Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kepala ditetak, telinga putus

Posted: 01 Mar 2014 11:19 AM PST

Alor Gajah: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan kesan tetakan di belakang kepala dan badan selain putus telinga kanan di Jalan Hutan Percha-Machap, dekat sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mayat K Viswanathan, 22, berasal dari Serkam, Jasin ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang di tepi jalan berkenaan oleh seorang anggota polis yang kebetulan melalui jalan terbabit.

Menurut sumber, pada awalnya anggota polis itu menyangkakan mayat berkenaan adalah mangsa langgar lari selepas melihat sebuah motosikal kira-kira empat meter dari lokasi mayat ditemui.

"Selepas diperiksa, anggota polis itu terkejut apabila mendapati objek yang disangka babi hutan itu adalah mayat seorang lelaki dalam keadaan berbaju namun seluarnya terlondeh ke paras lutut sebelum dia melaporkan kejadian di Balai Polis Hutan Percha," katanya di sini, semalam.

Foto

ANGGOTA forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Foto

ANTARA barang kes yng ditemui polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki Honda EX5 dipercayai dari arah Hutan Percha ke arah Bukit Bulat dihimpit sebelum dirempuh sebuah kereta dinaiki sekumpulan penjenayah dari arah sama.


"Mangsa yang terjatuh kemudian diserang menggunakan parang sebelum berlaku pergelutan. Mangsa dipercayai cuba melawan namun ditetak di belakang kepala dan penjenayah itu bertindak memijak tengkuk mangsa hingga patah.

"Malah telinga kanan mangsa turut dipotong, kumpulan penjenayah terbabit yang meninggalkan mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam longkang dipercayai turut membawa lari telinga mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Turut berada di lokasi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan) Superintendan PR Gunarajan dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Alor Gajah Asisten Superintendan Md Dom Dolah.

Menurut Mohamad Laham, hasil siasatan awal di tempat kejadian turut mendapati kunci motosikal mangsa hilang, namun dompet mengandungi wang tunai RM200 dan beberapa dokumen penting miliknya tidak dilarikan.

"Polis turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu mencari cebisan telinga mangsa yang di potong namun ia masih belum ditemui.

"Kami percaya kejadian ini dilakukan lebih dari tiga individu dan ia dipercayai bukan bermotifkan samun, sebaliknya berpunca dari dua faktor berkemungkinan membabitkan perebutan kawasan atau perempuan," katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan kumpulan penjenayah berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian 06-5562222 atau balai polis berhampiran.

"Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Adik ugut bunuh ibu ditemui mati

Posted: 01 Mar 2014 11:16 AM PST

Bentong: Seorang lelaki yang datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, untuk membuat laporan berhubung tindakan adiknya dipercayai kurang siuman mengugut mahu membunuh ibu dan membakar rumah mereka terkejut apabila mendapati saudaranya itu mati selepas terjun dari tingkat dua IPD berkenaan malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa, Lam Chiew Kok, 44, dari Kampung Perting, di sini, dikatakan datang ke IPD berkenaan dalam keadaan meracau sambil meminta polis menembaknya dengan memberikan alasan dia mahu mati.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, bagaimanapun mangsa ditenangkan oleh anggota yang bertugas ketika itu dan bertanya apa masalah dihadapinya.

"Lelaki itu kemudian meminta air dan rokok daripada anggota polis yang cuba menenangkannya.

"Selepas mendapat rokok dan minum air diberikan, dia meluru ke tangga lalu naik ke tingkat dua bangunan IPD," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, melihatkan tindakan mengejut itu, anggota polis mengekori mangsa namun lelaki itu secara tiba-tiba terjun dari bangunan.

"Anggota polis mengekorinya tidak sempat menyelamatkan mangsa.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bentong namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya," katanya.

Mohamad Mansor berkata, abang mangsa yang berusia lewat 40-an datang ke IPD untuk membuat laporan mengenai tindakan lelaki itu mengugut mahu membunuh ibu dan membakar rumah mereka.

"Dia bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan adiknya itu maut selepas terjun dari bangunan IPD.

