Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Si kerdil hanya makan pasta, telur

Posted: 09 Jun 2013 08:38 AM PDT

Glasgow: Si kerdil Nick Smith sering didukung adik dan abangnya yang dua kali lebih tinggi berbanding dirinya.

Nick, 21, yang berketinggian 0.93 meter mengalami sakit kekerdilan yang hanya dialami 100 orang di seluruh dunia.

Bagaimanapun, adik lelakinya, Levis, 18 dan abangnya Travis, 24, kedua-duanya berketinggian 1.94 meter.

Travis berkata: "Kami selalu berjenaka mengatakan kami mencuri genetik ketinggiannya."

Foto

NICK (tengah) memeluk abangnya Travis (kiri) dan adik lelakinya, Levis.


Levis juga menambah: "Saya masih menghormatinya sebagai abang saya."


Orang yang berkeadaan seperti Nick jarang dapat hidup melebihi 20 tahun. Dia telah menjalani lapan pembedahan, termasuk memindahkan empat aneurisme otak.

Buah pinggangnya gagal berfungsi sebanyak 30 peratus, dan dia hanya makan pasta dan telur putih.

Ibunya, Shelley, 48, berkata: "Dia seorang yang ceria. Dia pandai mengambil hati wanita.

"Bagi saya, ia bagaikan mempunyai anak yang tidak membesar. Apa lagi yang boleh menggembirakan seorang ibu?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Setahun ditipu bekas suami

Posted: 09 Jun 2013 08:31 AM PDT

Minneapolis: Seorang janda di Minnesota mendapat tahu lelaki yang dikenali dan berkomunikasi dengannya di Internet selama setahun sebenarnya ialah bekas suaminya.

Selepas menyedari situasi sebenar, wanita berkenaan memfailkan saman kerana mengintipnya.

Brian Matthew Cornelius, 36, didakwa mereka "nama samaran di Internet" sebelum berkomunikasi dengan bekas isterinya.

Sepanjang tempoh berhubung di Internet, bekas isterinya mendedahkan banyak maklumat intim mengenai diri sendiri, termasuk perasaannya terhadap bekas suaminya itu.


Sebuah akhbar tempatan melaporkan, Cornelius memantau kediaman bekas isterinya melalui webcam.


Dia turut meyakinkan wanita itu agar 'tidak muncul di mahkamah.' untuk menghadiri perbicaraan menuntut supaya dia tidak diganggu bekas suaminya.
Kerana tidak hadir, kes itu digugurkan.

Akhirnya, wanita berkenaan dapat mengagak bahawa 'Aaron Carpenter' sebenarnya Brian Cornelius, bekas suaminya.

Menurut laporan, Cornelius muncul di tempat sama di mana wanita itu memberitahu 'Carpenter' dia akan berada di sana.

Lelaki 'Carpenter' itu juga bercakap mengenai perkara yang sama yang hanya bekas suaminya tahu.

Apabila disergah bekas isterinya Cornelius akhirnya mengaku menggunakan imej di Internet untuk dipadankan dengan profilnya.

Kedua-duanya berkahwin selama 11 tahun dan mempunyai dua anak.

Cornelius berdepan dua pertuduhan salah laku pengintipan. Dia akan dibicarakan bulan depan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Paris masuk hospital tempat MJ mati

Posted: 09 Jun 2013 08:29 AM PDT

Los Angeles: Anak perempuan Michael Jackson dipindahkan ke Pusat Perubatan UCLA semalam, selepas menamatkan rawatan penjagaan psikiatrik selama 72 jam sebelum ini.

Paris sebelum ini ditempatkan di sebuah hospital lain selepas mengelar lengannya dengan pisau pemotong daging, Remaja itu yang didakwa cuba membunuh diri dilihat di luar Pusat Perubatan UCLA dengan diiringi beberapa pengawal peribadi.


