Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kami tidak diupah'

Posted: 05 Mar 2014 09:24 AM PST

Kuala Lumpur: "Kami tidak ditaja untuk berkomplot dengan mana-mana pihak untuk melakukan protes terhadap kepimpinan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Kami lakukan ini hanyalah atas dasar tanggung jawab sebagai penyokong."

Itu kenyataan penggerak Ultras Malaya yang menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mereka 'diupah' untuk melakukan kekecohan bagi mencemarkan imej FAM.


Ada pihak menganggap wujudnya individu tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh dengan menggunakan Ultras Malaya bagi mencemarkan imej kepimpinan FAM untuk mencari peluang menjelang kongres pemilihan badan induk itu pada 25 Mei ini.

"Protes terhadap FAM ini bukan baru setahun, dua, tapi sudah lama kami lakukan, cuma baru sekarang ramai pihak buka mata. Kami hanya bergerak sendiri, tidak ditaja mana-mana pihak. Kami akan teruskan usaha kami ini sehingga bola sepak negara kembali di tahap membanggakan," katanya yang enggan namanya didedahkan.


Sebelum ini, Ultras Malaya sudah beberapa kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan FAM dengan mempamerkan kain rentang sambil bersorak mengejek FAM dalam beberapa perlawanan membabitkan skuad kebangsaan namun kemuncak kemarahan kumpulan penyokong itu tercetus di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Sabtu lalu.


Pada aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dengan Filipina itu, hampir 1,000 Ultras Malaya membakar suar dan membaling bom asap ke dalam padang pada minit ke-30 sehingga memaksa perlawanan dihentikan selama lapan minit.

Foto

ULTRAS Malaya ingin perubahan dalam FAM.

Ultras Malaya mengakui, mereka sengaja mencetuskan kekecohan itu sebagai tanda protes kepada kepimpinan selama 30 tahun Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.


Ketika ditanya mengenai kesediaan Ultras Malaya untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan FAM bagi menjernihkan keadaan, penggerak Ultras Malaya itu berkata, perkara itu dilakukan sebelum ini namun semuanya seperti sia-sia.

"Kami bersedia bertemu Menteri (Khairy) tapi apa jaminan beliau kepada kami? Adakah beliau boleh beri jaminan bola sepak Malaysia akan berubah dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang. Sebelum ini kami sudah bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (bekas Menteri Belia dan Sukan) tapi tiada perubahan.


"Kalau ingin berbincang dengan FAM, saya rasa sudah terlambat kerana tiga kali kami bertemu dengan mereka dengan cadangan dan memorandum sudah diberikan, tapi apa yang mereka buat?" Mengenai kemungkinan mereka akan bertindak agresif lagi selepas ini, dia berkata, apa yang dilakukan di Stadium MPS Sabtu lalu hanyalah sekadar peringatan mengenai sejauh mana penyokong boleh bertindak.


"Itu sekadar peringatan mengenai protes, kami juga tahu peraturan. Takkan setiap minggu kami mahu melakukan kekecohan, tapi kami akan teruskan usaha ini untuk menuntut perubahan bukan saja di dalam stadium malah melalui cara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

'Saya tak perlu rehat'

Posted: 05 Mar 2014 09:04 AM PST

London: Eden Hazard mencetuskan sedikit perbalahan dengan pengurus Chelsea Jose Mourinho apabila pemain berusia 23 tahun itu menyatakan prestasinya lebih baik jika kerap beraksi berbanding direhatkan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak perlu berehat. Saya berada di prestasi terbaik jika saya bermain dalam banyak perlawanan. Tapi saya mesti berhati-hati bagi memastikan tidak terlalu keletihan," kata pemain tengah antarabangsa Belgium itu.


"Saya kini dalam prestasi terbaik kerana beraksi dalam banyak perlawanan. Saya sedikit kecewa dengan prestasi pada babak pertama menentang Fulham tapi saya beraksi lebih baik pada separuh masa kedua," katanya ketika mengulas kemenangan 3-1 dalam pertembungan setempat London Sabtu lalu yang menyaksikan Chelsea memiliki kelebihan empat mata di puncak Liga Perdana.

