Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Strategi menjadi

Posted: 17 Mar 2014 11:38 AM PDT

Ipoh: Skuad hoki negara terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Kanada 3-1 pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah malam tadi.

"Saya sudah jangkakan lawan akan menggunakan kelebihan fizikal mereka dan ia benar-benar berlaku. Sebab itu pada separuh masa kedua saya ingatkan pemain supaya kekal fokus dan terus memberi tekanan kepada mereka.

"Saya juga tidak mahu mereka bermain dengan penuh emosi seperti di babak pertama dan strategi itu tertanya berhasil," kata ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Skuad negara bermula baik apabila berada di depan seawal minit ke-4 menerusi gol padang penyerang negara Faizal Saari yang menerima hantaran cantik Muhammad Marhan Mohd Jalil.

Foto

FIRHAN Ashari (kanan) cuba menjaringkan gol sambil dihalang Adam Frosese dari Kanada.

Foto

FAIZAL (dua dari kiri) hampir jaring hatrik.


Namun mereka gagal mengekalkan momentum itu, sebaliknya membenarkan Kanada melakukan tekanan sehinggalah lawan dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-15 yang disempurnakan Adam Froese.


Skuad bimbingan Paul Bundy itu terus melakukan asakan dan memperoleh beberapa peluang terbaik menjaringkan gol, tetapi mereka gagal memanfaatkan peluang terhidang itu.

Aksi kedua-dua pasukan dilihat agak tegang selepas itu sehingga menyaksikan beberapa insiden pergaduhan tetapi berjaya dileraikan pengadil perlawanan.

Bersambung babak kedua, skuad negara berpeluang sekali lagi di depan selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-39, tetapi disia-siakan begitu saja.

Penjaga gol negara Muhammad Hafizzuddin Othman yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan ketika bertemu Korea kelmarin, sekali lagi cemerlang, menafikan sekurang-kurangnya dua peluang terbaik lawan selepas itu.

Malaysia kembali di depan pada minit ke-46, sekali lagi menerusi sumbangan Faizal yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Gol itu menaikkan semangat skuad negara untuk mencari gol ketiga dan peluang terbaik diperoleh tiga minit kemudian, tetapi kali ini tolakan Faizal tidak menjadi.

Situasi sama berlaku pada minit ke-63 yang menyaksikan tolakan Faizal sedikit tersasar ketika melakukan pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, Ahmad Kazamirul Nasruddin memastikan Malaysia meraih tiga mata penuh menerusi gol ketiga pada minit ke-67 hasil gerakan padang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Australia pesta gol, selangkah ke final

Posted: 17 Mar 2014 11:23 AM PDT

Ipoh: Juara bertahan, Australia semakin hampir melangkah ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini dengan membelasah Afrika Selatan 7-0 di Stadium Hoki Azlan Shah, semalam.

Namun ketua jurulatih Ric Charlesworth berpendapat kedudukan anak buahnya masih belum terjamin kerana perlu turun baki dua perlawanan selepas ini, bertemu Korea dan Malaysia.

"Saya gembira kami menang ketiga-tiga perlawanan setakat ini, tapi ia bukan bermaksud kami sudah layak ke final.

"Masih ada dua perlawanan yang cukup sukar perlu diharungi iaitu bertemu Korea dan Malaysia dan kami perlu menang salah satu daripadanya," katanya.

Afrika Selatan cemerlang apabila mengekang asakan Australia untuk sekurang-kurangnya 30 minit pertama.

Sepanjang tempoh itu, Australia memperoleh lima pukulan sudut penalti tetapi mereka mensia-siakan kesemua peluang itu.

Hanya pada minit ke-31, skuad bimbingan Ric Charlesworth berjaya membuka jaringan menerusi gol padang Trent Mitton dan selang empat minit selepas itu, Jamie Dwyer menambah gol kedua, juga menerusi gol padang.

Nicholas Budgeon tenang meledak gol keempat pada minit ke-35 hasil jaringan padang untuk membolehkan Australia mendahului Afrika Selatan 3-0 selepas berakhir babak pertama.

