Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Janji bangkit!

Posted: 23 Mar 2014 01:16 PM PDT

Juara Formula Satu (F1) dunia 2008, Lewis Hamilton mahu menebus kehampaan di Melbourne apabila melaungkan kebangkitan di Grand Prix Malaysia dengan sasaran menaiki podium di halaman sendiri di Litar Sepang, hujung minggu ini.

Selepas hanya mampu melihat rakan sepasukan, Nico Rosberg menjuarai perlumbaan pembukaan musim 2014 di Australia minggu lalu, pemandu kelahiran England itu percaya perlumbaan kedua di Litar Sepang lebih mencabar dengan semua pasukan masih lagi menyesuaikan diri dengan penggunaan enjin terbaru di samping faktor cuaca yang tidak menentu.

"Tahun ini antara tahun mencabar buat kami.

Selepas peraturan baru dalam F1 dengan setiap pasukan harus menggunakan enjin V6 1.6 liter, saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikannya dalam perlumbaan.

Foto

HAMILTON (dua dari kiri) bertemu dengan anak-anak dari Kelab Rekreasi dan Sukan PETRONAS di sekitar KLCC, semalam.


Saya percaya pasukan lain juga menghadapi situasi sama.


"Nico sudah membuktikan di Melbourne, berjaya menang di sana dan saya yakin perlumbaan di sini lebih mencabar dan saya sendiri mahu menaiki podium ataupun menghabiskan perlumbaan hujung minggu ini," katanya selepas menyertai program Petronas Motorsport Demo Run di sekitar Suria KLCC semalam.

Hamilton yang kini memandu untuk pasukan Mercedes AMG PETRONAS tidak pernah muncul juara sepanjang penyertaan di Litar Sepang dengan pencapaian terbaik pada tahun 2007 apabila menduduki tempat kedua.

Beliau berkata, PETRONAS memainkan peranan besar dalam kejayaan pasukan itu dengan minyaknya adalah khusus untuk enjin baru pasukan itu.

"Mereka (PETRONAS) melakukan kerja hebat untuk jentera kami," katanya.

Dalam perkembangan sama, PETRONAS dagangan Berhad (PDB) melantik Hamilton sebagai Perunding Prestasi Teknikal bagi rangkaian petrol PETRONAS PRIMAX.

Pelantikan Hamilton dan pasukannya akan memberi input pakar untuk mempertingkatkan PETRONAS PRIMAX ke arah prestasi lebih tinggi dalam memberi faedah kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu , Rosberg melahirkan keyakinan untuk memenangi perlumbaan di Litar Sepang selepas melakar kemenangan selesa di Melbourne.

"Sudah pasti, saya mempunyai musim lebih baik berbanding tahun lalu.

"Bagaimanapun, setakat ini saya belum lagi dapat menilai musim ini, hanya perlu tunggu dan lihat siapa pencabar saya.

"Mereka tidak akan berdiam sahaja dan akan memberi tentangan sengit.

Tetapi bagi saya, musim ini akan menjadi lebih baik berbanding musim lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Nadal menang mudah

Posted: 23 Mar 2014 10:03 AM PDT

Pemain nombor satu dunia Rafael Nadal melakar kemenangan mudah ke atas bekas pemain nombor satu dunia Lleyton Hewitt (gambar) 6-1, 6-3 untuk layak ke pusingan ketiga ATP dan WTA Miami Masters, semalam.

Pemain pilihan utama dari Sepanyol dan lawan dari Australia itu beraksi lewat dua jam setengah berikutan perlawanan panjang sebelum itu.

Namun Nadal yang diberikan kemenangan percuma pada pusingan pertama menamatkan set pertama dalam tempoh 27 minit dan akhirnya membenam juara dua kali Grand Slam, Hewitt dalam tempoh 66 minit.

"Memang hebat buat saya dapat kembali selepas tidak bermain sejak 2012.


Saya gembira berada di sini," kata Nadal.

"Tiada apa yang menggembirakan apabila dapat bermula kembali dengan kemenangan seperti ini." Nadal seterusnya akan berdepan Denis Istomin yang menewaskan Dmitry Tursunov 6-7 (8/10), 6-0, 6-3.

"Saya sangat menghormati Lleyton," kata Nadal.


