Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jacob intai wajah baru

Posted: 16 Mar 2014 01:13 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali skuad bola sepak wanita negara, Jacob Joseph sedang mengintai beberapa pemain Liga Futsal Kebangsaan 2013 untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Beliau berkata, kejohanan itu medan terbaik untuk memilih pemain baru memandangkan beberapa pemain sedia ada memutuskan untuk tidak mewakili negara pada kejohanan akan datang.


Antaranya ialah kapten Angela Kais yang memutuskan untuk bersara selain penjaga gol kedua, Nur Izwani Azman kembali menyambung pelajaran yang tertangguh selama setahun di Universiti Malaya.

"Saya sudah kenal pasti beberapa pemain berpotensi terutamanya dari FELDA United dan melakukan perbincangan dengan mereka bagi menggantikan beberapa pemain sedia ada," katanya.


Dalam pada itu, Jacob berkata, beliau bakal mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, minggu depan bagi membincangkan perancangan skuad kendaliannya untuk tempoh beberapa tahun akan datang.


"Saya berharap FAM mempunyai perancangan khusus untuk skuad wanita memandangkan tiada kejohanan untuk tahun ini.

Foto

JACOB (kanan) bersama anak buahnya sebelum beraksi di Myanmar.

"Kita sepatutnya menyertai Kejohanan Wanita AFF 2014 di Thailand (Ogos) namun AFF memutuskan kejohanan berkenaan dihadkan kepada pemain bawah 19 tahun sahaja," katanya.


Pencapaian terbaik pengendali berusia 55 tahun itu ialah membantu skuad wanita kebangsaan mara ke separuh akhir Sukan SEA 2013 di Myanmar. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Rosberg menang bergaya

Posted: 16 Mar 2014 01:02 PM PDT

Melbourne: Nico Rosberg memulakan era baru Formula Satu dengan kemenangan dominan pada Grand Prix Australia semalam ketika juara dunia Sebastian Vettel dan pemenang petak utama Lewis Hamilton terkeluar awal saingan.

Rosberg bersama pasukan Mercedes tampil perkasa dengan teknologi baru hibrid, mendahului dari awal hingga penamat dan melepasi garisan penamat 24.5 saat di depan pemandu Australia, Daniel Ricciardo yang melakukan penampilan sulung bersama Red Bull.


Tangga ketiga juga menyaksikan kejutan apabila Kevin Magnussen, 21, yang melakukan penampilan sulung dalam F1 bersama McLaren, muncul pemandu pertama Denmark menjejak podium.

Pemandu McLaren, Jenson Button dan juara dunia dua kali Fernando Alonso dari Ferrari berakhir di tangga keempat dan kelima, diikuti Valtteri Bottas (Williams), Nico Hulkenberg (Force India) dan Kimi Raikkonen (Ferrari).


Namun ia tidak menggembirakan buat Vettel, juara dunia empat kali berturut-turut dan pemandu Mercedes, Hamilton, juara dunia 2008, yang terkeluar lebih awal kerana masalah mekanikal.


F1 beralih kepada enjin berkuasa turbo V6 1.6 liter tahun ini dengan komponen hibrid selain pengenalan penggunaan minyak kurang 135 liter.

Pada permulaan, Rosberg melonjak ke depan dari petak ketiga dan dia berjaya mengatasi Ricciardo dengan jurang 24.5 saat untuk memberikan Mercedes kemenangan pertama musim ini.


"Saya berlepas dari petak mula bagaikan Silver Arrow dan selepas itu kereta amat pantas hari ini," kata Rosberg, bapanya Keke memenangi kejuaraan dunia 1982.

"Seluruh pasukan bertindak bagus. Ia enjin yang amat bagus, tidak banyak masalah dengan penggunaan minyak dan ketahanan juga hebat.


"Semuanya hasil kerja keras pasukan untuk mendominasi perlumbaan pertama musim." Ia kemenangan GP keempat Rosberg dan pertama buatnya sejak Silverstone tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Djokovic, Federer tentu juara Paribas

Posted: 16 Mar 2014 01:01 PM PDT

Indian Wells, AS: Pemain nombor dua dunia Novak Djokovic menang dalam tiga set ke atas pemain Amerika, John Isner pada kejohanan Terbuka BNP Paribas semalam sekali gus menempah pertembungan final dengan Roger Federer.

Federer juara empat kali pada kejohanan di gurun California itu yang sekadar pilihan ketujuh tahun ini, bertindak cemerlang apabila menang 6-3, 6-1 pada separuh akhir ke atas Alexandr Dolgopolov.


Pilihan kedua Djokovic bagaimanapun mendapati pertemuannya menentang pilihan ke-12, Isner lebih sukar.

