Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Permulaan cemerlang

Posted: 13 Mar 2014 11:06 AM PDT

Ipoh: Barisan pemain muda negara membuktikan kemampuan sebenar mereka apabila berjaya menewaskan Afrika Selatan 3-2 pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, semalam.

Di bawah bimbingan pertama Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, skuad negara memberi tekanan awal dan hasilnya mereka memperoleh gol pertama pada minit ke-10.

Segala-galanya bermula daripada hantaran cantik Rashid Baharom dari penjuru kanan yang kemudian dikuis Faizal Saari untuk meletakkan Malaysia di depan seketika.

Afrika Selatan menggandakan asakan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan enam minit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jethro Eustice.

Foto

EMPAT pemain Malaysia mengawasi pergerakan pemain Afrika Selatan, Jean Pierre De Voux (jersi putih).

Foto

FAIZAL (kiri) menghalang gerakan pemain Afrika Selatan, Clinton Panther.


Skuad negara memperoleh peluang terbaik untuk di depan m-19 apabila dihadiahkan dua pukulan sudut penalti, namun kedua-duanya gagal disempurnakan dengan baik.


Bersambung babak kedua, skuad negara mula memperkemaskan rentak permainan mereka dan perubahan itu menjadi apabila Malaysia kembali di depan menerusi jaringan padang Rashid m-42.

Malaysia memperoleh peluang terbaik untuk terus melebarkan jurang, namun pukulan sudut penalti m-45 gagal disempurnakan.

Skuad negara sekali lagi terlepas tiga peluang terbaik menerusi pukulan sudut penalti m-51, 52 dan 53, tetapi mereka masih buntu juga untuk mencari ruang menjaringkan gol.

Sebaliknya Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan m-56 menerusi pukulan sudut penalti oleh Eustice.

Bagaimanapun Faizal muncul wira negara apabila menyumbat gol kemenangan m-63 hasil pukulan sudut penalti.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

Aksi konsisten layan Kanada

Posted: 13 Mar 2014 10:51 AM PDT

Ipoh: Ketua jurulatih Australia Ric Charlesworth mahu aksi konsisten yang dipamerkan anak buahnya ketika bertemu China semalam diulangi apabila bertemu Kanada pada perlawanan kedua, Ahad ini.

Meskipun membelasah negara Tembok Besar itu 7-0, Charlesworth tetap tidak berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya dan menuntut aksi lebih kemas pada perlawanan seterusnya.

"Saya memang jangkakan kami akan menang bertemu China, tapi tak sangka lawan memperoleh tiga hingga empat peluang tepat untuk menjaringkan gol.

"Sebab kalau boleh saya tidak mahu pun mereka memperoleh walau satu pun peluang.

"Perkara ini tidak seharusnya diulangi apabila bertemu Kanada nanti sebab seperti China, kami juga kurang arif mengenai corak permainan mereka," katanya.

Charlesworth yang sememangnya dikenali dengan kenyataan pedas berkata, beliau mahukan corak permainan sempurna daripada anak buahnya sepanjang saingan Piala Sultan Azlan Shah.

"Dengan kehadiran pasukan berkualiti seperti Korea, Malaysia dan Afrika Selatan, saya harap kami dapat meningkatkan corak permainan untuk persiapan ke Piala Dunia nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

Tembok Besar runtuh

Posted: 13 Mar 2014 10:50 AM PDT

Ipoh: Australia terlalu unggul untuk China apabila mudah membelasah negara Tembok Besar itu 7-0 pada perlawanan pertama kedua-dua pasukan di saingan Piala Sultan Azlan Shah semalam.

Turun dengan reputasi hebat selaku juara bertahan serta negara paling banyak memenangi kejohanan jemputan tertua iaitu sebanyak tujuh kali, skuad bimbingan Ric Charlesworth di depan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nicholas Budgeon.

China cuba untuk mengimbangi perlawanan semula, tetapi mereka tidak mampu menyekat kemaraan Australia yang meraih gol kedua pada minit ke-20 hasil jaringan padang Trent Mitton.

Australia yang membawa barisan pemain terbaik untuk persiapan Piala Dunia di The Hague, Belanda, meraih gol ketiga hasil sumbangan Jamie Dwyer dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Foto

PEMAIN China (jersi merah) gagal mengekang asakan pemain Australia.


