Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kaku lepas mengucap

Posted: 22 Mar 2014 10:12 AM PDT

Alor Gajah: "Darah mengalir keluar melalui hidung mangsa, saya kemudian mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia terus kaku tidak lama kemudian," kata Nurfasha Sawaludin, 25, saksi kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang penuntut Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di Jalan Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.50 petang, Muhamad Rosdi Muhamad Fadzli, 20, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda EX5 ditungganginya dikatakan bertembung dengan sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.

Difahamkan, Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan ketika mengambil selekoh tajam di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Nurfasha, dia yang berada di kedai makan berhampiran terdengar dentuman sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan lihat mangsa tertiarap di jalan.

"Melalui pengetahuan asas pertolongan cemas dimiliki, saya dibantu adik melonggarkan pakaian mangsa yang ketika itu masih hidup.

"Saya dapati mangsa dalam keadaan nazak dan terus mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghubungi ambulans," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nurfasha berkata, mangsa bagaimanapun semakin lemah sebelum kaku 15 minit kemudian.

Pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Rakan serumah mangsa, Abdul Muiz Ramli, 20, berkata, mereka menyewa di Taman Rebana Jernih, Ayer Molek, Kuala Sungai Baru.

"Muhamad Rosdi baru keluar dari rumah untuk bertemu rakan di Pengkalan Balak.

Foto

PEGAWAI penyiasat trafik melakukan pemeriksaan terhadap mayat mangsa di tempat kejadian.


Arwah aktif dalam persatuan pelajar dan dia juga exco Persatuan Siswa Siswi Fakulti Inovasi Pengurusan dan Perniagaan (PERSPEP).


"Arwah menuntut di tahun dua Fakulti Inovasi, Pengurusan dan Perniagaan KUIM.

Dia bukan saja peramah, malah sentiasa disenangi rakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Saksi kejadian diminta tampil ke cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah atau hubungi pegawai penyiasat Ins- pektor Mohd Marzooki Abd Fatah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan.

Ahli keluarga mangsa yang ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Alor Gajah enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

Polis hanya temui sampan, pukat

Posted: 22 Mar 2014 10:10 AM PDT

Kuala Lipis: Operasi mencari dan menyelamat Mohamad Mahmud, 52, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sampan ketika memukat ikan di Lubuk Law, Sungai Jelai, di sini, sejak 20 Mac lalu, terus buntu.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, polis dan bantuan pelbagai agensi penyelamat akan tetap menjalankan gerakan mencari mangsa sehingga dapat ditemui.

Katanya, operasi mencari dijalankan jam 6 pagi tadi (semalam) dan berakhir jam 7 malam semalam.

Menurutnya, sepasukan anggota polis dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta penduduk kampung menjalankan gerakan mencari mangsa.

Foto

ORANG kampung dan pasukan penyelamat yang menyertai operasi mencari.


"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa belum ditemui dan polis hanya menemui sampan dan pukat miliknya tersangkut di tebing. Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai orang hilang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Mangsa yang berasal dari Kampung Jeram Bungo, di sini, dikatakan keluar dari rumah jam 6 petang bersama seorang rakannya untuk pergi memukat ikan sungai.

Ketika tiba di lubuk berkenaan, mangsa bersama rakannya berpecah untuk memukat ikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

'Aku nak rompak demo, wok tubik duit, emas'

Posted: 22 Mar 2014 10:09 AM PDT

Kota Bharu: "Saya sangka mereka (perompak) menggunakan pistol tiruan, tetapi saya terkejut apabila mereka melepaskan tembakan," kata mangsa rompakan, Goh Wong Leng, 61, yang diserang dua penjenayah di rumah kedai ibunya di Jalan Kubang Pasu, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi, mangsa bersama adik perempuan serta kakaknya melakukan kerja membersih premis perniagaan sebelum dua lelaki tiba-tiba memasuki premis.

Menurutnya, dua lelaki memakai topi keledar menutup penuh muka itu kemudian mengacukan objek menyerupai pistol, namun dia menyangkakan ia senjata api palsu.

"Penjenayah terbabit turut berkata 'aku nak rompak demo (kamu), wok tubik (bawa keluar) duit, emas.

