Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangan gentar!

Posted: 20 Mar 2014 12:22 PM PDT

Ipoh: Elak kena belasah! Itu ingatan pemain tengah negara Muhammad Marhan Mohd Jalil kepada rakan sepasukan apabila skuad negara bertemu gergasi dunia Australia esok.

Marhan yang meledak gol pembukaan ketika skuad negara membelasah China 7-3 kelmarin berkata, skuad negara perlu mengelak daripada menerima nasib sama seperti beberapa pasukan lain yang mudah diratah Australia.


"Memang kami akan turun dengan misi untuk menang apabila bertemu Australia. Tapi kami juga perlu berwaspada mengelak daripada dibelasah.

"Lihat saja rekod mereka pada perlawanan sebelum ini, semuanya menang dengan jumlah jaringan besar.


"Kami perlu mengkaji corak permainan mereka dengan lebih mendalam untuk mengelak daripada menerima nasib sama," katanya.


Marhan yang muncul antara pemain negara paling berpengalaman berkata, pasukan Australia yang tampil pada saingan kali ini jauh berbeza ketika skuad negara tewas tipis 3-2 kepada mereka pada aksi final tahun lalu.

Foto

"Kali ini mereka dibarisi pemain yang cukup berpengalaman dan rata-ratanya pernah beraksi di Piala Dunia dan Sukan Olimpik.


"Apapun, kami akan cuba memberikan saingan sengit kepada mereka, tiada yang mustahil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Misi dua jagoan

Posted: 20 Mar 2014 12:08 PM PDT

Doha: Marc Marquez juara dunia termuda MotoGP dan juara dua kali Jorge Lorenzo hadir bagi perlumbaan pembuka tirai musim Ahad ini, selepas lebih banyak menghabiskan masa di dewan bedah berbanding di litar pada musim sejuk lalu.

Marquez melakar sejarah pada 2013 apabila melengkapkan tahun sulungnya dengan gelaran dunia pertama pada usia 20 tahun.


Namun penunggang Sepanyol itu patah kaki kanan ketika menunggang di kawasan berlopak enam minggu lalu dan mengakui dia tidak mencapai tahap 100 peratus bagi perlumbaan pembukaan di bawah lampu limpah Qatar Ahad ini.

Kemalangan dialami Marquez di negara sendiri bermakna dia terlepas dua daripada tiga ujian musim sejuk selepas merakam masa terpantas pada sesi pembukaan di Sepang dengan jentera Honda.


"Amat mengecewakan saya terlepas dua sesi ujian, tapi berita baik saya kini semakin bagus," ujar Marquez yang berusia 21 tahun bulan lalu.


"Saya banyak melakukan senaman dan perlu melihat bagaimana hasilnya di Qatar, saya tidak jangkakan 100 peratus, tapi tetap akan mencuba yang terbaik." Lorenzo juara dunia 2010 dan 2012 serta kedua di belakang Marquez pada 2013, sekadar kalah empat mata, turut sering bertemu pakar bedah.

Pelumba berusia 26 tahun itu memerlukan tiga pembedahan tulang selangka yang patah dua kali pada 2013 di Assen dan Sachsenring.


Lorenzo menamatkan musim lalu dengan penuh bergaya apabila memenangi tiga perlumbaan terakhir di Australia, Jepun dan Valencia.

"Saya menjalani tiga pembedahan ketika musim sejuk untuk mengeluarkan beberapa benda dari tulang selangka dan tangan dan agak lambat untuk kembali cergas sepenuhnya," jelas Lorenzo. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Del Potro, Murray cetus kejutan

Posted: 20 Mar 2014 12:07 PM PDT

Miami, AS: Kejohanan Terbuka Sony mencetus beberapa kejutan di luar gelanggang semalam, apabila Juan Martin del Potro (gambar) menarik diri manakala juara Wimbledon, Andy Murray berpisah dengan jurulatih Ivan Lendl.

Ketiadaan pilihan kelapan Del Potro yang masih berasa sakit di pergelangan tangan kirinya mampu menjejaskan kemeriahan kejohanan itu kerana ramai penyokong Amerika Selatan menginap di sekitar Miami.


"Saya masih sakit di pergelangan tangan kiri dan tidak yakin turun ke gelanggang," jelas Del Potro. "Ia mengecewakan kerana kejohanan ini istimewa buat saya disebabkan ramai peminat Latin terutamanya Argentina di sini." Murray berpisah dengan Lendl selepas kerjasama selama dua tahun.

