Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kemalangan cemari kemenangan Bos

Posted: 28 Feb 2014 10:13 AM PST

Taiping: Pelumba Belkin, Theo Bos memenangi Peringkat 2 Le Tour de Langkawi 2014 (LTdL) dari Sungai Petani ke Taiping sejauh 131.5km semalam dalam perlumbaan yang dicemari insiden kemalangan.

Di akhir kayuhan, Bos menang mudah selepas dibantu rakan sepasukan Graeme Brown ketika beberapa pakar pecut lain mengalami kemalangan termasuk pakar pecut seperti Andrea Guardini (Astana), Kevin Van Hummel (Androni), Robert Forster (United Healthcare), Francesco Chicchi (Yellow Flou) dan Mohd Hariff Salleh (Terengganu Cycling Team).

Ia juga kemenangan peringkat ketiga bagi pelumba dari Hierden yang berusia 33 tahun itu selepas menguasai Peringkat 1 dan 2 pada LTdL 2013, apabila melengkapkan kayuhan dengan catatan 3 jam 11 minit 11 saat di depan Brown manakala pelumba Katusha, Marco Haller di tempat ketiga.

Penyarung jersi kuning dari pasukan Colombia, Duber Quintero sekadar menampilkan kayuhan selamat dan tiba dalam kelompok besar dengan menduduki tempat ke-45 bagi mengekalkan kedudukan pendahulu serta jersi biru Raja Pecut yang dimenanginya pada Peringkat 1 di Langkawi.

Foto

BOS rai kemenangan ketika melepasi garisan penamat.

Foto

HARRIF (tengah) diberi rawatan selepas terjatuh.


Jersi merah Raja Bukit juga kekal milik pelumba Synergy Baku, Matt Brammeier manakala Goh Choon Huat masih menyarung jersi putih sebagai Pelumba Terbaik Asia.


Bos berkata, kemenangannya itu agak mudah selepas hasil kerja keras Brown tetapi mengakui cuaca agak lebih panas berbanding peringkat pertama di Langkawi.

"Walaupun ada cubaan pemecahan, saya yakin rakan sepasukan akan bekerjasama mengejar kelompok pelumba di depan. Saya juga tahu laluan pada beberapa kilometer terakhir agak teknikal kerana banyak selekoh tapi Brown berjaya memastikan saya berada di belakangnya.

"Saya ada terdengar bunyi kemalangan di belakang pada baki 300 meter tapi saya tetap fokus meneruskan kayuhan kerana inginkan kemenangan ini.

"Saya juga ada terfikir untuk memberikan peringkat ini kepada Brown tapi tugas saya di sini ialah untuk menang," katanya.

Peringkat 3 LTdL 2014 disambung hari ini, dari Kampar ke Kuala Lumpur sejauh 166.5km, dengan tiga zon pecutan di Bidor, Tanjung Malim dan Selayang serta dua zon pendakian di Trolak dan Selayang sebelum tamat di Dataran Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Nasib Chong Wei hari ini

Posted: 28 Feb 2014 10:05 AM PST

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) masih belum pasti sama ada dapat beraksi pada pentas Seluruh England di Birmingham, England, bermula Selasa ini.

Segala-galanya selepas pemain nombor satu dunia itu menyatakan dia mengalami kecederaan di bahagian buku lali kaki kirinya dan hanya akan membuat keputusan mengenai kehadirannya di kejohanan berprestij badminton itu, hari ini.

"Saya tak pasti pergi atau tidak. Esok (hari ini) baru boleh tahu," katanya ringkas ketika ditemui pada sesi latihan di Bukit Kiara, semalam.

Difahamkan juara Terbuka Malaysia bulan lalu itu mengalami kecederaan berkenaan ketika sesi latihan.

Foto


Kecederaan itu dialami sebelum dia berkunjung ke China untuk memenuhi jemputan perlawanan pertunjukan sempena pembukaan pusat latihan badminton baru di daerah Lingshui pertengahan bulan lalu.


Ketika itu, Chong Wei bergandingan dengan jaguh perseorangan China, Lin Dan untuk acara beregu.

