana katanya ia cukup dramatik.

"Undian ini amat menarik, seperti ulangan final 1999. Kemenangan 3-0 ke atas Olympiakos memantapkan pasukan untuk berdepan Bayern.


"Andai beraksi baik pada perlawanan pertama, saya yakin kami akan melepasi Bayern untuk ke separuh akhir," katanya. Juara empat kali, Barcelona akan beraksi pada perlawanan pertama di Nou Camp menentang seteru La Liga, Atletico Madrid dalam saingan membabitkan dua kelab Sepanyol manakala Chelsea menentang Paris Saint-Germain pada perlawanan pertama di ibu kota Perancis itu.


Real Madrid akan meneruskan usaha melebarkan rekod 10 kejuaraan Eropah menentang finalis 2013, Borussia Dortmund.

Foto

ALEXANDER (kanan) bersalaman dengan Ahli Lembaga Pengarah Bayern, Andreas Jung.

Pendahulu Bundesliga itu berharap memanfaatkan selepas kekalahan 1-2 pada final 1999 ketika Barcelona menjadi tuan rumah.


Buat kali pertama, semua juara peringkat kumpulan mara ke suku akhir yang dijangkakan sengit.

Cristiano Ronaldo yang mencipta 13 gol bersama Real akan tampil menentang Dortmund, ketinggalan satu gol kepada rekod milik Lionel Messi yang dicipta dalam tempoh semusim Liga Juara-Juara.


Pemain Argentina itu sudah meledak 67 gol dalam aksi Liga Juara-Juara dan ketinggalan empat jaringan berbanding rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman dimiliki penyerang Sepanyol, Raul.


Aksi final berlangsung di Stadium Of Light yang menjadi gelanggang Benfica pada 24 Mei. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Iniesta positif menjelang El Clasico

Posted: 21 Mar 2014 08:44 AM PDT

Madrid: Pemain tengah Barcelona Andres Iniesta yakin mereka boleh memperbaiki prestasi buruk di gelanggang lawan dan memastikan mereka kembali di landasan tepat bagi merebut kejuaraan La Liga dengan mengalahkan pendahulu Real Madrid, esok.

Kelab Catalan itu kini menduduki tangga ketiga, empat mata di belakang Real selepas hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir di gelanggang lawan.


Bagaimanapun Iniesta percaya juara Sepanyol itu membuktikan kehebatan dalam dua perlawanan menentang Manchester City pada aksi Liga Juara-Juara sekali gus menegaskan mereka masih mampu mengalahkan mana-mana pasukan.

"Kami juga melalui hari malang, sama seperti pasukan lain tapi tiada siapa boleh meramalkan Real akan mengalahkan kami dengan mudah," katanya dalam sidang media semalam.


"Sukar mempercayai ada penyokong Barca tidak yakin terhadap kemampuan kami. Pasukan ini boleh melakukan apa saja, tidak kira dalam apa jua situasi sekalipun." Jurulatih Barca Gerardo Martino memiliki barisan pemain hebat untuk diturunkan dan beliau mungkin menggunakan kesebelasan utama ketika menentang City di laman sendiri untuk kali kedua dalam musim ini.


Ini bermakna Neymar dan Cesc Fabregas kembali beraksi selepas direhatkan dalam perlawanan minggu lalu ketika menang besar 7-0 ke atas Osasuna manakala Pedro Rodriguez dan Alexis Sanchez yang meledak gol kemenangan pada pertemuan terakhir Barca dengan Real pada Oktober lalu memanaskan bangku simpanan.

Real tidak pernah kalah dalam 31 perlawanan semua pertandingan sejak kedua-dua pasukan itu berentap di Camp Nou.


Rekod itu membolehkan skuad kendalian Carlo Ancelotti memintas Atletico dan Barcelona serta turut melangkah ke final Copa del Rey serta suku akhir Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun pengendali dari Itali itu menegaskan mereka perlu mempamerkan aksi terbaik untuk menghalang Barcelona merangkul kejuaraan.


"Kami dalam prestasi terbaik dan tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan selepas ini. Kami tahu ia perlawanan yang sukar menentang pasukan hebat," kata Ancelotti.