Pemain tinggi lampai dengan ketinggian 2.08 meter dari AS itu mengalahkannya pada separuh akhir 2012 dan memberikan saingan sengit sekali lagi kepada pemain Serbia itu sebelum Djokovic menang 7-5, 6-7 (2/7), 6-1.


"Dua kali saya berpeluang menamatkannya dan dia bertindak menakjubkan ketika tiebreak," kata Djokovic. "Apabila anda berdepan tiebreak dengan Isner, anda pasti sukar memenanginya." Bintang Serbia itu yang menang di Indian Wells pada 2008 dan 2011, gembira dengan keseluruhan persembahannya.


"Saya tidak membiarkan tumpuan hilang begitu saja," ujarnya.

Djokovic bertemu Federer buat kali ke-33 dengan bintang Switzerland itu mendahului tipis 17-15. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Mourinho keliru

Posted: 16 Mar 2014 01:00 PM PDT

Birmingham, England: Pengurus Chelsea Jose Mourinho tertanya-tanya kenapa beliau dibuang padang ketika kekalahan mengejut 0-1 di tangan Aston Villa awal pagi semalam dan berkata, beliau tidak sabar menanti laporan pengadil untuk mengetahui sama ada akan dikenakan tindakan disiplin.

Mourinho berada di tengah-tengah kontroversi ketika pasukannya seolah-olah memberi peluang kepada Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana.


Gol Fabian Delph pada minit ke-82 selepas dua pemain Chelsea, Willian dan Ramires dibuang padang menjejaskan peluang Blues yang kini hanya mendahului pasukan tangga kedua City dengan enam mata ketika pasukan kendalian Manuel Pellegrini itu beraksi kurang tiga perlawanan.

Kekecewaan meluap-luap pada masa kecederaan apabila Mourinho meluru ke dalam padang untuk melepaskan kemarahannya mengenai kad merah diterima Ramires yang menjatuhkan Karim El Ahmadi, sebelum diarahkan keluar padang oleh pengadil Chris Foy.


Pengendali dari Portugal itu menegaskan beliau masih keliru kenapa dibuang padang, mendakwa Foy enggan bercakap dengannya, sekali ketika perlawanan dan sekali lagi menuju ke terowong.


Beliau turut mempersoalkan kenapa Gabriel Agbonlahor yang ketika itu berada di bangku simpanan, terlepas daripada tindakan selepas mendakwa dia melakukan 'tindakan agresif' dengan meluru ke padang dan 'mencekik leher Ramires'.

"Saya tidak sabar untuk mengetahui apa yang ditulis Foy mengenai insiden saya dibuang padang.


"Jika ia kerana saya berada dalam padang ia hanya 4-5 meter, maka sepatutnya 10 orang dikenakan tindakan.

"Kami semua cuba menenangkan keadaan. Jika saya dibuang padang kerana berada di padang saya bertanya kenapa tidak semua? Terutama Agbonlahor yang bertindak agresif terhadap Ramires.


"Dia meluru dari bangku simpanan, menyentuh Ramires dan mencekik lehernya. Dia berada di bangku simpanan.


"Saya cuba bercakap dengan Foy dua kali, di padang dan di bilik persalinan.


"Saya meminta secara baik jika beliau boleh bercakap dengan saya lima saat tapi beliau enggan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Citizens makin membara buru kejuaraan

Posted: 16 Mar 2014 12:59 PM PDT

Kingston Upon Hill, England: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini memuji reaksi tepat anak buahnya berikutan "minggu yang amat sukar" selepas mereka menundukkan Hull City sekali gus mengukuhkan semula cabaran menjuarai Liga Perdana.

City tersingkir daripada Piala FA dan Liga Juara-Juara awal minggu lalu selepas kekalahan di tangan Wigan Athletic dan Barcelona, namun gol jaringan David Silva dan Edin Dzeko membolehkan mereka menang 2-0 di Hull kelmarin.


Kemenangan itu hadir sekalipun kapten Vincent Kompany dibuang padang seawal minit ke-10 dan membantu pasukan Pellegrini merapatkan jurang berbanding pendahulu Chelsea kepada enam mata dengan beraksi kurang tiga perlawanan, selepas anak buah Jose Mourinho kecundang 0-1 kepada Aston Villa.

"Ia reaksi yang amat bagus daripada pasukan selepas satu minggu yang sukar," ujar Pellegrini.


"Sudah tentu lebih sukar beraksi dengan 10 pemain, tapi saya percaya terhadap pasukan dan pemain dan mereka bertindak dengan amat cemerlang." Pengurus Chelsea Mourinho berkali-kali menegaskan City mempunyai kelebihan dalam perebutan kejuaraan liga namun bercakap sebelum kekalahan kelab London itu di tangan Villa, Pellegrini nyata lebih berdiplomasi mengenai peluang pasukannya.


