Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Presiden murka!

Posted: 27 Jun 2013 09:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah membidas segelintir pihak yang melemparkan kritikan mempertikai tugas badan induk itu tanpa berfikir panjang.

Menurutnya biarpun negara memiliki kebebasan bersuara, beliau berkata, ada masanya setiap komen yang ingin diberikan perlu difikirkan terlebih dulu sebelum memberikan pandangan masing-masing.


"Sudah tentu anda boleh memberi komen kerana Malaysia negara bebas untuk bersuara tapi fikir dulu implikasinya, adakah ia memberi faedah kepada FAM atau persatuan bola sepak lain di Malaysia ini.

"Sudah 28 tahun saya menjadi presiden dan saya yang memperkenalkan liga profesional di Malaysia, siapa yang memberi komen itu perlu tahu apa yang dia cakap, tidak kisah siapa anda dan jawatan yang anda pegang, anda perlu bersedia untuk menerima kritikan," katanya.


Sultan Ahmad Shah memberi kenyataan itu bagi menjawab kritikan dilemparkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang menganggap bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad tidak memahami situasi bola sepak negara apabila membidas sikap persatuan negeri kerana terlalu bergantung kepada sumber kewangan badan induk itu. Annuar berkata, FAM sepatutnya menghulurkan bantuan kepada persatuan negeri memandangkan mereka menjana pendapatan kepada badan induk bola sepak tanah air itu, antaranya menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia kepada Astro bernilai RM30 juta setahun. "Untuk pengetahuan umum, FAM membelanjakan purata RM45 juta setahun untuk Liga Malaysia dan tajaan diterima dari Astro hanya RM30 juta. Ia tidak mencukupi. Mereka yang komen itu tidak tahu kesulitan dihadapi FAM kerana tidak berada dalam badan induk. Biarpun tidak cukup, kami perlu berkerja, segala urusan perlu diteruskan," katanya.


Annuar yang menjalani penggantungan 30 bulan akibat kritikannya terhadap prestasi skuad bola sepak kebangsaan, dilapor berkata pasukan yang terbabit dalam Liga Malaysia turut mempunyai hak ke atas wang itu dan bukannya milik FAM semata-mata.

Foto

SULTAN Ahmad Shah (kanan) pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Nombor 10 milik Tevez

Posted: 27 Jun 2013 08:45 AM PDT

Rome: Carlos Tevez meluahkan rasa bangganya selepas diberikan jersi ikon nombor 10 sebaik mengikat kontrak tiga tahun bersama Juventus.

Pemain Argentina berusia 29 tahun itu melengkapkan perpindahan ke kelab juara Serie A semalam selepas empat musim bersama Manchester City, malah sebelum melengkapkan ujian perubatannya di Turin dia dilihat berada di balkoni ibu pejabat Juventus memegang jersi nombor 10.


Jersi itu, yang sebelum ini digunakan penyerang terkenal Michel Platini, Liam Brady dan Roberto Baggio tidak digunakan sejak penyerang veteran dan bekas kapten Bianconeri Alessandro Del Piero meninggalkan Turin untuk ke Sydney FC tahun lalu.

Yuran perpindahan Tevez tidak diumumkan lagi namun difahamkan Juve melunaskan bayaran pendahuluan £10 juta (RM48.5 juta) kepada City sebelum dijangka meningkat kepada £12 juta (RM58.2 juta).


"Saya menyedari usaha keras Juventus untuk membawa saya ke sini.


"Saya berasa bertanggungjawab memakai nombor ini dan saya sedar tugas getir mewakili Juventus dan bermain buat kelab ini jadi nombor ini pastinya satu cabaran.

"Pemain ternama sudah memakainya sebelum ini dan saya memakai nombor 10 bersama Boca (Juniors) sebelum ini dan (Diego) Maradona turut memakainya, jadi ia satu tanggungjawab besar sekarang tapi saya akan melakukan yang terbaik.


"Sudah tentu saya tidak mahu melupakan Del Piero yang juga pemain terakhir menyarung jersi nombor 10. Dia seorang pemain dan individu yang amat saya hormati.

"Adalah menggembirakan dan bagaikan satu penghormatan menyarung jersi ini dengan nombornya." Tevez menangguhkan seketika percutiannya di Argentina untuk menyertai Juve dan sebaik tiba di lapangan terbang Malpensa di Milan semalam, dia disambut lebih 200 penyokong Bianconeri.


Dia akan menghabiskan percutiannya di Amerika Selatan selepas diperkenalkan secara rasmi semalam sebelum menyertai jurulatih Antonio Conte dan rakan sepasukan barunya bagi latihan pramusim pada 12 Julai ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Meulensteen ucap selamat tinggal

Posted: 27 Jun 2013 08:45 AM PDT

London: Manchester United mengesahkan jurulatih pasukan utama Rene Meulensteen meninggalkan kelab juara Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Pemergian warga Belanda itu sudah dijangka selepas Mike Phelan dan Eric Steele, dua lagi kakitangan kelab itu mengundur diri sejak David Moyes menggantikan Alex Ferguson sebagai pengurus berikutan persaraan bos veteran Scotland itu hujung musim lalu.


