Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mandi buih awal pagi

Posted: 22 Jun 2013 08:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga pelajar perempuan yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sepatutnya memanfaatkan cuti hujung minggu mengulang kaji pelajaran, namun memilih untuk bermandi buih di sebuah premis di Lorong Yap Kwan Seng, di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, kelekaan tiga pelajar terbabit menari ghairah di dalam sebuah kolam disediakan penganjur membawa padah apabila mereka antara 47 yang ditahan dalam serbuan mengejut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi, JAWI yang menerima maklumat awam mengenai parti dinamakan Pesta Buih Artis Malaysia menyerbu premis yang dihadiri pelajar sekolah, pasangan gay dan kekasih dan beberapa individu dipercayai selebriti beragama Islam.


Pengarah Kanan Penguatkuasa JAWI Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, ketika serbuan, mereka asyik berpesta dan menari sambil mandi buih dengan berpakaian menjolok mata.

Menurutnya, hasil pemeriksaan 38 lelaki dan sembilan wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan.


"Serbuan dengan kerjasama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut menahan dua pemilik premis berkenaan yang bersubahat menggalakkan maksiat bagi membantu siasatan.


"Kami terlebih dulu membuat risikan selama 13 jam sebelum serbuan dijalankan dan mendapati premis terbabit dikunjungi ramai pengunjung beragama Islam," katanya.

Foto

PENGUNJUNG Islam yang ditahan ketika mandi buih.

Wan Jaafar berkata, pihaknya kecewa sejurus mendapati tiga pelajar sekolah turut terbabit dengan pesta buih yang bercampur lelaki dan perempuan.


"Kebanyakan mereka ditahan mengikut Seksyen 35 kerana menggalakkan maksiat dan ada pengunjung disiasat mengikut Seksyen 29 kerana berkelakuan kurang sopan.

"Mereka yang disabitkan kesalahan berkelakuan kurang sopan boleh didenda RM1,000 manakala Seksyen 35 boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan," katanya.


Beliau berkata, mandi-manda tidak menjadi masalah, namun pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dengan berpakaian menjolok mata salah di sisi agama.


Difahamkan, ketika serbuan beberapa selebriti dalam perjalanan ke premis terbabit, namun sejurus mengetahui operasi sedang dijalankan mereka berpatah balik.


Menurut sumber, pesta itu dianjurkan secara tertutup kepada kenalan dan pengunjung tetap yang mempunyai tiket khas.


"Pesta ini dianjurkan setahun dua kali iaitu pada Jun dan Disember," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Mayat lelaki di dalam semak

Posted: 22 Jun 2013 07:45 AM PDT

Petaling Jaya: Penduduk sebuah flat gempar apabila menemui mayat seorang lelaki di dalam semak berhampiran laluan pejalan kaki di Ara Damansara di sini, semalam.

Mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui kira-kira jam 9 pagi dengan beberapa kesan kecederaan di tangan dan belakang badannya.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9.15 pagi memaklumkan penemuan mayat lelaki dipercayai warga asing itu.

"Kita percaya mangsa diserang ketika dalam perjalanan pulang dari kedai ke kediamannya berdasarkan barangan yang ditemui di lokasi kejadian.


"Kita juga tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah dendam berdasarkan beberapa petunjuk yang ditemui di sekitar kawasan itun," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.


Menurut Arjunaidi, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Mati dihempap

Posted: 22 Jun 2013 07:45 AM PDT

Alor Gajah: Hasrat seorang peruncit menunaikan ibadah umrah bulan hadapan tidak kesampaian apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 211.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, lori dipandu mangsa, Abdul Bary K M Mohd Basir, 58, bersama dua kelindan hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan terbalik.


Dipercayai, lori membawa muatan bawang yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Ayer Keroh itu hilang kawalan selepas tayar belakang di sebelah kanannya pecah.

Menurut sumber rempuhan kuat pada penghadang jalan itu mengakibatkan lori berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terbalik dan terseret kira-kira 15 meter di lorong kecemasan.


"Kejadian menyebabkan separuh badan mangsa terkeluar melalui tingkap pemandu dan bahagian tepi kepalanya dihempap lori berkenaan. Mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Alor Gajah manakala dua kelindannya yang cedera ringan dibantu orang awam," katanya.


Dalam pada itu, anak sulung mangsa, Muhammad Muaz, 24, berkata segala persiapan untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan sudah dilakukan arwah dan dia dijangka pulang pada Aidilfitri.

"Saya ada menyatakan hasrat untuk pergi ke Pelabuhan Klang bagi mengambil bekalan bawang tetapi ayah tidak benarkan dan berkeras mahu pergi sendiri sebelum keluar dari rumah kira-kira jam 3 petang semalam (kelmarin).


"Saya tidak sangka, sikap ayah yang beriya mahu ke sana walaupun saya menawarkan diri adalah petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum bertolak ke Pelabuhan Klang, arwah sempat berpesan supaya menjaga perniagaan keluarga yang diusahakannya sejak sekian lama.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, lori dipandu mangsa hilang kawalan merempuh penghadang jalan sebelum terbabas lalu berpusing dan terbalik.


"Mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Cubaan penjenayah lari mesin ATM gagal

Posted: 22 Jun 2013 07:44 AM PDT

Muar: Sekumpulan penjenayah berputih mata apabila cubaan mereka untuk melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Bukit Pasir di sini, semalam gagal.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, penjenayah menggunakan sebuah pacuan empat roda untuk menarik keluar ATM berkenaan namun gagal kerana tali yang diikat pada mesin terbabit putus.


Kejadian juga disedari seorang peniaga gerai berhampiran yang terdengar bunyi kaca pecah disusuli deruman pacuan empat roda terbabit.

Peniaga makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Liza, 34, berkata, ketika kejadian dia sedang melakukan persiapan untuk membuka gerainya yang terletak kira-kira 150 meter daripada bank berkenaan.


"Selepas terdengar bunyi kaca pecah dan deruman enjin kenderaan, saya segera memaklumkannya kepada suami. Dari gerai saya dapat lihat sebuah pacuan empat roda sedang menarik ATM itu," katanya.


Menurut Liza, kejadian berlaku dengan pantas dan penjenayah kemudiannya melarikan diri ke arah Pagoh selepas gagal melakukannya.

"Ini kali pertama kejadian ini berlaku sejak tiga tahun kami berniaga di sini," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Tercampak sebelum digilis

Posted: 22 Jun 2013 07:44 AM PDT

Alor Setar: Seorang remaja berusia 19 tahun maut selepas mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu tercampak sebelum digilis sebuah bas persiaran di Jalan Tunku Ibrahim, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Andy Lo, 19, yang juga seorang anggota sukarelawan St John Ambulans meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala akibat digilis bas terbabit.


Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris sedang dalam perjalanan dari rumahnya yang terletak di Simpang Empat, dekat sini, menuju ke Jalan Putra untuk membuat tugasan selepas mendapat panggilan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Md Jan berkata, siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum dia merempuh pembahagi jalan lalu tercampak ke lorong kanan laluan berkenaan.


"Pada masa sama, sebuah bas persiaran yang sedang membawa 10 penumpang dari Seremban, Negeri Sembilan tidak sempat mengelak mangsa yang terbaring di atas jalan.


"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

No comments:

Post a Comment