Chong Wei sebelum ini pernah menyatakan saingan Seluruh England bukanlah keutamaannya kerana dia lebih mengutamakan saingan besar lain seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Asia serta Kejohanan Dunia.

Pemain berusia 31 tahun itu pernah memenangi saingan Seluruh England pada 2010 dan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

'Kehilangan besar negara'

Posted: 28 Feb 2014 10:04 AM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya akur dan melepaskan pemain beregu negara Koo Kien Keat ketika negara masih menuntut khidmatnya bagi menghadapi kalendar badminton antarabangsa yang cukup padat sepanjang tahun ini.

Melabelkan pemergian Kien Keat sebagai 'kehilangan besar buat negara', Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan rakan gandingan Tan Boon Heong itu.

"Selepas mengadakan perbincangan sebentar tadi (semalam), kami menerima keputusan Kien Keat untuk berundur daripada skuad negara.

"Sudah pasti keputusannya itu satu kehilangan besar kepada negara. Tapi sebagai ahli sukan, ada turun naik.


"Sebagaimana diminta, dia tinggalkan kita dengan cara baik. Kien Keat boleh dilabel sebagai salah seorang legenda negara," katanya pada sidang media semalam.


Bagaimanapun Mohamad Norza berkata, pintu BAM sentiasa terbuka untuk Kien Keat sekiranya dia mahu kembali menyumbang tenaga, termasuklah menjadi mentor kepada barisan pemain muda negara.

Mengenai Boon Heong pula, Mohamad Norza berkata, biarlah barisan kejurulatihan menentukan gandingan terbarunya selepas pengunduran Kien Keat.

"Kami serahkan sepenuhnya kepada jurulatih untuk buat keputusan. Tapi ingin saya tegaskan kepada jurulatih jangan ambil keputusan terlalu lama.

"Jika terlalu lama, Boon Heong mungkin berasa bosan kerana tiada gandingan. Sebagai salah seorang pemain bertaraf dunia, isu mengenai gandingannya perlu diselesaikan segera," katanya.

Arena Metro baru-baru ini melaporkan Kien Keat menghantar surat untuk berundur daripada skuad kebangsaan berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Kien Keat sedih tinggalkan Boon Heong

Posted: 28 Feb 2014 10:02 AM PST

Kuala Lumpur: "Saya sebenarnya rasa susah hati, tapi kadang-kadang kita harus buat keputusan pada masa yang tepat."

Demikian luahan Koo Kien Keat yang sememangnya berat hati untuk meninggalkan rakan gandingannya Tan Boon Heong selepas mengambil keputusan berundur daripada skuad negara sekali gus meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dengan nada perlahan, Kien Keat berkata, banyak kenangan pahit manis yang dilaluinya bersama Boon Heong sejak kedua-dua mereka digandingkan pada 2006.

"Saya rasa amat sedih sebab sudah lama bergandingan dengannya iaitu kira-kita tujuh hingga lapan tahun.

"Dia masih mempunyai masa depan cerah kerana usianya baru 27 tahun.

Saya rasa dengan pengalaman sepanjang bergandingan dengan saya, cukup untuk dia mendapatkan rakan gandingan baru yang masih muda," katanya.

Kien Keat berkata, keputusannya keluar daripada skuad kebangsaan tiada kaitan dengan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan BAM.

"Saya akan menjadi seorang bapa tidak lama lagi, jadi untuk masa sekarang keutamaan saya adalah keluarga.

"Banyak kritikan yang saya terima sejak akhir-akhir ini dan saya tidak mahu ia menjejaskan keluarga saya.

"Saya tidak akan terus tinggalkan dunia badminton, sekadar mahu berehat seketika.

Saya akan kembali ke BAM jika mereka memerlukan khidmat saya," katanya.

Sepanjang bergandingan dengan Boon Heong, banyak kejayaan diraih mereka, antaranya termasuklah memenangi pingat emas Sukan Asia 2006 serta juara Seluruh England 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Olak, Thunderbolts menang besar, UniKL turut mara

Posted: 28 Feb 2014 10:01 AM PST

Kuala Lumpur: Olak-PKT dan SSTMI Thunderbolts hanya tinggal selangkah untuk mara ke separuh akhir Piala Milo selepas melakar kemenangan meyakinkan ke atas lawan masing-masing pada perlawanan pertama saingan suku akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Olak-PKT paling menonjol selepas melakar kemenangan besar 4-1 ke atas Sekolah Tinggi Melaka (Melaka HS) manakala Thunderbolts yang memenangi gelaran Divisyen Satu, membelasah MS Pahang Juniors 8-0.

