Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


BAM tak minat Kim Hock

Posted: 24 Mar 2014 11:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaporkan tidak berminat untuk melantik Yap Kim Hock bagi mengisi kekosongan ketua jurulatih beregu negara.

Menurut Pengurus Pembangunan BAM Chooi Weng Sheng, mesyuarat Exco pada Khamis lalu masih mencari calon sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih dari Indonesia, Paulus Firman.

"Dalam mesyuarat itu, BAM memutuskan Rashid Sidek kekal sebagai ketua jurulatih perseorangan negara. Cuma jawatan ketua jurulatih beregu negara masih lagi tidak dapat diputuskan pada mesyuarat itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Apabila ditanya, adakah kemungkinan besar Kim Hock yang juga bekas pemain negara menjadi antara calon yang bakal dipilih, Weng Sheng menjawab: "Tidak mungkin.

Foto

RASHID kekal teraju skuad perseorangan negara.


"Saya tidak tahu siapa calon sebenar yang akan memikul tugasan itu, cuma apa saya tahu bukan Kim Hock. Mungkin individu lain yang masih belum dikenal pasti," katanya.


Sebelum ini, Kim Hock yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 Atlanta, tampil menawar diri dengan menghantar permohonan untuk menjadi jurulatih beregu skuad kebangsaan.

Kim Hock yang pernah menjadi ketua jurulatih negara pada 2005 hingga 2008 sudah dipanggil BAM untuk hadir di sesi temu duga yang diketuai Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bersama Setiausaha Agung Ng Chin Chai dan Pengurus Besar Kenny Goh pada 14 Mac lalu.

Dalam perkembangan sama, BAM melakukan pusingan U apabila merombak kembali struktur kejurulatihan negara selepas sebelum ini mewujudkan jawatan Pengarah Keupayaan dan Kemahiran (CSR).

Keputusan drastik terpaksa dibuat selepas usaha badan induk itu memujuk bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek untuk menerajui CSR menemui kegagalan apabila ditolak dengan alasan banyak masalah peribadi yang perlu difikirkan di samping tidak sanggup memikul tanggungjawab diberikan BAM itu.

BAM dilaporkan bakal mewujudkan satu badan khas yang akan dibentuk membabitkan pakar serta ahli majlis badan induk itu dengan segala laporan prestasi pemain akan dihantar jurulatih terus kepada jawatankuasa berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Hanya Wei Feng jadi sandaran

Posted: 24 Mar 2014 11:29 AM PDT

Pasir Gudang: Ketiadaan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei bermakna sandaran pasukan negara dalam acara perseorangan kini terletak di bahu Chong Wei Feng apabila Grand Prix Emas Malaysia di Dewan Tertutup Pasir Gudang, bermula hari ini.

Wei Feng, pemain nombor 14 dunia akan mengepalai cabaran di kejohanan yang menawarkan wang hadiah AS$120,000 (RM384,000) yang turut membariskan pemain dari Indonesia, Singapura, Jepun, Thailand, Amerika Syarikat, Hong Kong dan India.

Pengurus Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ahmad Idris berkata berikutan keputusan Chong Wei untuk memberi fokus hanya terhadap kejohanan besar, Wei Feng, 27, ditugaskan untuk membawa cabaran negara dalam cabaran peringkat tempatan.

Selain Wei Feng, pemain seperti Alamsyah Yunus dan Simon Santoso dari Indonesia serta pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk akan menjadi pemain yang perlu diberikan perhatian.

Cabaran acara beregu lelaki negara pula akan dipikul pasangan baru Tan Boon Heong-Ow Yao Han tetapi Malaysia tidak akan menurunkan pemain perseorangan wanita kerana terbabit dalam persediaan untuk menghadapi Terbuka India dan Piala Uber.

Seramai 293 pemain daripada 16 negara bersaing dalam yang akan berakhir 30 Mac ini.

"Kejohanan ini bertujuan memberi peluang kepada pemain yang tidak dapat menyertai Kejohanan Siri Super, bersaing di peringkat antarabangsa," kata Ahmad pada sidang media di Hotel Selesa di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Johor (PBJ Muhammad Fadhil Samihan dan Bendahari Kehormat Shahril Basir.

"Tiada bayaran masuk dikenakan pada hari pertama kejohanan, namun penonton dikehendaki membeli tiket pada harga RM10 untuk hari berikutnya," katanya.

Tiket untuk perlawanan akhir boleh didapati dengan harga RM20 dan mereka yang ingin mendapatkannya boleh menghubungi Norliza di talian 012-7332005.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Pandelela belum puas hati

Posted: 24 Mar 2014 11:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua pingat perak yang dirangkul menerusi acara kegemaran tidak menggambarkan kemampuannya untuk menandingi kehebatan penerjun dari Tembok Besar China.

