Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Jangan ganggu dia..'

Posted: 17 Jun 2013 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Jangan ganggu Paul Revington dan pihak pengurusan perlu berhenti daripada bermain politik.

Itu desakan seorang pemain kebangsaan yang berharap pengendali skuad hoki negara itu tidak diganggu lagi selepas beliau bersetuju untuk menarik balik keputusan meletak jawatan.


Bagi pemain berkenaan yang enggan namanya di dedahkan, Revington tahu apa yang dilakukannya dan beliau sememangnya tidak suka diganggu ketika menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih.

"Sebagai pemain kami memahami apa yang dimahukan oleh Revington dan memang benar beliau tidak suka mana-mana pihak mengganggunya ketika bersama skuad negara kerana ia mungkin hanya akan menjejaskan tumpuannya.


"Kami tidak nafikan beliau seorang serius tetapi kadang kala boleh di bawa berbincang. Apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan kami semua," katanya.


Mengulas lanjut, pemain senior itu berkata, pihak atasan juga tidak perlu terus bermain politik demi menjaga periuk nasi masing-masing.

Foto

PEMAIN hoki negara tetap berlatih walaupun tanpa kehadiran Revington.

"Saya tak nafikan ada individu dalam MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) menjalankan tugas untuk kepentingan tertentu," katanya.


Malah pemain yang sering mewakili skuad negara itu jelas tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Majid Manjit Abdullah yang mahu melantik bekas jurulatih negara, Sarjit Singh sebagai ketua jurulatih sekiranya Revington benar-benar mahu berundur.

"Tanyalah kepada semua yang arif dengan dunia hoki tempatan, mereka pasti kenal siapa sebenarnya Sarjit.


"Adakah kita mahu melantik seorang jurulatih bermasalah untuk membimbing skuad negara? Sudah pasti tidak.


"Saya pun pasti rata-rata rakan sepasukan pasti tidak bersetuju jika Sarjit dilantik sebagai ketua jurulatih.


"Kenapa beliau (Majid) tiba-tiba 'petik' nama Sarjit? Itu kena tanya beliau sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Khairy tak mahu bazir wang rakyat

Posted: 17 Jun 2013 10:05 AM PDT

Putrajaya: Masih belum ada sebarang keputusan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung pembinaan velod rom tertutup bertaraf antarabangsa.

Beliau menegaskan, biarpun ada sentimen kenegerian berhubung pembinaan velodrom itu di Negeri Sembilan, Khairy berkata banyak aspek perlu diambil kira kerana ia wang rakyat. Katanya, apa yang dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad adalah tidak tepat justeru beliau sudah meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong untuk menegur Naim.


"Kenyataan yang dibuat Naim bukan pada tempatnya kerana keputusan pembinaan velodrom itu adalah keputusan kerajaan dan KBS.

"Saya tidak hadir pada perbincangan minggu lalu dan ia hanya di peringkat awal perbincangan berhubung pembinaan velodrom itu sama ada di Nilai atau mengikut cadangan daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) di Cheras.


"Biarpun ada sentimen kenegerian, ini adalah duit rakyat tapi sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya perlu melihat perkara ini secara menyeluruh kerana jika dapat bina dua buah velodrom siapa yang tak nak, tapi kerajaan juga ada kekangan," katanya. Sebelum ini, Naim pernah mengeluarkan kenyataan cukup hanya satu velodrom bertaraf dunia dibina dengan bajet selebihnya disalurkan kepada negeri-negeri bagi membina velodrom asas untuk kemudahan latihan pelumba di setiap negeri. Sukan berbasikal negara sebelum ini menerima perkhabaran gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan velodrom pada Bajet 2013. Namun perkara itu turut mendapat perhatian DBKL yang berhasrat mahu meruntuhkan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dan menggantikannya dengan velod rom tertutup bernilai RM80 juta yang dijangka dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Revington kekal jurulatih negara

Posted: 17 Jun 2013 10:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai masa depan Paul Revington akhirnya terjawab selepas ketua jurulatih skuad hoki negara itu bersetuju menarik balik keputusan meletak jawatan sekali gus terus membimbing skuad negara untuk sekurang-kurangnya hingga kempen separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bermula 29 Jun ini.