Bersambung babak kedua, Jacob Whetton menambah gol keempat pada minit ke-37 sebelum Russell Ford menambah gol kelima 10 minit kemudian hasil jaringan padang.


Australia terus berpesta gol dengan gol keenam sumbangan Budgeon minit ke-56 yang menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan baik.

Kedudukan selesa itu masih belum memberi kepuasaan kepada anak buah Charlesworth yang terus meraih gol ketujuh hasil jaringan Budgeo enam minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

Kaji semula syarat layak

Posted: 13 Mar 2014 10:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Ada khabar gembira dan duka bakal menanti atlet negara menjelang mesyuarat jawatankuasa kerja Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Isnin ini.

Berita itu dimaklumkan oleh Pegawai Penyelaras Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk M Magendren bahawa Pengarah Teknikal KOM yang baru Robert J Ballard akan membentangkan kertas kerja berhubung sistem kelayakan baru ke dua temasya utama tahun ini, Sukan Asia dan Komanwel.

Magendren berkata, antara yang akan dibangkitkan adalah syarat kelayakan yang mana sistem kelayakan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan dikaji semula.

Justeru syarat pemilihan tetap MOM sebelum ini mungkin akan berubah dan memberi kelebihan kepada lebih ramai atlet untuk layak atau sebaliknya.

Foto

ISKANDAR antara atlet yang melepasi syarat ke Sukan Asia.


Bagaimanapun perkara itu perlu dipersetujui terlebih dahulu oleh penal jawatankuasa sebelum ia dipraktikkan oleh KOM.


"Sebagai contoh kelayakan ke Sukan Asia dan Komanwel tetap tempat kelima dan keenam tapi ada sesetengah acara sesuai digunakan dan ada yang tidak biarpun sudah melepasi kelayakan, jadi ia perlu dikaji semula.

"Justeru perkara ini akan dibangkitkan Ballard untuk dikaji semula pendekatannya," katanya.

Mengambil contoh kuartet 4x100m wanita negara yang sudah melepasi syarat kelayakan ke Komanwel namun terpaksa dikaji semula kerana Magendren berkata mereka gagal menyerlah di Sukan SEA Myanmar.

"Jika gagal di Sukan SEA bagaimana mereka mampu menyerlah di Sukan Komanwel."

Seandainya benar pendekatan baru itu dipraktikkan, ia mendapat sokongan daripada atlet senior 400m lari berpagar negara Noraseela Khalid yang menyokong penuh perkara itu kerana ia adalah satu pendekatan logik dan harus diperkenalkan secepat mungkin.

Bagi atlet yang ingin beraksi ke Sukan Asia, mereka perlu melepasi syarat yang ditetapkan sebelum 15 Ogos ini dan hingga setakat ini hanya dua atlet sudah melepasinya iaitu Iskandar Alwi dalam acara lompat bergalah dan Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

PTAM tetap sasar emas

Posted: 13 Mar 2014 10:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun gagal meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat emas di Sukan SEA 2013, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) tetap meletakkan sasaran tinggi untuk dicapai pada saingan Sukan Komanwel di Scotland pertengahan tahun ini.

Sebutir pingat emas dijadikan buruan dengan PTAM bercadang menghantar lapan peninju bersaing pada temasya berkenaan sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakukan peninju terbaik negara, Sapok Biki ketika ia berlangsung di Kuala Lumpur pada 1998.

Setiausaha Kehormat PTAM Mohamed Jani Ismail ketika ditanya mengenai sasaran itu berkata, persiapan rapi akan dilakukan, mirip kepada persediaan yang dilakukan ketika Sukan Komanwel 1998 sehingga membolehkan negara meraih sebutir pingat emas.

"Selain latihan dan kejohanan tempatan, kami juga merancang untuk menghantar peninju negara ke luar negara.

Antara yang berada dalam perancangan kami adalah latihan tiga minggu di Phuket (April), Piala Lions di Sri Lanka dan Terbuka China pada Mei," katanya.

Ditanya mengenai pemilih peninju ke Sukan Komanwel, Jani berkata, lima peninju negara yang beraksi di Sukan SEA Myanmar hampir pasti terpilih seperti Mohd Fuad Ridzuan dan Raj Kumar dengan tiga lagi peninju dalam proses penilaian.

