Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Tak bagi, aku bunuh'

Posted: 21 Mar 2014 11:33 AM PDT

Shah Alam: "Tak bagi kunci, aku bunuh anak lu (kau)." Itu ugutan diterima mangsa cubaan rompakan kereta, seorang wanita berusia 34 tahun, apabila enggan menyerahkan kunci kenderaan pacuan empat roda model Toyota Hilux kepada seorang penjenayah.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin, mangsa dikatakan baru selesai membeli barang keperluan di sebuah kedai serbaneka berhampiran Taman Anggerik, Kota Kemuning di sini.

Mangsa bagaimanapun mendakwa terkejut apabila disergah seorang lelaki yang tiba-tiba muncul sebelum mengacukan parang.

"Saya yang baru menghantar anak sulung ke Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Rimau, di sini, menyedari diekori sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam sebelum itu.

Foto

MANGSA melakonkan detik cemas ketika adegan tarik-menarik anaknya dengan suspek.

Foto

KECEDERAAN kecil dialami anak mangsa akibat terkena parang.


"Selepas selesai membeli barang, saya meletakkan anak perempuan berusia tiga tahun di tempat duduk belakang, Namun seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba menengking dan mengarahkan saya menyerahkan kunci kepadanya," katanya.


Dia tambah panik apabila suspek merentap anaknya sebelum mengacukan parang.

"Saya cuba sedaya upaya untuk menarik tubuh anak saya, yang ketika itu menangis ketakutan. Namun penjenayah enggan melepaskan cengkaman dan mengugut mahu membunuhnya.

"Saya turut menjerit sekuat hati dengan harapan ada individu yang melihat insiden itu dan menolong. Malah, saya menyebut Allah SWT berulang kali," katanya.

Menurutnya penjenayah akhirnya melepaskan tubuh anaknya selepas mereka tarik-menarik lebih 10 minit sebelum melarikan diri.

"Mujur anak perempuan saya hanya mengalami luka kecil di kakinya kerana terkena parang," katanya.

Dia kemudian bergegas mendukung anaknya itu sebelum lari ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk mencari perlindungan.

"Suami yang datang membantu kemudian membawa saya membuat laporan di Balai Polis Shah Alam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397, Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Premis mewah sedia 'model' diserbu

Posted: 21 Mar 2014 11:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Sebuah pusat hiburan elit di Jalan Imbi, di sini, dikesan menjadi tumpuan golongan kenamaan dan ahli perniagaan berikutan menawarkan deretan pelayan pelanggan (GRO) tempatan dan warga asing persis model.

Berdasarkan siasatan polis, kumpulan GRO terbabit mengenakan bayaran RM500 kepada pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks di dalam premis itu manakala bayaran ribuan ringgit ditetapkan kepada pelanggan yang berhasrat membawa mereka pulang.

Kegiatan maksiat itu dibongkar sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Asisten Komisioner Lim Kim Fook yang melakukan serbuan mengejut jam 1 pagi semalam.

Dalam operasi 'Ops Noda' itu, 33 GRO termasuk lapan wanita asing berpakaian seksi didapati melayan pelanggan sebaik premis itu diserbu.

Foto

ANTARA wanita warga asing ditahan ketika serbuan di pusat hiburan elit, semalam.


Lim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.


"Ketika serbuan dilakukan, lebih 30 pelanggan lelaki berada di dalam premis dengan ditemani wanita GRO berusia lingkungan 20-an di ruangan tempat duduk masing-masing.

"Pemeriksaan lanjut mendapati 25 wanita GRO diberkas adalah warga tempatan manakala lapan lagi wanita warga China, Kemboja, Indonesia dan Vietnam," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi itu.

Menurutnya, semua wanita warga asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk melakukan kerja maksiat.

"Semua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan susulan.