Sebelum perlawanan itu, Mourinho memberitahu wartawan beliau berharap Hazard tidak akan bermain dalam perlawanan antarabangsa menentang Ivory Coast di Brussels sebagai aksi pemanas badan Piala Dunia.


"Dia memerlukan rehat," kata pengurus Chelsea itu Jumaat lalu.


"Bagus jika jurulatih kebangsaan tidak menurunkannya.

"Dia tidak boleh berehat bersama kelab. Dalam skuad kebangsaan, dia tidak perlu bermain dalam perlawanan persahabatan.


"Dia perlu berehat dan mereka sepatutnya memberikannya rehat. Ia penting untuk kami dan saya tetap akan menurunkannya biarpun dia letih kerana saya tahu dia boleh melakukan sesuatu." Hazard memberitahu akhbar harian Belgium dia berada pada prestasi terbaik dalam kariernya.

"Berdasarkan statistik dan perlawanan sebelum ini, saya bermain dengan baik. Pada musim lalu di Lille, saya juga beraksi dengan baik, sama seperti sekarang. Saya harap saya akan mengekalkan prestasi ini dan dapat memainkan peranan penting untuk Belgium dan Chelsea." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Segera tangani ejen melampau

Posted: 05 Mar 2014 09:04 AM PST

Barcelona: Ketua eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis mahu isu pemain mengalami masalah kewangan kerana terpaksa membayar yuran yang banyak kepada ejen perlu ditangani segera.

"Kebanyakan kelab membayar dengan harga yang mahal untuk membeli pemain," kata Gazidis dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Persatuan Kelab Eropah (ECA), iaitu persatuan yang mewakili kelab bola sepak Eropah bagi membincangkan mengenai sistem terkini perpindahan pemain.


"Jika saya pemain atau kesatuan pemain, perkara ini akan menjadi keutamaan saya. Pemain sepatutnya mendapat lebih banyak bayaran dan duit bayaran kepada ejen sepatutnya diberikan kepada pemain.

"Terlalu banyak duit dibayar kepada ejen dan kami mahu mengubah sistem ini." Gazidis berkata, apa yang cuba mereka lakukan itu bukanlah untuk mengelak daripada tanggungjawab.


"Saya tahu kami terbabit dalam persetujuan pembayaran perpindahan pemain," katanya. "Terlalu banyak komplikasi apabila anda selalu berurusan dengan ejen." Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh ECA dalam tempoh dua tahun bermula 2011-2013 menunjukkan ejen mendapat keuntungan komisyen sebanyak AS$254 juta (RM830 juta), 14.6 peratus daripada nilai 865 perpindahan yang membabitkan kelab Eropah.


"Kami tahu memang ada masalah dan perlu ada peraturan baru bagi berurusan dengan orang tengah. Ini jumlah yang kami kumpul dan terpulang kepada semua untuk membuat kesimpulan sendiri," kata pengarah AC Milan dan Naib Pengerusi ECA Umberto Gandini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Vidic sertai Inter

Posted: 05 Mar 2014 09:03 AM PST

London: Kapten Manchester United, Nemanja Vidic akan menyertai Inter Milan musim depan selepas lapan tahun mengecap kejayaan bersama kelab juara Inggeris itu, umum kelab Serie A itu semalam.

Pertahanan tengah Serbia berusia 32 tahun itu berkata bulan lalu, dia akan meninggalkan kelab Liga Perdana itu hujung musim ini dan mengintai peluang beraksi di luar England.


"Vidic seorang pemain bertaraf dunia," ujar Presiden Inter, Erick Thohir dalam laman web rasmi kelab itu (www.inter.it).

"Saya amat gembira berjaya melengkapkan perjanjian membawa Nemanja ke Milan. Dia seorang pertahanan terbaik di dunia. Kualiti, pengalaman antarabangsa dan karisma menjadi aset pasukan dan boleh membantu meningkatkan pemain muda kami.


"Dia mampu membantu kelab ini dan menjadi sebahagian daripada pasukan baru yang kami bentuk semula." Vidic menyertai United pada 2006, memenangi beberapa trofi termasuk lima kejuaraan Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia.


