Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Imbuhan KBS

Posted: 22 Jun 2013 07:02 AM PDT

Kota Bharu: Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan atau bantuan kerajaan secara terus kepada persatuan bola sepak negeri tanpa melalui mana-mana badan.

Menurut Annuar, ia langkah terbaik bagi memastikan bantuan terus sampai kepada persatuan bola sepak negeri.


Katanya, andai peruntukan sampai secara langsung dan mengikut kadar ditetapkan, ia membolehkan persatuan negeri membangunkan program bola sepak.

"Akibat peruntukan tidak diterima, kurang program pembangunan pemain muda sekali gus menjadi faktor utama bakat mereka tidak dapat dikembangkan.


"Saya yakin andai peruntukan kerajaan sampai terus kepada persatuan bola sepak negeri, kita boleh lakukan pembangunan dengan pesat terutama terhadap pemain muda," katanya pada sidang media selepas Majlis Meraikan Pemain Belia Kelantan yang berjaya menjadi naib juara dalam kejohanan Piala Belia 2013, di sini, semalam. Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Ismail Md Noor, Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim dan jurulatih belia Kelantan Tengku Hazman Raja Hassan. Belia Kelantan muncul Naib Johan Kejohanan Piala Belia 2013 di Kuantan, Pahang 8 Jun lalu, selepas tewas kepada Selangor, 1-2.


Menurut Annuar, beliau sudah mengemukakan cadangan itu kepada KBS dan berharap dapat mempertimbangkan usul itu demi pembangunan bola sepak negara.

Foto

ANNUAR (tengah) beramah mesra dengan pemain belia Kelantan.

Katanya, KAFA banyak melakukan usaha pembangunan bola sepak akar umbi termasuk menubuhkan Akademi Red Warriors Al-Hamra (ARMY) pada 2011.


"Mutu pemain muda kita jauh ketinggalan berbanding negara lain akibat kurangnya pendedahan terutama dalam aspek kemahiran teknikal. "Andai pembangunan bola sepak negara dilakukan di peringkat akar umbi, saya yakin pembangunan dapat dibangunkan untuk jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Bolt bergaya ungguli ujian kelayakan

Posted: 22 Jun 2013 06:57 AM PDT

Kingston: Pemegang rekod dunia dan juga juara Olimpik, Usain Bolt mempamerkan aksi bergaya menjuarai 100m ujian kelayakan kejohanan dunia Jamaica.

Bolt memintas Nickel Ashmeade pada jarak 50 meter dan mencatat 9.94 saat selepas memecut pada 10 meter terakhir.


Catatan di bawah 10 saat itu yang ke-35 sepanjang karier.

"Seronok kerana menang, saya tidak bimbangkan masa kerana mempunyai masa sebulan untuk bersedia ke Russia," kata Bolt.


"Permulaannya tidak sempurna tetapi fasa pecutan lebih baik berbanding ketika saya tewas kepada Justin Gatlin," kata juara dunia 2009 itu selepas jurulatih, Glen Mills menasihatinya supaya berlari hanya untuk memenangi perlumbaan.


Kemar Bailey-Cole memenangi tempat kedua dengan 9.98s manakala Ashmeade yang mara ke final 200m pada kejohanan dunia 2011, menduduki tempat ketiga, 9.99s.

Agak mengejutkan kerana bekas pemegang rekod dunia Asafa Powell gagal memberi cabaran sengit dalam tiga perlumbaan berturut-turut apabila hanya menduduki tangga ketujuh dengan catatan 10.22s.


Bolt mengasihani nasib Powell yang bergelut untuk pulih daripada kecederaan hamstring.

"Banyak yang dilalui Asafa musim ini dan saya terkejut kerana dia menyertai sesi kelayakan itu," kata pemenang enam pingat emas Olimpik itu.