"Kami tidak memberi mesej ini kepada sesiapa, Chelsea ataupun pasukan lain," katanya.

"Ini peluang untuk kembali ke Liga Perdana selepas tiga minggu dan memenangi perlawanan. Penting buat kami kembali ke Liga Perdana dan menang dan kami melakukannya." Pemain tengah Sepanyol, Silva menjaringkan gol pembukaan menakjubkan pada minit ke-14 dan kemudian mencipta gol kedua sumbangan Dzeko pada minit ke-90 selepas City mengekang asakan bertali arus Hull kendalian Steve Bruce pada babak kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Magath optimis Fulham kekal

Posted: 16 Mar 2014 12:58 PM PDT

London: Pengurus Fulham, Felix Magath percaya kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United menjadi batu loncatan buat kelab London itu mengelak daripada turun divisyen.

Kelab Craven Cottage itu bagaimanapun kekal di tangga tercorot Liga Perdana, empat mata daripada zon selamat dengan baki hanya lapan perlawanan.


Namun selepas menyaksikan pasukannya merakam kemenangan pertama liga dalam 10 perlawanan, Magath yang mengemudi pasukan itu bagi perlawanan keempat sejak menggantikan Rene Meulensteen sebagai pengurus berkata: "Jika anda memulakan tugas baru, anda sedar perlukan kemenangan.

"Pemain hilang keyakinan dan mereka perlu disuntik keyakinan. Jika kalah seperti kami dua perlawanan dan hanya seri sekali, anda mula tidak percaya. Amat penting bagi kami melakar kemenangan hari ini (kelmarin).


"Kami tidak kisah sangat mengenai keputusan perlawanan lain. Kami perlu menyempurnakan tugas dan meraih keputusan yang dikehendaki. Bukan setakat keputusan hari ini, perlawanan yang kami lalui dan saya fikir kami pasukan lebih bagus. Ia meyakinkan kami boleh mengelak daripada turun divisyen dan kekal dalam liga ini." Magath menggugurkan penjaga gol kebangsaan Belanda, Maarten Stekelenburg sebaliknya menurunkan David Stockdale yang bertindak cemerlang membantu kemenangan menerusi jaringan Ashkan Dejagah pada minit ke-68.


"Sukar menggugurkan Maarten, tapi dia menerimanya dengan baik," jelas Magath.

"Maarten seorang penjaga gol yang pendiam, dia tidak berteriak dan David lebih suka berteriak. Idea saya, kami memerlukan seseorang yang memberikan lebih rangsangan kepada pemain dan mujurlah ia menjadi." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

SCH benam 10 pencabar

Posted: 16 Mar 2014 12:58 PM PDT

Kuantan: Pasukan Silat Cekak Harimau (SCH) Pahang dan Taekwando muncul juara dan naib juara Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Negeri menewaskan 10 pencabar lain di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, baru-baru ini.

SCH membawa pulang wang tunai RM2,000, tempat kedua RM1,500 dan ketiga Silat Seni Gayong Malaysia (RM1,000).


Kejohanan sulung itu menarik penyertaan 11 persatuan seni mempertahankan diri membabitkan kira-kira 300 peserta anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bela diri negeri.

Jurulatih pasukan SCH Pahang Suzy Mohd Sulaiman berkata, kejohanan ini menjadi pengukur kepada pesilat menilai prestasi sebelum meletakkan sasaran lebih jauh dalam acara disertai.


"Pencapaian membanggakan di peringkat negeri seharusnya menjadi sandaran kukuh kepada mereka untuk melakar kejayaan sama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


"Saya berharap kejayaan ini menjadi pendorong kepada pesilat meningkatkan kemahiran dan kekuatan sebagai bekalan melangkah lebih jauh lagi.

"Pencapaian membanggakan 17 pesilat lelaki dan wanita dalam kategori individu dan berkumpulan harus dipuji kerana mereka menepati ramalan," katanya.


Menurutnya, pengalaman luas serta persediaan sepanjang tahun memberi kelebihan kepada pesilat SCH Pahang untuk muncul juara keseluruhan.

"Beberapa pesilat terdiri daripada atlet daerah dan negeri yang bersaing dalam pelbagai kejohanan. Kelebihan itu membolehkan mereka mempamerkan persembahan terbaik dan berkualiti.