"Caranya bangkit daripada kecederaan menjadi contoh yang hebat buat saya dan juga pemain lain." Pilihan kedua dari Serbia dan juara tiga kali Miami, Novak Djokovic mara ke pusingan keempat tanpa perlu mengerah keringat apabila lawannya, Florian Mayer menarik diri sehari sebelum beraksi kerana mengalami kecederaan pangkal paha.

Djokovic hanya akan beraksi esok.

Juara bertahan, Serena Williams dan naib juara tahun lalu, Maria Sharapova dipaksa mengerah keringat untuk mara ke pusingan seterusnya dengan Maria finalis lima kali itu terpaksa beraksi sembilan kali di mata penamat sebelum menang.

Maria menewaskan pemain Republik Czech, Lucie Safarova 6-4, 6-7 (7/5), 6-2 dalam pertarungan yang memakan masa dua jam 55 minit.

Pilihan utama, Serena pula terpaksa menunggu hingga 45 minit sebelum dapat meneruskan set ketiga yang diganggu hujan untuk menewaskan pemain Perancis, Caroline Garcia 6-4, 4-6, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Lydia ungguli hari ketiga

Posted: 23 Mar 2014 10:03 AM PDT

Phoenix: Pemain remaja New Zealand Lydia Ko mencatatkan lima bawah par 67 untuk mendahului satu pukulan selepas tamat pusingan ketiga Piala Founders LPGA.

Pemain nombor empat dunia kelahiran Korea Selatan yang memburu gelaran profesional LPGA pertama mengumpul 16 bawah par 200 selepas beraksi 54 lubang di Wildfire Golf Club.

Jessica Korda, 21, anak kepada bekas bintang tenis Amerika Syarikat (AS), Petr Korda dan pemain rookie Korea Selatan, Mirim Lee membuat penampilan ketiga di LPGA dan pertama buat AS, berkongsi kedudukan kedua dengan 201 manakala pemain Korea Selatan, Yoo Sun-Young ketinggalan satu pukulan di belakang.

Lydia, 16, yang meraih gelaran berganda LPGA Terbuka Kanada sebagai pemain amatur, mampu meraih satu lagi kejayaan gemilang dua minggu sebelum kejohanan utama wanita pertama tahun ini di Kejohanan Kraft Nabisco.

Lydia melakar birdie par lima kedua, eagle di par lima kelima dan memulakan baki sembilan lubang terakhir dengan birdie untuk terus menguasai permainan selaku pendahulu.

Selepas melakukan bogey di lubang ke-12, Lydia bangkit dengan birdie di par lima lubang ke-15 dan par tiga lubang ke-17 untuk terus menguasai pertandingan.

Jessica, 21, meraih gelaran LPGA kedua Januari lalu di Bahamas.


Dia turut muncul juara Terbuka Australia pada 2012.

Mirim, 23, memenangi tiga gelaran di Jelajah Korea Selatan mampu meraih kemenangan terbesar kariernya apabila mendahului pusingan pertama dan kedua.


Bintang AS Michelle Wie, Azahara Munoz dari Sepanyol dan pemain Korea Selatan, Amy Yang, Chella Choi dan Ryu So-Yeon berkongsi kedudukan tempat kelima dengan 203.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

United mula dapat rentak: Moyes

Posted: 23 Mar 2014 10:02 AM PDT

LONDON: David Moyes percaya Manchester United memperoleh rentak tepat pada masanya untuk memenangi pertembungan setempat Manchester selepas pasukannya mencatat kemenangan selesa di West Ham, semalam.

Manchester City yang bakal berkunjung ke Old Trafford, awal pagi Rabu mendahului tuan rumah 12 mata dan menang 4-1 di Stadium Etihad, September lalu dalam tugas pertama aksi setempat Moyes selepas menggantikan Alex Ferguson.

City membelasah Fulham 5-0, semalam sebelum United meraih kemenangan 2-0 ke atas West Ham yang menyaksikan Wayne Rooney menjaringkan kedua-dua gol dengan jaringan pertama dilakukan menerusi sepakan dari jarak hampir 60 ela manakala Michael Carrick pula beraksi sebagai pemain pertahanan tengah.