Aksi Olak-PKT nyata amat menonjol apabila dilihat sentiasa mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Melaka HS dan sememangnya berhak untuk menang.

"Satu keputusan yang amat positif tapi kami tidak akan mengambil mudah perlawanan timbal balik nanti.

"Saya gembira kerana setiap pemain beraksi pada tahap sebenar mereka.

"Kami perlu beraksi lebih baik pada perlawanan timbal balik nanti kerana sekiranya Melaka HS memperoleh gol pantas pada awal saingan, ia mampu mengubah keputusan perlawanan," kata pengurus Olak-PKT Joseph de Silva.

Melaka HS di depan pada minit ke-20 menerusi Faid Farhadh Shah tetapi Olak berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan Marwadi Hamirin.

Bagaimanapun Olak kembali di depan pada minit ke-28 menerusi Najmi Ghazali.

Mereka kemudian meraih dua gol lagi menerusi Marwadi pada minit ke-43 dan Asyaraf Mohd Adha, ke-54.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, UniKL Young Guns menewaskan Politeknik KPM 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Rossi, Pedrosa sama laju di Sepang

Posted: 28 Feb 2014 09:56 AM PST

Kuala Lumpur: Valentino Rossi yang mewakili Yamaha Factory Racing dan Dani Pedrosa (Repsol Honda) menamatkan ujian MotoGP di Sepang dengan catatan masa sepusingan yang sama 1'59.999 ketika persiapan untuk musim 2014 di Malaysia berterusan.

Dalam pada itu, selepas tamat ujian semalam, Ducati Team mengesahkan keputusan mereka untuk menyertai kelas terbuka pada 2014, sekali gus bermakna mereka akan menggunakan perisian elektronik standard dan akan mendapat manfaat daripada peruntukan enjin yang dibenarkan menerusi peraturan baru.

Bagaimanapun catatan Rossi dan Pedrosa semalam 0.466s lebih perlahan daripada masa dicatatkan juara dunia Marc Marquez sebelum ini.

Dia tidak mengambil ujian semalam kerana cedera.

The Doctor menunjukkan kelajuannya sekali lagi semalam ketika bersedia untuk bersaing dalam kempen kelas perdana itu buat kali ke-15 apabila melakar masa terpantas pada pusingan ke-13, meskipun terpaksa berhempas pulas dengan tayar 2014 seperti mana dialami pasukan Yamaha.

Penunggang terpantas kelmarin, Dani Pedrosa turut mempamerkan kehebatan dengan catatan paling laju hadir pada pusingan ke-47 daripada 50 ketika suhu di trek mula menurun sedikit daripada kemuncak 64 darjah Celsius pada jam 4 petang.

Pedrosa melakukan simulasi mengagumkan 19 pusingan di sebelah petang dengan setiap pusingan di bawah 2'02.000s.

Catatan terbaiknya 2'00.985 hadir pada pusingan ke-15.

Bagaimanapun kekecewaan Jorge Lorenzo yang berada di tempat ketujuh berterusan apabila 0.75s lebih perlahan daripada ujian sebelum ini.


- ketika keadaan trek lebih baik dan penunggang masih mempunyai akses kepada tayar tahun lalu.

Ducati GP14 menunjukkan tanda-tanda kebangkitan dengan Andrea Dovizioso menamatkan ujian itu 0.068s di tempat ketiga, dengan catatan 0.3s lebih baik daripada di Sepang.


Berikutan data yang dia dan rakan sepasukan Ducati kumpul, pasukan Itali itu membuat keputusan untuk bersaing dalam kelas terbuka musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Ujian pertama Kim Swee

Posted: 28 Feb 2014 09:47 AM PST

Kelana Jaya: Aksi persahabatan menentang Filipina pastinya mengundang perhatian banyak pihak yang pasti teruja untuk melihat aksi sulung skuad Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee.

Bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini, selain aksi sulung pasukan kebangsaan tahun ini, turut menjadi tumpuan adalah perancangan Kim Swee untuk skuad negara yang akan mengharungi aksi menentang Yaman bagi perlawanan kelayakan Piala Asia pada 5 Mac ini.

Tapi buat pengendali berusia 43 tahun itu, fokus utamanya adalah mencari kombinasi terbaik di jentera tengah yang menurutnya, antara posisi yang masih longgar.

"Bayangan untuk esok (hari ini) memang sudah ada, cuma kombinasi pemain di bahagian tengah saja masih difikirkan. Saya tidak ada masalah di posisi lain seperti di bahagian serangan atau pertahanan.

Foto

PEMAIN negara menjalani latihan di Stadium Selayang menjelang pertemuan dengan Filipina.


"Saya memiliki enam pemain di posisi tengah dan hanya yang terbaik saja akan diturunkan pada perlawanan itu nanti," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar praperlawanan di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.


Rata-rata tonggak tengah yang dipanggil Kim Swee kali ini tidak jauh bezanya dengan skuad Datuk K Rajagobal sebelum ini. Nama-nama seperti Baddrol Bakhtiar, Mohd Badhri Radzi (Piya), Junior Eldstal, Nazmi Faiz Mansor dan Safiq Rahim serta muka baru Mohd Hafiz Kamal melengkapkan saingan di posisi itu.

"Saya mungkin tidak akan turunkan tiga pemain yang baru selesai tugasan bersama pasukan negeri iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Apek), Piya dan Fakri Saarani kerana mereka jelas keletihan.

"Lagipun gaya permainan mereka saya sudah tahu, mungkin saya akan beri peluang kepada pemain lain pamerkan kebolehan masing-masing," katanya.

Menurutnya, ujian getir pasti menanti anak buahnya ketika melayan kunjungan The Azkals yang kini menduduki ranking ke-127 dunia berbanding Malaysia, 150.

"Sudah pastinya perlawanan esok tidak semudah yang disangka. Kedudukan ranking dunia Filipina lebih baik daripada kami yang menunjukkan pasukan mereka semakin meningkat dan bagus.

"Saya harap pemain dapat hasilkan keputusan yang baik dan pamerkan permainan lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Dooley rendah diri

Posted: 28 Feb 2014 09:46 AM PST

Kelana Jaya: Jurulatih baru Filipina Thomas Dooley yang baru 10 hari membimbing pasukan selepas mengambil alih tugasan daripada Michael Weiss lebih selesa jika anak buahnya dilabel sebagai bukan pilihan pada pertemuan menentang Malaysia malam ini.

"Saya baru saja mengendalikan pasukan. Ini perlawanan pertama saya bersama pasukan ini, malah saya tidak begitu mengenali kesemua pemain. Lagipun, perlawanan persahabatan ini hanyalah rangka persiapan kami sebelum menghadapi kejohanan Piala Cabaran AFC (Challenge Cup).

"Tidak banyak yang saya ketahui mengenai kekuatan pasukan anda, cuma saya dengar Malaysia pernah muncul juara Piala AFF sebelum ini dan itu menunjukkan pasukan anda pilihan untuk menang, bukan kami.

"Tapi, jangan silap, saya juga mahukan kemenangan malam esok (ini). Saya akan turunkan kesebelasan terbaik kami bagi menentang pasukan anda," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar praperlawanan di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Foto

PEMAIN Filipina tekad mahu lakar kejutan di Selayang.


Sementara itu menurut kapten The Azkals, Rob Gier, berdasarkan dua keputusan seri yang direkodkan tahun lalu jelas menunjukkan mereka bakal berdepan saingan sukar daripada anak buah Datuk Ong Kim Swee.


"Dalam dua perlawanan sebelum ini, kami seri dua kali menentang Malaysia. Kali ini Malaysia mempunyai jurulatih baru, pastinya pendekatan taktikal juga berubah.

