Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


20,000 tiket habis tak sampai 3 jam

Posted: 28 Jun 2013 09:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Sebanyak 20,000 tiket menyaksikan perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil habis 'disambar' peminat dalam tempoh tidak sampai tiga jam, semalam.

Jualan tiket terbabit sebahagian tiket diperuntukkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat peminat Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Kuala Lumpur.


Dalam tinjauan Arena Metro semalam, suasana di depan empat kaunter tiket sedikit tegang apabila diserbu ribuan penyokong sebaik kaunter mula dibuka jam 9 pagi, hingga jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, masih terdapat lebih 2,000 penyokong kedua-dua pasukan menunggu sehingga jam 1 petang dengan harapan mendapat tiket tambahan, pulang hampa.


Ada antara mereka berkampung di luar stadium sejak jam 2 pagi beratur panjang hampir 500 meter untuk memastikan tidak terlepas mendapat tiket. Meskipun terdapat sedikit kekecohan dan berlaku tolak-menolak sewaktu beratur membeli tiket namun kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis menghalang sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Malah, ada beberapa penyokong hilang sabar turut memanjat pagar penghalang masuk ke stadium dalam cubaan mendapatkan tiket.


Tinjauan juga mendapati kehadiran beberapa ulat tiket mengambil kesempatan menjual tinggi pada harga lebih tinggi. Ulat tiket terbabit menawarkan tiket pada harga RM80, RM100 dan RM150 berbanding harga asal RM40.

Foto

PEMINAT bola sepak gembira selepas peroleh tiket final.

Seorang peminat, Fauzi Nawi dari Kota Bharu berkata, dia terkilan kerana tidak mendapat tiket perlawanan itu walaupun menunggu dari jam 6 pagi.


"Saya mahu membeli tiket tetapi diberitahu tiket sudah kehabisan. Ada seseorang cuba menjual tiket berharga RM150! kepada saya tetapi membuat keputusan melihat final menerusi televisyen di rumah saudara di Puchong. Saya tidak mampu mendapatkan dua tiket ditawarkan ulat terbabit kerana harganya melambung lebih tinggi daripada harga asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Piya seru rakan bersemangat

Posted: 28 Jun 2013 09:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Kapten skuad Kelantan Mohd Badhri Radzi menggesa rakan sepasukan supaya memberikan aksi terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA sebagai tanda membalas pengorbanan yang dilakukan penyokong setia The Red Warriors.

Menurut pemain perancang berusia 31 tahun itu, sokongan penyokong yang tidak berbelah bahagi sehingga sanggup berbelanja lebih untuk membeli tiket dan menempuh perjalanan jauh dari Kelantan ke Stadium Nasional Bukit Jalil wajar dijadikan pencetus semangat pemain.


"Saya bangga dengan semangat penyokong yang bersungguh-sungguh mendapatkan tiket dengan harga yang mahal (daripada ulat tiket) demi memberi sokongan kepada pasukan Kelantan. Ada juga sampai bergaduh untuk mendapatkan tiket, jadi ini sesuatu sokongan yang luar biasa.

"Jadi, kejuaraan Piala FA amat penting sebagai membalas segala pengorbanan dan kesetiaan penyokong kepada pasukan Kelantan," katanya yang ditemui Arena Metro sebelum sesi latihan rasmi semalam.


Kekecohan berlaku sebelum ini apabila penyokong Kelantan gagal membeli tiket apabila jualan dibuka di kaunter Stadium Sultan Muhammad IV Selasa lalu sehingga mendorong penyokong memecahkan pintu utama dan mengejar penjual tiket ke di dalam stadium.


Kerana terpaksa, penyokong Kelantan sanggup membeli tiket dengan harga sehingga RM80 sekeping berbanding harga asal RM40 daripada ulat tiket semata-mata ingin menyaksikan secara langsung pasukan kesayangan mereka beraksi menentang Johor Darul Takzim (DT) pada aksi final Piala FA malam ini.