Dia membentuk gandingan mantap bersama Rio Ferdinand di benteng terakhir United, sekalipun keberkesanannya terjejas kerana sering kali mengalami kecederaan.

Foto

VIDIC (tengah) kecapi karier gemilang sepanjang lapan tahun di United.

Dia turut bergelut mendapat tempat dalam skuad pengurus baru David Moyes musim ini.


Bulan lalu, Vidic mengumumkan dia akan meninggalkan United apabila kontraknya berakhir hujung musim ini dan dia dikaitkan dengan perpindahan ke Inter, yang kini menghuni tangga kelima Serie A.

Ketika itu Vidic berkata, "Saya tidak berhasrat kekal di England kerana satu-satunya kelab yang saya mahu wakili di sini adalah Manchester United dan saya bertuah menjadi sebahagian daripada kelab ini buat beberapa tahun." Moyes kemudian berkata, keputusan Vidic meninggalkan kelab itu dibuat secara persetujuan bersama. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Saya tak percaya Mourinho: Johnson

Posted: 05 Mar 2014 09:02 AM PST

Liverpool, England: Pertahanan Liverpool Glen Johnson memberi sebab mengapa dia menganggap pengurus Reds Brendan Rodgers lebih baik berbanding rakan sejawatan di Chelsea Jose Mourinho.

Johnson yang meninggalkan Stamford Bridge untuk ke Portsmouth pada 2007 sebelum berhijrah ke Anfield dua tahun selepas itu mendakwa, dia hilang kepercayaan terhadap pengendali dari Portugal itu selepas menyingkirkannya untuk beraksi pada saingan Liga Juara-Juara menentang Barcelona.


"Sukar untuk saya beraksi di bawah bimbingan Mourinho di Chelsea kerana beliau pernah beritahu, saya hanya layak untuk diturunkan secara merit.

"Beliau menyatakan jika saya beraksi cemerlang pada perlawanan seterusnya, saya pasti akan diturunkan pada perlawanan selepas itu. Saya dinobat sebagai pemain terbaik, jadi mereka tidak boleh menggugurkan saya.


"Kemudian pada perlawanan seterusnya, beliau beritahu perkara sama dan sekali lagi saya memenangi pemain terbaik perlawanan.


"Selepas perlawanan itu ada satu lagi perlawanan sebelum bertemu Barcelona. Tapi ejen saya beritahu Mourinho tidak akan menurunkan saya pada perlawanan itu sebab kalau saya beraksi dengan baik, beliau terpaksa menurunkan saya pada perlawanan dengan Barcelona.

"Benar, beliau tidak turunkan saya pada perlawanan itu dan sejak itu, saya hilang kepercayaan terhadapnya. Jadi bagaimana saya mahu menghormatinya? "Rodgers tidak akan melakukan perkara itu. Prinsipnya mudah iaitu jika prestasi anda baik, anda berhak beraksi pada perlawanan besar. Dalam soal pengurusan pasukan, Rodgers nyata lebih baik," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Puyol tinggalkan Barca

Posted: 05 Mar 2014 09:02 AM PST

Barcelona: Kapten Barcelona, Carles Puyol mengumumkan dia akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini selepas karier yang dipenuhi kegemilangan selama 15 tahun di Nou Camp.

Pemain berusia 35 tahun itu bagaimanapun tidak mendedahkan jika akan meneruskan karier bersama kelab lain selepas dibelenggu kecederaan sejak beberapa musim lalu dan menjalani pembedahan lutut sebanyak tiga kali.


"Saya akan meninggalkan Barcelona hujung musim ini. Kelab menyedarinya dan kami sudah bersetuju," katanya.

"Kami akan membatalkan baki dua tahun dalam kontrak saya." Puyol menandatangani perjanjian baru bersama kelab itu Januari tahun lalu namun mengakui pada Jun dia tidak akan meneruskannya jika kecederaan berterusan hingga menghalangnya mempamerkan persembahan bermakna.