Revington mengubah pendiriannya selepas mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di pejabatnya semalam dalam usaha mencari jalan penyelesaian berhubung kariernya sebagai jurulatih kebangsaan selepas dunia sukan tempatan dikejutkan dengan berita peletakan jawatan pengendali berusia 39 tahun itu sebelum ini.


Khairy selepas pertemuan dengan Revington bagaimanapun berkata, beliau masih berhasrat untuk bertemu dengan semua individu yang terbabit dengan isu peletakan jawatan itu termasuk Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas ini.

"Cukuplah untuk saya menyatakan hari ini (semalam) bahawa Paul (Revington) sudah bersetuju untuk kekal sebagai jurulatih pasukan hoki kebangsaan sehingga Liga Hoki Dunia pada hujung bulan ini," katanya.


Khairy berkata, Revington juga mungkin turut bersetuju membimbing skuad negara selepas berakhir saingan di Johor Bahru.


"Cuma saya kena bincang juga dengan mereka yang terbabit sebelum kita buat ketetapan untuk beliau kekal selepas Liga Hoki Dunia," katanya.

Beliau juga mengaku berasa lega dengan keputusan yang diambil Revington kerana menganggap jurulatih berasal dari Afrika Selatan itu cemerlang membimbing skuad negara sebelum ini.


"Beliau mengendalikan pasukan kebangsaan dengan baik dan pemain pun menghormatinya. Saya tidak mahu momentum pasukan kita ke Liga Dunia terjejas," katanya.

Ditanya adakah beliau ada memberi jaminan kepada Revington sehingga mendorong jurulatih itu menarik balik keputusan daripada meletak jawatan, Khairy menafikan tanggapan itu.


"Tiada apa-apa jaminan. Cuma saya maklumkan kepadanya bahawa saya sendiri secara peribadi akan menangani isu ini bersama Tengku Abdullah.


"Perkara ini 'meletup' ketika saya baru jadi menteri. Jadi saya tidak diberitahu mengenai perkara mendorong kepada keputusan beliau nak meletak jawatan.


"Apabila sudah sampai ke pengetahuan saya, saya rasa boleh membantu cuba meredakan keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Bergabung usul EGM!

Posted: 17 Jun 2013 10:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Desakan demi desakan dari pelbagai pihak menuntut pembaharuan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin kuat dirasai badan induk bola sepak tanah air itu dan terbaru dua ahli gabungannya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) membuat usul agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FAM diadakan dalam tempoh terdekat.

Kedua-dua ahli gabungan FAM itu tampil dengan usul itu selepas mengadakan mesyuarat agung masing-masing minggu lalu dan EGM itu boleh diadakan jika mendapat dua lagi persetujuan ahli daripada 19 ahli gabungan kesemuanya.


Menurut Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim, pihaknya akan menghantar surat kepada FAM untuk memaklumkan mengenai usul itu selepas Mesyuarat Agung KAFA menerima usul yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) Bachok.

"Kita boleh baca menerusi laporan akhbar banyak komen pelbagai pihak terhadap FAM, jadi dengan EGM ini kita boleh berbincang dan menyelesaikan apa saja isu yang dibangkitkan.


"Sekarang kita hanya perlu dua lagi persetujuan daripada ahli gabungan (untuk mengadakan EGM) namun prosedur selepas itu saya tidak begitu pasti sama ada keempat-keempat ahli gabungan ini perlu menulis surat kepada FAM ataupun tidak," katanya.


Langkah KAFA itu turut dituruti PFA yang mahu FAM mengadakan EGM bagi mengembalikan semula badan induk itu ke landasan sebenar.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, PFA mahu EGM itu diadakan dengan kehadiran bekas Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa yang digantung kerana melanggar Artikel 88.


Ketika ditanya kemungkinan hasrat itu mungkin tidak kesampaian jika gagal mendapat sokongan ahli gabungan lain, Azman berkata: "Itu terpulang kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing. Kita hanya melakukan perkara ini mengikut prosedur yang betul." FAM kini diasak dengan pelbagai isu termasuk yang terbaru ditimbulkan oleh Annuar mengenai perbelanjaan wang tajaan Astro sebanyak RM30 juta selama empat tahun oleh badan induk itu yang masih belum ada sebarang penjelasan.