"Kami sudah banyak meningkat. Kami perlu berada di tahap terbaik untuk mengalahkan Barcelona," kataAncelotti. Real dikejutkan dengan berita penyerang berusia 21 tahun, Jese Rodriguez terpaksa diketepikan sepanjang musim ini kerana kecederaan ligamen lutut kanan.


Bagaimanapun itu tidak menjejaskan perancangan Ancelotti apabila tonggak utama seperti Luka Modric, Angel di Maria, Gareth Bale dan Karim Benzema kembali beraksi selepas direhatkan ketika menang 3-1 ke atas Schalke pada Rabu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Perebutan tiket Eropah sengit

Posted: 21 Mar 2014 08:44 AM PDT

Milan: Persaingan merebut tiket ke pentas Eropah mendominasi Serie A hujung minggu ini apabila pendahulu, Juventus menentang pasukan bawahan, Catania dijangka melebarkan kelebihan di puncak liga.

Juventus bertandang ke Catania selepas beberapa hari melangkah ke suku akhir Liga Europa hasil kemenangan 1-0 di Fiorentina.


Catania yang hanya menang empat kali musim ini seharusnya tidak mendatangkan masalah buat Juventus ketika mereka memulakan baki 10 perlawanan liga dengan mendahului 14 mata di depan Roma yang beraksi kurang satu perlawanan. Harapan Roma menamatkan penantian 13 tahun meraih kejuaraan scudetto lebur selepas meraih keputusan seri di Lazio dan menentang Inter di laman sendiri disusuli kekalahan di tempat lawan kepada Napoli.

Kapten Roma, Francesco Totti, yang kembali minggu lalu selepas pulih daripada kecederaan meledak jaringan ketika kemenangan 3-2 mengatasi Udinese, berkata: "Kejuaraan scudetto sudah 99 peratus lenyap.


"Namun selagi tiada pemain yang meninggalkan kelab termasuk jurulatih Rudi Garcia, kami boleh memenanginya tahun depan. Kami sebuah pasukan yang sangat kuat, seperti skuad yang memenangi scudetto pada 2001." Ketika Juve dilihat hampir meraih gelaran buat kali ketiga berturut-turut, Roma turut berdepan tekanan Napoli dalam saingan merebut kedudukan kedua dan layak secara automatik ke Liga Juara-Juara.


Roma bertandang ke Chievo dengan pemain tengah Rodrigo Taddei yang tampil menggantikan Kevin Strootman (kecederaan) dan Daniele De Rossi (penggantungan), menggesa pasukannya untuk fokus.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Habuan 10 pemenang

Posted: 21 Mar 2014 08:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 10 pemenang utama Peraduan Mencari Perbezaan Cub Prix 2013 menerima hadiah motosikal Suzuki Smash V115 setiap seorang pada satu majlis ringkas di Balai Berita Bangsar, semalam.

Peraduan berlangsung dari April hingga Disember tahun lalu, menyaksikan Harian Metro menerima 30,000 penyertaan sepanjang 10 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang diadakan di 10 lokasi seluruh negara.


Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, peraduan dianjur bersama Promoter Kejuaraan Cub Prix PETRONAS Sprinta, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) yang kini memasuki tahun ke-10 berjaya menarik banyak penyertaan terutama dari pembaca setia Harian Metro di seluruh negara.

"Kami berasa sungguh berbesar hati kerana sepanjang pembabitan Harian Metro menganjurkan peraduan ini, jumlah penyertaan sering saja meningkat saban tahun.


"Lebih penting, daripada penganjuran peraduan seumpama ini, kita dapat mewujudkan kesedaran kepada orang ramai terhadap sukan permotoran di negara kita. Kita akan teruskan untuk tahun berikutnya," katanya pada majlis penyerahan hadiah kepada pemenang di Balai Berita, semalam.


Hadir sama Pengarah Promosi SAM Ron Hogg, Pengurus Pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing Soong Chee Kieong dan Pengarang Sukan Harian Metro Mohd Radzi Wahab.

Foto

MUSTAPA (kiri) dan Hogg (dua dari kiri) bersama 10 pemenang Peraduan Mencari Perbezaan Cub Prix 2013 di Balai Berita Bangsar, semalam.

