Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tiada kemajuan!'

Posted: 12 Jun 2013 08:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Tan Kim Her tidak akan lagi berada dalam barisan jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tamat kontrak kerana beliau dianggap gagal menghasilkan keputusan, iaitu memastikan pemain beregu, terutama lelaki meraih gelaran utama antarabangsa.

Keputusan itu diumum Pengurus Besar BAM Kenny Goh yang mengaku jurulatih itu tidak berjaya menaikkan prestasi pemain badminton negara.


"Ya, memang beliau tidak menghasilkan keputusan yang kami inginkan," kata Kenny ketika menjawab soalan adakah ketua jurulatih beregu itu mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI).

Sebelum ini BAM mempertahankan tindakan menerima peletakan Rexy Mainaky tahun lalu, disebabkan tidak lagi membawa hasil menerusi keputusan dan kejuaraan di kejohanan antarabangsa.


Namun sejak Kim Her kembali ke dalam barisan kejurulatihan kebangsaan 2010, beliau boleh dianggap langsung tidak membawa hasil seperti keputusan ditunjukkan Rexy, menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas Sukan Asia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Doha 2006, selain pasangan itu juga menjuarai Seluruh England pada 2007.


Di bawah bimbingan Rexy juga, gandingan terbabit hampir menang gelaran takhta dunia di Paris 2010.

Foto

GANDINGAN Kien Keat (kanan) dan Boon Heong tak menyerlah.

Foto

KIM Her (kanan) gagal pastikan beregu lelaki raih kejuaraan antarabangsa.

Meskipun Rexy disingkir untuk menjaga beregu wanita sejak Kim Her kembali, jurulatih itu pantas mengubah gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty dan Woon Khe Wei-Vivian Hoo ke dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia.


BAM juga harus melihat pergolakan di kalangan pemain sejak jurulatih itu mula berkuasa, apabila beberapa pemain beregu bergaduh dan bertindak meminta bertukar gandingan.

Malah pembantunya, Pang Cheh Chang sebelum ini juga pernah menganggap dirinya menjadi mangsa jurulatih itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Chong Wei lepasi bala di Indonesia

Posted: 12 Jun 2013 08:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei terlepas daripada bala besar sebelum Kejohanan Dunia apabila mengatasi pemain muda China, Wang Zhengming ketika pilihan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Chen Long menerima kejutan, tewas dua set berturut-turut kepada pemain tuan rumah, Tommy Sugiarto.

Chong Wei yang tewas set pertama 20-22, bergelut menyesuaikan diri dengan keadaan angin di gelanggang namun berjaya bangkit untuk menang set kedua 21-4.


Perlawanan kembali sengit pada set penentuan kerana Chong Wei banyak melakukan kesilapan hingga membolehkan lawan memberikan tentangan. Bagaimanapun, Chong Wei menang 22-20.

"Keseluruhan permainan Chong Wei OK tapi China melakukan persiapan rapi untuk menangani Chong Wei dengan menggunakan Wang Zhengming sebagai bahan uji kaji," kata jurulatih Tey Seu Bock.


Sementara itu, Seu Bock menyifatkan kekalahan seorang lagi pemain negara Tembok Besar, Chen Long kepada Tommy, sebagai sebahagian daripada permainan taktikal negara itu.


"Saya tidak perkecilkan kemampuan Tommy tapi saya sudah biasa dengan percaturan China setiap kali menjelang kejohanan besar. Mereka datang ke sini semata-mata mahu melihat permainan Chong Wei." Chen Long tewas 11-21, 18-21 kepada Tommy sekali gus menjadikan Du Pengyu sebagai pencabar terkuat Chong Wei pada kejohanan kali ini.

Du Pengyu menewaskan Nguyen Tien Minh dari Vietnam 21-19, 21-15 untuk ke pusingan kedua.


Beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut ke pusingan kedua selepas mengatasi gandingan tuan rumah Yonathan Suryatama Dasuki-Hendra Aprida Gunawan, 21-15, 21-11.

Mereka berdepan satu lagi gandingan tuan rumah lebih berpengalaman, Alvent Yulianto Chandra-Markis Kido hari ini.


Begitupun aksi Hoon Thien How-Tan Wee Kiong langsung tidak menggambarkan taraf mereka sebagai gandingan nombor tujuh dunia apabila tersingkir di pusingan pertama selepas kalah kepada pemain kelayakan, Andrei Adistia-Gideon Markus Fernaldi dari Indonesia, 21-10, 18-21, 15-21.