"Bekerja dengan Andy dalam dua tahun terakhir satu pengalaman menakjubkan buat saya," kata Lendl.


"Dia seorang lelaki yang bagus. Selepas membantunya meraih matlamat memenangi kejuaraan utama, kini masanya buat saya menumpukan kepada projek sendiri." Di bawah bimbingan Lendl, Murray memenangi pingat emas Sukan Olimpik, Terbuka AS 2012 dan Wimbledon tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Lampard teruja

Posted: 20 Mar 2014 11:09 AM PDT

London: Frank Lampard bangga melihat Chelsea kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas beberapa musim terlepas peluang merebut kejuaraan.

Pada 2005, Jose Mourinho yang dikenali dengan gelaran 'Special One' mengemudi kelab London itu merangkul kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 50 tahun dan mempertahankan kejuaraan itu musim berikutnya.


Bagaimanapun Blues hanya memenangi satu kejuaraan Liga Perdana sejak itu, pada 2010 di bawah kendalian Carlo Ancelotti.

Chelsea memenangi Liga Juara-Juara dan Piala FA pada 2012 namun menamatkan musim itu di tangga keenam, 25 mata di belakang pemenang, Manchester City.


Setahun kemudian mereka ketinggalan 14 mata di belakang Manchester United, menghuni tangga ketiga namun memenangi trofi Liga Europa.


Mourinho yang kembali ke Stamford Bridge hujung musim lalu, menafikan Chelsea berpeluang meraih kejuaraan apabila menyatakan City menjadi pilihan utama dengan beraksi kurang beberapa perlawanan.

Namun pemain tengah England, Lampard tetap gembira ketika Chelsea menguasai carta liga empat mata di depan pasukan tangga kedua Liverpool.


"Memang hebat berada di posisi ini," ujar Lampard.

"Buat beberapa tahun, dua atau tiga tahun kami ketinggalan.


"Gembira kerana kini kembali bersaing merebut kejuaraan dan berasa kami akan berjuang untuk merebut tangga pertama bukannya tangga keempat. Memang menyeronokkan." Selepas layak ke suku akhir Liga Juara-Juara menerusi kemenangan agregat 3-1 ke atas Galatasaray, Chelsea berdepan pertembungan jiran setempat London, Arsenal malam esok yang memburu trofi pertama dalam tempoh sembilan tahun.


Pengurus Arsenal Arsene Wenger yang dianggap 'pakar gagal' oleh Mourinho bulan lalu, akan mengemudi perlawanan ke-1,000 sebagai bos Gunners hujung minggu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

FA dakwa Mourinho

Posted: 20 Mar 2014 11:08 AM PDT

London: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho didakwa dengan salah laku oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, kelmarin selepas diarah ke bangku penonton ketika kekalahan mengejut pendahulu Liga Perdana itu di tangan Aston Villa hujung minggu lalu.

Pengendali dari Portugal itu dibuang padang oleh pengadil Chris Foy selepas meluru ke padang di Villa Park, Sabtu lalu berikutan kad merah terhadap pemain tengah Chelsea, Ramires.


"Tindakan pengurus Chelsea memasuki padang pada minit ke-90 perlawanan itu dan mendekati pengadil menjurus kepada salah laku," menurut FA dalam satu kenyataan ringkas.

Mourinho diberi tempoh hingga Isnin ini untuk membalas dakwaan itu.


Peraturan FA menyebut pengurus tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal sepanjang perlawanan.


Namun selepas perlawanan Sabtu lalu Mourinho berkata, beberapa orang meluru masuk ke padang.

"Ia dua hingga lima meter dalam padang tapi ada kira-kira 10 orang di sana. Saya, dua pembantu saya, (bos Villa) Paul Lambert, penolong Paul," jelas Mourinho.


"(Gabriel) Agbonlahor juga masuk dan bertindak agresif terhadap Ramires.

"Jika saya dibuang padang kerana memasuki padang, saya pelik kenapa tidak orang lain, terutama pemain yang bertindak agresif terhadap pemain lain, Agbonlahor terhadap Ramires?" - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Van Persie 'mengganas'

Posted: 20 Mar 2014 11:08 AM PDT

Manchester, England: Robin Van Persie meledak hatrik untuk membantu Manchester United menewaskan Olympiakos 3-0 sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Pengurus yang dihimpit tekanan hebat David Moyes menyaksikan pasukannya mempamerkan peningkatan selepas tumpas 0-3 di laman sendiri kepada Liverpool Ahad lalu dan Van Persie menjadi pencetus kemenangan juara Liga Perdana itu untuk mengatasi defisit 0-2 pada perlawanan pertama.


