Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gelora tiga persatuan

Posted: 01 Mar 2014 10:16 AM PST

Kuala Lumpur: Sewaktu artikel ini ditulis, saingan edisi ke-19 Le Tour de Langkawi (LTdL) serta Kejohanan Berbasikal Dunia di Cali, Colombia sedang berlangsung.

Tidak ketinggalan, Pusingan Akhir Siri Super ISTAF yang berjalan di Stadium Titiwangsa, 5 hingga 9 Mac ini dan paling penting kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman, 5 Mac ini.

Namun mampukah semua kejohanan itu mengalih perhatian umum terhadap isu kepemimpinan yang kini terarah tepat kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)?

Semuanya tertumpu kepada watak utama yang menerajui ketiga-tiga persatuan terbabit iaitu Datuk Abu Samah Wahab, Datuk Ahmad Ismail dan Sultan Ahmad Shah.

Foto

LAPORAN Harian Metro 28 Februari lalu.

Foto

LAPORAN Harian Metro 6 Februari lalu.

Rungutan berpunca daripada prestasi sukan terbabit yang dikatakan tidak menentu malah ada yang menganggap ia memberi aib kepada negara.

Rasa kurang senang itu pula diterjemahkan menerusi 'gerakan' tertentu yang meminta pemimpin persatuan terbabit berundur bagi membolehkan ia diberi nafas baru.

Jika bola sepak pernah popular dengan gerakan 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)', sepak takraw pula turut kecoh dengan tuntutan Kelab Sukan Rekreasi Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia (KSRKBPSM) manakala beberapa pelumba basikal negara pula meluahkan rasa kurang senang sebaik selesai Sukan SEA Myanmar, Disember lalu.

Ramai berpendapat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mahupun kongres persatuan adalah peluang terbaik untuk mengubah kepemimpinan terbabit tetapi sejauh mana gerakan itu mampu menggegar struktur kepemimpinan sedia ada.

Malah, isu yang dihadapi ketiga-tiga persatuan itu turut dibawa ke perhatian Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan tidak terkecuali menerima teguran daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Namun, adakah berbaloi rasa marah yang menyala itu demi menyelamatkan maruah sukan negara atau lebih kepada memenuhi kepentingan individu tertentu?

Adakah melepaskan jawatan menjadi penyelesaian terbaik dalam memulihkan ketiga-tiga persatuan terbabit?

Apa pun, keputusan yang bakal diraih atlet negara dalam ketiga-tiga kejohanan itu mampu memberi bayangan sama ada isu berkaitan akan semakin marak atau langsung tidak menjanjikan apa-apa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

'Masalah belum tentu selesai'

Posted: 01 Mar 2014 10:12 AM PST

Kuala Lumpur: Menggesa presiden sesebuah persatuan sukan untuk meletak jawatan mungkin dilihat jawapan tepat daripada segi prinsipnya apabila prestasi sukan berkenaan dilihat semakin merudum tetapi tindakan itu belum tentu mampu merungkai permasalahan yang membelenggu.

Kes membabitkan kepemimpinan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meskipun tertumpu kepada soal teraju utama persatuan namun setiap persatuan mempunyai corak masalah tersendiri yang perlu dikenal pasti punca dan penyelesaiannya.

Itu pandangan bekas Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar ketika mengulas tumpuan yang kini terarah kepada kepemimpinan tiga persatuan terbabit sejak kebelakangan ini hingga ada yang menggesa supaya presidennya berundur.

Menurut Elyas, apa yang berlaku dalam FAM, tidak boleh disamakan dengan kemelut yang melanda PKBM mahupun PSM.

Foto

ELYAS berpendapat persatuan perlu kenal pasti punca masalah.

Foto

BANTAHAN yang dibuat menggesa presiden PSM undur diri.


Jelasnya, dalam menangani isu FAM, kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu Presiden Sultan Haji Ahmad Shah semata-mata memandangkan kepemimpinan FAM adalah secara kolektif apatah lagi pentadbiran persatuan berkenaan jauh lebih efisyen meskipun ada kelemahan yang boleh diperbaiki.


