Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mukhriz tarik diri

Posted: 28 Mar 2014 09:52 AM PDT

Shah Alam: Tidak pernah terlintas untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir semalam mengesahkan menarik diri daripada bertanding jawatan itu.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau terkejut apabila namanya dicalonkan dan yakin pencalonan itu bukannya datang dari Kedah.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana berpendapat lebih ramai lagi tokoh lebih layak untuk menalas jawatan kedua tertinggi itu.


"Saya agak terkejut dengan pencalonan itu dan saya ingat ia tidak datang dari Kedah dan saya sendiri tidak tahu negeri mana yang mencalonkan saya.

Foto

MUKHRIZ empat dari kiri) bersama Nasarudin (tiga dari kiri) dan Faliq (empat dari kanan) bersama pemain Kedah, menunjukkan Jersey di NAZA TTDI, Shah Alam.

"Saya sudah menandatangani surat menolak pencalonan itu. Saya rasa lebih ramai lagi tokoh lebih layak daripada saya untuk memegang jawatan Timbalan Presiden," katanya.

Mukhriz mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis penerimaan cek tajaan dari Kumpulan Naza TTDI bernilai RM250,000 untuk pasukan Kedah yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin di Naza TTDI semalam.

Sementara itu beliau menolak untuk memberi sebarang komen apabila ditanya siapakah calon sesuai mengisi jawatan Presiden FAM sekiranya Sultan Ahmad Shah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan.

Penarikan diri Mukhriz itu bermakna tinggal 13 nama yang dicalonkan untuk mengisi dua kerusi Timbalan Presiden yang dipertandingkan termasuk Tengku Abdullah, Datuk Seri Subahan Kamal, Datuk Afandi Hamzah, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan dan Datuk Mokhtar Ahmad.

FAM dijangka mengumumkan senarai penuh calon yang layak selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada 19 April ini dengan individu dicalonkan masih mempunyai peluang untuk menarik diri sebelum tempoh berkenaan.

Menyentuh sumbangan RM250,000 daripada Naza, Mukhriz berkata suntikan dana itu dijangka dapat mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung pengurusan pasukan dalam menghadapi baki saingan Liga Perdana musim ini.

"Sumbangan itu penting kerana kos mengendalikan sesebuah pasukan memerlukan belanja yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

Tak perlu panik

Posted: 28 Mar 2014 09:46 AM PDT

Sepang: "Kami perlu bersabar." Demikian komen juara dunia empat kali Sebastian Vettel mengulas mengenai jentera Red Bull yang dilihat agak bergelut dengan prestasi dan lebih perlahan berbanding pencabar terdekat Mercedes AMG Petronas.

Juara pengeluar musim lalu itu sedang tercari-cari pelarasan terbaik dengan Vettel sekadar mencatat masa ketujuh terpantas pada sesi latihan bebas pertama serta memperbaiki catatan ketiga terpantas pada sesi latihan bebas kedua semalam.

Vettel dilihat cuba memberi reaksi positif di sebalik permulaan hambar Red Bull musim ini yang menyaksikannya gagal menamatkan perlumbaan pada saingan pembuka tirai di Litar Albert Park, Australia.

"Saingan masih terlalu awal dan banyak perkara yang perlu kami perbaiki.

"Tetapi apabila kami memperoleh pakej yang dimahukan, saya pasti kami akan berada di landasan tepat, jadi sama-sama kita saksikan bagaimana prestasi jentera pada esok (hari ini) dan Ahad (esok).

"Apapun saya tetap gembira dengan keputusan hari ini (semalam) kerana kami masih berada dalam kelompok terpantas," katanya.

Rakan sepasukan barunya, Daniel Ricciardo juga perlahan apabila mencatat masa ke-12 terpantas pada sesi latihan pertama dan ketujuh terpantas di sesi latihan bebas kedua.

"Kami tetap menunjukkan peningkatan.

Keadaan cuaca di sini tidak menentu dan ia adalah antara cabaran terbesar yang perlu kami hadapi," kata Ricciardo.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

Caterham terkejut prestasi hambar jentera

Posted: 28 Mar 2014 09:44 AM PDT

Sepang: "Secara jujur, kami adalah yang pertama terkejut dengan situasi ini."

Itu komen prinsipal pasukan Caterham Cyril Abiteboul yang menyaksikan dua jenteranya gagal menghasilkan keputusan diharapkan pada sesi latihan bebas semalam.

Apa tidaknya, Caterham mempamerkan keputusan positif pada sesi ujian pramusim lalu tetapi mereka meraih keputusan hambar pada perlumbaan pembuka tirai di Australia serta pada sesi latihan bebas semalam.