United hanya sekali berjaya bangkit daripada kekalahan perlawanan pertama sebelum ini untuk memenangi perlawanan Liga Juara-Juara pada suku akhir menentang Roma pada 2007 dan dengan prestasi hambar kebelakangan ini membuatkan ramai penyokong mereka kurang yakin dengan aksi di Old Trafford.

Tuan rumah memulakan ancaman menerusi tandukan Wayne Rooney yang terkena tiang sebelum juara Eropah tiga kali itu dianugerahkan sepakan penalti pada pertengahan babak pertama apabila Jose Holebas mengasari Van Persie.


Pemain Belanda itu tidak berdepan masalah menewaskan Roberto menerusi sepakan penalti namun penjaga gol Sepanyol itu kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan tandukan Patrice Evra.


Olympiakos yang mengekalkan kejuaraan Greece minggu lalu turut melancarkan serangan dan penjaga gol United, David de Gea tangkas menafikan percubaan David Fuster dan Chori Dominguez sebelum tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun United menyamakan kedudukan agregat di hujung babak pertama apabila hantaran lintang leret Rooney berjaya dirembat masuk Van Persie dan dia kemudian menyumbat gol ketiga serta melengkapkan hatriknya selepas meledak rembatan lencong pada minit ke-52.


Moyes gembira apabila anak buahnya berjaya bertahan walaupun gawang mereka kerap diuji dan Evra yang dilayangkan kad kuning akan terlepas perlawanan suku akhir pertama manakala Van Persie pula kemudian dikeluarkan akibat kecederaan.

"Cara pemain bangkit selepas kekalahan Ahad lalu menggembirakan saya. Saya memberitahu pemain Isnin lalu supaya memburu kemenangan 3-0 untuk menghadiahkan sesuatu kepada penyokong," kata Moyes. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Giggs masih berbisa

Posted: 20 Mar 2014 11:07 AM PDT

Manchester: Ryan Giggs membuktikan dia masih berbisa apabila mencetuskan inspirasi kepada kemenangan Manchester United untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam serta menjadi pemain bukan penjaga gol paling tua beraksi di peringkat kalah mati pertandingan itu.

Dia yang berusia 40 tahun diturunkan buat kali pertama selepas 11 perlawanan, menjadi perancang kepada dua gol awal United ketika menang 3-0 ke atas Olympiakos untuk memastikan United layak ke suku akhir.


Giggs tampil dalam perlawanan ke-140 Liga Juara-Juara, ketinggalan di belakang bekas penyerang Real Madrid, Raul, yang beraksi 142 perlawanan pada pertandingan itu.

"Sebelum perlawanan saya melihat jumlah penampilannya," kata pengurus United, David Moyes.


"Melihat kepada jumlah perlawanan yang pernah dilaluinya adalah sesuatu yang hebat. Saya fikir Giggs pemain yang hebat. Hantarannya mencipta kepada dua gol dan dia mencorak permainan pasukan ini.


"Apa yang lebih penting tahap kecergasannya. Anda fikir kadang kala dia perlu dikeluarkan selepas 60 minit tapi dia memang pelik. Dia pemain yang berbeza." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Klopp resah hilang khidmat bintang

Posted: 20 Mar 2014 11:06 AM PDT

Dortmund, Jerman: Jurulatih Borussia Dortmund, Juergen Klopp mengakui kecederaan pertahanan Marcel Schmelzer dan penggantungan penyerang Robert Lewandowski menjejaskan sedikit keceriaan mereka layak ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Naib juara musim lalu itu melangkah ke suku akhir meskipun tumpas 1-2 di gelanggang sendiri kepada Zenit St Petersburg awal pagi semalam pada pusingan kedua apabila kemenangan 4-2 pada pertemuan pertama membolehkan kelab dari Jerman itu menang dengan agregat 5-4.


Bintang Brazil Hulk memberikan gol pembukaan kepada Zenit menerusi rembatan menarik sebelum Dortmund mengikat kedudukan hasil tandukan kapten Sebastian Kehl sebelum tamat babak pertama.

Penyerang Venezuela Jose Rondon yang menyertai Zenit Januari lalu dari kelab musuh ketat Russia Rubin Kazan masuk sebagai pemain gantian dan berjaya menyumbat gol kemenangan pada babak kedua.