Sasaran berkenaan bagaimanapun dilihat sukar untuk direalisasikan berdasarkan persembahan kurang menyerlah peninju negara di pentas antarabangsa terutamanya selepas ketiadaan pemenang pingat emas Sukan SEA, Mohd Farkhan Haron yang kini bergelar peninju profesional.

Kali terakhir tinju menyumbang pingat di Sukan Komanwel adalah menerusi Zamzai Azizi Mohamad yang meraih gangsa di Manchester 2002.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

Pertarungan Ann-Sherilyn batal

Posted: 13 Mar 2014 10:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Hasrat peminat tempatan menyaksikan aksi lincah Ann Osman tidak kesampaian apabila pertarungan wanita profesional pertama negara itu dalam sukan bela diri campuran (MMA) di Stadium Negara hari ini dibatalkan.

Lawannya, Sherilyn Lim dari Singapura gagal memenuhi syarat berat badan yang ditetapkan pada sesi menimbang berat, semalam.

Ann yang menyuarakan keyakinan untuk memenangi perlawanan One Fighting Championship (One FC) 'War of Nations' itu agak kecewa dengan keputusan itu.

"Sudah pasti saya kecewa selepas menjalani latihan intensif selama enam minggu sebelum kejohanan ini.

Foto

PERLAWANAN dibatalkan kerana Sherilyn (kanan) gagal patuhi syarat berat badan.


"Apapun saya perlu bertenang dan beri tumpuan untuk menghadapi pertarungan berikutnya kerana saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental," katanya.


Ann berkata dia bersama jurulatihnya sebelum ini sudah berusaha keras untuk meningkatkan prestasi dengan menilai pertarungan pertamanya menerusi video untuk memperbaiki kelemahan.

"Saya semakin yakin dengan rentak serangan serta melakukan tumbukan KO sepanjang latihan," katanya.

Antara peserta yang bertanding pada kejohanan itu ialah Brock Larson, Nobutatsu Suzuki, Dae Hwan Kim, Kevin Belingon, Adriano Moraes, Yasuhiro Urushitani, Ariel Sexton, Kamal Shalorus, Shinichi Kojima, Andrew Leone, Kotetsu Boku, Arnaud Lepont, Waqar Umar, Peter Davis, Harris Sarmiento, Herbert Burns, Khim Dima dan Saiful Merican.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

Sentuhan Kim Swee bawa tuah

Posted: 13 Mar 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Sentuhan pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee ternyata membawa tuah kepada kedudukan ranking skuad negara apabila melonjak sembilan anak tangga kepada 141 berbanding 150 pada bulan lalu.

Kenaikan ketara berkenaan hasil kemenangan 2-1 ke atas Yaman dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia selain seri tanpa jaringan dengan Filipina mengumpul 62.78 mata.

Skuad negara kini mengumpul 175 mata menurut senarai terbaru dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam, kedudukan paling baik, ke-128 sejak Mac 2011.

Malaysia juga melonjak di kedudukan 22 pasukan terbaik Asia bulan ini berbanding 29 bulan lalu.

Manakala di Asia Tenggara, Malaysia ketiga di belakang Vietnam dan Filipina.

"Sudah pasti ini cukup mustahak bagi saya dengan lebih banyak perlawanan kelas A perlu diatur.

Saya yakin kenaikan ini akan menarik minat negara lain terutamanya dalam kelompok negara yang berada pada ranking ke-135 hingga 145 untuk mengadakan perlawanan dengan Malaysia," kata Kim Swee.

Namun menurutnya, usaha melonjakkan lagi kedudukan skuad negara mungkin terbantut kerana FAM bakal berdepan tindakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) susulan pembakaran suar ketika aksi menentang Filipina 1 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

'Jangan bazir peluang'

Posted: 13 Mar 2014 10:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali PKNS FC, Wan Jamak Wan Hassan mengingatkan anak buahnya tidak leka serta mengambil mudah cabaran T-Team di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Menurutnya, kemenangan T-Team ke atas Sarawak hujung minggu lalu harus diambil serius bagi mengelak menjadi mangsa seterusnya.