Lebih penting, menurutnya ahli majlis yang dilantik perlu menyuarakan pandangan mereka dalam mesyuarat majlis yang diadakan tiga bulan sekali dan bukan sekadar menjadi 'yes man' semata-mata.

"Saya sendiri ketika berada di FAM, akan buka mulut jika tidak bersetuju dengan sesuatu perkara malah pernah 'bergaduh' dengan Datuk Bakar Daud hingga membuatkan Tuanku 'mendamaikan' kami.

"Tuanku hanya mendengar dan jika tiada yang bersuara ia dianggap sudah bersetuju," katanya.

"Bola sepak mempunyai pemain seperti Ghani Minhat, Mokhtar Dahari, Isa Bakar, Soh Chin Aun, Syed Ahmad Abu Bakar, Shahruddin Abdullah yang masing-masing dibawa dari peringkat negeri dan jika jatuh mengapa meletak kesalahan kepada Tuanku. Sebaiknya, semua perlu meletak jawatan."

Berbanding dengan PKBM dan PSM yang disifatkannya lebih terarah kepada kepemimpinan berpusat, apa yang dihadapi sekarang adalah kepemimpinan yang kurang efisyen hingga menjejas prestasi sukan masing-masing.

"Dalam berbasikal, saya melihat wujudnya pengurusan yang lemah dan ramai yang mempunyai kepentingan sendiri. Mungkin antara di antara mereka yang boleh dipercayai," katanya.

Merujuk beberapa kes membabitkan pegawai persatuan terbabit, beliau yakin ia memberi kesan secara langsung kepada imej sukan terbabit.

PSM pula pada pandangan Elyas bukan saja lemah dari segi kepemimpinan, malah tiada perancangan, pendedahan mahupun pencarian bakat yang mampu meningkatkan prestasi atlet mereka di pentas antarabangsa.

"Mereka bukan saja berdepan masalah dari sudut kepemimpinan di mana ada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu tetapi juga membabitkan aspek teknikal," katanya.

"Sewajarnya mereka perlukan perancangan program yang lebih tersusun dan menumpukan ke arah pembangunan memandangkan sukan ini sukan kampung yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Thunderbolts lebih hebat

Posted: 01 Mar 2014 10:09 AM PST

Kuala Lumpur: Sepanjang sesi pra-musim, skuad UniKL Young Guns dilabel selaku pasukan paling dicemburui dalam saingan Liga Hoki Remaja Milo tetapi semuanya mula tidak menjadi buat mereka ketika SSTMI Thunderbolts dilihat lebih perkasa pada saingan Piala Milo musim ini.

UniKL dilihat berhempas pulas sebelum berjaya mengalahkan juara divisyen dua, Politeknik KPM 3-2 pada perlawanan pertama pusingan kalah mati Piala Milo kelmarin dan berdasarkan kepada persembahan yang dipamerkan pada perlawanan berkenaan, masalah besar dilihat bakal menanti UniKL apabila perlawanan kedua berlangsung hari ini.

Aura juara yang selama ini dipertontonkan UniKL, hilang entah ke mana dan mereka dilihat seolah-olah kekeringan idea walaupun mempunyai beberapa pemain remaja yang dianggap terbaik di Malaysia.

Penyokong setia UniKL juga lenyap begitu saja sedangkan kelompok itulah yang selama ini berjaya menyuntik semangat juang buat pasukan berkenaan.


Kemenangan UniKL diperoleh selepas Politeknik KPM gagal mengekalkan tumpuan serta penguasaan dan gol kemenangan hanya tiba ketika permainan berbaki sembilan minit.


"Kami bergelut pada sebahagian besar perlawanan hari ini dan ia mungkin disebabkan pemain terlalu mahukan kemenangan," kata pengurus UniKL Young Guns Mohd Faiz Isa. "Kami terlepas gol pertama dan ia menambah tekanan pasukan. Hanya pada sepuluh minit terakhir, barulah kami dapat bermain seperti biasa.

"Untuk perlawanan kedua Ahad nanti (esok) kami perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh membenarkan lawan menjaringkan gol kerana ia akan hanya membuatkan mereka lebih bersemangat."

Faiz turut meluahkan keyakinan bahawa anak buahnya pasti layak ke separuh akhir dan percaya persembahan mereka akan bertambah baik hari ini.