Kedua-dua pasukan terpaksa melupakan khidmat penyerang terbaik mereka, awal pagi esok apabila bintang City, Sergio Aguero mengalami kecederaan sama seperti pemain United, Robin van Persie bagaimanapun Moyes lebih tertekan apabila kehilangan beberapa tonggak pertahanan, Rio Ferdinand, Jonny Evans dan Chris Smalling yang tidak beraksi dalam perlawanan menentang West Ham akibat kecederaan.

Moyes yang dapat menggunakan khidmat kapten Nemanja Vidic selepas bebas daripada penggantungan menganggap kemenangan di timur London susulan kemenangan ke atas Olympiakos pada Liga Juara-Juara, minggu lalu menjadi tonik terbaik sebelum berdepan perlawanan penting itu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Suarez beri harapan

Posted: 23 Mar 2014 10:02 AM PDT

Cardiff: Brendan Rodgers mengaku prestasi menakjubkan Luis Suarez memberi peluang kepada Liverpool untuk memburu impian menjuarai Liga Perdana.

Skuad kendalian Rodgers memulakan kempen musim ini dengan misi untuk layak ke Liga Juara-Juara dan menduduki kelompok empat pasukan terbaik dan hanya segelintir saja penyokong di Anfield yang berani meramal kelab itu mampu mencabar kejuaraan.

Namun prestasi hebat penyerang Uruguay, Suarez akhirnya berjaya menukar tanggapan itu dan dengan baki lapan perlawanan, Liverpool kini dalam kedudukan terbaik merebut kejuaraan pertama sejak 1990.

Suarez memperagakan kehebatannya sekali lagi pada aksi liga semalam ketika Liverpool membelasah Cardiff 6-3 dengan penyerang berusia 27 tahun itu meledak hatrik ketiganya musim ini.

Dia sudah menjaringkan 28 gol dalam liga musim ini untuk membantu Liverpool menduduki tangga kedua, empat mata di belakang pendahulu Chelsea namun beraksi kurang satu perlawanan dan turun menentang Sunderland, Rabu ini.

Malah kelab Merseyside itu juga mempunyai kelebihan apabila bakal menanti kunjungan skuad kendalian Jose Mourinho, bulan depan.

Watak wira dimainkan Suarez memang cukup mengagumkan sekali gus Rodgers mengaku penyokong Liverpool kini akhirnya boleh mengimpikan untuk merangkul gelaran.

"Luis pemain menakjubkan yang memiliki kesungguhan, keinginan dan dia menikmati apa yang diusahakannya.

Dia pemain bertaraf dunia yang gembira bermain bola sepak," kata Rodgers.

"Lihat kepada lariannya dan kesungguhan untuk kembali ke posisi selepas tidak mendapat bola.

"Daniel (Sturridge) juga turut menunjukkan keinginan yang tinggi.

Dia berusaha keras untuk berada dalam kotak penalti bagi menyempurnakan hantaran lintang Luis.


Tolakan ke belakang untuk Luis menjaringkan gol juga hebat.

"Perlawanan Rabu ini akan menjadi malam hebat untuk kami.


Kami mempunyai lima perlawanan di gelanggang sendiri dan tiga di gelanggang lawan.

Ia bakal menjadi penentu buat kami.

"Penyokong kini boleh mula memasang impian dan apabila anda lihat pasukan menjaringkan enam gol, anda berhak untuk mengimpikan itu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

TERKULAI PADA AKSI KE-1,000

Posted: 23 Mar 2014 10:01 AM PDT

Pengurus Chelsea Jose Mourinho menegaskan kemenangan besar 6-0 ke atas Arsenal bukanlah sesuatu yang istimewa walaupun kemenangan itu dilakar pada perlawanan ke-1,000 kendalian Arsene Wenger.

Pengurus Arsenal itu mengalami mimpi buruk pada kemuncak kerjayanya di Stamfrod Bridge semalam dengan penyokong Chelsea menyindir pengendali kelahiran Perancis itu dengan bersorak: "Kami mahu anda kekal!" Sokongan penyokong tuan rumah itu merujuk kepada kenyataan Mourinho ke atas Wenger sebagai 'pakar gagal' berikutan kegagalan Arsenal merangkul trofi selama sembilan tahun.