Australia menambah gol keempat hasil jaringan padang Jamie Dwyer pada minit ke-45 sebelum Chris Ciriello menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-52 menerusi pukulan sudut penalti.

Daniel Beale menambah gol keenam minit ke-55 menerusi gol padang sebelum kapten pasukan Mark Knowles melengkapkan kemenangan besar Australia pada minit ke-62, juga hasil gol padang.

Foto

PEMAIN Australia Andrew Philpott (kiri) cuba menyekat kemaraan Lungile Tsolekile dari Afrika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Korea Selatan nyaris dikejutkan China

Posted: 17 Mar 2014 11:22 AM PDT

Ipoh: Korea Selatan hampir dimalukan China sebelum bangkit menang tipis 3-2 menerusi aksi sengit di Stadium Hoki Azlan Shah semalam.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang sejak awal saingan dengan Korea berpeluang berada di depan pada minit ke-13, tetapi gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti dihadiahkan.

Korea yang sekadar seri 2-2 ketika bertemu skuad negara kelmarin, memperoleh gol pertama pada minit ke-19 menerusi gol padang sumbangan Kim Seong Kyu.

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, China memperkemaskan corak permainan mereka dan akhirnya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Zhang Zhixuan pada minit ke-32.

Bersambung babak kedua, China mengejutkan juara Asia itu apabila memimpin saingan buat kali pertama menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Du Talake pada minit ke-37.

Korea bagaimanapun kembali bekerja keras untuk mencari gol penyamaan dan akhirnya usaha mereka itu berhasil juga menerusi pukulan sudut penalti Jang Jong Hyun minit ke-49.

Pasukan ranking ketujuh dunia itu kembali di depan hasil pukulan sudut penalti Jong Hyun pada minit ke-65 sekali gus mengesahkan Korea meraih tiga mata penuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Ramdan raih juara sulung

Posted: 17 Mar 2014 11:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Misbun Ramdan Mohmed Misbun (gambar) menjuarai Kejohanan Siri Antarabangsa Romania 2014 apabila menewaskan pencabar dari Poland Adrian Dziolka 15-21, 21-8, 21-16 di Dewan Sukan Constantin Jude, kelmarin.

Misbun Ramdan yang juga anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek mengambil masa 49 minit bagi melakar kejuaraan sulung buat dirinya tahun ini.

Pada aksi akhir itu, Ramdan yang diletak pilihan utama kejohanan terpaksa berhempas pulas menundukkan wakil dari benua Eropah itu dengan permainan tiga set.

Namun pemain berusia 23 tahun itu memulakan aksi set pertama dengan hambar apabila tewas 15-21 sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya.

Ramdan yang dilatih bapanya, mara ke pentas akhir selepas mengecewakan pemain pilihan keenam iaitu Luka Wraber dari Austria di separuh akhir dengan kemenangan 22-20, 21-12.

Pemain ranking ke-48 dunia itu sebelum ini terkandas di pusingan awal Seluruh England kepada pemain Taiwan Chou Tien Chen 21-15, 21-10 yang turut menyaksikan jaguh perseorangan negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul juara.

Tahun lalu Ramdan kerap mengambil bahagian di Eropah dengan muncul juara Terbuka Ireland, Siri Antarabangsa Slovenia dan Siri Antarabangsa Portugal.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan Crotia Zvonimir Durkinjak dan Zvonimir Hoelbling menundukkan gandingan Perancis, Bastian Kersaudy dan Gaetan Mittelheisser 21-12, 21-13 di aksi akhir.

Foto


Barbara Bellenberg dan Ramona Hacks dari Jerman mengungguli beregu wanita dengan kemenangan 21-15, 21-13 ke atas rakan senegara Kira Kattenbeck dan Franziska Volkmann.

Delphine Lansac dari Perancis pula menjuarai kategori perseorangan wanita apabila memerlukan 35 minit untuk menjinakkan Laura Sarosi dari Ireland 22-20, 21-14 manakala pasangan Scotland Martin Campbell dan Jillie Cooper dinobatkan juara beregu campuran apabila menyingkirkan Bastian Kersaudy dan Teshana Vignes Waran dari Perancis 21-14, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Kasey teruja cabar kemampuan

Posted: 17 Mar 2014 11:17 AM PDT

Georgetown: Bahang Kejohanan Skuasy Wanita Dunia Ke-29 semakin terasa apabila tirai disingkap di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (SPICE), Bayan Baru, hari ini.

