Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Anak anjing RM6 juta

Posted: 19 Mar 2014 03:05 PM PDT

Zhenjiang: Seekor anak anjing baka Tibetan Mastiff dilapor dijual pada harga RM6 juta semalam, menjadikannya anjing peliharaan paling mahal pernah dijual.

Seorang pemaju hartanah membayar 12 juta yuan (RM6 juta) untuk membeli seekor anak anjing berusia setahun itu di pameran 'Haiwan Peliharaan Mewah' di wilayah Zhenjiang, lapor akhbar Qianjiang Evening.


"Haiwan itu mempunyai genetik singa dan ia baka Mastiff paling baik," kata pembiak baka berkenaan, Zhang Gengyun.

Dia juga memberitahu seekor lagi anjing dari baka sama dijual pada harga RM3.1 juta.


Dengan bulu yang banyak sekitar kepala menjadikannya kelihatan seperti singa dan haiwan itu menjadi simbol kemewahan di China.


Haiwan dengan bulu keemasan ini mempunyai ketinggian 80 sentimeter dan berat 90 kilogram.

Foto

SEORANG lelaki bergambar dengan anjing dari baka Tibetan Mastiff selepas ia dijual di pameran haiwan peliharaan mewah di Zhenjiang.

"Baka Tibetan Mastiff sangat jarang ditemui, sama seperti haiwan kebanggaan negara ini, panda, menyebabkan harganya tinggi," katanya.


Rekod jualan anjing dari baka berkenaan sebelum ini ialah RM5.2 juta. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

'Saya ada bom dalam dubur'

Posted: 19 Mar 2014 11:45 AM PDT

Beijing: Seorang penumpang yang 'mengejar masa' di lapangan terbang antarabangsa di sini ditahan selama lima hari selepas dia memberitahu pegawai dia mempunyai bom di di dalam duburnya.

Lelaki itu merungut apabila pemeriksaan keselamatan yang dijalankan ke atasnya memakan masa yang lama sebelum berkata: "Nak saya buka seluar juga? Saya ada bom dalam dubur saya." Seorang pegawai keselamatan meminta lelaki itu mengulangi apa yang dikatakannya dan apabila dia melakukan demikian, semua yang berada di situ cemas. Ia mungkin menggelikan hati, tetapi dengan situasi pesawat Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dan masih belum ditemui hingga ke hari ini, perbuatan lelaki terbabit dianggap serius.


Perbuatannya itu mencetuskan kekecohan apabila orang ramai diminta mengosongkan kawasan berkenaan dan menyebabkan dia ditahan di pusat tahanan lapangan terbang berkenaan. Pemeriksaan teliti dijalankan ke atasnya sebelum pihak berkuasa mengesahkan dia bukan pengganas tetapi penumpang yang "cerewet" Menurut laporan media tempatan, lelaki itu memberitahu dia marah kerana menganggap pemeriksaan keselamatan hanya membuang masa dan tidak menyangka perbuatannya boleh mencetuskan kekecohan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

Merayu masuk penjara

Posted: 19 Mar 2014 11:44 AM PDT

Shropshire (England): Seorang penagih dadah sanggup menghubungi polis dan merayu supaya dimasukkan ke penjara kerana bosan hidup di bandar Stretton di sini.

Lee Andrew Price, 30, memberitahu polis dia bosan hidup di tempat yang "entah di mana" dan bandar itu "terlalu asing untuknya".

Apabila diberitahu yang dia tidak boleh ditahan jika tidak melakukan kesalahan, Lee mencuri di kedai yang terletak berhampiran.

Dia mengekori seorang pengawal keselamatan mengelilingi kedai itu sebelum secara terang-terangan mencuri barangan bernilai RM696 dalam usaha membuatkan dirinya ditahan.


Dia kini dipenjara 12 minggu oleh Mahkamah Majistret Telford selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.


Peguamnya Dean Easthope, berkata Lee menagih dadah hampir seumur hidupnya dan sedang khayal ketika berkata dia sudah bosan hidup di bandar itu.

"Dia menghubungi polis dan meminta untuk dipenjarakan tetapi polis menyuruhnya melakukan kesalahan," kata peguam itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

Penghormatan akhir untuk peminat motor

Posted: 19 Mar 2014 11:43 AM PDT

Chester: Seorang peminat fanatik motosikal yang meninggal dunia akibat barah diusung ke kubur menggunakan kereta sisi.

Keranda Helen Hatfield itu kemudian diarak oleh beberapa rakannya yang menunggang motosikal Triumph dan Harley Davidson.

Helen meninggal dunia baru-baru ini selepas 12 tahun bertarung dengan barah payudara.