Pemenang dua pingat perak Olimpik, Yohan Blake akan menjadi pelari keempat Jamaica dalam pasukan 100m lelaki Jamaica kerana menjadi juara dunia bertahan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Satu mata untuk layak

Posted: 22 Jun 2013 06:56 AM PDT

FORTALEZA, Brazil: Tampil dengan kemenangan hebat 10-0 ke atas Tahiti di Piala Konfederasi, Sepanyol melangkah ke pusingan akhir peringkat kumpulan B menentang Nigeria awal pagi esok dengan sekadar memerlukan satu mata saja lagi untuk layak ke separuh akhir.

Kemenangan hebat kelmarin meletakkan Sepanyol sebagai pasukan pertama yang mencatat marjin gol kemenangan 10-0 di final FIFA dan menjadi yang kedua selepas Hungary menang 10-1 ke atas El Salvador ketika Piala Dunia 1982.


Fernando Torres mejaringkan empat gol manakal David Villa tiga. Namun, apa yang penting ialah jurulatihnya, Vicente del Bosque mampu menarik nafas lega dan tidak perlu meletakkan sebarang tekanan kepada kesebelasan utamanya.

Taktik pengurusan licik del Bosque menjadi kunci utama kepada kemenangan Sepanyol, terutama di Piala Dunia 2010 dan EURO 2012. Lantaran itu, pemain tengah David Silva berkata penggiliran adalah sesuatu yang diterima sepenuhnya oleh pemain.


"Kami sentiasa bersedia untuk beraksi sekiranya diberi peluang," kata pemain pertahanan Manchester City itu yang turut dua kali menjaringkan gol ketika menentang Tahiti.


Permulaan penuh bertenaga Sepanyol di Brazil bermaksud mereka mara ke pertembungan awal pagi esok dengan hanya selangkah ke kelompok empat terbaik.

Meskipun hanya memerlukan satu mata saja lagi untuk ke separuh akhir, Sepanyol tidak boleh memandang remeh dengan perlu sekurang-kurangnya meraih empat gol lagi bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.


Sementara itu, situasi ini dilihat agak mencabar buat pengurus pasukan Nigeria, Stephen Keshi yang anak buahnya baru saja ditundukkan 1-2 oleh Uruguay di Salvador.

"Tidak mustahil untuk mencapai kemenangan. Semuanya bergantung kepada semangat dan tuah pasukan. Saya tidak menyoalkan komitmen dan kesetiaan pemain," katanya yang tidak putus harapan.


Rancangan Keshi agak terganggu dengan kecederaan anak buahnya, penyerang AC Milan, Nnamdi Oduamadi yang menjaringkan hatrik ketika menang 6-1 ke atas Tahiti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Uruguay optimis dapat atasi Nigeria

Posted: 22 Jun 2013 06:56 AM PDT

RECIFE, Brazil: Protes besar-besaran di Brazil mungkin membayangi Piala Konfederasi yang berlangsung ketika ini berbanding bahang di padang, namun Tahiti tetap akur tersingkir awal pagi esok selepas berdepan Uruguay lantaran tewas dibelasah 0-10 oleh Sepanyol.

Dalam pada itu, jurulatih Tahiti, Eddy Etaeta perjuangan mereka di Brazil tetap berbaloi.


"Kami terkejut dengan pengalaman di Brazil. Meskipun tewas, penyokong tetap berada di belakang kami.

"Kami berjaya memenangi hati mereka," kata Etaeta yang mencatat sejarah teruk dibelasah juara dunia, Sepanyol.


"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong, mereka hebat membuatkan kami terharu. Mereka tidak mengenali kami secara dekat tetapi tetap memberi sokongan padu dan memberikan tepukan gemuruh," katanya lagi.


Sementara itu, Uruguay ketika ini bergelut untuk mempamerkan rentak permainan cemerlang di negara Latin Amerika itu untuk menempah kelayakan ke pusingan akhir Piala Dunia yang juga menyaksikan Brazil sebagai tuan rumah.

