Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Enggan berganjak

Posted: 15 Jun 2013 10:24 AM PDT

Istanbul: Penunjuk perasaan Turki semalam enggan berganjak dari taman dekat bandar raya ini, sekali gus menolak tawaran yang diharap kerajaan mengakhiri kekacauan di seluruh negara itu.

Tawaran Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan untuk menggantung projek pembangunan semula Taman Gezi dianggap sebagai tolak ansur penting.


Bagaimanapun, selepas berunding semalaman, penunjuk perasaan berkata mereka lebih utama daripada matlamat diperjuangkan. "Kami akan terus membantah sebarang ketidakadilan di negara kami. Ini hanya satu permulaan," kata anggota Perpaduan Taksim yang dilihat wakil utama penunuk perasaan dalam kenyataan mereka.

Keputusan itu pasti menyemarakkan ketegangan sehari selepas Recep menawarkan penggantungan pembangunan Taman Gezi hingga mahkamah memutuskan kesahihan projek itu dalam usaha mengakhiri cabaran terbesar yang dihadapi kerajaannya.


"Anda sudah berada di situ terlalu lama dan sudah menyatakan hasrat kamu. Mengapa masih tidak berganjak?" kata Recep dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.


Sementara itu, di ibu negara Ankara, polis antirusuhan menembak gas pemedih mati dan meriam air sekali lagi untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Kira-kira 30 penunjuk perasaan ditangkap.

Foto

Seorang penunjuk perasaan memakai topeng Guy Fawkes baring di atas kereta yang terbalik di pintu masuk Taman Gezi.

Dalam pada itu, puluhan ribu penyokong Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Recep dijangka berarak di Ankara hari ini untuk perhimpunan pilihan raya, sebagai tanda sokongan kepada perdana menteri itu.


Keganasan melanda Turki sejak 31 Mei lalu apabila polis bertindak keras menyuraikan kempen secara aman untuk menyelamatkan 600 pokok di Taman Gezi.

Empat orang terbunuh dan hampir 7,500 cedera sepanjang keganasan itu yang menyaksikan polis menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Hanya kerana makaroni keju

Posted: 15 Jun 2013 10:17 AM PDT

Volusia: Seorang lelaki Randy Zipperer, 49, dituduh menikam adik lelakinya kerana makaroni dan keju.

Saksi memberitahu pihak berkuasa di Volusia, Florida bahawa Randy dan adik lelakinya Edward Zipperer, 47, mula bergaduh selepas makaroni dan keju Randy hilang, lapor Daytona Beach News-Journal. Adik lelakinya itu turut membantu mencari makanan itu, tetapi ketika sibuk mencari Edward terlanggar botol bir yang diminum Randy. Bir yang tertumpah itu menyebabkan Randy semakin berang. Polis berkata, Randy mengambil pisau lalu menikam perut adiknya. Apabila polis tiba ke tempat kejadian, mereka mendapati Edward mengalami kecederaan di perutnya selain kesan darah antara dapur dan bilik tidur, menurut Click Orlando.


Randy mengakui mengacukan pisau ke arah adiknya, tetapi tidak bermaksud mencederakannya.

Dia dituduh melakukan serangan berat dan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas tetapi tanpa menggunakan keganasan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Spekulasi Tony Blair punca cerai

Posted: 15 Jun 2013 10:16 AM PDT

London: Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, 60, semalam terpaksa menafikan khabar angin di Internet yang mengaitkannya dengan perceraian antara Rupert Murdoch dan Wendi Deng.

Spekulasi itu dibuat ekoran dakwaan di Twitter oleh pengarang perniagaan Stesen Penyiaran Britain (BBC) Robert Peston bahawa alasan Murdoch untuk menceraikan Wendi amat mengejutkan.


Peston yang mempunyai hubungan rapat dengan Murdoch berkata, dia sendiri tidak dapat mempercayai alasan itu.