Sebelum ini isu kegagalan pembayaran hak penyiaran setiap pasukan berjumlah RM15,000 bagi setiap perlawanan turut mendapat perhatian dan FAM hanya mula bertindak selepas perkara itu dibangkitkan oleh Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Tekad Amri

Posted: 17 Jun 2013 10:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Sentuhan jaringan bersama skuad kebangsaan mahu diteruskan penyerang Selangor, Mohd Amri Yahyah apabila menanti kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Penyerang veteran berusia 32 tahun itu menjadi penjaring terbanyak skuad negara dalam siri persahabatan Harimau Malaya di Australia membabitkan tiga kelab yang berakhir minggu lalu dengan meledak hatrik dalam pertemuan bertemu Sydney Olympic FC.


"Saya memang berharap dapat meneruskannya (sentuhan jaringan), namun ia semua hadir dengan kerjasama rakan sepasukan. Tanpa bantuan rakan lain sukar untuk saya menjaringkan gol. Jadi saya harap semua pemain diturunkan mampu mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi.

"Paling penting adalah kemenangan pasukan dalam mengharungi baki empat perlawanan Liga Super bagi memastikan tiga tempat teratas seperti yang disasarkan mampu diraih," katanya yang mengakui teruja untuk kembali menyarung jersi Merah Kuning selepas terlepas dua perlawanan sebelum liga berehat gara-gara penggantungan.


Sentuhan tajam Amri pastinya amat ditagih pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim selepas kehilangan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe susulan menjalani penggantungan satu perlawanan.


"Saya berpandangan semua pemain yang tersenarai dalam skuad mampu memberikan sesuatu kepada pasukan. Jadi tiada masalah jika dia tidak beraksi kerana penyerang lain turut mempunyai kebolehan," katanya yang turut bersedia seandainya diletakkan sebagai penyerang utama.

Selangor kini menghuni kedudukan keempat Liga Super dengan meraih 30 mata dengan ATM mempunyai kelebihan tiga mata di kedudukan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Norhafiz kembali dalam skuad utama

Posted: 17 Jun 2013 10:00 AM PDT

Seremban: Bekas tonggak pertahanan kebangsaan Nor hafiz Zamani Misbah bakal berada dalam senarai 18 pemain apabila Negeri Sembilan turun menentang PKNS FC, pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

Perkara itu disahkan jurulatih Ridzuan Abu Shah selepas menyaksikan dia berada pada tahap kecergasan baik selepas pulih daripada kecederaan lutut yang memaksanya berehat panjang sejak awal musim.


Menurutnya, pemain berusia 32 tahun itu kembali cergas, malah sudah diturunkan dalam empat perlawanan persahabatan diadakan sepanjang tempoh rehat dan menunjukkan persembahan baik serta diyakini mampu memantapkan lagi kekuatan pasukan terutama di posisi pertahanan kanan dan kiri serta tengah.

Katanya, beliau bercadang menggunakan khidmat Nor hafiz pada baki empat perlawanan itu dalam usaha memburu kemenangan yang menjadi penentu kepada hidup mati pasukan musim ini.


"Memang saya bercadang untuk menggunakan khidmat Norhafiz Zamani selepas melihat dia pulih dan kembali cergas, namun tidak bercadang menurunkannya dalam tempoh yang lama atau 90 minit perlawanan kerana khuatir kecederaannya berulang walaupun pasukan amat memerlukan khidmat pemain sepertinya untuk memantapkan lagi jentera pasukan.


"Tapi Norhafiz tetap berada dalam senarai 18 pemain dan dia akan diturunkan dalam situasi yang memerlukan khidmat serta kepakarannya," katanya semalam.

Begitupun, Ridzuan mempunyai beberapa pemain muda yang boleh disandarkan harapan untuk membantu menggerakkan pertahanan kanan dan kiri yang dilihat kurang berkesan dalam beberapa perlawanan sebelum ini antaranya Abdul Ghani Rahman dan Mohd Ridzuan Ahmad.


Katanya, kedua-dua pemain itu berjaya membentuk gandingan baik dengan William Paul Modibo dan Mohd Fauzi Nan, yang setakat ini menjadi tenaga penggerak utama terutama dalam mempertahankan benteng pasukan.