Sementara itu, pada perlawanan suku akhir lain, SSTMI Thunderbolts kini sudah sebelah kaki ke separuh akhir apabila mengalahkan MS Pahang Juniors 8-0 dan perlawanan hari ini hanyalah sebagai pelengkap jadual buat skuad berkenaan.

"Kami menurunkan pemain muda dan layak ke suku akhir sudah cukup bagus," kata jurulatih MS Pahang Benedict Arrias.

"Kami perlu bersikap jujur. Thunderbolts adalah pasukan yang jauh lebih hebat dan saya berharap satu hari nanti, anak buah saya akan beraksi dengan tahap keyakinan sama dengan lawan kami itu."

Bagi Sekolah Sukan Bukit Jalil, mereka masih belum mahu mengibar bendera putih walaupun ditewaskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 4-1.

"Kami perlu mencari gol seawal mungkin untuk menaikkan semangat dan mencerahkan peluang," kata jurulatih SSBJ S Prakash.

"Kami melakukan terlalu banyak kesilapan di benteng pertahanan dan sekiranya kami bermain dengan lebih yakin, sudah pasti kami dapat mengelakkan jaringan yang begitu besar. Begitupun, saya yakin, kami masih boleh bangkit jika kami dapat beraksi cemerlang sejak wisel permulaan dibunyikan."

Sekolah Tinggi Melaka turut ditewaskan 4-1 oleh Olak-PKT dan mereka harus menyalahkan diri sendiri atas kekalahan berkenaan.

Olak dilihat tidak berdepan masalah untuk ke separuh akhir dan mereka pastinya lebih lega untuk mengharungi perlawanan kedua hari ini.

Jadual perlawanan suku akhir kedua

Hari ini
UniKL Young Guns mln Politeknik KPM
Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 4 ptg

MBPJ mln Sekolah Sukan Bukit Jalil
Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 4 ptg

Olak-PKT mln Sekolah Tinggi Melaka
Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 6 ptg

SSTMI Thunderbolts mln MS Pahang Juniors
Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 6 ptg

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Bos Gaurus nyaris diaibkan Sriwijaya Jr

Posted: 01 Mar 2014 10:08 AM PST

Palembang: Skuad Bos Gaurus nyaris diaibkan pasukan bawah 21 tahun Sriwijaya pada persahabatan di Stadium Gelora Sriwajaya, Jakabiring, kelmarin.

Pada perlawanan berkenaan, maruah anak buah jurulatih Abu Bakar Fadzim itu nyaris tercalar apabila tuan rumah berjaya mendahului 2-1 sebelum Nathan Levi Fontaine Ellington menyamakan kedudukan 2-2 beberapa saat sebelum tamat perlawanan.

Apa yang pasti, Perak yang merehatkan beberapa tonggak utama dilihat beraksi di bawah tahap sebenar sekali gus membolehkan tuan rumah mendominasi permainan.

Ujian sebenar buat Perak pastinya berlaku malam ini apabila turun bertemu pasukan senior, Sriwijaya FC di gelanggang sama, malam ini.

Abu Bakar berharap dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam usaha memberi saingan kepada kelab yang pernah muncul juara Liga Super Indonesia (ISL) 2012 itu.

"Saya tidak turunkan beberapa pemain utama pada perlawanan menentang skuad bawah 21 tahun Sriwijaya kerana ingin menggunakan kudrat mereka untuk perlawanan kedua esok (hari ini).

"Malah, tiga awang import yang sedang diuji akan diturunkan pada perlawanan ini," katanya.

Sepanjang perlawanan persahabatan itu, Perak akan menguji tiga awang import dari Nigeria, Paraguay dan England iaitu Udo Fortune, Juan Emmanuel Acuna dan Nathan Levi Fontaine Ellington.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bersetuju mengadakan kerjasama dengan Sriwijaya dalam usaha memantapkan pasukan masing-masing pada masa akan datang.

Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, satu persetujuan sudah dicapai bagi menjalin kerjasama demi kemajuan bola sepak kedua-dua pasukan.

"Apa juga yang dapat membantu peningkatan bola sepak akan diteliti dan dikaji secara teliti," katanya.