Harian Metro difahamkan, pusat hiburan mewah itu beroperasi sejak 10 tahun lalu dan pernah diserbu polis sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Amuk bunuh isteri

Posted: 21 Mar 2014 11:27 AM PDT

Betong: Akibat mabuk, seorang lelaki hilang pertimbangan lalu menetak isterinya sehingga mati menggunakan senjata tajam dalam kejadian amuk di sebuah kebun lada berdekatan Rumah Panjang Ringkai Kerapa, Spak, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Wan Zaizodin Wan Jaafar berkata, mangsa Lenjai Uli, 40, maut akibat parah di kepala akibat dibunuh suaminya, Tuan Jilom, 42.

"Polis menerima laporan kejadian itu jam 10.05 pagi kelmarin di Balai Polis Betong. Sepasukan anggota polis dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bergegas ke lokasi kejadian.

"Difahamkan, kejadian berlaku jam 9.50 pagi sebelum itu dan dikatakan bermula akibat pertengkaran pasangan suami isteri berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Wan Zaizodin berkata, siasatan awal mendapati lima kesan tetakan di kepala dan badan mangsa.


"Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Pasangan suami isteri yang mempunyai dua orang anak itu dipercayai bertengkar akibat salah faham.

Bagaimanapun, suspek yang dalam keadaan mabuk tiba-tiba mengamuk dan membunuh isterinya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Mati 2 hari tak makan, minum

Posted: 21 Mar 2014 11:26 AM PDT

Tawau: Seorang lelaki yang ditemui terperangkap dalam kenderaan akibat kemalangan Selasa lalu, meninggal dunia selepas dipercayai mengalami penyahidratan kerana tidak makan dan minum selama dua hari di Batu 35, Jalan Kalabakan, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Andrew Garcia De Chavez, 57, dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tawau melalui Jalan Keningau-Kalabakan bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai terbabas.

Difahamkan, mangsa hanya ditemui selepas dua hari oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, hasil keterangan daripada adik mangsa Charles Garcia yang ditemui di hospital terbabit berkata, mangsa bekerja di Yayasan Sabah dan memandu kenderaannya bersendirian dari Kota Kinabalu ke Tawau untuk menghadiri mesyuarat.


"Mangsa bertolak pada Selasa lalu jam 12 tengah hari dan sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa terbabas sendiri dan masuk ke kawasan semak di tepi jalan.


"Mangsa terperangkap di dalam jip yang dipandunya dan hanya ditemui orang ramai selepas dua hari, jam 11.30 pagi," katanya.

Menurut Awang Besar, ketika ditemui, mangsa masih hidup sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Pura-pura disamun

Posted: 21 Mar 2014 11:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Niat murni seorang remaja lelaki berusia 17 tahun membantu seorang 'mangsa' samun menyebabkan dia kerugian lebih RM3,000 apabila motosikal miliknya dilarikan penjenayah yang berpura-pura meminta bantuan.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari kelmarin, mangsa dikatakan terserempak seorang lelaki berusia 30-an ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya berhampiran Jalan Jinjang, di sini, kelmarin.

Sumber polis berkata, suspek dikatakan bertindak menahan motosikal ditunggang mangsa dengan mendakwa dia baru disamun.

"Suspek kemudian meminta pertolongan mangsa supaya menghantarnya pulang ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa yang percaya dengan dakwaan suspek kemudian mempelawa lelaki terbabit menaiki motosikalnya.

"Ketika dalam perjalanan, suspek tiba-tiba meminta mangsa menghentikan motosikal di bahu jalan.

Suspek kemudian bertindak menolak mangsa secara mendadak dan melarikan motosikal berkenaan.

"Mangsa cuba mengejar suspek, namun usahanya gagal.

Mangsa yang dibantu orang awam kemudian dibawa ke Balai Polis Jinjang di sini, untuk membuat laporan," katanya.

Harian Metro difahamkan, remaja terbabit mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat ditolak penjenayah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi, mengesahkan menerima laporan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

No comments:

Post a Comment