"Saya mengucapkan terima kasih kepada Sir Alex Ferguson, pemilik, rakan seperjuangan, pemain dan penyokong yang membuatkan masa-masa saya di Manchester United sesuatu yang amat istimewa dan tidak boleh saya lupakan," kata Meulensteen dalam satu kenyataan United.

"Selamat berjaya kepada setiap orang di kelab hebat ini." Naib pengerusi eksekutif United Ed Woodward berkata: "Saya berterima kasih kepada Rene kerana sumbangannya kepada kelab, terutamanya sejak beliau kembali ke Old Trafford pada 2007.


"Beliau menjadi jurulatih pasukan utama selama lima tahun dan sepanjang tempoh itu beliau banyak membantu Alex dan Mike Phelan untuk mengekalkan pasukan di tahap tertinggi bukan saja di negara ini tapi di Eropah." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Lebur ego Pakistan

Posted: 27 Jun 2013 08:45 AM PDT

Johor Bahru: Ketua jurulatih skuad hoki negara Paul Revington menegaskan perlawanan pertama bertemu Pakistan pada saingan Liga Hoki Dunia esok penting dalam pemburuan menempah tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

Pengendali berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu berkata, meskipun sedar Pakistan bukan mudah untuk ditewaskan, beliau tetap meletakkan keyakinan terhadap setiap pemain.


"Sudah tentu perlawanan pertama penting kerana ia menyediakan peluang kita memungut mata.

"Beberapa perlawanan sebelum ini menyaksikan kita berjaya menyaingi Pakistan dan saya harap perkara sama berlaku," katanya.


Revington juga berkata, kerja keras dan rentak permainan pantas konsisten menjadi formula terbaik skuad negara untuk memenangi perlawanan pertama.


"Tahap permainan pasukan sudah bertambah baik selepas perlawanan persahabatan menentang Jerman serta Argentina.

"Tapi masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki. Saya yakin sebelum perlawanan Sabtu ini semuanya dapat diatasi." Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, Afrika Selatan dan England.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

9 atlet galas cabaran negara

Posted: 27 Jun 2013 08:44 AM PDT

New Delhi: Sembilan atlet termasuk dua wanita akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Olahraga Asia ke-20 di Pune, India, pada 3 hingga 7 Julai.

Atlet lelaki ialah Kwong Kar Jun, 18, dan Aron Anchols, 20, dalam acara 200m, Wan Sofian Rayzam Shah, 35, (110m lari berpagar), Lee Hup Wei, 26, A Kavee Alagan, 21, dan S Navinraj, 20, kesemua dalam acara lompat tinggi serta Iskandar Alwi, 19, lompat bergalah.


Dua wanita pula membabitkan Zaidatul Husniah Zulkifli, 20, dalam acara 100m dan S Komalam Shally, 25, 200m.

Menurut kenyataan Persatuan Olahraga Asia (AAA) semalam, sejumlah 580 atlet dari 43 negara sudah mengesahkan penyertaan.


India menjadi tuan rumah kejohanan itu buat julung kali sejak 1989.


Kejohanan itu dianjur bersama kerajaan Maharashtra dan Persekutuan Olahraga India. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Langkah kanan Andrew Mok

Posted: 27 Jun 2013 08:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet lawan pedang Wilayah Persekutuan, Andrew Mok Vern-Han meraih pingat emas pertama Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 apabila mengungguli acara foil individu lelaki di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Penyandang juara Sukma 2011 itu beraksi cemerlang untuk mengenepikan rakan sepasukan, Syed Adil Emir Putra Syed Aidi yang meraih perak dengan kemenangan 15-8.


Gangsa acara itu milik bersama atlet Johor, Muhammad Aqil Anuar dan Izzul Syawal Syamsuddin dari Perak.

Andrew, 19, menyifatkan pencapaian itu kejayaan bersama yang perlu dikongsi bersama rakan sepasukan.


"Kejayaan ini juga saya tujukan kepada ibu bapa, rakan serta penyokong kontinjen Wilayah Persekutuan yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya. Beliau berkata, fokusnya selepas SUKMA kali ini untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.


"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan berharap Majlis Sukan Malaysia memilih saya sebagai atlet kebangsaan," katanya yang kini bernaung di bawah kelab lawan pedang persendirian, Touche.

Andrew berkata, impiannya untuk menjadi atlet bertaraf dunia seperti idolanya, Sheng Lei dari China yang juga pemenang emas Sukan Olimpik London 2012 dalam acara sama.


