Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Wang TM tak bazir'

Posted: 14 Jun 2013 12:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Wang penajaan Telekom Malaysia (TM) tidak membazir.

Itu yang dapat disimpulkan selepas ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal berpandangan matlamatnya ke Canberra dan Sydney, Australia selama dua minggu tercapai.


Di Australia, skuad negara dianggotai 26 pemain termasuk enam muka baru mengharungi tiga aksi persahabatan menentang Canberra FC (tewas 2-3), Sydney Olympic FC (menang 4-0) dan Marconi Stallions FC (tewas 0-2).

"Kami sudah mencapai matlamat apabila bermain dengan pasukan yang mempunyai fizikal lebih tegap. Saya puas hati dengan keberanian ditunjukkan pemain.


"Kami sudah memberi peluang kepada semua pemain dan saya sudah mendapat gambaran senarai 11, 18 atau 20 pemain. Ada pemain baru mempamerkan corak permainan yang bagus," katanya.


Antara pemain baru yang menarik perhatian Rajagobal adalah pemain tengah berbakat PKNS FC, Mohd Nazmi Faiz Mansor dan pemain Negeri Sembilan, Nazrin Nawi.

"Kita sudah memberi ruang kepada Nazmi yang saya lihat mempunyai potensi baik, begitu juga Nazrin yang beraksi di sayap kiri. Saya ada nampak pemain baru yang bagus untuk memberi impak kepada pasukan walaupun ada beberapa pemain tidak disenaraikan." Rajagobal turut gembira apabila penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali yang sering memanaskan bangku simpanan Johor Darul Takzim kembali cemerlang.


"Saya gembira Safee mendapat kembali keyakinannya. Ia petanda yang bagus." Namun Rajagobal turut perlu memikirkan strategi terbaik andai penyerang berusia 29 tahun itu tidak dapat bersama skuad kebangsaan kerana ketumpulan jentera serangan negara terserlah tanpa kehadiran Safee menyebabkan mereka kecundang 0-2 pada perlawanan terakhir.

"Fizikal, teknik pemain Marconi Stallions amat bagus. Kita lebih banyak menyerang pada babak pertama tapi sentuhan penyudah agak tumpul. Pemain bermain dengan berani, menarik serta laju, aksi dipamer bagus berbanding dua perlawanan lalu.


"Namun tanpa Safee serta Safiq Rahim, aksi kita tidak begitu bagus. Pemain lain seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Asraruddin (Putra Omar), Mahali (Jasuli) dan Norshahrul (Idlan Talaha) nampak keletihan kerana sudah beraksi tiga perlawanan," katanya mengulas kekalahan kepada Marconi Stallions FC.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Kay Yan, Hannan tebus hampa

Posted: 14 Jun 2013 12:15 PM PDT

Seremban: Dua atlet remaja Negeri Sembilan membuktikan kehebatan apabila melakar kejayaan cemerlang pada Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Terbuka Pulau Pinang 2013 di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ooi Kay Yan, 13, dan Mohamad Hannan Mohd Tarmidi, 18, muncul juara dan naib juara kategori Bawah 13 dan 19 Tahun pada kejohanan disertai 500 atlet dari dalam dan luar negara.


Mereka bangkit daripada prestasi kurang baik pada Kejohanan Skuasy All Star Milo 2013 di Petaling Jaya, akhir bulan lalu apabila sekadar meraih tempat ketiga dan kelima.

Bagi Kay Yan, kejayaan itu pencapaian membanggakan buat dirinya tahun ini dan tidak menyangka dapat beraksi baik sekalipun mendapat laluan sukar pada peringkat awal kerana diberi tentangan sengit pemain luar negara antaranya dari Hong Kong dan Australia.


"Saya puas hati kerana ia pencapaian terbaik pernah saya capai hasil usaha keras serta bimbingan jurulatih Mohd Tarmidi Saad.


"Saya mahu menjadikan kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk kejohanan akan datang," katanya yang berazam untuk mewakili negara.

Bagi Hannan pula, sekalipun misi menjuarai kejohanan tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain Hong Kong, ia tetap memberikan kepuasan kerana dapat kembali berada pada prestasi terbaik selepas lebih lima bulan tidak menyertai kejohanan.


Pemain remaja kebangsaan itu akan terus memberikan fokus kepada usaha mencapai kemuncak prestasi sebagai persiapan awal sebelum menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

"Saya harap kejayaan ini detik untuk saya kembali cemerlang pada kejohanan lain selepas ini," katanya.


Sementara itu, Mohd Tarmidi akan terus memberikan bimbingan terbaik untuk memastikan mereka mencapai kejayaan lebih cemerlang terutama ketika mewakili Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

India-Oman buka aksi Piala Sultan Azlan Shah

Posted: 14 Jun 2013 12:14 PM PDT

Ipoh: Pertemuan India-Oman menyingkap tirai kejohanan Hoki Piala Asia Lelaki Kesembilan di Ipoh mulai 24 Ogos ini yang turut menyaksikan tuan rumah, Malaysia membuka kempen bertemu Taiwan.

Perlawanan skuad negara itu yang ketiga pada hari pembukaan selepas satu lagi pertarungan Kumpulan A membabitkan Pakistan dengan Jepun pada jam 6.05 petang.


Pertarungan antara India dan Oman dari Kumpulan B yang turut dianggotai Korea Selatan dan Bangladesh manakala empat lagi pasukan diundi berada dalam Kumpulan A.

