Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tembak pelajar Afrika

Posted: 06 Mar 2014 10:50 AM PST

Nilai: Sekumpulan pelajar warga Afrika sebuah kolej swasta cuba menimbulkan provokasi dengan membuat kecoh dipercayai kerana tidak puas hati selepas seorang rakan mereka ditembak mati di tempat letak kenderaan sebuah blok penginapan kolej berkenaan di Mantin, di sini, semalam.

Kumpulan kira-kira 50 pelajar terbabit turut bertindak biadab dengan mengeluarkan kata kesat dan memaki hamun pegawai dan anggota polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian, namun berjaya dileraikan dalam masa 10 minit.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, seorang pelajar warga Afrika berusia 26 tahun ditemui mati di bawah pokok tempat letak kenderaan berkenaan selepas terkena satu das tembakan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Roning berkata, lelaki terbabit dipercayai dikejar suspek sebelum dia ditembak berikutan penemuan telefon bimbit miliknya kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Foto

MAYAT mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Foto

ANGGOTA polis menenangkan rakan mangsa di tempat kejadian, semalam.


"Polis menerima panggilan kejadian jam 5.30 petang dan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan forensik mendapati ada kesan kecederaan di bahagian kepala akibat terkena tembakan," katanya.


Abdullah berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan akan mengambil keterangan individu yang menemui mayat mangsa serta rakan mangsa untuk mendapatkan gambaran penuh kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/07

Empat das untuk pemiutang

Posted: 06 Mar 2014 10:40 AM PST

Gombak: Gara-gara tindakan seorang lelaki yang sering meminta hutang kepada orang yang meminjam wang daripadanya nyaris maut selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan rumahnya di Taman Desa Jaya, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, seorang lelaki yang memakai topeng bertindak menembak mangsa ketika mangsa hendak masuk ke dalam rumah.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 50 tahun ditembak sebanyak empat das, namun bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil di lengan kiri.

"Kejadian mungkin bermotifkan hutang, kerana difahamkan mangsa banyak memberi pinjaman wang kepada rakan-rakannya dan mungkin ada antara mereka yang tidak berpuas hati kerana mangsa sering menuntut hutang," kata sumber.

Sumber berkata, ketika kejadian, lelaki itu dipercayai menunggu di dalam sebuah kereta secara berseorangan sebelum melepaskan tembakan sebaik melihat kelibat mangsa.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai penasihat di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang hanya mengalami kecederaan ringan dan dilaporkan stabil.

Siasatan awal, lelaki itu menggunakan Revolver dan polis kini sedang mengesan suspek melalui keterangan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/07

Bayi 4 bulan alami pendarahan otak dipercayai digoncang

Posted: 06 Mar 2014 10:38 AM PST

Ipoh: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan dipercayai didera dengan digoncang kuat menyebabkan pendarahan serius pada bahagian otak.

Bayi malang terbabit kini dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) selepas disyaki menjadi mangsa dera oleh keluarga atau pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa sebelum ini dihantar ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan di klinik di Simpang Pulai di sini, selepas didakwa cedera di kepala.

Beliau berkata, kecederaan serius dialami bayi itu menyebabkan mangsa dirujuk ke HRPB jam 6 petang kelmarin.


Menurutnya, bayi itu kemudian menjalani imbasan sinar X-ray jam 9 pagi semalam sebelum doktor mengesan ada kesan pendarahan dalaman pada kepala mangsa.


"Susulan itu satu laporan polis dibuat doktor di pondok polis HRPB. Namun, polis belum mengenal pasti punca kecederaan mangsa setakat ini berikutan tiada kecederaan luaran pada kepala mangsa.

"Polis akan mendapatkan keterangan dari ibu bapa atau pengasuh mangsa dalam tempoh terdekat. Difahamkan, ibu mangsa berusia 30-an dan suami berusia 40-an akan dipanggil untuk soal siasat," katanya, semalam.