Hakikat itu diakui penerjun terbaik negara, Pandelela Rinong selepas tamatnya siri kedua Kejohanan Terjun Dunia di Dubai, minggu lalu.

Bagi Pandelela banyak yang perlu diperbaiki dan buat masa ini, jurang antara dirinya dan pemenang pingat emas Olimpik, Liu Huixia dalam acara kegemaran 10 meter platform masih jauh.

Namun dengan sikap yang sentiasa positif, Pandelela yakin segala usahanya satu hari nanti pasti akan membuahkan kejayaan biarpun mengakui ia bukanlah mudah.

Bagi atlet kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu, dia cukup gembira dan boleh berpuas hati dengan tiga perak dan satu gangsa setakat ini selepas tamatnya kejohanan di Dubai.

"Keputusan di Dubai sudah cukup membuatkan saya gembira, tapi saya yakin terjunan masih boleh diperbaiki lagi.

"Latihan masih diteruskan di Malaysia dan hanya menunggu masa untuk menyertai siri ketiga di London selepas ini," katanya yang kini menduduki ranking kedua keseluruhan dengan 32 mata, empat mata di belakang Huixia yang meraih kutipan 38 mata selepas tamat dua pusingan.

Mengulas mengenai peluangnya menjelang pusingan ketiga di London, Pandelela, pemenang pingat gangsa temasya Sukan Olimpik 2012 itu yang mendapat sentuhan daripada ketua jurulatih negara Yang Zhuliang, tidak meletakkan sasaran tinggi namun mensasarkan untuk meningkatkan prestasi dan fokus terhadap terjunan dari masa ke semasa.

Pada aksi di Dubai, Pandelela mengumpul 358.75 mata ketika Huixia meraih 400.70 mata daripada lima terjunan untuk meraih emas manakala tempat ketiga milik penerjun Kanada, Roseline Filion, 355.20 mata.

Selepas aksi Pusat Akuatik London pada 25 hingga 27 April ini, skuad penerjun negara akan ke Moscow, Russia (2-4 Mei), Windsor, Kanada (30 Mei-1 Jun) dan Monterrey, Mexico (6-8 Jun).

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Gavin sasar kedudukan terbaik

Posted: 24 Mar 2014 11:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain amatur handalan Malaysia Gavin Kyle Green tekad meraih kedudukan membanggakan pada kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank 2014 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KGCC), 17 hingga 20 April.

Penuntut University of New Mexico di Amerika berusia 20 tahun itu berkongsi tempat ke-22 untuk menjadi pemain amatur dan terbaik Malaysia dalam edisi 2013 yang diadakan di gelanggang sama.

"Pencapaian saya pada tahun lalu di luar jangkaan dan tidak akan lalai kerananya.

Pastinya, saya ingin mencapai keputusan lebih baik tahun ini dan memberi komitmen penuh.

"Walaupun ia bukan mudah, saya mahu berfikir secara positif.

Saya yakin semua pemain golf Malaysia berazam beraksi cemerlang di tempat sendiri," katanya dalam kenyataan dikeluarkan penganjur kejohanan itu, semalam.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor pula gembira dengan kesan positif daripada kejohanan ini terhadap sukan dan berharap lebih banyak pemain tempatan mencapai keputusan baik tahun ini.

"Untuk muncul yang terbaik, seseorang itu perlu bersaing dengan terbaik juga.


Sejak beberapa tahun lalu, beberapa pemain handalan dunia menyertai Terbuka Malaysia Maybank dan ini memberi peluang kepada pemain tempatan meningkatkan permainan mereka.

"Nicholas Fung antara 30 pemain terbaik siri Jelajah Asia manakala Gavin menduduki tempat ke-24 dalam kelompok pemain amatur dunia.


Kami di MGA berharap lebih ramai pemain dapat memberi saingan hebat tahun ini," katanya.

Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor pula berkata, pemain tempatan yang layak bermain dalam kejohanan ini perlu membuktikan kehebatan apabila menentang pemain handalan dunia.

Antara pemain terkemuka menyertai kejohanan tahun ini, juara dua kali Thongchai Jaidee dari Thailand, Lee Westwood (United Kingdom), Louis Oosthuizen (Afrika Selatan) dan juara 2011, Matteo Manassero (Itali).

Gavin akan diiringi tiga lagi pemain amatur tempatan, Ervin Chang, Solomon Emilio Rosidin dan Mohamad Wafiyuddin Abdul Manaf, manakala 19 pemain tempatan lain yang menempah tempat secara merit juga akan beraksi pada kejohanan itu.