Sementara itu, pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad mengakui terpikat dengan persembahan seorang pemain skuad bawah 21 tahun Sriwijaya yang menunjukkan kematangan tinggi walaupun baru berusia 19 tahun tetapi enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan membeli pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Perlu pamer aksi mantap

Posted: 01 Mar 2014 10:07 AM PST

Seremban: Negeri Sembilan perlu mempamer persembahan lebih mantap sebaik saingan Liga Perdana kembali bersambung, 7 Mac ini untuk memastikan impian melakar kejayaan yang disasarkan musim ini dapat direalisasikan.

Selepas kembali ke landasan terbaik apabila mencatat tiga kemenangan dan satu seri, kini Negeri Sembilan menduduki tangga ketiga carta liga yang boleh disifatkan kedudukan memberangsangkan untuk terus bersaing memburu kejuaraan musim ini.

Kapten pasukan Norhafiz Zamani Misbah mengakui pencapaian itu memberangsangkan namun ia bukan jaminan untuk mendapat laluan mudah dalam misi merangkul kejuaraan.

Katanya, cabaran yang bakal dihadapi sebaik aksi bersambung dijangka lebih berliku kerana setiap pasukan pastinya akan berusaha meningkatkan lagi prestasi masing-masing dalam memburu keputusan lebih baik.

"Kami tidak boleh cepat berpuas hati dengan kedudukan ketika ini kerana banyak lagi perlawanan akan dihadapi pada pusingan pertama dan kedua nanti.

"Jika dibandingkan dengan prestasi pasukan lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengungguli carta liga dan Pulau Pinang, kami perlu berusaha lebih keras bagi meningkatkan prestasi untuk menyaingi kehebatan dua pasukan itu.

"Bagi memudahkan laluan menjuarai liga, kami tidak boleh kehilangan mata dalam setiap perlawanan selepas ini dan ia bukan mudah kecuali dengan kesungguhan tinggi semua pemain," katanya.

Menurut Norhafiz, setakat ini dia akur dengan kesungguhan semua pemain dalam pasukan yang berusaha memberikan persembahan terbaik kerana tidak mahu rekod buruk musim lalu berulang.

Bekas tonggak kebangsaan berpengalaman berusia 32 tahun itu begitupun yakin betapa rakan sepasukan memahami tugas yang perlu digalas serta sudah bertekad mahu memastikan misi menjulang nama pasukan musim ini dapat dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Ujian pra-musim ARRC kini bermula

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

Kuala Lumpur: Edisi ke-19 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS 2014 kembali dihangatkan dengan kehadiran pelumba-pelumba terbaik Asia dalam kelas SuperSports, Underbone dan Piala Impian Asia (ADC) yang bakal turun menjalani sesi ujian pra-musim rasmi di Litar Antarabangsa Sepang pada 4 dan 5 Mac ini.

Sesi dua hari ini menjadi tempoh paling penting buat pasukan dan pelumba selepas berehat panjang sejak November lalu terutama bagi menguji peralatan baru yang bakal digunakan untuk menghadapi musim ini.

"Pelumba-pelumba akan kembali bersama jentera mereka buat pertama kali pada sesi ujian pra-musim ini.

Sesi ini penting bukan saja untuk latihan pelumba, sebaliknya jurutera pasukan turut dapat menggunakan peluang ini untuk mencuba peralatan baru dan mendapatkan pelarasan terbaik serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan jentera di dalam keadaan suhu litar yang panas," kata Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, Ron Hogg.

Hogg menambah, musim 2014 juga dijangka lebih menarik dengan kehadiran ramai bakat baru dan juga perubahan barisan pelumba pasukan.

Antara perubahan yang dijangka menarik perhatian adalah aksi pertama Mohd Zamri Baba bersama jentera Honda di dalam kelas SuperSports.

Pelumba 31 tahun itu bakal menggantikan tempat juara 2013, Azlan Shah Kamaruzaman dan akan bergandingan dengan bekas pelumba MotoGP, Makoto Tamada serta Mohd Zaqhwan Zaidi.

Sementara itu, Katsuaki Fujiwara akan mengemudi jentera Kawasaki manakala Ahmad Fuad Baharudin kembali memberi cabaran bersama jentera Yamaha.