Sementara itu, pingat emas acara epee individu wanita dimenangi atlet Sabah, Laura Simon selepas mengecewakan Nur Aina Jalil dari Johor, 15-13.

Pingat gangsa dikongsi bersama Noorazeera Adeera Noor Jali dari Negeri Sembilan dan atlet Perak, Nor Syazasaffa Mahyuddin.


Laura gembira dengan kejayaan tersebut kerana ia SUKMA terakhir baginya selepas mula menyertai temasya dwitahunan itu pada 2006.


"Selepas menanti lapan tahun, akhirnya saya meraih emas pertama SUKMA dan ia cukup bermakna bagi saya," katanya yang akan terus aktif dalam sukan lawan pedang di peringkat antarabangsa. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Donnelly takluk peringkat dua

Posted: 27 Jun 2013 08:33 AM PDT

Batu Pahat: Pelumba Huon Salmon-Genesys Wealth, Aaron Donelly muncul juara Peringkat 2 Jelajah 1Malaysia dari Rembau ke Batu Pahat semalam ketika pelumba negara mewakili OCBC Singapore, Loh Sea Keong mengambil giliran meraih empat daripada lima jersi rebutan, termasuk jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan.

Donelly, pelumba kelahiran Sydney berusia 22 tahun, antara pelumba dalam kumpulan pengejar yang bijak menghidu ruang, sebelum meloloskan diri untuk meninggalkan naib juara dari CCN Cycling Team, Lex Nederlof dan Sea Keong pada baki 2 kilometer terakhir.


Bekas pelumba Jayco AIS yang pernah beraksi di Le Tour de Langkawi 2010 itu, menamatkan kayuhan sejauh 197.6km dalam masa 4 jam 44 minit 53 saat, tiga saat di depan Nederlof dan 1:08s di depan peloton.

Namun, tumpuan semalam menjurus kepada Sea Keong, pelumba 27 tahun kelahiran Kuala Kurau, Kelantan yang merampas jersi kuning daripada pemenang Peringkat 1 di Rembau semalam, Kiril Pozdnyakov.


Sea Keong yang sebelum ini berada 22 saat di belakang Pozdnyakov, kini mengumpul keseluruhan masa 8j 58m 50s, hanya 14 saat di depan pelumba Polygon Sweet Nice, Sergey Kuzmin dan 41s di depan Pozdnyakov.


Prestasi cemerlangnya itu turut membolehkan Sea Keong mengumpul 13 mata dalam klasifikasi Raja Pecut untuk merampas jersi hijau yang disarung pelumba Malaysia, Adiq Husainie Othman, jersi biru sebagai Pelumba Terbaik Asia dan jersi putih Pelumba Terbaik Tempatan.

Kudratnya semalam turut membantu melonjakkan OCBC Singapore ke tangga teratas senarai berpasukan keseluruhan, 50 saat di depan Genesys Wealth dan 1:26s di depan Baku Synergy Project.


Pelumba LBC-MVPSF Pilipinas, Rustom Lee yang memenangi peringkat pendakian tunggal di Gemencheh, meraih empat mata lagi untuk keseluruhan enam mata dalam pemburuan jersi merah Raja Bukit, satu mata di depan Zamri Salleh (Terengganu Cycling Team). Seperti diramal, perlumbaan semalam turut menyaksikan tindakan agresif pelumba yang membuat pemecahan awal apabila sekumpulan 4 pelumba, Goh Choon Huat (OCBC), Daniel Bonello (Corbusier), Denver Casayuran (LBC-MVPSF Cycling Pilipinas) dan Sota Ikebe (Matrix Powertag) meloloskan diri sebaik melepasi zon pendakian pertama di Gemencheh dan pada satu ketika hampir sembilan minit di depan.

Kuartet pemecah ini menguasai tiga zon pecutan di Gemas (KM67.8), Segamat (KM97.2) dan Cha'ah (KM144.9) sebelum mereka dihambat 10 pelumba dalam kumpulan pengejar yang turut membabitkan Donelly dan Sea Keong pada kira-kira 25km terakhir.


Kumpulan 14 di depan ini berpecah pada baki 3km apabila Donelly, Sea Keong dan Nederlof meloloskan diri sebelum Donelly menggunakan kepakarannya membuat henjutan secara solo ke garisan penamat.


"Kami saling memandang antara satu sama lain tapi saya dapat meloloskan diri. Saya tahu jarak hari ini agak jauh dan pelumba lain mungkin keletihan. Saya menggunakan peluang itu untuk memastikan kemenangan," kata Donelly yang menyertai Genesys Wealth tahun ini dan mengumpul kemenangan peringkat kedua selepas Sun Tour di Australia, awal tahun ini.