Oleh itu, kemenangan ke atas Nigeria diharap menjadi batu loncatan untuk mencatat prestasi sama seperti yang pernah diraih di Copa America 2011.


"Kami berada di landasan tepat untuk berada di kelompok empat terbaik," kata jurulatihnya Oscar Tabarez yang optimis penyerang veteran, Diego Forlan (gambar) akan menjaringkan lebih banyak gol selepas menang ke atas Nigeria.

Namun tidak bermaksud beliau kekurangan tenaga pemain lain seperti Luis Suarez dan Edinson Cavani tetapi Forlan dilihat sebagai harapan pasukan.


Selepas berdepan musim hambar di Manchester United dan kini di Brazil, pemain berusia 34 tahun itu meraikan penampilan antarabangsanya yang ke-100 dengan jaringan gol hebat di Salvador sekali gus kembali berada di atas Suarez dalam kedudukan jaringan gol. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Kumpul pemuda India

Posted: 22 Jun 2013 06:55 AM PDT

New Delhi: Bagi membantu golongan remaja India menghindari melakukan kesilapan seperti mana dilakukannya, kapten pasukan negara, itu Sunil Chhetri mengadakan kem yang mengumpulkan pemain dari usia muda.

Kem enam hari di Stadium Ambedkar di New Delhi itu, diadakan baru-baru ini, bertujuan mendedahkan bakal pemain bola sepak negara itu yang berusia dari 8 hingga 16 tahun, dengan proses latihan sebenar. Seramai 60 pemain menyertai Kem Chhetri itu.


"Anda perlu membayangkan diri anda sebagai seorang pemain bola sepak. Hanya dengan cara itu baru anda akan maju dan mula mempercayai diri sendiri," kata Chhetri ketika ditemui di kem yang dianjurkan Letzplay FC dan Persatuan Bola Sepak Delhi itu.

"Saya menyaksikan pelbagai warna jersi seperti kuning, biru dan hijau di kebanyakan kem. Ia bukannya pendekatan yang tepat. Keseragaman amat penting di samping nutrisi yang betul serta infrastruktur baik.


"Itu cara yang tepat untuk seseorang kanak-kanak dibangunkan dengan bola sepak, mereka perlu ada kepercayaan sebagai seorang pemain." Mengulas lanjut, Chhetri menerangkan bagaimana pengetahuan asas berupaya membantu kanak-kanak itu daripada mengulangi kesilapan yang juga pernah dilakukannya ketika kecil.


"Kem ini sememangnya berbeza dari yang lain kerana di sini mereka akan diasuh mengenai perkara asas bola sepak dan juga unsur-unsur penting luar padang.

"Contohnya, mengajar mereka menggunakan pelapik tulang kering ketika latihan serta tidak menyingsing lengan baju bagi semata-mata ingin dilihat 'kacak'. Ini kerana kecederaan buku lali akan mengakibatkan anda tersisih berbulan-bulan lamanya.


"Di luar padang pula, perkara asas seperti waktu tidur mencukupi amat penting untuk pemain selain mengamalkan diet seimbang. Contohnya, jangan terikut-ikut amalan pemakanan keluarga kerana mereka bukan atlet. "Mungkin perkara ini dianggap biasa namun hakikatnya ia pengetahuan yang penting kerana saya tidak mempelajarinya ketika kecil. Itulah antara kesalahan yang saya lakukan dulu," katanya.

Chhetri yang mengemudi India kepada dua kejayaan Kejohanan SAFF 2012 dan Piala Nehru 2013, berkata misi di sebalik penganjuran kem ini ialah untuk mengajar generasi baru bagaimana mengendalikan kehidupan sebagai pemain bola sepak sebenar.


"Mereka prospek masa depan. Penting untuk mengajar tunas harapan India ini bagaimana mengendalikan kehidupan sebagai pemain bola sepak sebenar di usia muda. Pastinya ini akan membantu mereka kelak.