Lelaki itu turut memaklumkan adiknya tidak waras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Barang kemas, duit bernilai RM100,000 dilari pencuri

Posted: 01 Mar 2014 11:15 AM PST

Kota Bharu: "Saya berdebar-debar selepas melihat ruang tamu dan tiga bilik di dalam rumah berselerak sebelum jadi lembik apabila mendapati barang kemas dan wang tunai, semuanya lebih RM100,000 yang tidak disimpan di dalam peti besi dilarikan pencuri," kata Mek Senik Jusoh @ Halimah Md Yusoff, 69, mangsa pecah rumah di Jalan Guchil, di sini, kelmarin.

Mek Senik yang juga peniaga barangan kering seperti keropok di Pasar Siti Khadijah, di sini, hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas suaminya memaklumkan kejadian itu kepadanya di pasar berkenaan pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, dia keluar rumah jam 9.20 pagi untuk mengikuti ceramah agama di Dataran Ilmu, di sini, sebelum berniaga di pasar itu.

Katanya, pada jam 11.30 pagi, suaminya menemuinya dan memaklumkan kejadian itu sebelum pulang ke rumah dan mendapati pintu dapur dipecahkan manakala mangga di pintu gril dipotong.

"Antara barang kemas yang hilang adalah empat utas gelang tangan, satu rantai leher dan tiga cincin berlian serta emas.

Wang hasil perniagaan, wang rumah sewa dan wang tunai RM3,000 yang disimpan untuk membeli lembu bagi majlis akikah dua cucu turut hilang.

"Ini kejadian ketiga sejak empat tahun lalu.


Dulu, kereta pun dicuri," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Mek Senik, satu peti besi disimpan di salah sebuah bilik di rumahnya cuba dibuka pencuri, tetapi gagal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Mati akibat ditekup muka

Posted: 01 Mar 2014 11:14 AM PST

Johor Bahru: Laporan bedah siasat ke atas mayat Ketua Wanita UMNO FELDA Semenchu Zalifah Jamaluddin, 68, mengesahkan mangsa mati akibat muka ditekup.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, hasil bedah siasat juga mendapati mangsa patah empat tulang rusuk kanan dan lapan tulang rusuk kiri berpunca daripada tekanan benda berat dan tulang rapuh.

Menurut Rahmat, ketika ditemui, fizikal mangsa tidak mengalami kecederaan, tetapi hasil bedah siasat dijalankan mengesahkan mangsa mati disebabkan mukanya ditekup dengan sesuatu, dipercayai tuala kecil.

"Mangsa juga mengalami patah tulang rusuk berkemungkinan disebabkan beban tekanan, manakala matanya merah kerana mengalami luka di bahagian dalaman," katanya.


Rahmat berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan bagi membantu siasatan.


"Kami menahan lelaki itu jam 8.30 malam semalam (kelmarin) dan motif kejadian dipercayai rompakan disebabkan mangsa tinggal seorang diri di rumahnya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Syanie akhiri zaman janda

Posted: 01 Mar 2014 11:14 AM PST

Langkawi: Pelakon komedi wanita Syanie Hisham, 39, sah bergelar isteri kepada Nadi Putera Mohd Zainol, 27, dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah di Sandy Beach Resort, di sini, semalam.

Pernikahan kali kedua bagi Syanie atau Syaniza Hisham selepas menjanda 12 tahun itu disempurnakan bapanya Hisham Abd Rahman, 63, manakala khutbah nikah disampaikan Pegawai Agama Daerah Langkawi Syeikh Nor Ismardi Ismail.

Majlis mulai jam 11.10 pagi itu turut dihadiri 150 ahli keluarga terdekat pasangan pengantin.

Bekas peserta program Masterchef Selebriti Malaysia Musim Kedua (MCSM2) itu menerima mas kahwin RM5,000 berserta lima dulang hantaran berupa pakaian dan perhiasan daripada pihak pengantin lelaki.

Foto

SYANIE mesra bersama Nadi Putera selepas dinikahkan, semalam.


Syanie dan Nadi Putera bertunang pada Ogos lalu sebelum memilih meraikan hari bahagia mereka di tepi pantai dengan tema 'wed- ding beach'.


Ketika ditemui, Syanie berkata, dia bersyukur kerana segala-galanya selesai dengan selamat pada jam 11.25 pagi dan belum bercadang berbulan madu dalam tempoh terdekat.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

No comments:

Post a Comment