Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mesin ATM kebal

Posted: 03 Mar 2014 08:37 AM PST

Petaling Jaya: Cubaan dua lelaki melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) menggunakan kereta di sebuah bank di Desa Mentari, di sini, gagal dalam kejadian pagi semalam.

Kejadian itu disedari seorang petugas di bilik kawalan bank berkenaan kira-kira jam 5 pagi yang kemudian menghubungi pihak polis.

Premis berkenaan menempatkan dua mesin ATM dan sebuah mesin pendeposit tunai (CDM) serta terletak berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis percaya ia berlaku antara jam 4 hingga 5 pagi.

Foto

PINTU kaca bank berderai dalam satu cubaan merompak mesin ATM, semalam.


"Siasatan anggota unit forensik di lokasi kejadian menemui tukul, pemutar skru dan dawai besi penyangkut dipercayai digunakan untuk memecah dan menarik mesin berkenaan," katanya.


Menurutnya, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu mendapati seorang suspek dilihat masuk ke dalam premis dengan memakai topi.

"Dalam rakaman itu, suspek sedang mengikat mesin itu dan cuba menariknya menggunakan kereta yang dipandu. Polis percaya suspek mungkin melakukan jenayah itu bersama seorang lagi rakannya.

"Suspek menaiki sebuah kereta yang belum dikenal pasti nombor pendaftarannya pada mulanya cuba memecahkan mesin itu tetapi gagal. Selepas kedua-dua tindakan itu tidak berjaya, mereka meninggalkan lokasi," katanya.

Katanya, suspek gagal membawa lari sebarang wang tunai dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman CCTV lain yang berada di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Bimbang lambakan pusat snuker

Posted: 03 Mar 2014 08:33 AM PST

Semenyih: Lambakan pusat snuker dipercayai beroperasi tanpa lesen di beberapa kawasan di pekan Semenyih kini menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat ekoran boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat.

Tinjauan Harian Metro di kawasan Semenyih Sentral mendapati pusat ini sememangnya ada beroperasi, tetapi dikaburi dengan gerai makanan yang diletakkan di hadapan premis terbabit.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Yusuf, 40, berkata, pusat snuker itu beroperasi setiap hari bermula seawal jam 11 pagi sehingga lewat malam.

Menurutnya, di pekan Semenyih sahaja, terdapat lebih 10 premis pusat snuker yang menggunakan modus operandi sama dengan menyediakan gerai makanan kepada pengunjung.

"Saya lihat sudah setahun lebih pusat snuker di kawasan Semenyih Sentral ini beroperasi.

Tak pula saya lihat ada serbuan dilakukan pihak berkuasa.

"Rata-rata pengunjungnya ialah anak muda kita dan juga warga asing dari Bangladesh.

Saya harap pihak-pihak berkenaan sila ambil serius perkara ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yusuf yang sudah menetap lebih empat tahun di kawasan itu berkata, pengusaha pusat snuker di kawasan itu seringkali berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain bertujuan bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan.

"Ada yang menyewa bekas kedai mamak dan dijadikan pusat snuker, saya lihat mereka ini semakin berani kerana kurang pemantauan pihak berkuasa," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz mengakui kewujudan pusat snuker yang dibuka ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, seolah-olah tiada sebarang pemantauan dan pemeriksaan daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

'Mujur tak terbakar dalam lori'

Posted: 03 Mar 2014 08:31 AM PST

Nilai: Tindakan pantas seorang lelaki menyelamatkan nyawa pemandu dan kelindan sebuah lori kontena yang terbakar di Kilometer 284 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori kontena membawa muatan getah itu dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemandu lori Shahril Sukur, 24, berkata, dia dan kelindan memulakan perjalanan jam 7 pagi dengan membawa muatan getah ke KLIA untuk dieksport.

"Sebaik tiba di Kilometer 284 PLUS arah utara jam 9.30 pagi, saya terdengar bunyi letupan menyebabkan saya memberhentikan lori di lorong kecemasan PLUS berhampiran susur keluar Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

Foto

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran lori kontena membawa muatan getah.


"Selepas itu, saya membuat pemeriksaan dan mendapati tayar belakang bahagian kiri lori pecah. Saya menghubungi rakan setugas memaklumkan perkara itu sebelum masuk semula ke dalam lori sementara menunggu bantuan tiba," katanya, semalam.


Menurutnya, selepas setengah jam menunggu, dia dikejutkan dengan bunyi ketukan pada bahagian tingkap pemandu dan melihat seorang lelaki dalam keadaan cemas.