"Ketika saya kecil, tiada siapa yang mengajar saya semua ini. Saya tidak mahu pemain selepas ini mengulangi kesilapan sama. Oleh itu, saya berfikir, sementara menunggu pra-musim bermula, tiada salahnya mengadakan kem ini untuk kanak-kanak.


"Ada juga beberapa kenalan menyuarakan pendapat agar saya membuka akademi sendiri. Namun, saya rasakan terlalu awal untuk sesuatu seperti itu.


"Cukuplah sekadar memulakan kem kejurulatihan seperti ini terlebih dulu dan sambutannya cukup memberangsangkan. Saya juga merancang untuk berkomunikasi dengan ibu bapa mereka.


"Segala pengalaman saya sejak kecil akan saya kongsi bersama mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Kok Chi kekal jawatan

Posted: 22 Jun 2013 06:55 AM PDT

Kuala Lumpur: "Sepanjang 20 tahun ini, dua tahun ini paling teruk bagi saya," kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, sebaik berjaya mengekalkan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Tahunan ke-32 MOM, semalam.

Berdepan serangan berbentuk peribadi sejak beberapa tahun lalu dan komplot menjatuhkan beliau, membuatkan posisi beliau dalam Jawatankuasa MOM sesi 2013-2015 agak tergugat.


Begitupun pengaruh dan wibawa tokoh sukan ini tidak tercalar apabila meraih 62 undi untuk menewaskan penolongnya, T Kumar yang meraih 36 undi.

"Ada banyak dakwaan tapi tiada bukti. Saya kecewa. Saya langsung tidak mempunyai sebarang agenda peribadi," katanya.


Jelasnya bukan mudah untuk membangunkan badan induk yang menaungi persatuan sukan kebangsaan ini, apabila mereka hanya bermula dengan sebuah bilik sebelum mempunyai bangunan sendiri dan mampu membiayai atlet untuk ke luar negara.


"Masih banyak perkara perlu dilakukan dan berharap dapat bekerjasama dan menyelesaikan setiap cabaran dihadapi." Selain jawatan Setiausaha Kehormat, empat lagi jawatan dipertandingkan yang menyaksikan Datuk A Sani Karim gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden apabila tewas kepada Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim.

Chef de Mission Sukan Komanwel New Delhi Tan Sri Halil Abdul Mutalib dan bekas atlet pecut negara, Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar pula muka baru yang terpilih mengisi antara lima kerusi Naib Presiden MOM.


Sementara itu Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar gembira dengan kepercayaan yang terus diberikan kepada Kok Chi.

"Beliau pentadbir sukan paling berpengalaman di negara ini. Begitupun beliau perlu mengubah sedikit pendekatannya untuk memenuhi kehendak pemimpin lama dan muda. Ia tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama dalam satu haluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Aimar sertai Johor DT?

Posted: 22 Jun 2013 06:54 AM PDT

Johor Bahru: Mungkinkah Pablo Aimar bakal menjadi bintang baru Harimau Selatan?

Persoalan itu timbul selepas pemain Benfica itu muncul di sebuah hotel terkemuka kelmarin sambil disambut oleh sekumpulan penyokong Johor Darul Takzim. Difahamkan penyerang berusia 33 tahun itu hanya memenuhi undangan jemputan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor.


Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) ketika Majlis Pelancaran majalah Harimau Selatan baru-baru ini mengumumkan akan ada kejutan yang bakal diumumkan dan mungkinkah Aimar kejutan yang dimaksudkan? Difahamkan pertemuan antara Tunku Ismail dengan Aimar hanya berkisar mengenai negeri ini selain mengundang pemain berasal dari Rio Cuarto, Argentina itu untuk mengenali Johor lebih dekat.