"Selepas seri bertemu Perak tempoh hari, saya sudah mengingatkan pemain agar kekal fokus dan tidak mensia-siakan peluang terhidang seperti berlaku di Ipoh.

"Amat rugi jika peluang tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.

Memandangkan akan bermain di tempat sendiri, saya mahu setiap pemain menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi memburu tiga mata maksimum," katanya.

Menurut Wan Jamak, 56, skuadnya bakal turun tanpa sentuhan Patrick Ronaldinho Wleh yang masih cedera dan beliau terpaksa mengharapkan khidmat Karlo Primorac merobek benteng lawan.

"Ronaldinho sudah pasti tidak dapat diturunkan dan harapan kami hanya pada Primorac," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

Red Giants enggan cicir mata

Posted: 13 Mar 2014 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Selangor tidak boleh tercicir mata apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam esok.

Menurut kapten Merah Kuning, Mohd Bunyamin Omar, tiga mata penting bagi memastikan mereka terus berada di kelompok teratas liga.

Selangor kendalian Mehmet Durakovic kini berada pada kedudukan keenam mengumpul sembilan mata selepas meraih tiga kemenangan daripada lima perlawanan.

"Jika dilihat kedudukan liga ketika ini, kami agak ketinggalan dan situasi ini tidak boleh berterusan dan kemenangan perlu diraih menentang ATM," menurut Bunyamin yang tiba dari Maldives semalam selepas mengharungi saingan Piala AFC.

Walaupun mengakui agak keletihan, ia bukanlah alasan untuk dirinya dan rakan sepasukan tidak mempamerkan aksi terbaik.

"Namun lebih penting kami perlu waspada terhadap ATM yang akan memberikan tentangan sengit selepas tewas (1-4) kepada Pahang sebelum ini.

Kami perlu menjangkakan reaksi balas itu agar tidak tewas," katanya.

Percaturan Durakovic menggilirkan pemain dilihat penting untuk aksi bertemu barisan B Sathianathan kerana tumpuan juga perlu diberikan untuk aksi Piala AFC menentang pendahulu Kumpulan F, kelab Vietnam, Hanoi T&T di Hanoi, Rabu depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

Angkara penyokong

Posted: 13 Mar 2014 10:37 AM PDT

Kelana Jaya: Empat persatuan bola sepak negeri termasuk Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) yang didenda RM30,000 kerana salah laku penyokong dianggap bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman lebih berat FAM.

Selain PBNP, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) turut menjadi mangsa tindakan penyokong sendiri yang membakar mercun, suar dan bom asap dalam beberapa perlawanan Liga Super sekali gus menyebabkan persatuan negeri terbabit turut dikaitkan dengan kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak , hukuman ke atas persatuan negeri akan tetap dikenakan selagi penyokong mereka terus melakukan kesalahan mengikut peraturan yang termaktub dalam undang-undang badan induk itu.

"Penyokong tahu perbuatan itu salah tetapi buat juga, jangan marah kepada FAM atau Jawatankuasa Tatatertib (FAM) kerana mengenakan hukuman lebih tinggi kepada persatuan negeri.


"Hari ini (semalam), persatuan-persatuan negeri didenda minimum kerana denda maksimum adalah RM100,000. Kita tidak mahu isu ini berterusan sehingga ada kematian barulah mereka berhenti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib semalam.


PBNP yang menghadapi enam pertuduhan ketika menentang Lions XII dan Johor DT pada 17 Januari dan 7 Februari lalu didenda RM30,000.

PBSNT yang menghadapi dua pertuduhan ketika perlawanan T-Team bertemu Johor DT pada 25 Januari dikenakan denda RM10,000 manakala FAS dengan tiga pertuduhan didenda RM15,000 ketika menentang T-Team 18 Januari lalu.

PAFA pula didenda RM20,000 selepas berdepan empat pertuduhan berhubung insiden penyokong membakar suar dan mercun ketika menentang Terengganu pada 25 Januari lalu.

Sementara itu Taufek memaklumkan, pihaknya menangguhkan seketika kes membabitkan kes Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pada aksi menentang ATM, 18 Januari lalu kerana mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan salah laku penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14

No comments:

Post a Comment