Khabar angin itu disangkal pembantu Blair yang menyifatkannya tidak benar dan berita yang amat palsu.


Jurucakap Blair memberitahu Hollywood Reporter: "Jika kamu tanya sama ada mereka ada hubungan sulit, jawapannya tidak." Jurucakap itu berkata, bekas perdana menteri berkenaan tidak akan membuat kenyataan rasmi mengenai perceraian itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Hantu Jacko bercakap dari kubur?

Posted: 15 Jun 2013 10:15 AM PDT

Los Angeles: Michael Jackson diisytihar mati secara tidak sengaja.

Mahkamah di sini diberitahu, perisytiharan itu dibuat sendiri hantu penyanyi itu.


Jacko, 50, dikatakan memberitahu Brenda bekas isteri Lionel Richie dia membunuh dirinya secara tidak sengaja. Ini didedahkan Randy Phillips, Ketua Pengarah Eksekutif AEG, syarikat yang didakwa oleh keluarga Jacko kerana menyebabkan kematian Raja Pop itu.

Phillips mengejutkan mahkamah dengan mendakwa Jacko bercakap dari kuburnya bahawa dia mati kerana tidak sengaja.


"Brenda menelefon memberitahu saya dia berbual dengan Jacko, sama ada secara orang tengah atau secara langsung. Katanya, Jacko memberitahu dia tidak sengaja menyebabkan kematiannya." Kenyataan itu menyebabkan orang ramai yang menghadiri perbicaraan itu ketawa.


Hakim Yvette Palazuelos menerima kenyataan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Jual 'anu' untuk ke Eropah

Posted: 15 Jun 2013 10:15 AM PDT

Bogota: Seorang penyajak di Colombia begitu ingin melawat Eropah hingga sanggup membiayai perjalanannya itu dengan menjual zakarnya.

Rafael Medina Brochero, 52, menawar menjual kemaluannya dengan harga AS$20,000 (RM60,000) supaya dia boleh menyertai acara 'Sajak Untuk Keamanan di Colombia,' menurut laporan ColombiaReports.com.


Brochero tidak menyebut sama ada pembedahan pemindahan zakarnya termasuk dalam kos AS$20,000 itu. Bagaimanapun, dia dipetik berkata, zakarnya boleh dipindahkan kepada lelaki yang memerlukannya atau untuk membuat sup, lapor Yahoo! Australia.

Ia cara terdesak untuk mengumpulkan wang, tetapi Brochero melihatnya dari sudut positif. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

'Serah kepada Megawati'

Posted: 15 Jun 2013 10:13 AM PDT

Jakarta: Gabenor Joko Widodo yang mendahului undi populariti untuk pilihan raya presiden Indonesia tahun depan mengulangi kesetiaannya kepada Presiden Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputri.

Katanya, Megawati yang akan menentukan siapa bertanding.


Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi mendahului Prabowo Subianto daripada Parti Gerakan Indonesia Raya selaku pilihan pertama untuk menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono dalam kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia bulan lalu.

"PDI-P parti saya. Bu Mega (Megawati) pula pengerusi PDI-P. Beliau yang bertanggungjawab memilih siapa yang mewakili PDI-P. Tanya dia. Jangan tanya saya," kata Joko, 51, dalam temu ramah di Jakarta baru-baru ini. Peningkatan mendadak populariti Joko selepas menang jawatan Gabenor Jakarta September lalu menyemarakkan spekulasi bahawa beliau akan bertanding merebut jawatan presiden tahun depan.


Kajian bulan lalu menunjukkan, jika Joko bertanding, beliau akan meraih 28.6 peratus undi, diikuti oleh Aburizal Bakrie dari Golkar, 15.6 peratus dan 5.4 peratus untuk Megawati. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

MILF kecewa rundingan damai 'lembab'

Posted: 15 Jun 2013 10:13 AM PDT

Manila: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kecewa kelembapan dalam rundingan damai dengan kerajaan Filipina.