Pengurus dari Protugal itu enggan menambah duka itu, tetapi ketika ditanya sama ada beliau sangat berpuas hati kerana berjaya merosakkan hari istimewa Wenger, beliau berkata: "Tidak.

Saya hanya mahu tiga mata penuh dan persembahan yang baik.

Kami berjaya melakukannya.


Selain itu kami mendapat jaringan yang besar istimewa untuk penyokong kami." Arsenal terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-15 apabila Kieran Gibbs dibuang padang selepas berlaku kesilapan identiti pemain kerana yang melakukan kesalahan adalah Alex Oxlade-Chamberlain kerana memegang bola di atas garisan gol.

Chelsea kini empat mata di depan Liverpool yang beraksi kurang satu perlawanan dan enam mata meninggalkan Manchester City yang beraksi kurang tiga perlawanan.

Wenger yang bakal mempersiapkan pasukannya sebelum menanti kunjungan Swansea City, esok tidak hadir pada sidang media selepas perlawanan dan pegawai Arsenal memberi alasan beliau tidak mempunyai masa kerana menaiki bas pasukan.

Namun beliau memberi komen kepada penyiar stesen televisyen: "Kami menamatkan perlawanan dengan sangat buruk, tapi kami akan bangkit.


Kami mengharungi dua perlawanan sukar menentang Tottenham dan Chelsea di gelanggang lawan.

Jika mencatat dua keputusan seri, kami mendapat dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Roma kukuh kedudukan

Posted: 23 Mar 2014 09:57 AM PDT

Gervinho dan Mattia Destro menjaringkan gol pada babak pertama untuk membantu Roma meraih kemenangan 2-0 mengatasi kelab corot dalam Serie A, Chievo kelmarin serta berada dalam landasan tepat meraih tiket automatik ke Liga Juara-Juara.

Roma memiliki kelebihan enam mata ke atas pasukan tempat ketiga, Napoli yang menanti kunjungan Fiorentina, hari ini namun ketinggalan 11 mata kepada pendahulu, Juventus yang bertandang ke Catania di Sicily.

Harapan Roma menamatkan penantian 13 tahun meraih kejuaraan scudetto hampir pasti gagal dilaksanakan, baru-baru ini.

Ketika Juve kini semakin pasti meraih gelaran ketiga berturut-turut, Roma berdepan tekanan Napoli untuk berada pada kedudukan kedua liga dan tiket kelayakan automatik Liga Juara-Juara.

Namun ia persembahan meyakinkan kelab itu yang menggembirakan pengendali, Rudi Garcia (gambar) di Stadium Bentegodi yang menjadi gelanggang Verona.

Gervinho membuka jaringan selepas 17 minit apabila menyambung hantaran Bostjan Cesar dan Destro menambah gol kedua ketika perlawanan berbaki tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

"Kami mengharungi separuh masa pertama yang hebat," kata Garcia.

"Pujian kepada seluruh pemain.

Pemain mempunyai karektor.

Mereka sentiasa ingin meraih kemenangan dan memberikan segala-galanya di padang."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Guardiola hampiri gelaran

Posted: 23 Mar 2014 09:56 AM PDT

Berlin: Pep Guardiola (gambar) semakin hampir mencipta rekod membimbing Bayern Munich memenangi Bundesliga di Hertha Berlin, esok pada musim pertama bersama gergasi Jerman itu.

Kemenangan ke-19 berturut-turut di Stadium Olimpik Berlin akan memberikan kejuaraan liga Jerman ke-24 kepada Bayern ketika saingan masih berbaki tujuh perlawanan, meleburkan rekod mereka sendiri tahun lalu.

Bayern menewaskan Mainz 05, 2-0 pada Sabtu lalu membolehkan mereka melebarkan kelebihan 23 mata dan tidak akan tergugat jika menewaskan Hertha.

"Saya akan gembira sekiranya meraih kemenangan ke atas salah sebuah pasukan sukar musim ini," kata Guardiola di Mainz.

"Kami hanya perlukan satu kemenangan ketika ini.

Ia berada dalam genggaman.

Kami boleh menjadi juara di pusat bandar.

"Kami melebarkan rekod 18 kemenangan berturut-turut yang dimiliki.