Tambah menarik, beberapa muka baru akan berada di grid kelas perdana termasuk naib juara Underbone Ahmad Afif Amran, pemenang tempat ketiga ADC Mohd Fitri Ashraf Razali, pelumba Thailand Suhathai Chaemsap, bekas pelumba Superbike Dunia Mark Aitchison dan seorang lagi pelumba Malaysia Sasitharen Sukumaran.

Turut mengesahkan kehadiran termasuklah pelumba Indonesia Yudhistira, Ivos A Rianda, Hazlanshah Mohd Noor, Mohd Farid Badrul Hisham, Satoru Iwata, Tomoyoshi Koyama, Yuki Ito, Peerawat Wongthanananon, Ratthapong Wilairot dan Makoto Inagaki.

Saingan Underbone 115cc tidak kurang menariknya apabila juara bertahan, Hadi Wijaya beralih ke pasukan baru yang berpangkalan di Malaysia manakala juara 2009, Mohd Affendi Rosli kini bersama jentera Yamaha.

Selepas sering kali di dominasi pelumba Indonesia dan Malaysia, saingan musim ini dimeriahkan dengan penyertaan pasukan dari Jepun yang mempertaruhkan pelumba muda berbakat, Kazuki Masaki yang pernah meraih beberapa kedudukan podium pada musim lalu.

Foto

ZAMRI kini bersama Honda beraksi untuk kelas SuperSports.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Fazli intai mahkota juara CP130

Posted: 01 Mar 2014 10:04 AM PST

Kuala Lumpur: Pencabar utama CP130, Ahmad Fazli Sham masih bersemangat untuk memburu gelaran juara dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS sekalipun gagal mempamer prestasi terbaik sepanjang dua musim lepas.

Pelumba 32 tahun itu sekadar meraih pencapaian terbaik di tempat keempat pada musim 2012 manakala sering kali hanya berada di kelompok pertengahan pada saingan tahun lalu.

Pencapaian terbaiknya pada 2013 sekadar menduduki tangga ketiga sewaktu pusingan pembukaan dan muncul naib juara perlumbaan terakhir di Shah Alam manakala selebihnya dia gagal berada di kelompok lima pelumba teratas termasuk tidak menamatkan perlumbaan pada baki perlumbaan lain yang hanya meletakkannya di tangga ketujuh keseluruhan.

"Pencapaian saya tidak begitu baik pada dua musim lepas, namun ia perkara biasa dalam karier seorang pelumba.

Adakalanya kita mencapai keputusan baik dan ada masanya tidak.

Di sebalik pencapaian kurang memberangsangkan ini, saya percaya masih berada pada prestasi terbaik dan masih dahagakan kejayaan dalam setiap perlumbaan," jelas Fazli yang kali terakhir meraih gelaran juara pada musim 2011.

"Banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini terutama apabila kami sering melakukan kesilapan serupa terhadap pelarasan jentera.


Walaupun kesilapan sebegini agak mengecewakan, namun saya tetap cuba memberikan yang terbaik dan membantu pasukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.


Hasilnya kami masih mampu meraih dua kedudukan podium," katanya.

Enggan mengingati kesilapan lalu, juara dua kali CP130/Expert itu optimis mampu kembali berada pada prestasi terbaik dan bersaing merebut gelaran juara musim ini.

"Walaupun tidak bernasib baik, namun ada ketika di mana kami masih mampu memberikan saingan kompetitif, jadi tidak mustahil kami mencapai keputusan lebih baik musim ini.

Namun, ia bukan jaminan untuk berjaya, sebaliknya kami perlu lebih bersedia dan mengkaji kesilapan dan saya juga perlu meningkatkan prestasi bersesuaian dengan mutu saingan yang lebih sengit ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Jazeman masih lagi mantap

Posted: 01 Mar 2014 10:04 AM PST

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Jazeman Jaafar kembali ke litar selepas berehat panjang selain berusaha mencatat masa terbaik bersama pasukan barunya.

Jazeman akan kembali ke saingan Formula Renault 3.5 Siri untuk musim 2014 dan dia mengambil keputusan untuk berhijrah dengan menyertai pasukan berpangkalan di Republik Czech, ISR dalam usaha mencabar kedudukan terbaik.