Aimar antara bekas pemain Argentina yang mempunyai karier hebat dengan memulakan karier profesional bersama River Plate pada 1995 Dia kmengembangkan karier ke Valencia, Real Zaragoza dan Benfica sehingga kini. Kontraknya tamat bersama Benfica pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Bangunkan semula sukan tinju

Posted: 22 Jun 2013 06:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Dalam sukan tinju, Muhamad Farkhan Mohd Haron sememangnya dianggap jaguh lantaran banyak mengharumkan nama Malaysia di gelanggang tempatan mahupun antarabangsa.

Selepas Sapok Biki, Muhamad Farkhan yang juga pemenang pingat emas di Sukan SEA Laos 2009 dan perak, Korat 2007 serta Palembang 2011 itu dilihat sebagai pengganti kepada juara Sukan Komanwel 1998 itu untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Justeru, Muhamad Farkhan dianggap sebagai idola buat peninju baru dan pelapis, terutama buat Muhamad Fuad Mohd Redzuan.

Bagi Muhamad Fuad, dia amat menghormati Muhamad Farkhan berikutan keberanian serta semangat jitunya yang kuat. Malah, seniornya itu turut dianggap sebagai peramah dan tidak lokek berkongsi ilmu semata-mata bagi memartabatkan lagi sukan tinju tanah air.


Ikuti sesi wawancara antara Muhamad Farkhan dan Muhamad Fuad di gelanggang latihan baru-baru ini.

Soalan (S): Sebagai seorang senior serta peninju elit, di mana hala tuju golongan pelapis mahupun muka baru sekarang ini?

Jawapan (J): Secara jujur, pada pendapat saya, sukan tinju perlu dibangunkan semula iaitu dari peringkat akar umbi. Dari sudut pandangan saya, kami tidak diberikan pendedahan mencukupi, terutama yang merangkumi kejohanan tempatan atau bawahan.

Peninju perlukan pendedahan untuk menjadi lebih matang bagi berdepan kejohanan utama peringkat antarabangsa.

Bukan ingin menimbulkan isu, cuma saya amat risaukan peninju pelapis kerana mereka tidak diberikan sebarang pendedahan, tiada kejohanan. Contohnya tahun ini, kami hanya dibekalkan dengan satu kejohanan tempatan saja dan kemudian terus dihantar ke saingan peringkat Asia di Jordan minggu depan. Bagi muka baru, senario ini pasti menggentarkan mereka apatah lagi dengan persediaan yang tidak cukup, pastinya mereka akan tumbang awal nanti.

S: Anda sudah suarakan perkara ini kepada pihak terbabit?

J: Ada. Tapi, keadaan tetap sama. Bukan ingin menuding jari, cuma ini demi kebaikan sukan tinju Malaysia. Majlis Sukan Negara (MSN) sudah menyalurkan dana, bukan saja pada sukan tinju tapi semua persatuan sukan. Lantaran itu, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) perlu bijak mencari dana dari saluran lain sebagai sokongan.

S: 'Adik-adik' pernah meluahkan keluhan sama kepada anda?

J: Ya, mereka dahagakan kejohanan sebagai persediaan rapi ke luar negara terutama menjelang Sukan SEA Myanmar tahun ini.

S: Bagaimana anda lihat prestasi mereka?

J: Prestasi mereka hebat. Cuma jika berterusan tidak diberikan pendedahan, kita akan ketinggalan jauh berbanding negara lain. Jika saya undur diri, merekalah pengganti saya. Saya enggan melihat sukan tinju merudum.

S: Apa kenangan paling manis buat anda sepanjang bergelar atlet tinju?

J: Ketika menang pingat emas di Sukan SEA Laos 2009. Saya pecah rekod selepas 42 tahun Malaysia tidak menang emas di mana-mana kejohanan dengan kali terakhir di Bangkok 1967.

S: Apakah nasihat untuk muka baru dan pelapis anda di sukan tinju?

J: Jangan sesekali takut. Jangan gugup. Sematkan di minda, lawan anda orang biasa juga...sama seperti anda, mereka juga makan nasi, tidur, tiada kelebihan luar biasa.