Pusat perubatan itu bukan asing bagi keluarga Jackson. Bapanya, Michael dimasukkan ke hospital itu selepas diserang sakit jantung pada 25 Jun 2009. Dia juga meninggal dunia di hospital itu tidak lama kemudian. - TMZ

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Pemandu lelaki pakai skirt

Posted: 09 Jun 2013 08:29 AM PDT

Stockholm: Pemandu lelaki kereta api di Sweden menemui cara baru bagi menangani larangan berseluar pendek pada musim panas dengan memakai skirt.

Pemandu laluan Roslagsbanan di utara Stockholm diperlukan memakai seluar panjang atau skirt untuk bekerja. Akibatnya, puluhan pekerja memakai skirt untuk lebih selesa ketika bekerja sepanjang musim panas apabila suhu di dalam kabin meningkat sehingga 35 darjah celsius.


Syarikat kereta api Arriva berkata, mereka tiada masalah dengan lelaki memakai skirt.

"Pada pendapat kami, pemandu perlu kelihatan sopan apabila mewakili Arriva dan pakaian sedia ada menggambarkannya.


"Jika pemandu lelaki mahu memakai skirt, biarkan saja," kata pengurus komunikasi Arriva, Tomas Hedenius kepada akhbar tempatan, Mitt I. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Israel tolak negara Palestin

Posted: 09 Jun 2013 08:27 AM PDT

Baitulmaqdis: Seorang anggota kanan parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyhu semalam berkata, rejim Zionis itu tidak akan menerima negara Palestin dengan sempadan sebelum Perang 1967 yang dipersetujui masyarakat antarabangsa.

"Kami kerajaan nasionalis dan bukan kerajaan yang akan mewujudkan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum Perang 1967," kata Timbalan Menteri Pertahanan, Danny Danon.

Dalam kenyataannya kepada akhbar Times of Israel pula, dia berkata, kumpulan yang menyokong untuk berperang dalam kerajaan campuran Netanyahu tidak sekali-kali membenarkan kewujudan negara Palestin.

Kenyataannya itu sudah pasti menjejaskan usaha Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry untuk melancarkan semula rundingan damai Asia Barat.


Sementara itu, pegawai di pejabat Netanyahu berkata, kenyataan Danon pendapat peribadinya dan ia tidak menggambarkan pendapat kerajaan.


Bercakap kepada Kabinetnya, Netanyahu berkata, rejim itu itu mesti sekata jika mahu rundingan damai dilancarkan semula.

Rakyat Palestin mahukan sebuah negara merdeka di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza, kawasan yang ditakluk Israel dalam Perang 1967.

Perunding kanan Palestin dengan Israel, Saeb Erakat ketika mengulas kenyataan itu berkata, pendirian Danon menggambarkan dasar Israel.

"Saya percaya kerajaan yang terus degil membina penempatan Yahudi dan menolak rundingan tidak berminat mewujudkan keamanan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

31 maut di Benghazi

Posted: 09 Jun 2013 08:26 AM PDT

Benghazi: Pertempuran antara bekas pemberontak dengan penunjuk perasaan antimilitia di bandar raya kedua terbesar Libya ini meragut sekurang-kurangnya 31 nyawa.

Agensi berita LANA melaporkan, 100 orang cedera dalam keganasan itu.

Pertempuran tercetus selepas puluhan penunjuk perasaan, sesetengahnya bersenjata cuba mengusir briged "Pelindung Libya" yang menguasai Benghazi dari berek mereka.

Mereka mengepung ibu pejabat kumpulan berkenaan dan meminta anggota tetap tentera masuk campur dengan berkata mereka mahu mengusir kumpulan itu dari Benghazi.


Jurucakap 'Pelindung Libya' Adel Tarhuni mempertahankan kewujudan brigednya dengan berkata, ia secara rasmi terletak di bawah Kementerian Pertahanan.


Dia mendakwa tunjuk perasaan di luar briged berkenaan disertai kumpulan bersenjata.

Dalam perkembangan terbaru, Perdana Menteri Libya, Ali Zeidan mengumumkan, kumpulan itu sudah meninggalkan berek mereka yang kini dikuasai anggota tetap tentera.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Bot bawa 55 pelarian karam

Posted: 09 Jun 2013 08:25 AM PDT

Sydney: Pesawat, kapal dagang dan tentera laut semalam melancarkan gerakan mencari besar-besaran selepas sebuah bot yang membawa 55 pendatang asing karam. Setakat ini, 13 orang disahkan mati.