Dia yang hanya tampil sebanyak 10 kali dalam semua pertandingan musim ini berkata, ia adalah masa untuk mengalami cabaran baru di liga yang kurang mencabar.


"Selepas dua pembedahan terakhir, adalah sukar untuk saya pulih pada tahap diingini untuk terus kekal di sini, tidak seperti yang saya harapkan dan pakar bedah katakan. Sebab itu saya mengambil keputusan ini." Puyol tidak mendedahkan ke mana dia akan pergi hujung musim ini dan menegaskan mahu memberikan segala-galanya bagi baki musim ini untuk membantu Barca dalam tiga pertandingan.

Foto

KECEDERAAN dan usia faktor Puyol (kiri) tinggalkan Nou Camp.

"Saya tidak akan menamatkan karier sekarang, masih ada tiga bulan untuk musim ini dan mereka yang mengenali saya akan menyedari saya tidak akan berputus asa. Saya akan terus berjuang membantu meningkatkan pasukan dan mencapai objektif kami musim ini.


"Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan pada 30 Jun ini. Apa yang pasti saya memerlukan tempoh untuk berehat. Saya mengharungi empat tahun tanpa rehat kerana tidak ditimpa kecederaan. Ini yang saya akan lakukan dan kita lihatlah nanti." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Messi tetap terbaik tanpa trofi Piala Dunia

Posted: 05 Mar 2014 09:02 AM PST

Buenos Aires: Lionel Messi tidak perlu menjulang Piala Dunia untuk dilabel sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, menurut legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona kelmarin.

"Messi tidak perlu memenangi Piala Dunia untuk menjadi pemain terbaik dunia," kata Maradona yang mengemudi Argentina menjuarai kejohanan itu di Mexico pada 1986.


"Ianya baik untuk Argentina, penyokong dan Lio namun memenangi Piala Dunia atau sebaliknya tidak akan menafikan sebarang pencapaiannya hingga kini untuk menjadi antara yang terbaik." Bekas kapten dan jurulatih itu berkata, semuanya bersedia untuk menyaksikan Messi menyinar walaupun tugas Argentina sukar dengan tuan rumah, Brazil, juara bertahan Sepanyol dan Jerman antara yang perlu ditewaskan.

Maradona berkata, Messi mengharungi Piala Dunia di Afrika Selatan pada 2010 walaupun tidak menjaringkan sebarang gol. Argentina yang dikendalikan Maradona ketika itu tewas 0-4 kepada Jerman pada suku akhir.


Beliau tidak menyaksikan kesedihan Messi apabila Argentina disingkirkan.


"Saya mendekati dan memberitahunya dia mempunyai banyak edisi Piala Dunia untuk membalas dendam. Saya meluahkannya dengan sepenuh hati. Ketika yang lain sedang berfikir untuk pulang, dia berada di sana, tunduk dan menangis." Argentina berada dalam Kumpulan F bersama Bosnia, Iran dan Nigeria pada pusingan akhir bermula 12 Jun ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Van Gaal akui sukar capai sasaran

Posted: 05 Mar 2014 09:01 AM PST

Paris: Jurulatih Belanda, Louis van Gaal percaya sukar buatnya mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu mara ke separuh akhir Piala Dunia pertengahan tahun ini.

Apabila beliau mengambil alih sebagai jurulatih pasukan kebangsaan buat kali kedua selepas Euro 2012, Van Gaal, 62, diberi tanggungjawab layak ke separuh akhir di Brazil.


Namun Van Gaal berkata, sekalipun beliau mempunyai pasukan muda berbakat, ia mungkin menimba lebih pengalaman menjelang Jun ini.

Belanda tersingkir pada peringkat kumpulan Euro 2012 menyebabkan jurulatih Bert van Marwijk meninggalkan jawatannya, diundi dalam kumpulan sukar membabitkan juara bertahan Sepanyol, Chile dan Australia.


Van Gaal mencipta nama sebagai jurulatih bersama pasukan muda Ajax pada 1990-an dengan mengemudi kelab itu memenangi Liga Juara-Juara 1995.


Beliau terpaksa menerima hakikat Belanda tidak boleh dianggap sebagai pasukan pencabar utama pada Piala Dunia kali ini.