"Tapi kami juga ada jurulatih baru dengan gaya permainan berbeza. Jadi saya rasa perlawanan itu pasti menarik dan menghiburkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Mencari Ramli 3 dalam fasa akhir

Posted: 28 Feb 2014 09:43 AM PST

Kuala Lumpur: Program realiti televisyen Telekom Malaysia Berhad (TM) Mencari Ramli 3 (MR3) yang mengikuti perjalanan bakat baru bola sepak dalam memenuhi impian mereka menjadi kenyataan, kini memasuki fasa membabitkan 32 peserta terakhir.

Hadir di majlis memperkenalkan 32 finalis itu adalah Ketua Pegawai Pemasaran TM Datuk Rozalila Abdul Rahman, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Pembangunan Persatuan dan Perhubungan Atlet Majlis Sukan Negara Datuk Zaiton Othman, Timbalan Pengarah Jabatan Sukan Kementerian Pendidikan (MOE) Abd Halim Ismail dan Presiden Universiti Multimedia Prof Datuk Dr Muhamad Rasat Muhamad.

Berbekalkan tema mencari pemain bola sepak berbakat, TM menjelajah ke seluruh negara bagi memberi peluang setiap remaja untuk menjadi 'Ramli' serta memenuhi impian mereka.

Bercakap mengenai program itu, Rozalila berkata: "32 finalis ini kini memasuki fasa yang menyaksikan mereka bertarung untuk merebut peluang sekali seumur hidup! Setiap peserta akan berpangkalan di MMU di Cyberjaya untuk sesi latihan pusat yang diketuai jurulatih FAM dan MOE di samping pengendali dari Manchester United Soccer Schools (MUSS) yang akan membimbing peserta menerusi cara '1United'.

"Peserta bukan hanya didedahkan dengan latihan bola sepak intensif, malah skil tertentu untuk menyediakan mereka menghadapi perlawanan yang akan dinilai panel hakim.

Mereka juga akan didedahkan dengan kelas motivasi serta keyakinan diri di samping bahasa Inggeris dengan tujuan bukan hanya untuk membina karakter tapi juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat (CR) kami ke arah membantu kemasyarakatan dan pembangunan negara." MR3 akan menyaksikan keseluruhan enam pemenang - dua bagi setiap kategori bawah 14 dan 16 selain dua tempat terakhir yang akan ditentukan menerusi undian popular.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

Pemain import Tok Gajah dituntut tajam aksi

Posted: 28 Feb 2014 09:42 AM PST

Kuantan: Empat pemain import Pahang terutama barisan serangan dituntut menajamkan sentuhan mereka bagi memastikan kejayaan apabila Liga Super bersambung 8 Mac ini.

Mereka adalah Matias Conti, Dickson Nwakaeme, Damion Stewart dan Zeshan Rehman, masing-masing di posisi serangan dan pertahanan dalam usaha memperkasakan pasukan.

Berdasarkan lapan perlawanan termasuk lima saingan Liga Super, jentera pertahanan yang dikawal ketat Stewart dan Rehman dilihat bermain dengan baik kecuali sumbangan Conti dan Nwakaeme.

Bagaimanapun, sentuhan Nwakaeme masih lagi belum mencapai tahap diinginkan seperti dipersembahkan ketika bersama Kelantan musim lalu.

Menyedari situasi berkenaan, Conti yang sudah menjaringkan dua gol berazam menajamkan sentuhan bagi membantu Tok Gajah mencatat kemenangan setiap kali turun beraksi.

"Saya harap apabila saingan liga bersambung nanti sumbangan dapat dilakukan memandangkan hanya dua gol dijaringkan setakat ini.

"Tapi saya percaya prestasi lebih baik dapat dipersembahkan dan tempoh rehat ini akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin," katanya.

Nwakaeme yang sebelum ini mengalami kecederaan hamstring berkata, dia berharap dapat memberi sumbangan lebih berkesan di bahagian serangan.

"Dengan prestasi yang kian meningkat saya mahu membantu pasukan mencapai kemenangan," kata pemain kelahiran Nigeria itu.

Pahang akan melayan kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Makmur 8 Mac ini.

Setakat lima perlawanan liga, Pahang hanya enam mata diraih ketika menewaskan LionsXII dan Johor Darul Ta'zim.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/01

No comments:

Post a Comment