Malah, seorang pengasuh wanita bayi itu yang berusia 30-an serta suaminya turut dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/07

Dua beradik terbunuh lepas ziarah ibu sakit

Posted: 06 Mar 2014 10:38 AM PST

Tapah: "Suami balik kampung di Kedah pada Khamis minggu lalu untuk menziarahi ibu yang sakit, tapi kini dia yang pergi lebih awal," kata Nahiyah Mohd Salleh, 33, yang kematian suami dan abang ipar akibat nahas jalan raya, semalam.

Mohd Nadzrul Khairi Ishak, 34, dan abangnya Muhamad Nadzim, 39, yang juga Pegawai Penerangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Perlis, maut di tempat kejadian dalam kemalangan di Kilometer 348.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, jam 5 pagi semalam.

Dua beradik itu terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dan dipandu Mohd Nadzrul melanggar belakang sebuah kenderaan lain sebelum dirempuh pula kereta model PROTON Satria GTI yang datang dari arah sama.

Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke ibu negara dari kampung mereka di Kampung Baru Kuala Nerang, Kedah.

Nahiyah berkata, suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bandar Jengka, Pahang dan menumpangkan Muhammad Nadzim yang mempunyai urusan di Kuala Lumpur.

"Suami ada menghantar mesej Whatsapp jam 10 malam tadi (kelmarin) tertanya-tanya kenapa masih belum menerima duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bercadang menyelesaikan perkara itu sebaik sampai ke rumah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah, di sini, semalam.

Menurutnya, abang iparnya menumpang suaminya untuk membeli barang bagi memulakan perniagaan kedai makan di kampung mereka.

"Bagaimanapun, hajat mereka tidak kesampaian.

Arwah suami yang bekerja sendiri memang sering pulang ke kampung untuk melawat selain mempunyai perancangan menjalankan perniagaan kedai makan bersama abangnya.

"Saya reda dengan pemergian arwah dan akan berusaha menunaikan amanatnya supaya menjaga tiga anak kami berusia tiga hingga tujuh tahun," katanya.

Sementara itu, isteri Muhammad Nadzim, Shazlina Ali, 38, yang bertugas sebagai Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perlis, turut terkejut dengan insiden itu.

Jenazah kedua-dua mangsa dituntut ahli keluarga sebelum dibawa pulang ke kampung halaman mereka jam 2 petang untuk dikebumikan di Kampung Baru Kuala Nerang, Kedah.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan lain sebelum berpusing dan melintang di tengah lorong kanan lebuh raya.

"Siasatan awal mendapati kenderaan Ford Ranger dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai melanggar kenderaan lain sebelum PROTON Satria GTI yang datang dari arah sama merempuh bahagian sisi kiri pacuan empat roda yang melintang itu," katanya.

Foto

MAYAT dua beradik yang terbabit dalam kemalangan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/07

Hentak kepala anak saudara

Posted: 06 Mar 2014 10:31 AM PST

Butterworth: Tidak tahan mendengar rengekan anak saudaranya yang 'mengamuk' dengan mengoyak buku sekolah, seorang lelaki gagal mengawal diri sebelum bertindak menghentak kepala kanak-kanak lelaki terbabit dengan topi keledar dalam kejadian di Permatang Tiga Ringgit, Kepala Batas, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 2 petang itu kanak-kanak terbabit yang berusia tujuh tahun dan juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang menerima 10 jahitan akibat dihentak dengan topi keledar oleh bapa saudaranya yang berusia 20-an itu.

Menceritakan kembali kejadian itu, datuk saudara mangsa berusia 64 tahun berkata, ketika kejadian dia pada mulanya terkejut mendengar pekikan kuat di sebelah rumahnya sebelum keluar dan melihat cucu saudaranya telentang dengan keadaan berlumuran darah.

Menurutnya, rumah mereka jenis berkembar dan dia kerap mendengar pelbagai bunyi pekikan seperti ada orang bergaduh.

Foto

SHAHRUNAIN melawat mangsa di HSJ, semalam.


"Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana bekerja dan saya yang berada di rumah terdengar pekikan sangat kuat di sebelah rumah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/07

No comments:

Post a Comment