Badhri yang turut mesra dengan panggilan Piya yakin mereka boleh mengekalkan kejuaraan biarpun menyedari pasukan lawan turut berhajat besar untuk melakar sejarah selaku kelab pertama memenangi Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Pasukan belanja mewah lebih tertekan: Hodak

Posted: 28 Jun 2013 09:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Kelantan Bojan Hodak seperti mahu menambah bahang kehangatan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini dengan menyatakan Johor Darul Takzim (DT) yang berbelanja mewah musim ini lebih tertekan dalam merebut kejuaraan itu.

"Kami tidak tertekan, tekanan pasti kepada pasukan yang berbelanja besar. Johor DT lebih tertekan kerana mereka perlu menang sesuatu musim ini," kata pengendali kelahiran Croatia itu sebelum sesi latihan rasmi semalam.


Kata-kata Hodak itu juga mungkin bakal memanaskan lagi persengketaan selepas Johor DT yang dilabel sebagai Manchester City Malaysia kerana membuat pelaburan besar membentuk pasukan berjaya memancing dua ayam tambatan Kelantan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Nurul Azwan Roya.

Namun Hodak sebenarnya tidak boleh menolak kenyataan bahawa kejuaraan Piala FA ini amat penting untuk dipertahankan bagi menempah slot ke Piala AFC musim depan selepas mereka terlepas gelaran Liga Super yang dimenangi tahun lalu.


Dan bagi merealisasikan impian, beliau tahu apa yang perlu dilakukan anak buahnya untuk memerangkap pasukan Harimau Selatan yang dibimbing Fandi Ahmad.


"Saya tahu kelemahan Johor DT dan saya sudah bersedia dengan strategi terbaik, tapi apa yang akan kami lakukan esok (hari ini), saya tidak boleh dedahkan," katanya yang menyaksikan pasukannya menewaskan Sime Darby 1-0 di pentas final tahun lalu.

Bagaimanapun rekod pertemuan Kelantan dan Johor DT tahun ini tidak memihak kepada mereka apabila hanya seri 1-1 di Kota Bharu sebelum tumpas 0-2 di Johor Baharu pada aksi Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Fandi yakin cipta kejutan

Posted: 28 Jun 2013 09:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (DT), Fandi Ahmad yakin anak-anak buahnya akan membuat kejutan mengatasi Kelantan pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Dalam nada serius, beliau hanya akan memilih pemain pemain benar-benar cergas dan memberikan komitmen 100 peratus menghadapi skuad The Red Warriors diletakkan selaku pilihan.


"Saya masih belum menyenaraikan kesebelasan terbaik untuk perlawanan esok (hari ini). Prestasi pemain akan dinilai pada sesi latihan hari ini (semalam).

"Bagi saya, ini final Piala FA adalah pertarungan dan komitmen 100 peratus menjadi keutamaan. Misi kami hadir ke Bukit Jalil adalah untuk bergelar juara. Kami akan membuat kejutan dan mempamer permainan menarik menentang Kelantan," katanya pada sidang media latihan dan perjumpaan pengurus pasukan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.


Johor DT melangkah ke final Piala FA untuk julung kali selepas mengatasi Pahang dengan agregat 2-2 pada separuh akhir. Johor DT mara sekalipun tewas perlawanan kedua 2-1 kepada skuad Tok Gajah tetapi mara dengan kelebihan gol di tempat lawan apabila menang perlawanan pertama 1-0 di tempat sendiri.


Fandi sempat berseloroh dengan wakil media apabila mengangkat dan menjulang piala itu untuk mengetahui 'berapa' berat piala yang menjadi rebutan itu.

Fandi berkata, malam ini akan dilalui dengan begitu bersejarah dalam kariernya sebagai pemain dan jurulatih kerana tidak pernah beraksi pada mana-mana final Piala FA sebelum ini.