"Menurut ranking FIFA kami di tangga kelapan atau kesembilan... tidak kisahlah yang mana satu, tapi kami bukannya salah sebuah pasukan pilihan," tegasnya.


"Saya menganggap Brazil dan Argentina dan dari Eropah, Sepanyol dan Jerman sebagai pilihan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Belum pasti beraksi

Posted: 05 Mar 2014 09:01 AM PST

Doral, Florida: Status Tiger Woods sama ada beraksi pada Kejohanan WGC-Cadillac minggu ini masih belum pasti ketika juara bertahan itu terus mendapatkan rawatan sakit belakang.

Dia membatalkan sidang akhbar menjelang kejohanan dan latihan semalam namun dijadualkan bertemu media hari ini.


Woods yang digandingkan bersama juara Masters AS, Adam Scott dan pemenang Piala FedEx, Henrik Stenson bagi dua pusingan pertama di Doral, menarik diri daripada pusingan akhir Klasik Honda Ahad lalu selepas 13 lubang kerana kekejangan otot belakang.

Woods yang meraih 14 kejuaraan utama dan di tangga kedua keseluruhan di belakang Jack Nicklaus berkata, dalam satu kenyataan selepas Klasik Honda dia akan memutuskan sama ada boleh mempertahankan kejuaraan WGC-Cadillac.


Jika Woods tidak cergas beraksi ia pasti satu tamparan besar menjelang Masters AS dari 10 hingga 13 April ini di Augusta National, kejuaraan utama pertama tahun ini.


Ia juga memberi peluang kepada pemain nombor dua dunia Scott merampas kedudukan Woods daripada kedudukan teratas ranking jika menang di Doral.

Foto

WOODS mengalami kekejangan otot belakang Ahad lalu.

Dalam 13 penampilan karier pada Kejohanan WGC-Cadillac, Woods menang tujuh kali, empat yang terakhir di lapangan terkenal Blue Monster yang diubahsuai secara besar-besaran selepas kemenangan tahun lalu.


"Saya yakin ini pasti Doral yang amat berbeza," kata pemain England, Justin Rose, juara Cadillac-WGC 2012. "Banyak yang diubahsuai sejak tahun lalu." Satu lagi kelompok yang pasti menjadi tumpuan menampilkan pemain Ireland Utara, Rory McIlroy, juara 2009 di Doral, Phil Mickelson dan Jason Day dari Australia, pemenang Kejohanan Match Play WGC-Accenture.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

Red Bull dijangka tak mampu kejar lawan

Posted: 05 Mar 2014 09:00 AM PST

London: Masalah Red Bull terlalu rumit menyebabkan salah seorang pemimpin utama pasukan itu berasakan mereka mungkin tidak mampu mengejar lawan musim ini.

Pasukan berpangkalan di Milton Keynes itu menamatkan ujian pramusim dengan rekod buruk dan berdepan beberapa isu.


Juara dunia empat kali Sebastian Vettel hanya melengkapkan pemanduan lebih 850 kilometer, hampir 2,000km di belakang pemandu Mercedes, Nico Rosberg.

Hanya empat pemandu berakhir di bawah catatan pemandu Jerman berusia 26 tahun itu dan seorang daripadanya rakan sepasukan Daniel Ricciardo. Pemandu Lotus, Pastor Maldonado dan Romain Grosjean dan Max Chilton dari Marussia melengkapkan senarai.


Red Bull bimbang malah berasakan Vettel mahupun Ricciardo mungkin sukar menamatkan saingan pada perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Australia 16 Mac ini.


Ia menyebabkan penasihat Red Bull Helmut Marko, orang kanan pemilik bilionair Dietrich Mateschitz, mempersoalkan prospek pasukan itu pada kempen kali ini.

"Perlumbaan pembukaan hadir terlalu awal buat kami.


"Ini perkara yang amat serius. Ketika ini kami tidak tahu waktu yang tepat kami mampu kembali bersaing atau ia sesuatu yang mustahil sama sekali," jelas Marko. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/06

No comments:

Post a Comment