Wanita itu yang berasal dari Blacon, England mula meminati motosikal ketika berusia 14 tahun dan menulis artikel mengenai motosikal Triumph selama enam tahun untuk akhbar Sepanyol, Costa Blanca News bersama pasangannya Keith Lloyd.


Keith yang sudah bersama Helen selama 20 tahun berkata, ia penghormatan paling sesuai untuk wanita itu.


"Kami melihatnya di televisyen dan bersetuju ia idea yang baik," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

Phue Thai akan bantah

Posted: 19 Mar 2014 11:42 AM PDT

Bangkok: Menteri Kehakiman Thai semalam mempersoalkan kesahan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang boleh membawa kepada perisytiharan tidak sah pilihan raya 2 Februari lalu.

Parti Phue Thai yang memerintah Thailand dijangka memenangi pilihan raya itu.


Kes itu adalah antara yang boleh membawa kejatuhan kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Menteri Kehakiman Thai Pongthep Thepkanjana berkata, dia tidak melihat bagaimana pilihan raya berkenaan boleh diputuskan tidak mengikut perlembagaan.


Dalam taklimatnya kepada media, pegawai parti itu mengumumkan mereka akan menentang sebarang keputusan mahkamah yang mengisytiharkan pilihan raya berkenaan tidak sah walaupun mahkamah terbabit mempunyai kata muktamad mengenai hal ehwal perlembagaan.


Mahkamah berkenaan dijangka mengumumkan keputusannya Jumaat ini.

Pilihan raya itu diganggu oleh penunjuk perasaan dan sebarang keputusan oleh mahkamah untuk menganggapnya tidak sah akan memburukkan lagi suasana politik Thai selepas tunjuk perasaan selama empat setengah bulan bertujuan menyingkir Yingluck.


Petisyen untuk mengharamkan pilihan raya berkenaan dikemukakan oleh Kittipong Kamolthamwong, profesor undang-undang di Universiti Thammasat, Bangkok.

Mahkamah itu menolak petisyen serupa yang dikemukakan Parti Demokrat bulan lalu.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, parti Puea Thai berkata, sebarang keputusan mengharamkan pilihan raya berkenaan akan membawa kesan amat buruk.


"Jika Mahkamah Perlembagaan memutuskan pilihan raya itu tidak sah, ia akan membawa kesan buruk kepada politik Thai pada masa depan kerana sekiranya parti itu tahu ia akan kalah, ia akan bertindak menghalang pilihan raya yang diadakan," menurut kenyataan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

'Ulama' rakam video porno ditahan

Posted: 19 Mar 2014 11:42 AM PDT

Bogor: Seorang lelaki yang didakwa ulama ditangkap atas tuduhan membuat rakaman video lucah bersama dua guru, berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun.

Saeful Sardi Jayadi, 44, menyerah diri kepada polis Sabtu lalu selepas video berkenaan mula beredar di Cisarua, selatan Jakarta.


Lelaki berkenaan akan dibicarakan menurut undang-undang antiporno.

Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam didunia, menguatkuasakan undang-undang ketat antiporno pada 2008.


Saeful dituduh membuat rakaman video enam minit itu di sebuah hotel pada 2011, kata Ketua Polis Bogor, Didik Purwanto.


"Dia menerbitkan video lucah itu untuk koleksi peribadi. Dia boleh dihukum penjara 12 tahun sekiranya didapati bersalah," kata Didik.

Rakaman berkenaan mula tersebar menerusi telefon bimbit di daerah itu baru-baru ini.


Saeful melarikan diri minggu lalu kerana mengelak daripada ditangkap tetapi kemudian menyerah diri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

Aburizal yakin boleh

Posted: 19 Mar 2014 11:41 AM PDT

Jakarta: Walaupun diminta menimbang semula keputusannya bertanding dalam pilihan raya presiden Julai ini, Pengerusi Parti Golkar Aburizal Bakrie enggan berganjak dan tetap meneruskan niatnya.

Malah, kata Aburizal, dia yakin walaupun bakal bersaing dengan calon pilihan Joko Widodo (Jokowi). "Strategi Parti Golkar tetap sama, tanpa mempedulikan jika Jokowi dicalonkan atau tidak.


"Mungkin Jokowi boleh menjadi calon naib presiden saya," katanya kepada media semalam.

Menjelang pemilu bulan depan, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menamakan Joko Widodo sebagai taruhan mereka untuk merebut jawatan presiden.


Pada masa sama Parti Golkar mengemukakan nama Aburizal sebagai calon parti berkenaan. Semalam Aburizal mempamerkan keyakinannya dalam percubaan merebut jawatan itu ketika bertemu ratusan penyokong di Pusat Sukan Ciracas di Jakarta Timur. Namun stadium itu sebenarnya mampu memuatkan sehingga 5,000 orang.