"Lelaki itu memberitahu bahagian belakang lori kontena terbakar. Saya segera menoleh ke belakang dan mendapati api marak menyebabkan saya bertindak pantas memisahkan kepala lori dan kontena bagi mengelakkan ia merebak.

"Mujur lelaki terbabit yang menunggang motosikal menyedari kejadian itu dan melihat kami masih berada dalam lori lalu memberhentikan motosikalnya memaklumkan kepada kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Zin Mustaffa berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.06 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

"Usaha memadamkan kebakaran membabitkan lima jentera termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Nilai dan Bangi serta sebuah kenderaan membawa 12 tong buih.

"Dengan kekuatan lebih 30 pegawai dan anggota, api dikawal sepenuhnya satu jam kemudian berikutan mengalami kesukaran kerana kebakaran membabitkan getah dan 100 peratus terbakar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Maut makan ayam goreng

Posted: 03 Mar 2014 08:29 AM PST

Kuala Terengganu: "Saya bergegas pulang selepas pengasuh beritahu anak muntah serta tidak bermaya dan terkejut apabila diberitahu anak meninggal dunia tidak sampai sejam selepas dimasukkan ke hospital," kata Mohd Ilme Adam, 31, bapa Mohammad Iqbal Rafie, 5, yang meninggal dunia jam 1 tengah hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam akibat keracunan makanan.

Menurut anggota tentera itu, petang Sabtu lalu, dia membawa anak tunggalnya itu serta isteri, Zuriana Mohd Yusof, 28, ke pasar malam Jalan Hiliran, di sini, untuk membeli ayam goreng.

Katanya, sebelum keluar rumah, anaknya tidak makan apa-apa kerana teringin makan ayam goreng.

"Saya dan anak begitu berselera makan ayam goreng berkenaan, tetapi isteri hanya melihat kami berdua makan jam 9 malam.

Foto

AHLI keluarga tidak dapat menahan sebak selepas melihat jenazah Mohammad Iqbal di HSNZ, semalam.

Foto

KHAIRY menemani Muhammad Shah yang dimasukkan ke wad akibat keracunan makanan.


"Kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam (kelmarin), anak mengadu sakit perut selain muntah serta cirit-birit, Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, semalam.


Mohd Ilme yang tinggal di Bukit Payong, Marang, berkata dia turut cirit-birit dan beberapa simptom sama seperti anaknya, namun tetap pergi bekerja, meninggalkan anaknya kepada pengasuh.

Menurutnya, dia dan isteri terkejut apabila dihubungi jiran jam 11 pagi semalam, memberitahu anaknya menjerit kerana sakit perut dan tidak bermaya.

Katanya, dia bergegas pulang dan terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum dirujuk ke HSNZ.

"Luluh hati apabila doktor beritahu anak sudah tidak bernyawa selepas tidak sampai sejam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSNZ," katanya yang kini menunggu laporan bedah siasat dari Unit Forensik HSNZ sebelum bercadang mengambil tindakan lanjut terhadap pihak terbabit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

Naik minyak, naik ambulans

Posted: 03 Mar 2014 08:26 AM PST

Bukit Mertajam: Keadaan di Mahkamah Rendah Syariah, Bukit Mertajam di sini, kecoh seketika akibat tindakan seorang lelaki yang secara tiba-tiba 'naik angin' dan memaki hamun kakitangan mahkamah.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, orang awam dan kakitangan mahkamah terpaksa membantu untuk menenangkan lelaki berusia 50-an itu yang meninggikan suara serta memaki hamun kakitangan mahkamah dengan kata-kata kesat.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, lelaki terbabit dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati terhadap kakitangan yang enggan menyegerakan gilirannya berjumpa dengan Pendaftar Mahkamah Abdul Munir Ghazali untuk membincangkan kes permohonan cerai difailkan oleh isterinya.

Lelaki itu kemudian ditenangkan kakitangan pejabat berkenaan sebelum dibawa berjumpa dengan pendaftar bagi membincangkan mengenai proses perceraiannya.

Foto

KAKITANGAN perubatan menenangkan lelaki terbabit.


Keadaan kembali kecoh selepas lelaki terbabit sekali lagi meninggikan suara termasuk menghentak meja dan pada masa sama menyalahkan kakitangan yang didakwanya melengahkan proses perceraiannya.


"Secara tiba-tiba, dia naik angin dan menendang meja menyebabkan terpaksa ditenangkan sebelum membawanya ke luar mahkamah kerana keadaan agak tegang ketika itu dan dikhuatiri boleh menyebabkan pergaduhan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/04

No comments:

Post a Comment