Bot berkenaan dilihat kali terakhir tidak jauh dari Pulau Krismas di Barat Australia, tetapi kemudian hilang.


Sehingga ini tidak dapat dipastikan kerakyatan penumpang.

Bagaimanapun, pelarian dari Myanmar, Iraq, Afghanistan dan Sri Lanka adalah yang paling kerap tiba untuk mencari suaka politik di Australia dengan bantuan penyeludup dari Indonesia.


"Tiga belas mayat dilihat terapung dan usaha mencari yang lain masih diteruskan," kata Menteri Dalam Negeri Australia, Jason Clare.


Usaha rumit membawa naik mayat tidak akan dilakukan sehingga ada mangsa yang terselamat ditemui. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Anjing selamat bayi baru lahir

Posted: 09 Jun 2013 08:24 AM PDT

Bangkok: Seekor anjing menyelamatkan seorang bayi yang dibuang ke dalam tong sampah di tepi jalan di bandar raya ini, semalam.

Anjing bernama Pui itu menemui bayi berkenaan dalam plastik beg sebelum menggonggongnya pulang ke kediaman tuannya Gumnerd Thongmak.


Anak saudara Gumnerd berusia 12 tahun Sudarat membuka beg plastik itu dan terkejut menemui bayi kecil di dalamnya. Dia segera memberitahu bapa saudaranya yang bergegas menghantar bayi itu ke hospital. Doktor berkata, bayi itu yang dilahirkan tidak cukup bulan dan hanya seberat 1.8 kilogram itu berada dalam keadaan baik.

Ibu bapa mangsa masih dijejaki pihak berkuasa sementara dia diletakkan di bawah jagaan pihak hospital. Sehingga pagi semalam terdapat lima keluarga menghubungi pihak berkuasa untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat. Sementara itu, ibu Sudarat berkata, Pui tidak pernah membawa apa-apa pulang, jadi mengejutkan apabila haiwan itu membawa pulang satu beg plastik semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Taufik Kiemas diberi penghormatan tentera

Posted: 09 Jun 2013 08:23 AM PDT

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, semalam mengetuai upacara pengebumian jenazah Ketua Majlis Pemesyuaratan Rakyat Taufiq Kiemas di Pusara Pahlawan Kalibata, Jakarta Selatan.

Majlis itu turut dihadiri ketua jabatan, tokoh politik dan tokoh nasional serta rakyat, khususnya anggota Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) "Atas nama negara dan bangsa Indonesia dengan ini kami persembahkan ke persada Ibu Pertiwi, jiwa raga dan jasa almarhum," kata Susilo ketika memulakan upacara penuh penghormatan tentera itu.


Taufiq, 70, suami bekas Presiden Megawati Sukarnoputri meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura jam 7.05 malam kelmarin. Jenazahnya diterbangkan ke Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Timur Jakarta sebelum dibawa ke Pusara Pahlawan Kalibata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Ditembak mati kerana tidak hadir majlis hari jadi

Posted: 09 Jun 2013 08:23 AM PDT

Bangkok: Seorang pegawai tentera ditembak mati oleh abang iparnya kerana tidak menghadiri majlis sambutan hari jadinya.

Pegawai penyiasat Leftenan Sukan Kongfu berkata, pihaknya menerima berita mengenai serangan itu awal pagi semalam.

Polis dan pasukan penyelamat yang dikerah ke tempat kejadian menemui mayat mangsa, Kolonel Saksit 'Seh Tik' Yaowarat, 40, anggota tenaga pengajar di sebuah kolej tentera.

Menurut saksi, Saksit tidak menghadiri majlis hari jadi abang iparnya, Nirut Rodraksa, 36. Jumaat lalu, sebaliknya menghabiskan masa dengan minum bersama kawannya.


Nirut dikatakan menghampiri Saksit dan bertanyakan alasan mengapa dia tidak hadir sebelum menembak mangsa dan melarikan diri. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

No comments:

Post a Comment