"Saya berharap kehadiran tenaga muda ini dalam pasukan dapat melancarkan lagi strategi dirancang untuk merealisasikan misi meraih kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Pengalaman Saiful sandaran Pahang

Posted: 17 Jun 2013 09:59 AM PDT

Kuantan: Pemain pertahanan Pahang Mohd Saiful Nizam Miswan yang baru pulang daripada menjalani latihan bersama Harimau Malaya dan aksi persahabatan di Australia bersedia untuk membantu memperkemaskan jentera pertahanan skuad itu.

Saiful berkata, pengalaman beraksi buat kali pertama bersama skuad negara itu diharap mematangkan lagi corak permainannya.


Menurutnya, pengalaman di Australia nyata mematangkan lagi persembahannya berdepan lawan.

"Bagi saya pengalaman pertama ini sesuatu yang mengujakan apabila bergandingan dengan pemain lebih berpengalaman terutama dalam semua tiga aksi persahabatan dengan tiga kelab negara itu.


"Saya berterima kasih kepada jurulatih (Datuk K Rajagobal) kerana memberi peluang kepada saya mengemudi barisan pertahanan, ia pengalaman paling berharga buat saya yang kali pertama dipanggil dalam skuad negara," katanya semalam.


Ditanya pertemuan Pahang-Perak di Stadium Darul Makmur Sabtu ini, Saiful sedia diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi segalanya terpulang kepada percaturan jurulatih Dollah Salleh.

Sehingga semalam, pemain kelahiran Kota Tinggi, Johor itu bebas daripada kecederaan dan tidak sabar membantu Tok Gajah meraih tiga mata berharga.


"Saya cukup bersedia untuk kembali berada dalam kesebelasan utama dan tidak rela Pahang terlepas tiga mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Nirosh galas cabaran

Posted: 17 Jun 2013 09:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelari acara 200meter N Nirosh Kumar berhajat meneruskan rentak kemenangan apabila mendapat lampu hijau beraksi pada Kejohanan Sekolah Asean 2013 (ASG) bermula Sabtu ini di Hanoi, Vietnam.

Kepantasan Nirosh, pelari kelahiran Manjung, Perak mula mendapat perhatian untuk diserapkan dalam skuad senior sejak ditabalkan juara 200m Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-55 di Kuantan, baru-baru ini. Pelari berusia 17 tahun itu menyifatkan lonjakan prestasi dipamer sekarang meningkat lebih baik sejak mengikuti pengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). "Salah satu peningkatan prestasi disebabkan latihan dijalani bersama pelari senior di Bukit Jalil. Pendedahan ini hadir selepas mendapat bimbingan latihan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut.


"Sasaran sekarang adalah beraksi pada ASG Hanoi dalam masa terdekat dan berharap dapat melakukan catatan masa bawah 22 saat. Saya yakin mampu meraih pingat emas atau perak andai dapat berlari di bawah catatan masa itu yang dianggap sebagai halangan terbesar kepada diri sendiri," katanya, memiliki catatan peribadi terbaik 22.1s.

Kata Nirosh, dia turut bertekad mahu cuba mendapat tempat beraksi pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar hujung tahun ini.


"Dengan masa kelayakan ditetapkan 21.08s untuk ke Myanmar, saya tidak mahu mensia-siakannya apabila diberi peluang untuk membuktikan sesuatu. Olahraga adalah sukan paling diminati dan saya datang ke Bukit Jalil untuk menimba pengalaman bertanding pada pelbagai peringkat dan paling awal tiba di garisan penamat dalam kejohanan saya sertai. Cara terbaik adalah bersaing dengan senior kerana mereka mampu menawarkan cabaran terbaik dari segi kepantasan dan tahap kompetitif," katanya.


Selain berlatih dan bersiap sedia menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada November, Nirosh mengakui mahu membentuk otot lebih mantap.

"Fizikal sekarang perlu diseimbangkan dengan otot yang padat, jadi fokus acara 200m pada penyertaan di Hanoi saya anggap penting. Salah satu diet paling penting adalah susu, tidur mencukupi dan disiplin dalam serba-serbi," katanya.. Kejohanan ASG 2013 di Hanoi bermula 22 hingga 30 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Nabil timba pendedahan berguna di Lausitzring

Posted: 17 Jun 2013 09:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemandu Formula 3 negara Nabil Jeffri memperoleh banyak pengalaman berguna sebaik berakhirnya Pusingan 5 Kejuaraan Formula 3 Jerman di Litar Lausitzring, kelmarin.