Mereka ialah Nicholas Fung, Danny Chia, Shaaban Hussin, Ian Steel, S Murthy, S Siva Chandran, Rizal Amin, Airil Rizman, Sukree Othman, Iylia Jamil, Khor Kheng Hwai, Shaifubari Muda, R.

Nachimuthu, Arie Fauzi, Kemarol Baharin, Ben Leong, Wilson Choo dan Kenneth De Silva.

Terbuka Malaysia Maybank yang mendapat pengiktirafan Jelajah Eropah dan Jelajah Asia, menawarkan hadiah keseluruhan AS$2.75 juta (RM9.076 juta).

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Sukar tolak peluang

Posted: 24 Mar 2014 11:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Peluang yang diberikan sukar ditolak dua tekong berpengalaman, Noor Azman Abd Hamid dan Tunku Noor Azwari Tunku Ishak (gambar) untuk beraksi di Liga Takraw Thailand (TTL) bersama kelab Phrae Takraw Club musim ini.

Dua bekas tekong kebangsaan itu bersama kelab utara Thailand itu sejak dua minggu lalu sehingga tamat musim ini pada Julai nanti.

"Kami menyertai Phrae Takraw Club selepas dipilih jurulatih kelab ini dan akan berada di sana bersaing dalam TTL selama empat bulan.

Bagi saya ini peluang untuk memantapkan lagi corak servis dan permainan.

Walaupun baru dua perlawanan diharungi, tahap permainan di sini memang berbeza," kata Azman yang kali terakhir mewakili negara pada Sukan SEA Myanmar tahun lalu.

Malah kedua-duanya akan menjadi rakan sepasukan kepada dua pemain kebangsaan Thailand, Supachai Maneenat yang masih segar dengan kejayaan membantu negara Gajah Putih itu memenangi saingan akhir Siri Super ISTAF di Kuala Lumpur, baru-baru ini dan seorang lagi perejam Assadin Wongyota.

Pemain berusia 31 tahun itu serta Tunku Noor Azwari tiada dalam senarai pemain skuad elit negara kendalian Jamaluddin Hassan ketika ini.

"Terpulang kepada jurulatih menentukan sama ada kami layak untuk menyarung jersi negara selepas ini.

Foto


Kami hanya memberikan yang terbaik ketika ini," katanya.

Saingan TTL sememangnya diiktiraf terbaik apabila berjaya mengekalkan penguasaan Thailand sebagai gergasi sepak takraw dunia.

Malah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pernah berusaha menghantar pemain negara beraksi di TTL tahun lalu bagi memberikan pendedahan terbaik kepada pemain namun menemui kegagalan apabila ada antaranya bertindak meninggalkan kelab diwakili dengan memberikan pelbagai alasan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Dhaarma puas hati

Posted: 24 Mar 2014 11:23 AM PDT

Ipoh: Pertaruhan yang cukup berbaloi.

Demikian rumusan ketua jurulatih skuad negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berikutan keputusan berisiko membariskan banyak muka baru pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, berakhir kelmarin.

Apa tidaknya, skuad dianggap berwajah baru itu menafikan keraguan banyak pihak apabila melangkah ke pentas final kejohanan jemputan yang memasuki edisi ke-23 itu, mengulangi pencapaian tahun lalu ketika pasukan itu rata-rata diperkuatkan dengan pemain utama negara.

Malah kejayaan melangkah ke final bertemu Australia kelmarin sebelum tewas 3-8 sesuatu yang di luar jangkaan Dhaarma sendiri yang sebelum bermulanya kejohanan itu secara terus terang lebih realistik mensasarkan tempat ketiga atau keempat saja mampu diraih skuad negara.

Meskipun tewas besar, Dhaarma mahu semua pihak membuat penilaian sendiri terhadap kemampuan muka barunya bertemu dengan pasukan ranking pertama dunia itu yang hampir 100 peratus dibarisi pemain yang akan diturunkan ketika Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei ini.

"Memang kita kalah 3-8 kepada Australia, tapi bagi saya tewas dengan bermaruah sebab kami memberi tentangan sengit.

Mereka banyak menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti kerana Australia sememangnya mempunyai pakar pukulan itu yang dianggap terbaik di dunia.

"Saya memberi peluang kepada pemain muda di kejohanan ini bagi membolehkan mereka menjadi lebih kuat dari segi mental dan fizikal dan cuba bersaing merebut tempat dengan pemain senior.