Jelajah 1Malaysia diteruskan dengan Peringkat 3 Batu Pahat ke Pontian sejauh 94.7km pada jam 9 pagi, menyediakan dua zon pecutan di Senggarang (Km21.1) dan Benut (Km53.9) sebelum berakhir di depan Pejabat Daerah & Tanah Pontian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Hamidin sah Setiausaha Agung baru FAM

Posted: 27 Jun 2013 08:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas timbul pelbagai spekulasi berhubung calon pengganti jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam Presiden, Sultan Ahmad Shah mengumumkan Datuk Hamidin Mohd Amin secara rasmi dilantik mengisi jawatan itu.

Tugas Hamidin yang mengambil jawatan itu daripada Datuk Azzuddin Ahmad kerana mengalas tugas baru dalam Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), akan bermula Isnin ini.


Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan perlantikan itu dalam satu sidang media khas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang berkata, keputusan itu dilakukan selepas berfikir panjang dan mengambil kira Hamidin sebagai calon paling sesuai.

"Saya sudah fikir panjang dan membuat keputusan Hamidin menggantikan tugas Azzuddin dan saya percaya kemampuan beliau berdasarkan hubungan baiknya dengan media.


"Justeru, Hamidin perlu melepaskan semua jawatan disandangnya iaitu Naib Presiden FAM, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM serta jawatan dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)," katanya.


Jawatan Setiausaha Agung FAM itu kosong selepas Azzuddin menerima tugas sebagai Setiausaha Agung AFF bermula 1 Julai ini bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel yang bersara awal akibat masalah kesihatan.

Dalam sidang media khas itu juga, beliau yang juga Presiden AFF mengumumkan pentadbiran AFF dengan pengurusan pengurusan FAM akan berpusat di Putrajaya selepas FAM mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk membina bangunan di atas tanah seluas lapan ekar. Katanya, tanah untuk mendirikan bangunan itu sudah dikenal pasti dan hanya menunggu masa untuk dibangunkan, bagaimanapun beliau perlu berbincang secara lebih terperinci dengan ahli gabungan FAM dan AFF terlebih dulu sebelum perancangan lanjut dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Motivasi Shakir

Posted: 27 Jun 2013 08:31 AM PDT

Kota Bharu: Kematangan beraksi di final sebanyak empat kali menjadi kunci keyakinan pemain tengah, Mohd Shakir Shaari untuk membantu Kelantan mempertahankan Piala FA ketika berdepan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Meskipun menyedari berdepan musuh ketat musim ini, pemain berasal dari Kota Bharu itu tetap tenang malah pengalaman beraksi di pentas final bersama Kelantan sejak 2010 memberi keyakinan kepadanya untuk mengekalkan kejuaraan.


Mohd Shakir berkata, pengalaman dua kali beraksi di final Piala FA dan dua kali Piala Malaysia memberinya motivasi untuk mempamerkan aksi terbaik bagi membantu gergasi Pantai Timur itu membenam Harimau Selatan.

Bagaimanapun, katanya, pengalaman itu tidak boleh menjadi pengukur kekuatan pasukan sebaliknya perlu waspada dengan ancaman pasukan kendalian Fandi Ahmad yang nekad memburu gelaran pertama musim ini.


"Saya yakin kerana sudah beberapa kali beraksi di final termasuk saingan Piala Malaysia pada 2010 dan tahun lalu. Pemain lebih tenang untuk beraksi di depan ramai penyokong kerana sudah banyak kali beraksi di final.


"Walaupun kita banyak pengalaman, Johor DT bukan mudah untuk ditewaskan dan kita perlu hati-hati," katanya.

Ketika ditanya mengenai dua bekas rakan sepasukannya, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya, pemain kebangsaan itu berkata, pergerakan kedua-dua pemain perlu dirantai supaya lawan tidak dapat mencipta peluang menghasilkan gol.


"Kita perlu awasi pemain lawan yang selalu memberi ancaman, malah saya rasa Mat Yo (Norshahrul) dan Awe (Nurul Azwan) antara pemain yang perlu diberi perhatian."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

'Jaga nama baik Kelantan'

Posted: 27 Jun 2013 08:31 AM PDT

Kota Bharu: "Jaga nama baik anak Kelantan dan pastikan tidak meninggalkan kewajipan solat. Jadikan bola sepak sebagai sukan memupuk muhibah dan insya-Allah saya yakin, anak Kelantan dapat melakukannya," kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, penyokong Kelantan yang akan menyaksikan perlawanan Kelantan menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok diharap dapat menjaga tatasusila sepanjang berada di dalam dan luar stadium. "Saya ucapkan selamat berjuang kepada pasukan Kelantan yang akan berentap menentang Johor DT di pentas akhir Piala FA, Sabtu ini (esok). Semoga kejayaan milik kita," katanya di laman Facebook miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

No comments:

Post a Comment