"Saya yang berlindung di sebalik meja terkejut apabila terdengar bunyi letupan kuat dipercayai akibat tembakan pistol," katanya.

Menurutnya, penjenayah kemudian mengikat mereka bertiga menggunakan tali sebelum memaksa mereka menyerahkan wang.

"Saya kemudian memberi RM300 kepada penjenayah.

Namun mereka masih tidak berpuas hati dan menyelongkar rumah kami sebelum meminta kunci kereta model Honda Accord yang diletakkan di depan premis.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan memandu kereta saya itu.


Saya juga menemui kesan lubang di dinding rumah dipercayai akibat ditembak penjenayah sebelum ini," katanya.

Menurutnya, ibunya yang berusia 86 tahun tidak diusik penjenayah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Idris Abd Rafar yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes rompakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

Hanya pesawat penerbangan komersial miliki kotak hitam

Posted: 22 Mar 2014 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Hanya industri pesawat komersial dipasang kotak hitam sebesar beg bagasi bersaiz sederhana bagi digunakan menganalisis data jika berlaku sesuatu tidak dijangka.

Pesawat tentera tidak memiliki kotak hitam tetapi kedua-duanya mempunyai alat 'Emergency Locator Transmitter' (ELT) bagi mengesan kedudukan pesawat jika terhempas di laut atau di kawasan darat.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Leftenan Kolonel (B) Mohd Ramly Mohd Ajir berkata, kebiasaannya bangkai pesawat tentera yang jatuh di dalam laut tidak diambil kecuali ada keperluan.

"Dalam kes pesawat MH370, jika pesawat terbabit berada di dalam Lautan Hindi, serpihan perlu dikeluarkan satu persatu bagi tujuan penambahbaikan teknologi di masa akan datang.


"Sebab itu hanya pesawat penerbangan komersial dipasang dengan kotak hitam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

Guna kemahiran pakar Amerika Syarikat

Posted: 22 Mar 2014 10:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Sesebuah pesawat komersial mempunyai dua kotak hitam berwarna oren yang akan mula diaktifkan bila enjin pesawat dihidupkan.

Data yang dirakam melalui kotak terbabit akan berakhir 30 minit selepas pesawat mendarat atau pesawat terbabit kemalangan.

Menurut bekas Ketua Juruterbang B777 Fleet MAS, Kapten Norudin Abd Majid, kotak hitam tidak boleh dimatikan secara manual ketika penerbangan.

"Bagaimanapun, kotak hitam dipanggil perakam suara boleh dipadamkan datanya secara manual ketika pesawat sudah mendarat," katanya.

Norudin berkata, kotak hitam juga berkepentingan bagi menentukan kesilapan seorang juruterbang jika gagal mengawal pesawat dengan baik sekalipun dapat mendarat dan mencari punca teknikal seperti enjin tidak berfungsi secara efektif ketika terbang.

"Sepanjang saya berkhidmat sebagai juruterbang pesawat, banyak kali saya melihat pasukan penyiasat memeriksa data dirakam kotak hitam dan ia berlaku ke atas diri saya.

"Perkara itu adalah normal kerana pasukan penyiasat cuma mahu mengetahui apa berlaku setelah penerangan diberikan oleh juruterbang ketika terbang," katanya.

Menurut Norudin, selepas bersara dari juruterbang pesawat komersial, dia terbabit sebagai perunding penyiasatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Bagaimanapun, ia cuma membabitkan penyiasatan pesawat ke atas kegagalan pesawat berfungsi dengan baik atau masalah juruterbang gagal mengawal.

"Biasanya DCA akan memberikan pandangan kepada syarikat penerbangan terbabit dan terpulanglah kepada mereka untuk ambil tindakan jika juruterbang bersalah selepas menganalisis kotak hitam," katanya.

Menurutnya, Malaysia tidak mempunyai tenaga pakar untuk memeriksa kotak hitam begitu terperinci jika membabitkan tragedi pesawat terhempas seperti Air France.

"Kebiasaannya, kotak hitam akan dihantar kepada tenaga pakar di Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, berikutan semakin banyak pesawat dimiliki syarikat penerbangan tempatan, saya diberitahu, satu Biro Siasatan Kemalangan Udara ditubuhkan baru-baru ini di bawah Kementerian Pengangkutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

No comments:

Post a Comment