Marcus Ericsson sekadar mencatat masa ke-17 dan ke-20 terpantas pada sesi latihan pertama dan kedua semalam sementara rakan sepasukannya, Kamui Kobayashi lebih malang apabila gagal menguji jenteranya pada sesi latihan kedua selepas mencatat masa ke-19 terpantas pada sesi latihan pertama.

"Kami sememangnya gembira selepas berakhir ujian pramusim lalu tetapi sangat berbeza sebaik bermulanya saingan Formula Satu.

"Kami perlu bersabar dan menantikan hasil seterusnya.

"Sememangnya persiapan kami tidak bagus menjelang perlumbaan sebenar tetapi bernasib baik masih dapat memperbaikinya seperti di Australia.

"Harap ia juga akan berulang sekali lagi pada perlumbaan Ahad ini (esok)," katanya.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

Saksikan F1, ubati kesedihan

Posted: 28 Mar 2014 09:43 AM PDT

Sepang: Meskipun negara sedang berduka dengan tragedi menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, peristiwa sedih itu diharap tidak mengekang rakyat Malaysia untuk sama-sama menyaksikan perlumbaan pusingan kedua Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hari ini dan esok.

Bukan bermaksud untuk melariskan jualan tiket, sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, orang ramai diharap dapat menyaksikan perlumbaan berprestij itu sekali gus melupakan seketika suasana suram melanda negara ketika ini.

"Bukan kami tidak sensitif, tetapi saya rasa sudah hampir tiga minggu kita bersedih dengan peristiwa melanda MH370.

"Sekurang-kurangnya dengan hadir menyaksikan perlumbaan F1 di Sepang, ia dapat melupakan seketika kesedihan yang kita semua lalui ketika ini.

"Lagipun kehadiran di litar bermaksud anda memberi sokongan kepada sukan permotoran negara kerana F1 hanya berlangsung setahun sekali di sini," katanya ketika ditemui semalam.

Razlan berkata, seperti rakyat Malaysia lain, beliau serta warga sukan permotoran juga turut bersedih dengan tragedi menimpa pesawat MH370.

"Apapun kita semua kena teruskan kehidupan seperti biasa.

Saya bukan mengharapkan dapat menjual tiket sehingga habis, sebaliknya hanya mahu anda memberi sokongan kepada perlumbaan F1," katanya.

Razlan mengaku, sasaran awal kehadiran 90,000 penonton mungkin tidak tercapai dengan angka jualan tiket yang kurang memberangsangkan ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

Raikkonen raih keputusan positif

Posted: 28 Mar 2014 09:42 AM PDT

Sepang: Sensasi Ferrari, Kimi Raikkonen mencatat keputusan memberangsangkan pada dua sesi latihan bebas semalam sekali gus memberi petanda awal juara dunia 2007 itu akan memberikan saingan sengit kepada seteru utama Nico Rosberg dari pasukan Mercedes AMG Petronas.

Pada sesi latihan bebas pertama, bekas pemandu Lotus itu mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 40.843 saat untuk catatan kedua terpantas sementara di sesi latihan kedua, dia turut merekod masa kedua terpantas iaitu 1:39.944s.

Raikkonen yang pernah mengungguli saingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2003 dan 2008, jelas lega dengan kedua-dua keputusan positif itu selepas sekadar meraih tempat ketujuh pada perlumbaan pembuka tirai di Australia dua minggu lalu.

"Hari yang positif dan saya rasa lebih gembira berbanding sesi latihan bebas pada Jumaat di Melbourne.

"Saya lebih selesa dengan jentera F14 hari ini (semalam) dan apa yang lebih penting kami tidak berdepan sebarang masalah.

"Kami akan menumpukan kepada penyelarasan jentera dan menguji jenis tayar yang Pirelli bekalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

FAM tetap intai aksi persahabatan

Posted: 28 Mar 2014 09:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Aksi persahabatan Harimau Malaya tetap diteruskan walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menanti hukuman terhadap insiden pembakaran suar dan bom asap di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menentang Filipina pada 1 Mac lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ia adalah bagi memastikan ranking skuad negara yang kini berada pada kedudukan 141 dunia tidak terjejas dan terus mempamerkan peningkatan.

"Saya dikhabarkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan membincangkan kes membabitkan insiden itu pada awal bulan depan.

"Namun kami berharap tiada hukuman berat dikenakan sehingga tidak boleh meneruskan perlawanan berstatus A.

Kami sudah memberikan penjelasan yang sewajarnya," katanya.