Pasangan profesional, Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif pula tunduk kepada jaguh China, Fu Haifeng-Cai Yun 14-21, 21-18, 14-21 manakala Gan Teik Chai-Ong Soon Hock tewas kepada pasangan kurang ternama Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-14, 8-21, 11-21.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Amaran keras PAFA

Posted: 12 Jun 2013 08:21 AM PDT

Ipoh: Perak beri amaran kepada pemain Liga Super negeri itu supaya memenangi baki empat perlawanan jika tidak mahu dikenakan tindakan.

Kata dua itu diluahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berikutan kedudukan kurang memberangsangkan Seladang dalam carta liga ketika ini.


"Kami mahu pemain berusaha menang baki perlawanan mereka agar dapat memperbaiki kedudukan.

"Jika berjaya dilakukan, Perak berpeluang menamatkan cabaran dalam kelompok enam pasukan teratas," katanya di pejabat persatuan itu semalam.


Zainol berkata, bukan mustahil untuk Perak mencapai kejayaan walaupun bertemu empat pasukan teratas iaitu LionsXII, Pahang, Kelantan dan ATM.


Zainol juga menegaskan, PAFA tetap berjaga-jaga walaupun Perak bebas daripada gejala rasuah, sejajar dengan gesaan dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Tonik Selecao

Posted: 12 Jun 2013 08:13 AM PDT

Rio de Janeiro: Tinggal kira-kira setahun sebelum saingan Piala Dunia Brazil bermula dan tuan rumah tidak memiliki pilihan lain selain muncul juara.

Atas sebab itulah, barisan pemain kurang berpengalaman Selecao yang turut disertai bintang muda, Neymar berharap menggunakan aksi Piala Konfederasi untuk mendapatkan rentak terbaik sebelum saingan terbesar dunia itu bermula.


Juara dunia lima kali itu berharap melangkah sejauh mungkin pada saingan Piala Konfederasi bermula hujung minggu ini dan muncul juara buat kali keempat.

Dilantik semula hujung Disember lalu untuk mengetuai misi 2014, pakar taktikal Luiz Felipe Scolari (gambar) mengetepikan pemain berusia 30-an tahun termasuk Kaka dan Ronaldinho dan mempertaruhkan barisan pemain muda.


Bagi Neymar yang baru melengkapkan perpindahan ke Barcelona serta pemain tengah Chelsea, Oscar, Piala Konfederasi peluang terbaik meraih pengalaman dan keyakinan menjelang saingan Piala Dunia.


Purata usia pemain adalah 26 tahun enam bulan. Pada 2010, pasukan sama dibimbing Dunga pada saingan Piala Dunia Afrika Selatan dianggotai pemain lebih berpengalaman.

Kini hanya empat pemain pernah beraksi pada Piala Dunia iaitu Fred, Julio Cesar, Thiago Silva dan Dani Alves.


Selain itu, 11 daripada 23 pemain beraksi untuk kelab di Brazil, berbeza dengan senario sebelum ini yang menyaksikan kelab negara itu gagal mempertahankan barisan muda mereka.

Neymar dan Fernando masih beraksi di kelab Brazil, Santos dan Gremio ketika Scolari mengumumkan barisan pemain untuk Piala Konfederasi, 14 Mei lalu.


Fernando muncul pemain terbaru Brazil menyertai kelab gergasi Ukraine, Shakhtar Donetsk.


"Pemain muda memiliki kelebihan. Mereka minat mendalam.


"Namun pemain lebih berpengalaman juga dapat menyumbang sesuatu," kata Scolari yang membantu Brazil meraih gelaran dunia kelima pada 2002. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Mata julang imej Sepanyol

Posted: 12 Jun 2013 08:13 AM PDT

New York: Sepanyol meledak dua gol pada babak kedua untuk mengatasi Ireland, 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Yankee, semalam.

Sepanyol, pasukan ranking terbaik dunia, mensia-siakan beberapa peluang pada babak pertama sebelum pemain gantian, Roberto Soldado menemui sasaran dan memecah kebuntuan selepas 69 minit.


Ireland hampir menyamakan kedudukan beberapa kali, percubaan mereka terkena palang dan satu gol dibatalkan kerana ofsaid.

Kemudian Juan Mata tampil memastikan kemenangan apabila menjaringkan gol kedua Sepanyol pada minit ke-88 dengan penamat menakjubkan selepas menerima hantaran Santi Cazorla.


"Keseluruhan kami mempamerkan tahap aksi yang bagus, kami banyak menguasai bola terutama pada babak pertama," kata jurulatih Sepanyol Vicente Del Bosque.


"Mungkin kami kurang bagus dengan hantaran terakhir tapi keseluruhan, kami menguasai bola dengan baik, mengekang asakan serta serangan balas lawan.