Kekalahan itu tambah memeritkan buat Klopp apabila pertahanan kiri Schmelzer terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan pinggul 15 minit sebelum tamat.


Penyerang bintang Lewandowski dilayangkan kad kuning pada minit ke-19 kerana memegang bola dan ia kad kuning ketiga dalam pertandingan itu sekali gus menyebabkan dia digantung pada suku akhir pertama.

"Saya perlu berhati-hati dengan apa yang saya mahu katakan mengenai pengadil tapi saya tidak setuju dengan keputusan itu," kata Klopp ketika ditanya mengenai layangan kad kuning kepada Lewandowski.


"Banyak perkara buruk dalam kehidupan. Apa yang lebih membimbangkan saya adalah kecederaan Marcel Schmelzer." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Aidil tersisih

Posted: 20 Mar 2014 11:05 AM PDT

Johor Bahru: Hanya Aidil Zafuan Abd Radzak terpaksa diketepikan apabila Johor Darul Ta'zim (Johor DT) melayan kunjungan ATM dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam esok.

Pengurus pasukan Bojan Hodak berkata, kecederaan Aidil memerlukan tempoh seminggu lagi untuk pulih namun lega Pablo Aimar, Azizi Matt Rose dan Daudsu Jamaluddin sudah kembali menjalani latihan di bawah kendalian Cesar Ferrando Jiminez.


"Selain Aimar, Daudsu dan Azizi, pemain pertahanan S Subramaniam juga sudah pulih daripada kecederaan tapi masih belum dapat diturunkan," katanya.

Mengulas kegagalan skuad Harimau Selatan meraih tiga mata selepas tewas tipis 0-1 kepada Terengganu, Sabtu lalu, Hodak mengakui kecewa kerana keseluruhan perlawanan dikuasai Johor DT namun dinafikan oleh kecekapan penjaga gol Mohd Sharbinee Alwi.


"Terkilan kerana kita hilang mata malah empat minit terakhir perlawanan barisan serangan kami masih mengasak bertubi-tubi tapi pintu gol mereka masih kebal. Apapun ini pengajaran berguna buat pemain untuk bangkit dalam aksi seterusnya.


"Kami perlu berwaspada kerana ATM memiliki pemain berpengalaman dan mampu menidakkan peluang Johor DT memburu kemenangan jika kita tidak berhati-hati dengan corak taktikal lawan.

"Saya amat mengenali jurulatih B Sathiananthan yang bijak mengubah corak permainan apabila mereka tertekan. Walaupun tidak membariskan Marlon Alex James akibat kecederaan mereka tetap mempunyai Juan Manuel Arostegui yang perlu diawasi," katanya.


Hodak juga menegaskan Jiminez kini memperkemaskan setiap posisi bagi memastikan kesebelasan utama memahami corak taktikal diterapkan.

"Apa yang ditekankan lebih terarah kepada penyudah berkesan dan saya yakin kami akan bangkit daripada kekalahan di Terengganu itu, apatah lagi Safee Sali juga sudah pulih daripada kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

Misi tiga mata Kedah

Posted: 20 Mar 2014 11:05 AM PDT

Alor Setar: Penyerang Kedah Billy Osman Mehmet menegaskan misi pasukan adalah untuk mencatat kemenangan ketika berdepan pasukan hebat Johor DT II hari ini.

"Kami tetap fokus untuk layak ke Liga Super musim depan dan kemenangan menjadi keutamaan pasukan," katanya.


Mehmet yang meledak satu gol ketika membantu Kedah menewaskan KL SPA berpuas hati dengan prestasinya setakat ini.

"Gol itu kembali menambah keyakinan saya untuk lebih tajam di depan gawang lawan dan saya harap dapat melakukannya lagi ketika berdepan Johor DT II nanti," katanya.


Apapun bagi Mehmet siapa yang menjaringkan gol tidak penting, paling mustahak pasukannya menang.


Dia juga berharap Khyril Muhymeen Zambri kembali cergas dan boleh diturunkan.

Katanya, ketika ini keadaan dalam pasukan tenang dan ceria dengan semua pemain menunjukkan kesungguhan sepanjang latihan di Stadium Univarsiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.


"Saya berharap penyokong Kedah memenuhi Stadium Darul Aman bagi membakar semangat pemain memburu kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/21

No comments:

Post a Comment