Menurut Hamidin, mengambil contoh, hukuman dikenakan ke atas mana-mana pasukan yang membabitkan insiden seperti itu pada peringkat domestik, FAM mungkin mengarahkan perlawanan dijalankan di stadium berkecuali dan sebagainya.

"Begitu jugalah harapan kami membabitkan kes ini," katanya.

Hamidin turut mengesahkan pihaknya sudah mengatur sejumlah perlawanan bermutu untuk diharungi skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula bulan depan.

"Malaysia akan sekali lagi menentang Filipina (ranking 130) selepas seri tanpa jaringan pada awal bulan ini namun ia akan berlangsung di Cebu pada 27 April nanti.

"Malah kami sudah mendapat reaksi positif Tajikistan (121) dan Taiwan (171) dan sedang menyusun jadual yang sesuai pada Mei nanti untuk mengadakan perlawanan kelas A ," katanya.

Skuad negara yang kini dibimbing Kim Swee menamatkan saingan kelayakan Piala Asia 2015 dengan menewaskan Yaman 2-1.

Foto

KIM Swee (kanan) perlu rancang taktikal terbaru untuk Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

Aimar sedia ledak gol

Posted: 28 Mar 2014 09:35 AM PDT

Johor Bahru: Selepas sekian lama direhatkan akibat kecederaan, pemain tengah Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Pablo Aimar bakal kembali membuat penampilan berdepan Sarawak pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Jurulatih Cesar Ferrando Jiminez berkata, kedudukan Aimar dalam kesebelasan utama belum diputuskan namun selepas dua hari lalu pemain itu sudah menunjukkan peningkatan positif.

"Pablo (Aimar) ada berjumpa dengan saya malah dia tidak sabar untuk beraksi menentang Sarawak.

Ketika sesi latihan sudah nampak perkembangan positif dan saya yakin dia sudah bersedia.

"Apa pun saya mahu pastikan dia cergas sepenuhnya untuk diturunkan kerana saya tidak mahu kecederaan yang dialami kembali berulang tambah pula perlawanan menentang Sarawak amat penting mencari tiga mata lagi," kata Jiminez.

Bekas pemain Piala Dunia Argentina itu terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan paha kiri ketika menentang Pahang, 7 Februari lalu dan perlu mendapat rawatan susulan.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Baihakki Khaizan bertekad untuk lebih berhati-hati dan mengelak daripada dikenakan kad kuning berdepan skuad bimbingan Robert Alberts.

Selepas digantung satu perlawanan dan terpaksa diketepikan pada aksi menentang Kelantan, dia mahu menebus kehampaan itu dengan persembahan lebih konsisten.

Katanya, sememangnya amat perit melihat rakan sepasukan berjuang untuk mencari kemenangan ketika dia hanya menjadi penonton.

Malah dia juga sentiasa peka dengan corak permainan keras untuk mengelak sebarang layangan kad namun semuanya bergantung kepada situasi dan jika berada dalam keadaan genting kemungkinan corak agresif terpaksa dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

Penyu tanpa kelibat Silva

Posted: 28 Mar 2014 09:34 AM PDT

Kuala Terengganu: Pendahulu liga Terengganu turun menentang Kelantan malam ini tanpa penyerang import dari Brazil, Marcio Souza Da Silva yang sah digugurkan dalam mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) petang kelmarin.

Bagaimanapun seorang lagi pemain import dari Guinea, Mamadou Hady Bary yang sebelum ini dikhabarkan akan digugurkan, masih dikekalkan dan bakal disenaraikan.

Setiausaha PBSNT, Arpin Draman berkata, keputusan menamatkan kontrak pemain dari Brazil itu dicapai hasil persetujuan PBSNT dengan penyerang itu dalam mesyuarat khas di pejabat persatuan itu petang kelmarin.

"PBSNT bersetuju untuk menamatkan kontrak Silva yang gagal beraksi dengan baik sehingga jendela kedua perpindahan pemain dibuka.

Bagaimanapun setakat ini kedudukan Bary masih belum diputuskan dan masih berada dalam senarai pemain Terengganu," katanya.

Beliau berkata, posisi Silva akan digantikan dengan pemain import baru dari Nigeria, Stephen Ayodele Makinwa, 30, yang sudah menandatangani kontrak dengan Terengganu semalam dalam misi memantapkan jentera serangan.

"Pada dasarnya PBSNT bersetuju mengikat bekas pemain kelab Lazio dan pemain kebangsaan Nigeria 2004 itu, bagaimanapun pemain yang baru tiba tengah hari kelmarin tidak dapat diturunkan bertemu Kelantan malam ini.

