Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lapan pemilik kerugian

Posted: 09 Jun 2013 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Lapan gerai menjual pelbagai barangan yang terletak bersebelahan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini musnah dijilat api, semalam.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah malam sebelum mengarahkan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terdiri daripada BBP Titiwangsa, BBP Sentul, BBP Setapak dan BBP Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.


"Ketika jentera pertama dari BBP Titiwangsa tiba di tempat kejadian, kebakaran sudah merebak ke gerai lain sebelum usaha memadamkan api giat dijalankan.

"Seramai 44 anggota terbabit dalam operasi memadam api dan berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 1.45 pagi," katanya.

Katanya, kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadamkan dalam masa satu jam 25 minit.


"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kebanyakan gerai sudah ditutup ketika itu," katanya.


Katanya, pihaknya masih lagi menyiasat punca serta jumlah kerugian.

Foto

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Makan makanan laut ikut buku

Posted: 09 Jun 2013 10:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Penggemar makanan laut perlu mengubah tabiat pemakanan dan didedahkan secara terperinci mengenai spesies makanan laut yang diancam kepupusan supaya sumber itu tidak akan berkurangan atau lenyap.

Justeru, kesedaran terhadap perkara itu perlu diperluaskan kepada seluruh masyarakat supaya mereka dapat membantu melestarikan sumber makanan berkenaan. Pengarah Pemulihan Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF)-Malaysia, Dr Sundari Ramakrishna berkata, keprihatinan terhadap perkara itu menyebabkan pihaknya melancarkan buku panduan ' Save Our Seafood ' (SOS 2.0) untuk membantu mewujudkan kesedaran pengguna mengenai keadaan sumber perikanan tempatan.


Menurutnya, kempen itu diadakan untuk mempengaruhi pasaran supaya melakukan transformasi berkaitan kelestarian sumber makanan laut serta mempromosi pilihan makanan laut lestari kepada pengguna. "Berdasarkan kajian yang dijalankan WWF-Malaysia, hanya 25 peratus daripada penduduk negara ini menyedari jumlah ikan di lautan negara semakin berkurangan.

"Manakala 70 peratus lagi sanggup mengurangkan jumlah pengambilan makanan laut," katanya ketika merasmikan buku panduan SOS 2.0 sempena sambutan Hari Segi Tiga Terumbu Karang dan Minggu Lautan Sedunia di sini, semalam. Turut hadir Chef Selebriti terkenal, Bobby Chinn. Tambah Dr Sundari, buku panduan itu menggunakan kaedah yang dipersetujui di peringkat antarabangsa untuk menilai kelestarian makanan laut dan untuk membolehkan pengguna membuat pilihan dengan tepat berdasarkan spesies ikan yang dikategorikan kepada tiga warna iaitu hijau, kuning dan merah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Usah beri tekanan

Posted: 09 Jun 2013 10:31 AM PDT

Kota Bharu: Penghidap HIV dinasihatkan supaya tidak meletakkan diri dalam tekanan sebaliknya perlu mendapatkan nasihat pakar dengan berjumpa kaunselor.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata, jangkitan HIV boleh dikesan dalam tempoh enam bulan dan ada juga kes lebih daripada tempoh itu.


Katanya, penghidap HIV di negeri ini boleh mendapatkan khidmat nasihat kaunselor HIV di Klinik Pakar Perubatan HRPZ II bagi mengatasi masalah tekanan dan cara menjalani kehidupan seperti biasa.

"Jika individu itu tidak berpuas hati dengan keputusan ujian saringan HIV yang pertama, dia boleh membuat pemeriksaan kedua dan kita menyediakan perkhidmatan itu di hospital ini.


"Kita tidak mahu penghidap HIV berada dalam kemurungan atau tekanan, malah pihak hospital menyediakan khidmat kaunselor untuk membantu dan memberi nasihat secara percuma kepada penghidap penyakit berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Kesal jika nasib sama timpa anak

Posted: 09 Jun 2013 10:30 AM PDT

Kota Bharu: Bekas isteri Iskandar yang mahu dikenali sebagai Asma, 35, mengakui cuba merahsiakan penyakit HIV yang dihidapinya selepas dia sendiri tidak menyangka disahkan positif HIV.