Ia adalah hasil kerja keras yang amat tinggi." Selepas menang 14 daripada 19 kejuaraan selama empat tahun sebagai jurulatih Barcelona, Guardiola bersedia meraih gelaran ketiganya dalam tempoh sembilan bulan kerana Bayern sudah memenangi Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.

Guardiola menggantikan Jupp Heynckes yang membawa Bayern meraih tiga gelaran musim lalu, Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman dengan kelab itu meneruskan cengkaman terhadap gelaran liga.

Skuad kendalian Guardiola itu hanya lapan perlawanan untuk menjadi pasukan pertama mengharungi seluruh musim tanpa tewas.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Rekod MSSD Jempol lebur

Posted: 23 Mar 2014 09:55 AM PDT

Bahau: Tiga rekod baru negeri dan 10 rekod daerah berjaya dicipta pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sekolah Daerah (MSSD) Jempol di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor, baru-baru ini.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chi Wen muncul johan kategori sekolah rendah dan menengah.

Pengurus Kejohanan Yaacob Manaf berkata, tiga rekod negeri yang berjaya dipecahkan adalah acara 100 meter lari berpagar perempuan bawah 13 tahun yang dicipta Yong Wan Xin,13 dari SMJK Chi Wen dengan masa 17.2 s mengatasi rekod lama 17.6s.

Katanya Wan Xin juga turut mencipta rekod baru negeri 800m apabila mencatatkan 2.51.5s untuk memadam rekod lama 3.16.5s.

"Satu lagi rekod negeri dalam acara 60m lari berpagar perempuan bawah 10 tahun dilakukan Hueh Jia En, 10 dari SJKC Chi Wen dengan catatan 10.9s mengatasi rekod lama 11.4s," katanya.

Yaacob berkata, 883 pelajar sekolah menengah dan 802 murid sekolah rendah menyertai kejohanan itu bagi memilih wakili daerah MSSD Jempol ke kejohanan peringkat negeri di Kuala Pilah, 7 April ini.

"Kejohanan MSSD Jempol menawarkan 36 pingat emas bagi sekolah rendah dan 74 emas sekolah menengah menerusi 23 acara sukan," katanya.

Sementara itu, Hueh Jia En dinobat olahragawati kejohananan selepas merangkul tiga emas dan satu perak, manakala Azri Mirza Aznan, 17 dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Serting sebagai olahragawan selepas meraih tiga pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Atlet tekad kukuh aksi

Posted: 23 Mar 2014 09:55 AM PDT

Atlet karate S Senthilkumaran dan perenang negara Khoo Cai Lin masing-masing dinobat Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2013 pada Anugerah Sukan Selangor 2013 di Hotel Concorde, kelmarin.

Anugerah Olahragawan Harapan pula milik atlet berbasikal, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang merangkul tiga emas dan satu perak dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, India, tahun lalu.

Manakala atlet renang Yap Siew Hui pula dipilih Olahragawati Harapan 2013 apabila melakar beberapa kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan tahun lalu.

Senthilkumaran berkata, dia kini dalam misi memburu tempat untuk mewakili negara ke Sukan Asia Incheon, Korea Selatan.

"Walaupun sudah melepasi peringkat pemilihan, saya perlu mantapkan persembahan untuk memastikan terpilih kerana perlu bersaing dengan seorang lagi rakan pelatih.

"Diharap dengan anugerah ini, saya akan lebih bersemangat untuk terpilih ke Incheon bagi mengharumkan nama negara," katanya.

Sementara itu, Muhammad Firdaus tidak menyangka dipilih sebagai Olahragawan Harapan Selangor kerana menganggap ramai atlet negeri lebih layak.

"Memang terkejut apabila nama diumumkan, bagaimanapun saya bersyukur kerana apa yang saya usahakan membuahkan hasil.

"Sekarang saya fokus untuk saingan ACC 2014 di Uzbekistan, Mei ini dan sudah pasti anugerah ini menyuntik semangat saya untuk membawa pulang pingat," katanya.

Senthilkumaran dan Cai Lin masing-masing menerima wang tunai RM5,000, sijil dan piala manakala Olahragawan dan Olahragawati Harapan menerima RM3,000, sijil beserta piala.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah diiringi Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

No comments:

Post a Comment