"Memang hasrat PBSNT untuk menurunkan pemain itu selepas kontrak Silva ditamatkan, tetapi beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan segera termasuk laporan perubatan dan sijil perpindahan menyebabkan kita perlu menunggu perlawanan dengan Sarawak minggu depan," katanya.

Sementara itu, pengendali T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah membayangkan tugas getir bakal menanti anak buahnya untuk mengekang asakan LionsXII di Stadium Jalan Besar malam ini yang sudah pasti tampil dengan bersemangat dalam misi memburu tiga mata.

"Kunjungan kami ke Singapura sudah pasti untuk mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan liga, tetapi melihat prestasi pemain yang masih tercari-cari rentak, membuatkan kami perlu melakukan perubahan strategi," katanya.

Foto

SILVA (kanan) ditamatkan kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

TRW dibayangi bekas tonggak

Posted: 28 Mar 2014 09:32 AM PDT

Kota Bharu: Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengakui The Red Warriors (TRW) akan dibayangi ancaman bekas rakan sepasukan sendiri ketika berdepan Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Antara ancaman yang perlu diberi perhatian ialah menerusi penyerang berpengalaman, Mohamad Norfarhan Muhammad dan Mohd Faiz Subri termasuk pakar rembatan jarak jauh, Zairo Anuar Zailani malah ketiga-tiga pemain berkenaan adalah bekas tonggak Kelantan musim lalu.

Badhri atau Piya berkata, selain itu Kelantan juga kehilangan dua tonggak serangan, Ahmad Shakir Ali yang mengalami kecederaan lutut manakala Ahmad Fakri Saarani digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning.

Katanya, meskipun keadaan itu memberi laluan sukar buat Kelantan mengutip tiga mata di gelanggang lawan namun dia yakin Kelantan mampu membuat kejutan.

"Memang keadaan nampak sukar apabila Ahmad Fakri dan Ahmad Shakir tidak dapat beraksi tapi kita perlukan tiga mata," katanya.

Kelantan tewas tiga kali berturut-turut kepada Selangor dan Johor DT termasuk satu kekalahan dalam saingan AFC," katanya.

Sementara itu jurulatih Steve Darby berkata, TRW tetap membawa misi kemenangan.

Beliau berharap pemain yang diberi kepercayaan mampu menggalas tanggungjawab diberikan bagi memastikan misi mencuri tiga mata itu berjaya dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

Tok Gajah yakin benam Perak

Posted: 28 Mar 2014 09:31 AM PDT

Kuantan: Prestasi pemain yang berada di kemuncak selepas mencatat kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini menjadi taruhan terbaik buat Pahang menjinakkan Perak pada saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Walaupun terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Azidan Sarudin yang mengalami kecederaan, pengendali skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan tetap berkeyakinan kejayaan bakal diraih di gelanggang sendiri.

Zainal berkata, selepas meraih kejayaan pada dua perlawanan berturut-turut menentang Sarawak (3-1) dan PKNS (3-1), semangat pemain berada di kemuncak dan ghariah untuk meneruskan kemenangan.

Menurutnya, pada sesi latihan pemain begitu ceria dengan memberi tumpuan kepada corak perlawanan yang akan dipamerkan.


Katanya, ketika ini mereka seolah-olah tidak terlalu tertekan berbanding sebelum ini.


Walaupun tanpa kelibat Azidan, saya masih mempunyai pengganti iaitu Mohd Faisal Mohd Rosli yang sebelum ini mempamerkan prestasi membanggakan," katanya.

Peluang penyerang, Alex (Mohd Azamuddin Akil) yang mengalami kecederaan kaki kanan untuk beraksi malam ini masih belum dapat diputuskan.

Keputusan pemeriksaan diperoleh hari ini (semalam) dan sekiranya benar-benar cergas, dia berpeluang untuk beraksi malam ini," katanya.

Zainal mengakui dia tidak terlalu bimbang kehilangan Azidan dan Alex kerana masih mempunyai barisan pengganti yang tidak kurang hebat dan mampu memikul tugas dengan sempurna.

Beliau berkata, lebih membanggakan persefahaman yang semakin mantap antara Matias Conti dan Dickson Nwakaeme berjaya membentuk jentera serangan berkesan bergandingan dengan pemain tempatan.

"Walaupun kita mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri, saya mengingatkan pemain supaya tidak terlalu memandang mudah Perak yang pastinya berusaha mencatat keputusan terbaik".

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/29

No comments:

Post a Comment