S: Selain tinju ada minat sukan lain?

J: Ada, saya minat hoki. Dulu saya main hoki untuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ). Tapi, pada masa sama saya main tinju juga. Lama kelamaan, saya terpaksa memilih antara satu dan tinju menjadi pilihan. Diakui sampai sekarang saya masih meminati hoki dan sentiasa mengikuti perkembangan serta perlawanannya di televisyen.

S: Mungkin anda ada kelebihan lain selain dari bersukan, menjahit?

J: Saya tiada kelebihan lain, hanya tahu bertinju serta gemar mencuba benda baru.

S: Anda minat haiwan?

J: Ya, saya memang cintakan haiwan. Namun, malangnya semua yang saya bela mesti mati. Arnab kesayangan mati, selepas itu bela pula 'bearded dragon' sejenis reptilia dan itupun mati.

Saya tidak berhenti lagi, bela pula 'gecko' sejenis cicak. Saya bela 25 'gecko' dengan semuanya bernilai lebih RM21,000. Namun, hari ini beli...esok ada yang dah mati dan kemudian seekor demi seekor mati.

Tidak tahu mana silapnya, mungkin kerana saya sering tiada di rumah sehingga mengakibatkan semua haiwan yang saya bela mati.

Kini, saya bela pula 'sugar glider' iaitu sejenis haiwan seakan-akan tupai terbang. Syukur, dia sihat kerana saya meminta rakan saya jaga. Saya berikan dia wang mencukupi untuk keperluan sugar glider itu.

Menariknya, sugar glider saya gemar minum air yogurt bukan air putih, mungkin kerana spesis mereka cerewet, sukakan benda manis.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Penyiasatan pikat Casier

Posted: 22 Jun 2013 06:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet baling tukul besi, Casier Renee Kelly Lee ingin berada dalam dunia penyiasatan andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang...

Jawapan (J): Saya ingin menjadi seorang detektif.

S: Mengapa?

J: Bagi saya tugas seorang detektif amat menarik. Bukan mudah untuk menyiasat sesuatu dan pada masa sama ia menyeronokkan kerana berdepan tugas berbeza setiap hari selain amat mencabar, perlukan keberanian. Bukan mudah menyelesaikan sesuatu kes, umpamanya jenayah homisid.

S: Andai benar-benar diberi peluang menceburi bidang penyiasatan, apa kata anda?

J: Sudah tentu saya ingin teruskan dengan cita-cita bergelar detektif ini. Cuma buat masa ini saya sibuk bergelar atlet.

S: Mungkin ada sesiapa mempengaruhi anda untuk bergelar detektif? Ada ahli keluarga bekerja sebagai polis?

J: Tidak. Tiada ahli keluarga menjadi polis mahupun terbabit dalam dunia penyiasatan. Saya terpengaruh dengan rancangan detektif yang ditonton di televisyen.

S: Selain sukan tukul besi, mungkin anda ada meminati sukan lain?

J: Tiada. Saya begitu meminati sukan ini.

S: Apa hobi anda?

J: Banyak. Namun, saya paling gemar membaca.

S: Ada keistimewaan lain dalam diri anda?

J: Juga tiada. Kelebihan saya hanya terhadap sukan tukul besi. Mungkin kerana kekangan masa dengan jadual latihan padat, saya tiada masa mencuba sesuatu yang baru.

S: Bagaimana pula dengan sasaran anda untuk 2013? Sebarang kejohanan utama?

J: Saya akan beraksi di Sukan SEA buat kali pertama tahun ini. Temasya di Myanmar itu memang saya nantikan. Saya amat teruja dan meletakkan misi membawa pulang pingat emas buat Malaysia.

S: Selain nampak gagah di padang, mungkin ada ciri kelembutan di dalam hati anda?