Sesi pra-musim rasmi yang pertama Formula Renault 3.5 Siri berlangsung di litar Motorland di Aragon, Sepanyol hari ini dan dengan baki tempoh yang tidak lagi lama sebelum perlumbaan sebenar, Jazeman perlu menyesuaikan dirinya dengan jentera ISR selepas hanya berpeluang mengujinya hujung tahun lalu.

Pelumba berusia 21 tahun itu sudah membuktikan bahawa dia masih lagi mantap untuk mencatat masa ketiga terbaik ketika sesi pagi selain menduduki tangga kelima terpantas selepas 45 pusingan pada hari pertama.

Jazeman kembali ke litar pada hari kedua untuk meneruskan persiapannya untuk menghadapi musim ini dan selepas cemerlang di hari pertama, pasukan membuat sedikit perubahan bagi menyesuaikan jentera dengan tayar Michelin edisi 2014.

Pelumba kebanggaan negara itu meneruskan catatan meyakinkan apabila merakam kedudukan di tangga keenam di sebelah pagi dan kesembilan di sebelah petang dengan melengkapkan 41 pusingan.

Cuaca buruk di hari ketiga sedikit menjejaskan catatan Jazeman dan selepas 21 pusingan pagi, dia mencatat kedudukan di tangga ke-11.

Itu adalah kali pertama Jazeman mengendalikan jenteranya dalam keadaan litar basah.

Ketika cuaca semakin baik di sesi petang, Jazeman kembali memandu dan pelumba yang mendapat sokongan PETRONAS itu berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik pada sebahagian besar sesi.

"Ujian selama tiga hari ini cukup berbaloi.

Menyertai pasukan baru bermakna banyak perkara yang perlu saya buat tetapi setakat ini, saya gembira dan puas hati dengan catatan serta kemampuan jentera.

"Saya sentiasa belajar pada setiap sesi latihan," katanya.

"Sepanjang tiga hari ini, kami berusaha mendapatkan padanan terbaik dan kami berusaha dalam semua aspek persediaan terutama terhadap perkembangan jentera serta tayar baru yang diperkenalkan musim ini.

"Tayar sedikit berbeza berbanding tahun lalu dan saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengannya terutama apabila ia dipandu dalam keadaan litar kering dan basah." Mengenai catatan masanya, Jazeman berkata, "Sesi ujian adalah penting untuk melakukan segala-galanya.


Strategi, pendekatan baru, pelarasan dan banyak lagi.


Memang saya mahu mencatat masa terbaik tetapi itu bukanlah keutamaan untuk sesi ini.

Saya gembira dengan catatan setakat ini dan saya tidak sabar mahu memulakan perlumbaan sebenar." Persediaan Jazeman untuk musim 2014 akan bersambung pertengahan bulan ini dan ujian rasmi kedua akan berlangsung di litar Jerez, Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Cinta zaman sekolah

Posted: 01 Mar 2014 09:23 AM PST

BENARLAH kata orang tua-tua, jangan terlalu membenci seseorang kerana orang itu mungkin menjadi insan paling rapat dengan kita satu hari nanti.

Ketika masih di bangku sekolah, Noraini Abdul Bari dan Ismail Abu pantang berselisih bahu kerana masing-masing pasti mencari sebab untuk bergaduh hingga pada satu tahap, muka Noraini pernah disinggahi penyapu gara-gara kenakalan Ismail.

"Saya dan Ismail hampir setiap hari berselisih faham ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh. Pernah dia (Ismail) sapu muka saya dengan penyapu.

"Belajar dalam satu kelas menyebabkan kami bertemu setiap hari. Hanya disebabkan kesalahan kecil, kami akan bertengkar tapi tidaklah berlarutan hingga menjadi bergaduh besar.

Foto

AKSI Ismail (kiri) semasa bersama skuad negara.

Foto

NORAINI (kiri) bermesra dengan suami dan anak-anak.

Foto

ISMAIL dan Noraini melihat karipap yang menjadi antara produk sejuk beku yang dikeluarkan.