"Kami bermain satu perlawanan yang bagus, kami mungkin patut menjaringkan satu lagi gol." Sepanyol kini menuju ke Brazil bagi menyertai Piala Konfederasi manakala Ireland berehat sebelum bersedia bagi kelayakan Piala Dunia, September ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Haiti lebur maruah Itali

Posted: 12 Jun 2013 08:13 AM PDT

Rio de Janeiro: Itali diaib Haiti, semalam apabila pasukan tidak ternama dari Caribbean itu menjaringkan dua gol dalam lima minit terakhir untuk mencatat seri 2-2 pada perlawanan persahabatan sekalipun ketinggalan selepas hanya 19 saat.

Pemain Haiti yang menyukarkan Sepanyol sebelum kalah 1-2 kepada juara dunia itu hujung minggu lalu, meraikan kejayaan di gelanggang milik kelab Vasco Da Gama, Stadium Sao Januario, selepas mengejutkan lawan lebih ternama.


Itali yang beraksi hanya 36 jam selepas tiba di Brazil bagi menghadapi Piala Konfederasi, mendahului menerusi Emanuele Giaccherini sebelum Claudio Marchisio menambah gol kedua pada minit ke-72.

Mereka mampu mengekang setiap asakan Haiti hinggalah Davide Astori mengasari Jean-Eudes Maurice dalam kotak penalti dan Olrish Saurel menyempurnakan sepakan penalti itu lima minit sebelum tamat.


Itali kelihatan letih dan tidak bermaya apabila satu hantaran jauh menemui Jean Philippe Peguero dan dia merembat melepasi penjaga gol, Salvatore Sirigiu untuk menyamakan kedudukan.


"Kami sedar 2-2 satu keputusan yang teruk," kata jurulatih Itali Cesare Prandelli. "Kami setuju bermain perlawanan ini, tiba semalam, kami melakukan banyak perubahan tapi perlu mempamerkan semangat berbeza." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Saingan tiga penjuru

Posted: 12 Jun 2013 08:12 AM PDT

Kuala Lumpur: Gelaran Divisyen Satu Bola Sepak Liga Institusi Pengajian Tinggi (Liga IPT) kini menjadi saingan tiga penjuru apabila Universiti Malaya (UM), salah satu pasukan pilihan, terkeluar selepas tewas kepada Kolej Komuniti Kedah (KKK) 0-1, minggu lalu.

Namun kedudukan UiTM Perlis untuk muncul juara baru lebih selesa berbanding juara bertahan, UiTM Shah Alam dan Universiti Kebangsaan (UKM).


Secara matematik, UiTM Perlis dibimbing bekas pemain Piala Malaysia Perlis dan Kedah, Manja Man (gambar) hanya perlu seri apabila menentang UiTM Shah Alam di Arau, Sabtu ini untuk menutup ruang buat 'abangnya' yang kini ketinggalan empat mata. Namun mereka perlu menang apabila berdepan KKK pada aksi terakhir di Jitra kerana UKM masih mampu memintas jika menang semua baki tiga perlawanan dengan jumlah jaringan besar.

"Tentunya ini kesempatan terbaik buat kami muncul juara," kata Manja. "Saya sudah ingatkan pemain, ini 'ibu segala perlawanan'. Jika ingin muncul juara pada musim pertama Divisyen Satu, Sabtu ini hari paling penting buat mereka.


"Saya juga ingatkan mereka, ia tidak mudah. UiTM Shah Alam juga mempunyai kelebihan kerana mereka menurunkan pemain simpanan skuad Liga Perdana tapi aksi di tempat sendiri memberi sedikit kelebihan buat kami. "Namun jika tewas, saya tetap bangga gelaran masih kekal di UiTM. Saya harap UiTM Pahang mengungguli Divisyen Dua dan tahun depan beraksi dalam Divisyen Satu." Sementara pengendali UiTM Shah Alam Wan Mustafa Wan Ismail berharap, pengalaman memberi sedikit kelebihan buat pasukannya.


"Saya percaya, pengalaman menjadi faktor penentu. Saya harap pemain kurang membuat kesilapan dan kekal momentum menjelang perlawanan penting ini," katanya.

Pengendali UKM Sulaiman Hussin pula kekal berpegang kepada slogan 'no pain, no gain'.


"Pada kedudukan terkini, saya hanya boleh berharap pemain fokus terhadap perlawanan sendiri. Biarkan 'gajah bertempur sesama sendiri' yang mungkin boleh menguntungkan si kancil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Ketua Polis Pahang teruja

Posted: 12 Jun 2013 08:10 AM PDT

Kuantan: Kejayaan Pahang melakar kejuaraan Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2013 di Terengganu 9 Jun lalu bukan saja diraikan pemain dan pengurusan pasukan, malah turut membanggakan Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani.

"Saya bangga Kontinjen Pahang berjaya muncul juara kejohanan itu buat pertama kali selepas 46 tahun," kata Sharifuddin.