"Saya berpuas hati dengan pencapaian membanggakan yang diharap menjadi pembakar semangat kepada mereka melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

20 Amry pamer bakat

Posted: 16 Mar 2014 12:57 PM PDT

Gua Musang: Kelantan bakal melahirkan lebih ramai pemain berbakat apabila sebanyak 20 pasukan Al-Hamra Red Warriors (Amry) kategori bawah 14 (B-14) dan 16 tahun (B-16) ditubuhkan di setiap daerah negeri itu dengan bimbingan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Sementara itu, KAFA menganjurkan kejohanan liga akademi bola sepak dengan perlawanan sulung bagi kategori B-16 antara Amry Gua Musang dengan Amry Kuala Krai di Padang Pusat Sivik, Gua Musang baru-baru ini.


Perlawanan seri tanpa jaringan itu lebih kepada salam perkenalan sebelum Amry Gua Musang turun kali kedua bertemu Amry Pasir Mas di Mini Stadium Pasir Mas, hari ini.

Pasukan lain yang turut mengambil bahagian adalah Amry Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.


Jurulatih Amry Gua Musang Ruhaled Ab Hamid berkata, perlawanan itu lebih kepada pemanas badan bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat di Kelantan kerana di setiap daerah ada remaja berpontensi untuk ditonjolkan.


Beliau berkata, Amry Gua Musang memiliki ramai remaja berbakat berdasarkan ujian yang dijalankan sebelum memilih setiap pemain menyertai pasukan.

"Walaupun hanya seri tanpa jaringan, saya berpuas hati dengan corak permainan pasukan,"katanya.


Ruhaled berkata, sesi pemilihan pemain dibuat Januari lalu menerusi pelbagai latihan dijalankan dan mereka yang terpilih akan terus diberi bimbangan.

Katanya, 10 pasukan Amry bawah 14 termasuk dari Gua Musang turut menyertai kejohanan sama.


"Apa yang kita harapkan pemain tidak lemah semangat dan terus menunjukan kecemerlangan menentang pencabar lain sepanjang kejohanan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

SKTSW kempunan balas dendam

Posted: 16 Mar 2014 12:56 PM PDT

Sungai Petani: Puas berusaha, Sekolah Kebangsaan Taman Seri Wang (SKTSW) masih gagal bergelar juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sungai Petani edisi 2014 di padang SK Seri Pinang, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Kegagalan itu juga menyaksikan skuad berkenaan terus kempunan membalas dendam kekalahan ke atas lawan sama pada final tahun lalu, SK Sungai Petani, melalui penentuan sepakan penalti 3-4.


"Kami mendahului 1-0 pada babak pertama namun agak mengecewakan apabila pemain leka dan membenarkan gol mudah kepada lawan 10 minit sebelum tamat perlawanan.

"Kedudukan 1-1 memaksa pemain bersaing dalam masa tambahan mengakibatkan mereka hilang stamina sekali gus gagal mencari gol kemenangan," kata guru jurulatihnya, K Murugan.


Katanya, lebih memeritkan apabila beberapa pemain hilang fokus ketika mengambil sepakan penalti menyebabkan lawan mudah mengeksploitasi keadaan itu untuk membenam SKTSW.


"Nampaknya nasib belum memihak kami walaupun pemain sudah memberi komitmen tinggi dalam setiap perlawanan," katanya yang dibantu Ishak Arshad, Teh Boon Liang dan Mohammad Shukri Mohd Isa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

Kembali 'tiptop'

Posted: 16 Mar 2014 12:55 PM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad The Gladiators, B Sathianathan memuji Hairuddin Omar dan Juan Manuel Arostegui yang disifatkannya sudah menemui kembali rentak asal mereka.

Beliau berpuas hati melihat komitmen dan disiplin tinggi dipamerkan anak buahnya ketika seri 1-1 dengan Selangor di Stadium MP Selayang, kelmarin.


Selepas dibelasah teruk juara Piala Malaysia Pahang 1-4 minggu lalu, anak didik Sathia turun dengan aksi lebih meyakinkan.

"Syabas kepada pemain kerana berjaya bangkit walaupun ketinggalan seawal minit ketiga perlawanan. Inilah sikap positif yang saya mahukan dan berharap akan terus kekal hingga ke penghujung musim.


"Saya memuji permainan Hairuddin yang semakin meningkat. Sebelum ini dia cedera hingga memerlukan sedikit masa untuk kembali ke prestasi sebenar.


"Begitu juga Arostegui yang sudah kembali menemui sentuhan berbisanya. "Ketika pemain utama lain seperti Marlon Alex James, K Reuben serta Christie Jayaseelan masih cedera, peningkatan Hairuddin dan Arostegui amat menggembirakan saya serta pasukan," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Red Giants mendahului perlawanan seawal minit ketiga hasil jaringan penjaring terbanyak Liga Super, Paulo Rangel. Namun pemain import veteran ATM, Arostegui menjadi penghalang Selangor untuk meraih tiga mata selepas menyempurnakan umpanan Venice Elphi untuk mengikat kedudukan hingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/17

No comments:

Post a Comment