J: Ya, saya seorang pencinta haiwan. Saya mempunyai banyak anjing di rumah dengan pelbagai baka. Ada lima ekor dan semuanya baka 'besar', jenis yang digunakan dalam penyiasatan atau K9. Saya memang sukakan anjing besar, antaranya German Shepherd dan Rottweiler.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Edisi ke-16 teladan terbaik

Posted: 22 Jun 2013 06:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Sekalipun tidak dianjurkan pada skala besar, Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-16 yang akan dianjurkan berpusat di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil bermula 28 Jun ini mempunyai impian besar mahu ditunjukkan terhadap negeri lain yang pernah dan akan menjadi tuan rumah temasya sukan itu selepas ini.

Isu kos penganjuran sentiasa membimbangkan penganjur temasya sukan itu, apatah lagi jika diadakan di peringkat negeri apabila puluhan malah ratusan juta dibelanjakan bagi memastikan penganjurannya berjalan lancar, sempurna dan meriah.


Sebagai contoh, SUKMA Perlis yang dijadual berlangsung tahun depan bakal menelan kos RM160 juta manakala SUKMA Pulau Pinang 2000 pula membabitkan perbelanjaan RM260 juta.

Ironinya, kos penganjuran SUKMA edisi Kuala Lumpur hanya membabitkan RM9 juta, biarpun dikatakan meningkat sedikit berbanding kos asalnya.


Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara Datuk Ab Jalil Abdullah (gambar) yang juga Timbalan Pengerusi SUKMA KL, berkata SUKMA kali ini diadakan pada skala kecil dengan menggunakan kemudahan sedia ada di sekitar Kuala Lumpur.


Justeru beliau berpendapat sudah tiba masanya negeri yang menganjurkan temasya itu mengurangkan bajet dan lebih menumpukan kepada pembangunan atlet.

"Negeri yang pernah menjadi tuan rumah sudah mempunyai kemudahan mencukupi dan selepas penganjuran ia boleh digunakan sebagai pusat latihan peringkat negeri," kata Ab Jalil.


"Jika digunakan sepenuhnya, kualiti atlet pasti meningkat dan mampu melahirkan mereka yang berdaya saing, sekali gus memudahkan MSN memilih atlet terbaik untuk mewakili negara pada masa depan." Antara venue yang digunakan untuk temasya SUKMA kali ini Pusat Akuatik Nasional (akuatik), South City Plaza (bina badan dan muay thai), Dewan Sri Putra (bola baling), Stadium Juara (bola jaring), Stadium MABA (bola keranjang), Gelanggang Bola Sepak Pantai MDKL (bola sepak pantai), Dewan Bola Tampar Seksyen 4 dan 19 Shah Alam (bola tampar), KSL Puchong (futsal) dan MSN (gimnastik, lawan pedang, judo, silambam).

Hingga kini hampir kesemua negeri sudah menganjurkan SUKMA kecuali Perlis dan Kelantan.


Apa yang menarik, penganjuran setiap tahun secara berselang (negeri dan KL) itu sejak 2011 menyediakan peluang untuk sukan yang sebelum ini kurang dikenali atau tidak diberi tumpuan 'mencuri perhatian' peminat sukan Malaysia.


Itulah yang berlaku kepada muay thai, woodball dan bola sepak pantai apabila sukan itu diberi peluang menjadi satu daripada acara SUKMA tahun ini.


"Menerusi penganjuran lalu (2011), maklum balas kami terima sungguh positif kerana SUKMA memberi peluang kepada semua jenis sukan untuk dipertandingkan.


"Kita harap dengan penyertaan sukan kurang utama yang tidak begitu menonjol dalam SUKMA mampu memberi sumbangan ke peringkat antarabangsa.


"Sukan seperti lawan pedang dan judo mempunyai peluang untuk cemerlang di peringkat antarabangsa. Apa yang saya harapkan persatuan sukan dapat memanfaatkan peluang ini bagi mempopularkan sukan mereka selain mengukuhkan persatuan sukan masing-masing."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

No comments:

Post a Comment