Bagaimanapun, dia mengakui kesal dan akan menyesal sepanjang hayat jika Iskandar dan dua anaknya menghidap sama.


Menurutnya, ketika ini, dua anaknya bebas daripada HIV berdasarkan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan sebelum ini.

"Saya disahkan menghidap HIV pada 2010 kira-kira 10 tahun selepas suami pertama meninggal dunia kerana HIV. Tidak perlulah saya mendedahkan mengapa dia dijangkiti HIV kerana dia sudah tiada. "Saya hanya mengetahui menghidap HIV selepas membuat ujian darah menerusi pemeriksaan kesihatan ketika mengandungkan anak kedua. Ketika itu saya berasa seperti jantung sudah berhenti dan mula memikirkan nasib anak dan suami," katanya ketika ditemui.


Asma berkata, dia tidak menjangkakan HIV itu akan menjangkitinya meskipun dia didapati bebas daripada penyakit berkenaan selepas suami pertamanya meninggal dunia.


Katanya, dia bingung memikirkan masa depan anaknya dan bekas suami yang mungkin berisiko mendapat jangkitan itu dalam jangka masa panjang.

"Saya tak sangka dijangkiti HIV selepas 10 tahun suami pertama meninggal dunia. Saya tidak tahu apa akan terjadi pada anak-anak pada masa depan. "Walaupun ketika ini bekas suami dan dua anak negatif HIV, saya akan berasa bersalah dan menyesal sepanjang hayat jika mereka turut dijangkiti penyakit ini pada masa depan," katanya.


Asma turut mengakui merahsiakan perkara itu daripada ahli keluarga sendiri dan hanya Iskandar yang mengetahui perkara berkenaan.

Meskipun sudah berpisah, Iskandar sentiasa membantu memandangkan dia tidak bekerja.


"Nasib anak sedikit terjamin kerana mendapat sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyalurkan wang bantuan RM300 sebulan.


"Saya memerlukan wang untuk menanggung kos rawatan dan persekolahan anak. Saya pernah ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun saya tidak boleh mengeluarkan wang kerana belum cukup tempoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Seorang tak cukup

Posted: 09 Jun 2013 10:30 AM PDT

Sabak Bernam: Ketiadaan ibunya kerana bekerja digunakan seorang lelaki berusia 20-an untuk mengajak dua remaja perempuan untuk memadu kasih di rumahnya di Kampung Sungai Leman, di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun itu berasal dari daerah berdekatan tiba di rumah lelaki terbabit yang menunggu mereka berdua sebaik ibunya keluar bekerja.


Namun, hasrat mereka untuk memadu asmara terbantut apabila rumah berkenaan diserbu sepasukan anggota Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam dan penduduk kampung kira-kira jam 6 petang.

Menurut sumber, laporan kepada pejabat agama dibuat selepas penduduk kampung curiga dengan kehadiran dua remaja perempuan itu di rumah lelaki terbabit sejak pagi sebelum serbuan dibuat.


Bagaimanapun, menjelang petang, tidak kelihatan tanda remaja perempuan terbabit akan beredar dari rumah itu menyebabkan penduduk kampung sepakat membuat laporan kepada Pejabat Agama Islam Daerah untuk tindakan selanjutnya.


"Ibu lelaki terbabit tiada di rumah kerana keluar bekerja dan kesempatan itu digunakan anaknya membawa remaja perempuan untuk memadu kasih.

"Serbuan dijalankan kerana remaja terbabit masih tidak keluar dari rumah berkenaan walaupun hari sudah menjelang petang. Penduduk juga bimbang gejala sosial seperti ini akan berleluasa jika dibiarkan," katanya. Sumber itu berkata, sewaktu ditahan, remaja terbabit menafikan mereka melakukan perbuatan sumbang dalam rumah berkenaan namun pemeriksaan menemui kesan ciuman di beberapa bahagian badan mereka.


Katanya, lelaki terbabit mendakwa remaja perempuan itu hanya rakannya dan datang ke rumah untuk berbual kosong.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk diambil keterangan namun difahamkan semuanya sudah dibebaskan selepas diikat jamin keluarga terdekat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki dan dua remaja perempuan terbabit.


Namun katanya, siasatan diserahkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam kerana kes berkenaan menjurus kepada kesalahan syariah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

No comments:

Post a Comment