Pemain nombor 11 dunia, Kasey Brown yang ditemui sehari sebelum perlawanan bermula membayangkan akan berdepan laluan sukar apabila terpaksa bersaing dengan peserta berpengalaman.

Presiden Persatuan Skuasy Wanita (WSA) itu berkata, hampir semua pemain mempunyai rekod tersendiri di samping menunjukkan peningkatan dalam setiap kejohanan disertai.

"Saya akui akan berdepan saingan sengit, namun dengan segala persediaan, saya yakin dapat melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini.

"Malah, saya teruja untuk kembali ke sini (Malaysia) selepas kali pertama pada 2001 ketika menyertai Kejohanan Skuasy Remaja Dunia dan berpeluang berentap bersama pemain nombor satu dunia (Datuk) Nicol David," kata pemain daripada Australia itu selepas mengiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengadakan lawatan persiapan terakhir menjelang kejohanan berkenaan di SPICE, Bayan Baru, di sini, semalam.

Kasey dijadual bertemu pemain Mesir, Nour El Sherbini petang ini.

Kejohanan berkenaan dijangka disaksikan 5,000 peminat skuasy dari dalam dan luar negara selain 68 peserta dari 20 negara mengambil bahagian.

Foto

SEBAHAGIAN pemain skuasy simpati dengan kehilangan pesawat MH370.


Sementara itu, ratu skuasy negara, Nicol akan berdepan laluan mudah apabila dijadual bertemu pemain bukan pilihan dari England, Emma Beddoes pada aksi pembukaan malam ini.


Low Wee Wern, pemain yang berasal dari Pulau Pinang dan menduduki tangga keenam dunia turut dijangka berdepan laluan mudah pada pusingan pertama apabila diundi menentang pemain bukan pilihan dari Australia, Donna Urquhart dan diramal bertemu sama ada pemain Denmark Line Hansen atau pemain pusingan kelayakan jika mara ke pusingan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Fuad buru kilauan pingat

Posted: 17 Mar 2014 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Peninju berpengalaman negara, Mohd Fuad Ridzuan menjelaskan masih terlalu awal untuk menilai peluangnya di Sukan Komanwel 2014 namun tetap mensasarkan untuk sekurang-kurangnya meraih sebutir pingat tanpa mengira warna pada penampilan keduanya di temasya berkenaan.

Menurut peninju berusia 23 tahun itu, dua kejohanan yang dijadual berlangsung di Sri Lanka (bulan depan) dan Terbuka China pada Mei akan dijadikan medan terbaik untuk menilai kemampuan selain mengintai kekuatan lawan yang turut bersaing di Scotland.

"Ketika ini sukar untuk saya melihat peluang melangkah jauh kerana tidak dapat melihat dan menilai pencabar kebanyakan negara lain.

"Tumpuan saya sememangnya Sukan Komanwel kerana saingannya tidak sesukar Sukan Asia yang membabitkan beberapa negara handalan tinju seperti Thailand," katanya yang masih segar dengan kejayaan menjuarai kategori 49 kilogram dalam kejohanan Piala Agong berlangsung di Kedah, minggu lalu.

Turut meraih kejuaraan di Piala Agong seorang lagi peninju negara, Mohd Meeraj Khan yang menjuarai kategori 91 kilogram dalam kejohanan yang membabitkan 65 peninju mewakili beberapa negara seperti Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Sri Lanka dan Taiwan.

Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) meletakkan sasaran sebutir pingat emas mampu diraih di Glasgow pada Julai dengan merancang untuk menghantar lapan peninju kali ini namun tidak menamakan peninju tertentu untuk memenanginya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Harimau Muda 'mengaum'

Posted: 17 Mar 2014 11:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Muda A menempah aksi lebih mencabar dalam kempen Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia selepas menang besar 5-2 ke atas Redlands United kelmarin.

Kejayaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mencalar rekod bersih dua kemenangan berturut-turut Redlands dalam saingan liga musim ini sekali gus membuka mata pasukan lain mengenai kemampuan pemain muda negara.

"Ini kemenangan yang cukup baik kerana lawan bukan calang-calang selepas mereka mencatat dua kemenangan sebelum ini. Tapi dengan kemenangan ini sudah tentu pasukan lain lebih berwaspada apabila menentang Harimau Muda.

"Cabaran seperti ini yang kami mahukan, kerana hanya dengan perlawanan kompetitif saja saya boleh menilai sejauh mana kemampuan pemain saya.

Foto

AKSI pemain Harimau Muda ketika menang ke atas Redlands United.


"Apa yang penting kami ke sini bukan untuk menjuarai liga tapi bagi pemain mendapatkan pendedahan," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Tiga mata penuh yang diraih pada aksi di Cleveland Showgrounds, Brisbane kelmarin meletakkan Harimau Muda A menduduki tangga kesembilan daripada 14 pasukan selepas seri 3-3 dengan Moreton Bay Jets pada aksi pertama, 8 Mac lalu.

Menurut Kim Swee masih banyak perlu dilakukan untuk memantapkan prestasi pemain khususnya di bahagian pertahanan walaupun permainan dipamerkan pada perlawanan kedua itu menghiburkan.

"Lima gol bolos dalam dua perlawanan bukan statistik yang baik, kelemahan ini perlu diperbaiki. Saingan liga ini cukup mencabar buat pemain dari segi fizikal namun dengan corak permainan pantas, saya yakin kami mampu memberikan saingan hebat," katanya.

Harimau Muda A yang dibarisi pemain bawah 23 tahun bakal turun beraksi pada Ahad ini menentang pasukan di tangga ke-10 liga, Sunshine Coast Fire yang hanya mencatat satu kemenangan dalam tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Shakir jadi penggempur

Posted: 17 Mar 2014 10:58 AM PDT

Kota Bharu: Penyerang Ahmad Shakir Ali akan menjadi sandaran Kelantan untuk merobek gawang wakil Vietnam, Vissai Ninh Binh pada aksi Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Kelantan sekali lagi terpaksa melupakan khidmat penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang belum pulih sepenuhnya selain penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani yang turut cedera selepas menentang Pahang dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Ahmad Shakir berkata, dia bersedia menggalas tanggungjawab itu selepas diberi kepercayaan jurulatih Steve Darby untuk menguatkan jentera serangan The Red Warriors (TRW) dalam misi mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

Pemain berusia 25 tahun dari Jitra, Kedah itu berkata, peluang beraksi di pentas AFC akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menjaringkan gol.

"Sebagai penyerang saya perlu sentiasa bersedia.

Malah ini peluang terbaik saya untuk membuktikan kemampuan.

Saya perlu membalas kepercayaan jurulatih.

"Saya akan cuba menjaringkan gol dan itu sasaran saya.

Foto

SHAKIR (dua dari kiri) bersama Darby, Manh Dung (dua dari kanan) dan Van Sy (kanan) ketika sidang media di Hotel Holiday Villa.


Apa yang penting tiga mata diperoleh," katanya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, Wakaf Che Yeh, semalam.

Turut hadir jurulatih Vissai Ninh Binh Nguyen Van Sy dan pemainnya, Nguyen Manh Dung.

Sementara itu Darby berkata, Kelantan sekali lagi akan turun tanpa Ghaddar dan mengharapkan pemain yang disenaraikan akan memberi persembahan terbaik dan manfaat kelebihan gelanggang sendiri.

"Ghaddar masih belum pulih.


Selain itu saya menunggu laporan tahap kecederaan Ahmad Fakri dan keputusan akan dibuat esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Selangor tempang

Posted: 17 Mar 2014 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Selangor berdepan situasi sukar apabila penjaring utamanya, Paulo Rangel masih belum pasti diturunkan dalam aksi Piala AFC menentang pendahulu Kumpulan F, Hanoi T&T, esok.