"Barisan pemain muda ini sudah membuktikan kepada saya bahawa mereka berhak berada dalam pasukan ini tapi perlu bersaing dengan senior pada kejohanan akan datang," katanya.

Mengulas saingan selepas ini iaitu Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bulan depan, Dhaarma berkata, beliau mungkin kembali meletakkan keutamaan kepada pemain senior tetapi tidak menolak memberi peluang sekali lagi kepada muka baru.

"Saya mahu membentuk pasukan terkuat di Cabaran Juara-Juara 1 dan atas faktor itu, saya hanya akan memilih yang terbaik.

"Tidak kira sama ada senior atau junior, mereka hanya perlu membuktikan mereka layak beraksi di kejohanan itu dan seterusnya di Piala Dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Dua legenda kendali klinik ragbi remaja

Posted: 24 Mar 2014 11:19 AM PDT

Petaling Jaya: Dua legenda ragbi - bekas kapten All Blacks, Sean Fitzpatrick dan bekas pemain Afrika Selatan 1980-an, Morne du Plessis mengendalikan klinik ragbi untuk pelajar di sekitar Lembah Klang, semalam.

Klinik 30 minit anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) di Dataran Petaling Jaya itu dihadiri lebih 100 pelajar berusia antara 12 hingga 19 tahun yang diajar kemahiran asas permainan ragbi.

Bercakap kepada pemberita selepas klinik itu, Fitzpatrick yang juga Naib Pengerusi Laureus Sport for Good Foundation amat teruja apabila melihat minat mendalam dipamerkan pelajar berkenaan sepanjang klinik itu diadakan.

"Perkara yang saya suka mengenai pemain muda ini mereka begitu gembira sepanjang sesi.

Kanak-kanak memang perlu mula bermain ragbi sejak kecil lagi," katanya.

Sentimen Fitzpatrick itu dikongsi Du Plessis apabila legenda berkenaan berkata, beliau kagum dengan minat yang ditunjukkan peserta.

"Apa yang saya dapati daripada klinik ragbi selama 30 minit tadi ialah minat mendalam yang ditunjukkan kanak-kanak, terutama keseronokan mereka dan saya berpendapat mereka boleh menjadi pemain ragbi yang baik pada masa akan datang," kata Du Plessis, yang juga Pengerusi Laureus Afrika Selatan.

Dua legenda itu berada di Malaysia untuk menghadiri majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 yang akan berlangsung di Istana Budaya, esok.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

'Semua pemimpin bola ada kontroversi'

Posted: 24 Mar 2014 11:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Tan Sri Annuar Musa berpendapat kontroversi membabitkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan alasan untuk tidak diberikan peluang memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas Timbalan Presiden FAM itu berkata, 39 anggota perwakilan FAM yang diberikan mandat untuk memilih calon pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM pada 25 Mei ini perlu membuat pilihan tepat bagi penggal baru pentadbiran badan induk itu.

"Saya melihat TMJ (Tunku Mahkota Johor) antara presiden yang sangat komited, lihat saja apa yang beliau lakukan di Johor.

Ada orang mempersoalkan mengenai usia muda beliau dan kontroversi yang berlaku namun pada saya itu tidak boleh dijadikan alasan kerana semua pemimpin bola sepak di dunia ada kontroversi tersendiri, termasuk saya, Presiden FIFA Sepp Baltter dan Mohammed Hammam (bekas Presiden AFC).

"Semua pemimpin persatuan bola sepak di dunia ada kontroversi kerana bola sepak memang begitu dan itu bukan tanda individu berkenaan tidak ada kebolehan.

"Kita kena lihat rekod kerja mereka dan saya lihat Tunku Ismail memenuhi kriteria berkenaan," kata Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ketika ditemui pada satu majlis di ibu negara semalam.

Selepas tarikh tutup pencalonan semalam, nama Tunku Ismail selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), antara yang dipilih ahli gabungan FAM untuk bertanding merebut jawatan presiden selain penyandang Sultan Ahmad Shah serta anaknya Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah.

Sejak memimpin PBNJ banyak pembaharuan dilakukan Tunku Ismail dalam bola sepak di negeri Selatan tanah air itu namun pada Mac tahun lalu beliau juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila pernah digantung enam bulan serta denda RM18,000 atas kesalahan melanggar Artikel 88.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Pemain degil punca PKNS kecundang

Posted: 24 Mar 2014 11:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali PKNS FC, Wan Jamak Wan Hassan kecewa dengan sikap segelintir pemainnya yang tidak mengikut perancangan hingga terpaksa tewas 1-2 kepada LionsXII di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.