"Kalau pagi kami bermasam muka, bila petang kami akan berbaik semula iaitu ketika kami menjalani latihan hoki di padang sekolah. Episod itu berlangsung sepanjang masa dan hanya berhenti apabila kami menamatkan alam persekolahan," kata Noraini yang pernah menjadi penjaga gol skuad hoki Pahang selama enam tahun.


Noraini yang lebih mesra dengan panggilan Ain berkata, hubungan yang pada mulanya hanya sebagai kawan sekolah akhirnya mencetuskan bibit cinta antara keduanya.

"Saya tidak pernah menyangka akhirnya kami boleh bergelar suami isteri. Kami berkahwin pada 17 Ogos 2007. Sejarah lucu sebelum ini segera terpadam dengan terbinanya rumah tangga yang kini diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Nor Alya Aqilah dan Nor Afiqah Sofiya.

"Kami bahagia walaupun suami sentiasa sibuk dengan sesi latihan pasukan hoki kebangsaan namun itu tidak menjadi penghalang untuk kami terus ceria," katanya yang kini tinggal di Mentakab.

Ain berkata, dia dan Ismail pernah mewakili Pahang pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2002 di Sabah dan kedua-duanya memenangi gangsa.

Katanya, sifat lemah lembut dan bertanggungjawab Ismail menjadi kelebihan dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga mereka yang kini sudah berusia tujuh tahun.

Bergelar isteri kepada seorang ahli sukan membuatkan Ain memahami bahawa dia perlu sentiasa berkorban apabila Ismail sering meninggalkan keluarga untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Ismail akan pulang ke rumah pada hujung minggu dan sepanjang ketiadaannya, Ain terpaksa menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

"Selain isteri, saya juga menjadi penasihat kepada Ismail dalam pelbagai perkara seperti membuat sesuatu keputusan, karier, kecederaan, simpanan dan perancangan masa depan.

"Apabila dia mengalami kecederaan, saya terpaksa merawatnya. Ketika fikirannya celaru memikirkan masalah, saya akan menenangkannya dengan memberi nasihat serta pandangan yang sesuai sebagai pilihan," katanya.

Ain berkata, setiap kali suaminya itu pulang, mereka akan menggunakan kesempatan yang ada untuk keluar membeli belah dan bercuti bersama Alya dan Afiqah.

Ketika itulah Ismail akan memberi sepenuh tumpuan buat keluarganya tambahan pula Alya dan Afiqah sangat rapat dengannya.

Menurutnya, untuk menambah pendapatan keluarga, dia kini terbabit dengan perniagaan produk sejuk beku seperti karipap, samosa, kuih kasturi dan cucur badak yang dimulakan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Selain membantu daripada segi kewangan, suami turut memberi pandangan dan cadangan dalam usaha memajukan perniagaan keluarga yang kini semakin berkembang dengan permintaan yang bertambah banyak.

"Kami sentiasa berbincang mencari pendekatan untuk lebih memajukan lagi perniagaan selain memperluaskan lagi pasaran ke seluruh negara. Kini produk yang kami hasilkan sudah berada di beberapa pasar raya terkemuka.

"Pada waktu terluang Ismail turut membantu saya membuat beberapa jenis kuih selain turut menghantar produk ke beberapa lokasi di daerah ini," katanya yang bercadang untuk menambah lebih banyak produk.

Ain berkata, Ismail tidak pernah lupa membawa pulang hadiah setiap kali ke luar negara dan kebiasaannya dia akan membeli coklat termasuk minyak wangi daripada jenama terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

Badi pemain tempatan?

Posted: 01 Mar 2014 09:19 AM PST

Saya tertarik dengan isu pemain tempatan yang cuba bermain di liga luar dan ia sering menjadi perbualan hangat antara peminat kerana kebanyakan pemain kita gagal untuk kekal lama di luar negara.

Hingga kini, saya masih tidak faham apakah sebenarnya yang diinginkan pemain kita yang beraksi di liga luar.

Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kami akan sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana pemain yang mahu mencuba nasib di luar negara.

Memang banyak masalah yang perlu mereka atasi untuk menyesuaikan diri tapi ia sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan untuk mudah mengalah dan akhirnya pulang selepas hanya beberapa bulan saja.