Turut mencemaskan keadaan, situasi penjaga gol kebangsaan Mohd Farizal Marlias yang mengalami kecederaan sekali gus mungkin penjaga gol ketiga Selangor, Muhammad Syamin Othman diturunkan dalam pertemuan di Stadium Hang Day, Hanoi itu selepas seorang lagi penjaga gawang Merah Kuning, Mohd Hamsani Ahmad tidak dapat diturunkan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.

Rangel dan Farizal mengalami kecederaan ketika Selangor seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu.

"Rangel mengalami kecederaan lutut manakala Farizal buku lali.

Kedua-duanya tidak turun menjalani latihan hari ini (semalam).

Keputusan mengenai mereka akan diputuskan jurulatih (Mehmet Durakovic) esok (hari ini) selepas membuat penilaian," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Mohd Ibrahim.

Selangor pasti berharap kedua-dua pemain utama itu dapat diturunkan kerana sudah kehilangan perancang tengah, Abdul Shukor Jusoh akibat kecederaan lutut sehingga memberi impak kepada prestasi pasukan ketika ini.

Sementara itu kapten Selangor, Mohd Bunyamin Omar mengakui barisan pertahanan Merah Kuning perlu bekerja keras bagi memastikan gawang mereka tidak mudah dibolosi Hanoi T&T kerana lawan mempunyai kelebihan di jentera serangan apabila meledak lapan gol menerusi dua perlawanan, menewaskan dua lawan lain dalam Kumpulan F, Maziya Sports & Recreation (5-1) dan Arema Indonesia (3-1) dengan pemain tengahnya, Nguyen Van Quyet meledak empat gol.

"Kami tidak mempunyai pilihan lain selain bersiap sedia.


Pemain di barisan pertahanan tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan posisi, kami perlu berdisiplin menentang lawan di Hanoi agar mendapat keputusan positif," kata pertahanan kanan itu yang akan mengetuai benteng bersama Steve Pantelidis dan Muhd Shahrom Ab Kalam mengisi pertahanan tengah manakala Azmi Muslim, bahagian kiri.

Selangor kini meraih dua mata selepas dua keputusan seri, berpeluang merapatkan kedudukan dengan Hanoi T&T yang kini mengungguli Kumpulan F dengan enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

FAM perlu henti sandiwara: PETEH

Posted: 17 Mar 2014 10:55 AM PDT

Kuala Terengganu: Jika kelmarin bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kamaruddin Abdullah meminta isu Terowong Larkin disegerakan, penyokong Terengganu semalam turut menaruh harapan tinggi badan induk negara itu mampu menyelesaikan isu berkenaan supaya pemain T-Team dapat menumpukan kembali perhatian terhadap perlawanan.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH) Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, mereka sudah lama menunggu kesudahan isu berkenaan walaupun pertuduhan sudah dikeluarkan kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan T-Team pula dihukum tewas 3-0.

"Kelewatan FAM menyelesaikan isu ini bakal memberi impak terhadap kredibiliti FAM, malah tempiasnya turut terkena kepada pemain Liga Super T-Team.

"Kenapa proses ini terlalu lama, sejak 1 Februari lalu hingga hari ini, sudah sebulan lebih kes ini diperincikan, tapi FAM masih belum menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bersalah.

"Persoalannya kenapa FAM sukar membuat keputusan, sedangkan T-Team awal-awal lagi sudah dihukum.

Adakah campur tangan dalaman dan pihak luar yang menyebabkan kes ini tertangguh? Kami mahukan jawapan bukannya sandiwara FAM," katanya.

Menurutnya, jika isu itu terus tertangguh, bukan saja peminat terus hilang kepercayaan terhadap FAM, malah memperlihatkan ketidakupayaan badan itu mengurus.

Beliau berkata, sepatutnya FAM sudah mengenal pasti siapa bersalah, malah secara psikologi FAM mampu membuat keputusan segera berdasarkan laporan Komisioner Perlawanan dan pengadil serta pegawai dan pemain yang dipanggil.

"Tapi bagi PETEH, FAM sengaja melewat-lewatkan isu berkenaan supaya menjadi lebih sejuk berbanding jika keputusan awal dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

No comments:

Post a Comment