"Zaman saya tiada pertandingan Piala FA kecuali Piala Malaysia dan Piala Liga. Ia satu pengalaman baru buat saya dan sudah tentu saya mahu pemain Johor DT menjadikan kejayaan itu hadiah terbaik kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ).

"Bagi saya, pasukan sekarang akan bangkit kembali seperti mana mereka mengharungi perlawanan sukar peringkat awal bermula daripada menentang Perak, Kedah, Selangor dan Pahang. Pasukan ini pasti sekali lagi akan mempamerkan kualiti sebenar dibuktikan sebelum ini dan menunjukkan kualiti tinggi mereka sebagai sebuah pasukan yang akan bangkit melawan.


"Tiada tempat untuk pemain sekadar memberikan komitmen 60-70 peratus. Kami bermain satu pasukan, prinsip pasukan serta disiplin diutamakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Kamarul ghairah julang piala

Posted: 28 Jun 2013 09:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Buat Kamarul Afiq Kamaruddin, kembali beraksi di tempat kelahirannya sudah cukup untuk memberi semangat kepadanya untuk beraksi penuh semangat pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Afiq yang beraksi bersama Sime Darby tahun lalu, mahu mencipta sejarah menjulang Piala FA selaku kapten bersama Johor Darul Takzim (DT).


"Matlamat utama saya sebagai kapten negeri, saya mahu menjulang Piala FA. Semangat saya begitu tinggi kerana bermain dengan diberi kepercayaan mengemudi kesebelasan utama.

"Mana-mana kapten pasti menjadi inspirasi kepada pemain dan mencipta sejarah mereka sendiri bersama pasukan disayangi. Pengalaman bermain di bawah kendalian jurulatih Fandi Ahmad musim ini menjadi satu perangsang terbaik malah sokongan tidak berbelah bagi peminat setiap kali kami beraksi benar-benar menyemarakkan semangat juang berpasukan," katanya.


Biarpun tidak dapat bergandingan di bahagian pertahanan bersama Aidil Zafuan yang digantung akibat menerima kad merah serta-merta di Singapura dan rayuan ditolak Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Afiq berkata, dia sedia mengekang asakan jentera serangan Kelantan diketuai kapten tengah berpengaruh, Badhri Radzi.


"Jurulatih (Fandi) ada memberitahu perlawanan akhir peluang terbaik mempamer prestasi terbaik selepas melepasi pelbagai ranjau empat terakhir.

"Saya berjanji akan memberikan prestasi 100 peratus. Meskipun Kelantan diletakkan pasukan pilihan, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk membalas kepercayaan semua pihak," katanya.


Johor DT dijangka hanya menyenaraikan kesebelasan utama pada sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Siapa saja pemain bergandingan di benteng terakhir tidak menjadi masalah kerana kami mahu menikmati perlawanan sebaik mungkin dan menghiburkan penyokong yang datang dari jauh ke sini (Bukit Jalil)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Conteng demi TRW

Posted: 28 Jun 2013 09:39 AM PDT

Kota Bharu: Demi menunjukkan sokongan kepada Kelantan, kira-kira 30 ahli Kelab Penyokong Peniaga Wakaf Che Yeh sanggup menconteng muka dengan tema warna The Red Warriors (TRW).

Ahli kelab, Nik Pahani Nik Lodin, 38 berkata, setiap kali Kelantan memasuki perlawanan akhir, ahli kelab tidak pernah ketinggalan menconteng muka sebagai simbolik sokongan kepada pasukan kesayangan.


Peniaga yang berasal dari Pasir Mas itu berkata, hari perlawanan yang dinantikan sudah tiba dan menaikkan semangat peniaga pasar berkenaan untuk memberi sokongan padu kepada Kelantan mempertahankan Piala FA.

"Tidak kira piala apa asalkan perlawanan akhir, peniaga di sini akan memeriahkan suasana dengan menconteng muka dengan warna merah dan putih sesuai dengan tema TRW sebagai tanda sokongan.