Memang kita tidak dapat memastikan apakah sebab utama yang menyumbang kepada kegagalan pemain kita untuk meneruskan karier masing-masing walaupun berpeluang untuk mengembangkan bakat di liga lebih hebat.

Kalau mengikut pengalaman saya yang sudah terbabit dalam kancah bola sepak selama lebih 20 tahun ini, masalah utama yang sering timbul adalah kejutan budaya - isu yang paling besar dan sukar untuk dielakkan.

Dalam hal ini, pemain harus matang dan bersikap profesional kerana sudah tentu apa yang kita hadapi di luar negara tidak sama dengan yang sering kita lihat dan alami di tempat sendiri.

Jadikan soal makanan sebagai contoh, jika di sini segala persiapan dilakukan oleh ahli keluarga tetapi setiap pemain perlu menyediakan sendiri perkara berkenaan andai kita merantau ke tempat orang.

Ada juga kes di mana pemain kita terlalu merindukan keluarga dan rakan-rakan di Malaysia sekali gus membuatkan mereka mula membandingkan suasana serta keadaan di luar dengan di tanah kelahiran sendiri.

Apabila perkara itu berlaku, mereka mula resah dan jalan mudah yang mungkin akan diambil adalah pulang ke Malaysia.

Kita tidak nafikan semasa zaman kegemilangan bola sepak era 70-an dan 80-an, kita pernah menyaksikan pemain seperti Dali Omar, Lim Teong Kim, Chow Chee Keong, Wong Kam Fook, Lim Fung Kee, Wong Choon Wah dan Yip Chee Keong beraksi di luar negara bersama kelab profesional masing masing.

Pada awal 2000 pula, kita juga boleh berbangga dengan kejayaan Akmal Rizal Rakhil yang bermain di liga Perancis.

Tapi malangnya, senario itu tidak kekal lama dan selepas hampir 15 tahun, kita belum dapat melihat kelibat kejayaan yang sebenar dari pemain kita yang pernah bermain di liga luar.

Peminat pasti kenal dengan nama ini - Mohd Nazmi Faiz - yang menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab Portugal SC Beira Mar pada tahun 2012.

Tetapi tidak sampai setahun, Nazmi pulang ke Malaysia atas alasan peribadi.

Sudah tiba masanya untuk kita menjadikan kejayaan pemain Asia lain yang berjaya bermain di luar negara seperti Ali Daei (Iran dan Bayern Munich), Hideotoshi Nakata (Jepun dan Perugia), Ahn Jung-hwan (Korea Selatan dan Perugia), Shinji Ono (Jepun dan Feyenoord), Sun Ji Hai (China dan Manchester City), Park Ji-sung (Korea Selatan dan Manchester United), Shunsuke Nakamura (Jepun dan Celtic), Keisuke Honda (Jepun dan CSK Moscow), Ali Al-Habsi (Oman dan Wigan) serta Shinji Kagawa (Jepun dan Manchester United) sebagai pemangkin untuk kita lebih berjaya.

Apa yang harus dilakukan adalah pemain kita perlu mendapat tunjuk ajar secara profesional dalam mengharungi cabaran bermain di luar negara.

Mereka harus tahu berdikari, ada keyakinan diri yang tinggi dan satu sikap ingin berjaya walau apa juga cabaran dilalui.

Peranan ibu bapa juga penting dalam membentuk mental yang kuat kepada anak mereka yang terbabit dengan bola sepak.

Kita harus belajar dari Jepun dan Korea Selatan - ibu bapa di sana memberi galakan sepenuhnya kepada anak masing-masing untuk terbabit dalam apa jenis sukan sekalipun.

Jika pemain Asia boleh mencapai kejayaan bermain di liga luar negara, mengapa tidak pemain Malaysia? Harapan saya adalah untuk melihat Wan Zack Haikal (Fc Ryukyu, Jepun), Tam Sheang Tsung (Shanghai Shanhua) akan meneruskan cabaran mereka di liga luar tanpa menjadikan cabaran sebagai penghalang kepada karier mereka.

Dan menjadi harapan FAM juga untuk melihat lebih ramai pemain negara beraksi di liga luar negara sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/02

No comments:

Post a Comment