Turut muncul di pentas bersama Aburizal ialah Ketua Majlis Penasihat Parti Golkar, Akbar Tandjung yang sebelum ini meminta pemimpin parti berkenaan menimbang semula pelan strategi mereka. Justeru, hubungan dingin antara Aburizal - Akbar jelas dilihat umum. Baru-baru ini Akbar menyatakan dia bersedia menjadi calon naib presiden tokoh lain dan bergandingan dengan mana-mana individu yang "bersih." "Saya mempunyai pengalaman mencukupi sama ada dalam kerajaan, politik dan parlimen.

"Jika itu membuatkan saya mampu menjadi calon naib presiden, saya bersedia," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

Calon PKS dipenjara enam tahun kerana beli undi

Posted: 19 Mar 2014 11:40 AM PDT

Lampung: Calon yang cuba merebut kerusi Dewan Perwakilan Daerah Lampung Barat dihukum penjara enam bulan selepas didapati membeli undi ketika berkempen.

Ketua Badan Pengawas Pemilu Lampung, Nazaruddin berkata, calon itu mewakili Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan hanya satu daripada 150 aduan kesalahan pemilu yang diadukan kepada agensi berkenaan. Kata Nazaruddin, calon terbabit mengumpulkan penduduk setempat untuk diberi kad kempen yang disertakan Rp50,000 (RM14.46).


"Perbuatan itu dikesan dan gambarnya sempat dirakam," katanya. Menyedari pemberian wang berkenaan dirakam, Nazaruddin berkata, calon terbabit meminta gambar berkenaan dipadam sebelum dia meninggalkan tempat kempen. Kes berkenaan kemudian dilaporkan kepada polis Lampung.

Nazaruddin berkata, mahkamah daerah mendapati calon terbabit bersalah dan dihukum penjara enam bulan dengan tempoh percubaan selama empat bulan. "Dia mungkin memenangi kerusi Lampung Barat nanti tetapi ia tidak bermakna apa-apa kerana tidak boleh mengangkat sumpah," katanya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

Prestasi Gabenor Jakarta modal politik PAN

Posted: 19 Mar 2014 11:40 AM PDT

Jakarta: Ketika nama Joko Widodo (Jokowi) terus menjadi perhatian ramai, pesaingnya dari parti lain mula melancarkan serangan dengan mempertikai prestasinya sebagai gabenor.

Ketua Majlis Penasihat Parti Amanat Nasional (PAN), A M Fatwa misalnya, mendakwa semua janji Jokowi ketika berkempen merebut jawatan gabenor sebelum ini dibuat sekadar untuk menaikkan imejnya. "Ada kira-kira 19 janji tetapi kita kini boleh lihat kebanyakannya cuba cubaan menaikkan imej Jokowi.


"Dia cuma merasmikan banyak projek besar dan membiarkan ia diteruskan begitu saja.

"Apa yang dilakukannya agak aneh," katanya.


A M Fatwa adalah antara tokoh yang menyokong Jokowi ketika tokoh terbabit bersaing merebut jawatan Gabenor Jakarta kira-kira setahun lalu. Seorang lagi pemimpin PAN, Didik J Rachbini menyokong dakwaan A M Fatwa.


"Dengan struktur media, termasuk kebebasan dan demokrasi, seseorang tokoh boleh ditampilkan dengan cara positif dan menarik perhatian ramai," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

Ahmad Dhani jurukempen PKB

Posted: 19 Mar 2014 11:39 AM PDT

Jakarta: Pemuzik dan penyanyi terkenal Ahmad Dhani menyertai kempen pemilu kali ini dengan mengajar rakyat Indonesia menyokong Partai Kebangkitan Bangsa (PKB).

Demi menarik perhatian pengundi, Ahmad Dhani juga mengajak artis yang bernaung di bawah syarikatnya, Republik Cinta Management (RCM), untuk menyertai kempen berkenaan.


Ketua Pusat Media PKB, Arief Susanto berkata, penyanyi kumpulan Dewa 19 itu sendiri menawarkan diri menjadi juru kempen parti berkenaan. "Ahmad Dhani penyokong Gus Dur (bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid) dan dia ingin membantu PKB dalam kempen pemilu kali ini dengan membawa artis yang bernaung dengan RCM," katanya. Menurut Arief, antara fokus utama kempen Ahmad Dhani ialah mengajak generasi muda agar ikut memilih dan mengurangkan "golongan putih" - merujuk kepada rakyat yang enggan menyertai pemilu. Seorang lagi artis yang berkempen untuk PKB ialah Raja Dangdut, Rhoma Irama dan kumpulan Soneta. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/20

No comments:

Post a Comment