"Peniaga teruja menunggu hari perlawanan dan memberi sokongan padu kepada Kelantan. Kami harap Piala FA dapat dikekalkan di negeri ini lagi musim ini," katanya.


Seorang lagi ahli kelab, Yusnita Yunus, 30, berkata, sebagai tanda sokongan, dia membawa anak kembarnya, Farhan Alway, 11, dan Farah Alway, 11, untuk menyertai pesta conteng muka itu.

Peniaga kain yang berasal dari Tanah Merah itu berkata, dia tidak mahu ketinggalan merasai suasana meriah bersama anak kembarnya itu sempena perlawanan akhir Piala FA yang dinantikan seluruh penduduk negeri ini.


"Saya tidak mahu ketinggalan untuk memeriahkan suasana setiap kali Kelantan berjaya ke perlawanan akhir. Melalui cara ini kami boleh memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Teruja bawa kain rentang gergasi Apek

Posted: 28 Jun 2013 09:38 AM PDT

Kota Bharu: Kelab Pemilik Produa Viva Myvi Kelantan (VMG Group) teruja membawa 'kain rentang semangat gergasi' berukuran hampir 25 meter yang diberikan oleh penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat untuk digantung di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (DT), malam ini.

Setiausaha VMG Group, Nor Wan Azley Mohamed, 37, berkata, kain rentang bertulis 'This Is Pantai Timur Kekalkan Piala FA Di Bumi Kelantan' itu berikan Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek tiga hari lalu.


Katanya, kain rentang itu dibawa ketika konvoi 50 kenderaan dari ahli VMG Group yang bertolak semalam.

"Ini satu penghormatan besar daripada Apek kepada kami. Kami berjanji akan bawa dan menggantung kain rentang ini di dalam stadium supaya dapat dilihat pemain terutama Apek sendiri untuk menaikkan semangat pasukan Kelantan," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, semalam. Nor Wan Azley berharap penyokong Kelantan dapat memberi sokongan padu kepada pemain untuk menaikkan semangat mereka.


"Ini kali pertama kita menerima amanah daripada pemain. Jika tugas pemain adalah memastikan kemenangan, penyokong pula menjanjikan sokongan padu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Annuar tawar ganjaran wang

Posted: 28 Jun 2013 09:33 AM PDT

Kota Bharu: Tan Sri Annuar Musa menawarkan ganjaran wang tunai kepada sesiapa yang dapat membuktikan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terbabit dalam isu ulat tiket.

Menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya, Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa isu ulat tiket yang berlaku di Kota Bharu dipercayai berpunca daripada beberapa kumpulan yang membeli menerusi tempahan awal termasuk yang membayar selepas tarikh ditetapkan.


Katanya, kumpulan yang membuat membuat tempahan itu membabitkan penaja The Red Warrriors (TRW), persatuan bola sepak jajahan dan kelab penyokong.

"Saya baru diberitahu hal jual (jualan) tiket. Jawatankuasa tiket mengakui mereka terpaksa tunduk kepada tekanan group booking (tempahan berkumpulan) termasuk yang datang bayar selepas tempoh tempahan tutup.


"Ini termasuk penaja TRW, beberapa persatuan bola sepak jajahan, beberapa kelab penyokong yang semuanya mendakwa mereka sudah menyewa bas.