Menurut pemenang utama peraduan siri ketiga, Ahmad Irfan Haziq, 15, percubaan kali pertama dan dipilih sebagai pemenang sesuatu tidak pernah dijangkakannya.


"Saya tidak meletakkan sebarang harapan langsung memandangkan ramai menyertai peraduan ini. Bila saya dapat pesanan khidmat ringkas (SMS) yang mengatakan saya antara pemenang, saya terus memberitahu ibu bapa. Selepas kami mendapatkan akhbar keesokan harinya, memang benar nama saya tertera sebagai pemenang peraduan itu.

"Memandangkan saya belum lagi layak memperoleh lesen, motosikal ini saya beri kepada bapa untuk digunakan," kata pelajar Sekolah Menengah Tengku Mizan Zainal Abidin itu.


Seorang lagi pemenang bertuah siri kedua, Andy Rais Khairul Bahri, 31, dari Melaka melahirkan rasa syukur dan menyifatkan sebagai hadiah paling bermakna sempena perkahwinannya baru-baru ini.


"Saya baru saja berkahwin pada 12 Mac lalu dan kemenangan ini merupakan rezeki paling bernilai buat saya serta isteri. Sudah pasti selepas ini saya ingin mencuba lagi, mana tahu menang lagi mungkin rezeki anak pula," katanya.


Pemenang wanita tunggal Rosmalina Mohammad Taib dari Seremban yang memenangi siri kelapan berkata, kegemaran mencuba nasib menyertai pelbagai jenis peraduan di akhbar akhirnya membuahkan hasil apabila dipilih antara pemenang utama.


"Banyak kali saya mencuba dalam pelbagai jenis peraduan dan ini baru pertama kali menang dan benar-benar menggembirakan. Motosikal ini akan saya guna sendiri kerana di tempat kerja saya sekarang agak sukar untuk mencari parkir kereta," katanya.


Tujuh lagi pemenang yang membawa pulang motosikal Suzuki Smash V115 adalah Muhamad Firdaus Yusof (siri pertama), Azamudin Bidin (siri keempat), Nazri Ab Rahim (siri kelima), Muhammad Syaiful Nazrin (siri keenam), Fazmi Azizi Ismail (siri ketujuh), Mohd Zaidi Ali (siri kesembilan) dan Gan Wei Chean (siri ke-10).


Peraduan 10 siri itu diadakan mengikut setiap pusingan Kejuaraan Cub Prix dan para pembaca perlu mencari perbezaan pada dua gambar dan slogan menarik pada borang peraduan disiarkan di Arena Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Misi lahir bakat hoki NS

Posted: 21 Mar 2014 08:40 AM PDT

Seremban: Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks KLIA Nilai berhasrat mengikuti jejak Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri (SMKP) Seremban bagi melahirkan pemain hoki akar umbi berwibawa untuk memastikan Negeri Sembilan tidak ketandusan pemain pada masa depan.

Sekolah itu menubuhkan Kelab Hoki SK Kompleks KLIA dan berhasrat membimbing seramai mungkin pemain.


Ketua jurulatih kelab Jamaliah Mohd Said berkata, kelab itu ditubuhkan dua tahun lalu dengan melaksanakan program lebih komprehensif bagi memastikan murid berbakat dalam sukan hoki dapat diberi bimbingan sempurna.

Katanya, latihan dan bimbingan lengkap membolehkan setiap murid diasuh dengan baik serta membantu mereka menjadi pemain berwibawa.


"Setakat ini, SK Kompleks KLIA memiliki 40 pemain lelaki dan perempuan berbakat besar dan jika mereka mendapat bimbingan sempurna, kita yakin mereka mampu mempamerkan aksi menarik.


"Peserta berusia antara lapan hingga 12 tahun mampu menjadi antara pemain hoki berbakat besar suatu hari nanti," katanya.

Menurutnya, kejayaan SMKP melahirkan ramai pemain hoki perempuan berbakat harus dicontohi.


Beliau berkata, usaha itu juga bagi menyahut saranan Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) dan juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu Negeri Sembilan kekal sebagai negeri yang mampu melahirkan pemain hoki bertaraf kebangsaan serta antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

No comments:

Post a Comment