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tangga ketujuh dan Perlumbaan 2 tempat kelapan, pada Perlumbaan 3 dia menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan masa keseluruhan 31:45.702s.


Trio Lotus terus mendominasi perlumbaan didahului juara, Marvin Kirchhofer (Jerman) yang menamatkan saingan dengan masa keseluruhan 30:52.391s diikuti Ernil Bernstorff (Britain), 30:53.628s dan ketiga menjadi milik Artem Markelov (Russia) 30:54.042.

Saingan Perlumbaan 3 turut menyaksikan Nabil yang bermula dari petak ketujuh turut dikenakan penalti 'drive through' selepas melakukan kesalahan 'jump start'.


"Banyak perkara baru saya peroleh pada perlumbaan minggu ini terutamanya tahap kecergasan. Saya perlu mempertingkatkan lagi stamina saya kerana saingan Formula 3 ini agak panjang jika dibandingkan ketika saya beraksi di Formula BMW.


"Selain itu pada Perlumbaan 2, saya bermula dari petak kedua dan ini kali pertama saya memulakan perlumbaan dari barisan hadapan sejak beraksi dalam saingan F3 Jerman ini. Mungkin kerana perasaan agak gementar, saya gagal menggunakan kelebihan itu," jelas Nabil.

Menurut pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu: "Jika dibandingkan dari segi prestasi semasa, banyak peningkatan dipamerkan. Jika pada peringkat awal musim catatan terpantas saya ketinggalan sehingga 1.5 saat kepada kelompok hadapan, jurang itu kini semakin berkurangan sehingga sekitar 0.7s sahaja. Ia satu keputusan baik selepas beraksi untuk tempoh separuh musim pertama saya di sini." Selepas lima pusingan, Nabil kini menghuni tangga kesembilan dalam senarai keseluruhan dengan 37 mata. Pusingan 6 akan berlangsung di Litar Nurburgring German pada 2 hingga 4 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Misi rebut podium di Albacete

Posted: 17 Jun 2013 09:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah tekad untuk menggunakan pengalaman yang ditimba pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Catalunya untuk merebut podium pada saingan pusingan ketiga CEV Repsol di Litar Albacete, Sepanyol, 23 Jun ini.

Kelmarin Hafizh yang beraksi atas tiket wildcard berjaya menewaskan pelumba kontrak seperti Ricard Cardus, Yuki Takahashi dan Ratthapark Wilairot untuk menghabiskan perlumbaan di tempat ke-18 walaupun berdepan pelbagai masalah mekanikal dan cuaca panas terik.


Lebih membanggakan, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu adalah pelumba kedua terbaik Asia pada saingan di litar Catalunya selepas Takahashi Nakagami yang muncul di tempat kelima.

"Saya amat gembira dengan penampilan kedua saya di pentas Moto2 dunia. Walaupun tidak menghabiskan perlumbaan di antara 10 terbaik, saya banyak menimba pengalaman baru terutama mengenai penggunaan tayar dan pelarasan jentera.


"Tambahan pula, saya belajar bagaimana untuk mengendali jentera Kalex saya dengan lebih efisien selepas memerhatikan bagaimana para pelumba kelas pertama beraksi," ujar Hafizh.


Hafizh menegaskan secara tidak langsung, semangatnya berkobar-kobar untuk menghadapi saingan CEV hujung minggu ini.

"Kami tampil cemerlang pada pusingan sebelum ini di Aragon dan saya percaya dengan pengalaman yang ditimba minggu lalu, kami berpeluang merebut podium sekali lagi," katanya.


Sementara itu, pengurus pasukan Barry Leong menjelaskan seluruh pasukan beraksi baik di Catalunya dengan memberikan komitmen 100 peratus melaraskan jentera pada masa sama mengumpul data baru.

"Kami mahu menggunakan data yang baru diperoleh ini untuk meningkatkan lagi prestasi jentera Hafizh di Albacete nanti," katanya.


Hafizh kini menduduki tangga kelima dalam carta keseluruhan Moto2 CEV dengan 33 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

No comments:

Post a Comment