"(Sebanyak) 26,000 tiket dijual dan diedar di Kelantan dan 4000 di Kuala Lumpur (daripada 30,000 dibeli oleh KAFA). Kalau ada ulat (tiket) maka sumber inilah melepaskan tiket yang mereka beli...KAFA hanya ada enam orang staf (kakitangan), yang lain exco yang bekerja sukarela. "Sekiranya sesiapa ada maklumat staf/orang KAFA terbabit, sila buat laporan dan KAFA akan membayar hadiah wang tunai jika aduan itu benar," katanya. Menurut Annuar, beliau memohon hal penjualan tiket dan ulat tiket itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Setakat yang saya siasat, tiket tidak cukup kerana permohonan (membeli secara pukal). Kesilapan Jawatankuasa Tiket KAFA, (mereka) tidak bertegas dengan nasihat untuk 'reserve' (simpan) jumlah tertentu untuk jualan runcit. Kesulitan amatlah dikesali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Farid yakini peningkatan Modenas

Posted: 28 Jun 2013 09:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Mohd Farid Ahmad tidak sabar untuk turun beraksi pada saingan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak hujung minggu ini.

Semangat pelumba berusia 23 tahun itu membuak-buak selepas pasukannya, Modenas RS Motobert Racing meningkatkan prestasi jentera selepas menjalankan satu sesi ujian khas di Melaka, baru-baru ini.


Pada masa ini, Farid menduduki tangga ke-13 keseluruhan kategori CP115 dengan 17 mata.

Walaupun belum pernah menghabiskan perlumbaan di kalangan 10 terbaik, pelumba utama Modenas itu membuktikan dia cukup konsisten untuk menghabiskan tiga daripada empat pusingan lalu dengan mata kejuaraan.


"Sejak awal lagi, kami sedar musim ini agak sukar kerana berhadapan pelbagai isu di peringkat awal untuk mendapatkan pelarasan terbaik namun masalah ini memang dijangka kerana Modenas sudah dua tahun tidak terbabit dengan Cub Prix.


"Tambahan pula sepanjang tempoh tersebut, banyak perubahan teknologi berlaku dan kami juga kekurangan data," kata Farid.

Namun, mekanik pasukan tidak pernah berputus-asa dan mereka berjaya menemui pelarasan kompetitif ketika melakukan ujian jentera di Melaka.


Walaupun sedikit kurang berbanding pasukan utama, data yang diperoleh menunjukkan pasukan itu mampu merapatkan jurang masa dengan pesaing CP115.

Mengulas sasarannya pada perlumbaan hujung minggu ini, Farid berkata: "Selepas menguji sendiri jentera yang dilengkapi dengan alat ganti baru, saya meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan Teluk Intan di kalangan lima terbaik.


"Ini cara terbaik untuk saya memperbaiki kedudukan carta keseluruhan CP115 sebelum Kejuaraan berehat panjang bagi menghormati bulan Ramadan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Pakistan tak gentar

Posted: 28 Jun 2013 09:27 AM PDT

Johor Bahru: "Kami yakin menewaskan Malaysia." Demikian nada yakin pengendali skuad Pakistan Akhtar Rasool mengenai peluang anak buahnya berdepan skuad negara pada perlawanan pembuka tirai saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Kenyataan Akhtar itu seolah-olah melabel Malaysia bukanlah pencabar utama tapi turut berharap anak buahnya berjaga-jaga dengan setiap ancaman skuad bimbingan Paul Revington.


"Kami sudah tahu corak permainan Malaysia kerana sering bertemu dalam beberapa saingan utama, antaranya Cabaran Juara-Juara 1 serta kali terakhir pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

"Malaysia banyak menunjukkan peningkatan sejak ketibaan Revington tapi bagi saya peluang tetap sama rata antara kedua-dua pasukan," katanya selepas sesi latihan.


Akhtar juga menganggap mereka mempunyai kelebihan berbanding skuad negara kerana sembilan pemainnya pernah beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM).


"Mereka tahu cuaca dan suasana di Malaysia, begitu juga corak permainan setiap pemain tuan rumah. Semua faktor ini memberi kelebihan kepada kami." Antara pemain Pakistan yang beraksi di LHM adalah ketua pasukan Imran Butt bersama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) serta Shakeel Abasi.

Pakistan diundi bersama skuad negara dalam Kumpulan B yang turut disertai Afrika Selatan dan England.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

No comments:

Post a Comment