Beliau yang pernah terbabit dalam sukan itu berkata, pujian harus diberikan kepada pengurus pasukan Asisten Superintendan Zainal Abidin Othman serta Asisten Komisioner Anuar Othman yang membantu selain barisan pemain yang berusaha keras.

"Bagaimanapun, masih ada ruang perlu diperbaiki untuk memastikan piala itu tidak terlepas pada edisi 2015.


"Peluang mengekalkan kejayaan ini tetap ada kerana majoriti pemain masih muda dan berpotensi besar namun saya harap mereka dapat meneruskan latihan jasmani dan mengekalkan kesihatan." Pahang muncul juara selepas menewaskan Selangor, 14-8 pada aksi akhir Kategori Cup di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Sebanyak 17 pasukan menyertai kejohanan lima hari itu, bermula 5 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Tuah penalti veteran UiTM Melaka

Posted: 12 Jun 2013 08:09 AM PDT

Melaka: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM buat pertama kali selepas mengatasi UiTM Terengganu di final, baru-baru ini.

Kejohanan edisi ketiga yang berlangsung lima hari di Kampus Lendu, Alor Gajah itu menyaksikan tuan rumah menang 5-4 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga masa tambahan.


UiTM Melaka meraih hadiah RM2,000 dan UiTM Terengganu (RM1,000) manakala UiTM Perlis dan Sarawak (RM500). Setiap pemenang juga menerima hadiah iringan.

Hadiah disampaikan TNC HEP UiTM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dan Rektor UiTM Melaka Prosefor Madya Dr Adnan Hashim.


Hadir sama Timbalan Rektor UiTM Melaka Norazman Harun, Ketua Pusat Sukan UiTM Mustaza Ahmad dan pengurusan tertinggi Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM Malaysia.


Abdullah berkata, kejayaan Melaka itu membuktikan tiada pasukan mampu mendominasi untuk tempoh panjang berikutan kualiti setiap pasukan kian meningkat.

"Kejohanan ini turut membuka peluang kepada semua kakitangan UiTM bertemu dan mengeratkan hubungan silaturahim termasuk dari Sabah dan Sarawak," katanya.


UiTM Perlis bakal menjadi tuan rumah kejohanan edisi keempat tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Azizul kecundang

Posted: 12 Jun 2013 08:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejutan dicipta pada aksi hari pertama Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan semalam apabila pelumba negara, Azizulhasni Awang yang mewakili Terengganu, tewas acara pecut individu.

Azizulhasni sekadar menamatkan cabaran di tempat keempat, tunduk kepada pelumba muda, Muhd Arfy Qhairant Amran yang mewakili Melaka pada penentuan tempat ketiga selain turut tewas kepada Josiah Ng di separuh akhir.


Atas kertas, Azizulhasni yang pernah merangkul pingat perak acara sama di Kejohanan Dunia 2009 di Poland, dilihat mudah mengungguli acara itu namun senario itu berubah apabila dia gagal meneruskan rentak kayuhan dan terpaksa berpuas hati di tempat keempat, tewas kepada Arfy, 2-0.

Josiah yang beraksi di bawah bendera Sarawak bijak mempertaruhkan strategi untuk membuktikan kayuhan berbisa apabila meraih dua emas.


Dia menewaskan seorang lagi pelumba berpangkalan di Melbourne, Muhammad Edrus Md Yunos dari Perak untuk meraih emas kedua selepas menguasai acara 1 kilometer ujian masa.


"Semua orang menjangkakan saya dan Azizul akan mendominasi perlumbaan ini tapi Arfy yang pada satu masa dulu hampir terkeluar daripada skuad ini membuktikan dia mampu menyerlah. "Kejohanan ini memberi petanda kebangkitan barisan pelumba muda. Saya bangga melihat kebangkitan pelumba muda di kejohanan kebangsaan dan jika mereka terus berjuang pasti ada pengganti saya dan Azizul," katanya. Hari ini, Josiah dan Azizulhasni sekali lagi bakal bertemu untuk membuktikan siapa di antara mereka jaguh acara keirin. Kali terakhir kedua-dua pelumba ini bertemu di Kejohanan Trek Berbasikal Grand Prix Asia Tenggara 2013, Isnin lalu, menyaksikan kemenangan berpihak kepada Azizulhasni yang menduduki tempat ketiga manakala Josiah, kelima.

Sementara itu dalam aksi wanita elit, Fatehah Mustapa nyata tiada tandingan apabila mudah merangkul emas acara 500m ujian masa dan pecut.


Fatehah yang mewakili Terengganu tidak menghadapi masalah meraih emas kategori pecut apabila mengalahkan Lauretta Eva Adrian dari Perlis dengan 14.009s dan 13.657s.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

No comments:

Post a Comment