Menurut Wan Jamak, walaupun anak buahnya menguasai sebahagian besar perlawanan dan mendahului tuan rumah di babak pertama, sikap sambil lewa beberapa pemain menjadi punca kepada dua jaringan mudah pihak lawan.

"Sebelum perlawanan, saya sering mengingatkan pemain agar berhati-hati dengan situasi bola mati kerana LionsXII dilihat begitu bahaya jika diberi peluang.

Selepas kita mendahului menerusi Nazmi Faiz (Mansor), saya minta mereka bermain lebih perlahan dengan mengurangkan asakan keras dalam kawasan sendiri bagi mengelakkan lawan mendapat sepakan percuma," katanya semalam.

"Tapi mereka dapat juga sepakan percuma dan akhirnya kami dihukum dengan gol bola mati.


Gol pertama LionsXII memberi tekanan kepada kami dan akhirnya, mereka dapat menjaringkan gol kemenangan.

"Saya harap dalam perlawanan akan datang bertemu Pahang di Selayang, pemain lebih fokus sepanjang 90 minit," katanya semalam.

Menurutnya, tumpuannya dalam latihan kini menjurus kepada mempertingkatkan tahap kecergasan pemain selepas ada sebilangan pemain tidak mencapai tahap dikehendaki.

"Dapat dilihat pada perlawanan di sana (Stadium Jalan Besar), ada beberapa pemain mengalami kekejangan otot.


Itu menunjukkan ada pemain tidak begitu cergas dan masalah seumpama itu harus cepat diperbaiki sebelum bertemu Pahang," katanya.

Dalam perlawanan itu, PKNS mendahului pada minit ke-31 namun LionsXII bangkit menyamakan kedudukan menerusi tendangan percuma Zulfahmi Arifin dari luar kotak penalti tiga minit sebelum masa rehat.

Faris Ramli muncul wira pasukannya apabila mudah menyempurnakan umpanan Khairul Amri pada minit ke-59 untuk tuan rumah menang 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Kecederaan faktor pindah

Posted: 24 Mar 2014 11:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor mengakui kecederaan teruk menjadi faktor terpaksa menamatkan kontrak lebih awal dengan kelab Jepun FC Ryukyu dan membangunkan semula kariernya bersama Kelantan.

Biarpun sedar tindakannya menandatangani kontrak tiga tahun bersama The Red Warriors mengundang kritikan ramai pihak namun pemain berusia 23 tahun itu yakin keputusan berkenaan yang terbaik buat dirinya ketika ini.

"Saya tahu ramai orang tidak berkenan dengan keputusan ini tapi saya rasa dengan situasi sekarang, lebih baik saya pulang dan menyertai Kelantan serta menjalani rawatan di sini.

Saya akan bermula dari tahap lebih bawah dulu sebab saya tidak mahu kecederaan ini berulangi," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman pemain baru Kelantan semalam.

Kenyataan itu mengesahkan laporan Arena Metro sebelum ini mengenai keputusan mengejut bekas pemain Harimau Muda A Wan Zack Haikal dengan menyertai Kelantan walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun bersama kelab divisyen tiga Jepun FC Ryukyu.

Antara individu yang kecewa dengan keputusan pemain sayap kebangsaan itu jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee apabila sebelum ini seorang lagi anak didiknya Muhammad Nazmi Faiz Mansor turut tidak bertahan lama di luar negara selepas menamatkan kontrak bersama kelab Portugal S.C Beira-Mar untuk menyarung jersi PKNS FC.

Menurut pemain kelahiran Maran, Pahang itu dia turut mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk Kim Swee sebelum mengambil keputusan itu dan percaya boleh kembali semula ke luar negara selepas ini.

"Memang saya ada berbincang dengan Datuk Ong Kim Swee dan beliau menasihatkan supaya memilih pasukan yang boleh membentuk saya menjadi pemain lebih baik.

Bagi saya kejayaan bermain di luar negara tidak terhenti apabila kita balik mewakili pasukan di Malaysia.

Foto

WAN Zack (tengah) berkenalan dengan pemain Kelantan.


Apabila kita berusaha gigih, kelab luar akan melihat potensi kita," katanya.

Walaupun Kelantan sudah boleh mendaftarkan Wan Zack Haikal bersama pasukan selepas tempoh perpindahan kedua pemain dibuka semula semalam, namun pemain itu hanya dijangka boleh beraksi Ogos ini bagi kempen Piala Malaysia apabila pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Dia jarang beraksi bersama FC Ryukyu selepas menandatangani kontrak pada Mac tahun lalu apabila mengalami dua kecederaan teruk di buku lali kanan pada April lalu dan ACL ketika sesi latihan pasukan, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

No comments:

Post a Comment