Dalam mesej kepada fasilitator rundingan berkenaan di Malaysia Abdul Ghafar, Naib Pengerusi Hal Ehwal Politik MILF Ghadzali Jaafar memberi amaran, pegawai kanan kumpulan itu semakin tidak yakin bahawa sengketa bersenjata di selatan Filipina akan berakhir.


Dalam mesej itu, Ghadzali berkata: "MILF kecewa dengan apa yang berlaku pada rundingan damai dan kami memandang berat apa yang berlaku." Bercakap menerusi telefon dengan wartawan di Manila, Ghadzali juga memberitahu, pegawai kanannya semakin hilang kepercayaan dan berharap isu Bangsamoro itu akan diselesaikan menerusi rundingan. "Mereka marah kerana terpaksa menunggu begitu lama. Perkembangan ini tidak bagus. Mereka semakin kurang yakin hasrat kerajaan untuk menyelesaikan isu Bangsamoro," katanya.

Menurutnya, kekecewaan MILF berpunca daripada penangguhan menandatangani perjanjian damai menyeluruh.


"Kerajaan sebelum ini berkata, rundingan rasmi disambung semula di Kuala Lumpur selepas pilihan raya. Tetapi sehingga ini tidak ada jadual ditetapkan," kata Ghadzali. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Jangan halang wanita dapat hidayah

Posted: 15 Jun 2013 10:10 AM PDT

Jakarta: Peraturan yang tidak membenarkan anggota polis wanita Indonesia memakai tudung mencetuskan bantahan daripada pertubuhan Islam neghara itu.

Mengikut akta polis Indonesia (Polri), anggota wanitanya perlu mematuhi peraturan pakaian seragam. Anggota kumpulan Muhammadiyah Ati berkata, pihak pengurusan polis perlu menghargai hasrat anggota wanita yang ingin bertudung. Menurutnya, itu pilihan individu dan pihak pengurusan polis perlu mengkaji terlebih dulu sebelum membuat keputusan.


"Adakah patut kita menghalang orang yang mendapat hidayah?" katanya ketika dihubungi semalam.

Ati berkata, penyeragaman yang dikuat kuasa dalam peraturan itu tidak tepat jika ia melanggar keinginan orang untuk beribadat.


Anggota kanan Parlimen daripada Parti Persatuan Pembangunan Lukman Hakim Saefuddin, berkata, dasar melarang pemakaian tudung mencabuli hak asasi dan menuntut polis membatalkan larangan itu.


"Ia secara khusus melanggar hak kebebasan beragama yang dilindungi perlembagaan. Semua institusi dan agensi kerajaan membenarkan kakitangan mereka bertudung dan ia tidak memberi kesan negatif terhadap tugas mereka," katanya.

Beliau memberi amaran mengenai bantahan pertubuhan Islam jika polis enggan mengubah dasar mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Penggodam muat naik nombor Presiden

Posted: 15 Jun 2013 10:09 AM PDT

Manila: Seorang penggodam memuat naik di Internet apa yang didakwanya nombor telefon peribadi milik Presiden Benigno Aquino.

Jurucakap presiden Ricky Carandang mengutuk tindakan itu sebagai 'vandalisme siber'.


Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada nombor itu benar-benar milik Benigno atau pendedahannya di web ke seluruh dunia mengancam keselamatan peribadi pemimpin berkenaan atau rahsia negara.

"Ia vandalisme siber. Kami akan menangani perbuatan itu," katanya.


Tiga nombor dimuat naik lewat kelmarin di laman Facebook pengguna bernama "#pR.is0n3r". Pemilik laman itu menggesa pengikutnya yang mencecah lebih 9,000 semalam supaya berkomunikasi secara langsung dengan presiden.


Ketiga-tiga nombor telefon kelihatannya tidak lagi berfungsi pagi semalam apabila didail petugas media. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

No comments:

Post a Comment