Pengumuman mengenai undian kejohanan dikeluarkan Persekutuan Hoki Dunia (FIH), 6 Jun lalu itu dibuat Naib Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) Datuk Abdul Rahim Mat Ariff selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan semalam.


Kejohanan berakhir pada 1 September itu yang dijangka ditutup Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) Sultan Azlan Shah turut disertai Korea Selatan dan Bangladesh.


Menurut Rahim yang juga pengerusi pengelola kejohanan, juara kejohanan di Ipoh itu layak ke Piala Dunia di Rotterdam pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

14 peserta MIMMA sedia berentap

Posted: 14 Jun 2013 12:09 PM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 14 peserta bakal membuktikan kehebatan masing-masing dalam pertarungan peringkat akhir Kejohanan Penaklukan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MIMMA) di Stadium Negara, malam ini.

Semua peserta itu sudah melepasi syarat berat badan dalam kategori masing-masing selepas acara 'weight-in' di Paradigm Mall, Kelana Jaya, semalam.


Pertarungan itu dibahagikan kepada tujuh kategori amatur yang membabitkan kelas flyweight, bantamweight, featherweight, lightweight, welterweight, middleweight dan heavyweight.

Selain itu, tiga perlawanan profesional akan diadakan dengan penampilan peserta daripada organisasi Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) terbesar di Asia, ONE Fighting Championship (ONE FC). Perlawanan profesional itu bakal menyaksikan dua peserta tempatan yang mengikat kontrak bersama ONE FC, Peter Davis dan Saiful Merican bertarung dengan pencabar antarabangsa iaitu Ariel Sexton dari Costa Rica serta Aditya Deshpande (India).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Persiapan masuk fasa akhir

Posted: 14 Jun 2013 12:07 PM PDT

Kuala Lumpur: Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung pada 28 Jun hingga 7 Julai kini sudah 90 peratus bersedia untuk memulakan cabaran dengan cuma satu venue diubah membabitkan sukan mendayung dari Tasik Putrajaya ke Empangan Batu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong berkata, venue itu terpaksa diubah bagi memudahkan penyelenggaraan penganjuran membabitkan masalah teknikal.


"Di Empangan Batu, semua kemudahan sedia lengkap dan kami putuskan untuk mengubah venue dari Putrajaya. Kita tidak perlu mengangkut kemudahan dan kelengkapan di Empangan Batu ke Putrajaya," kata Zolkples yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma.

Katanya, persiapan kini memasuki fasa akhir, malah hebahan mengenai kejohanan itu dipergiatkan di sekitar Kuala Lumpur.


"Banting sudah dipasang di sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Semua acara yang kita rancangkan akan diteruskan biarpun bola sepak pantai wanita hanya akan ditandingi empat pasukan kerana kami mahu sukan ini mendapat hati dalam kalangan masyarakat.


"Setiap acara dipertandingkan juga tidak menimbulkan masalah seperti keperluan menambah venue kerana kapasiti penyertaan bersesuaian dengan venue pertandingan." Sebanyak 25 acara dipertandingkan di Kuala Lumpur.

Kenyataan Zolkples di Cafe Atlet MSN semalam, bersempena memperkenalkan barangan cenderamata Sukma 2013 yang akan mula dijual sebaik kejohanan bermula.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

NS tekad pamer aksi cemerlang

Posted: 14 Jun 2013 11:48 AM PDT

Seremban: Negeri Sembilan (NS) bercita-cita besar untuk melakar kejayaan lebih cemerlang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 Kuala Lumpur bermula 28 Jun ini selepas sekadar meraih tempat keempat keseluruhan pada temasya itu, dua tahun lalu.

Bagi tujuan itu, kontinjen NS mempertaruhkan 338 atlet untuk menggalas cabaran pada temasya sukan berprestij itu.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan NS Datuk Zaifulbahri Idris berkata, kontinjen NS menyertai 15 daripada keseluruhan 20 acara dipertandingkan.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa acara sukan yang bakal menyumbang pingat emas seperti futsal lelaki, Muay Thai, akuatik, ragbi, bola baling, bola tampar, kabaddi, renang berirama, kriket dan silambam.


"Saya sudah menemui hampir semua atlet yang menggalas cabaran NS pada temasya itu dan puas hati dengan persiapan serta prestasi mereka.


"Saya yakin mereka berupaya menyumbang pingat buat kontinjen terutama pingat emas bagi menjulang nama negeri," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bendera negeri kepada pasukan bina badan yang akan menyertai Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia 2013 di Pusat Latihan Bina Badan Mampan di Senawang, semalam.

Zaifulbahri yang juga Ketua Kontinjen NS berkata, sasaran ditetapkan ialah mengekalkan pencapaian tempat keempat keseluruhan tapi NS yakin atlet mampu membuat kejutan untuk memberikan sumbangan lebih cemerlang berbanding kutipan 16 pingat emas, 11 perak dan 19 gangsa pada temasya 2011.


Mengenai pemberian insentif, beliau berkata, perkara itu sememangnya sentiasa dalam perhatian kerajaan negeri dan atlet yang berjaya membawa pulang pingat pasti menerima habuan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Kontinjen Kedah tandingi 16 sukan

Posted: 14 Jun 2013 11:09 AM PDT

Alor Setar: Kontinjen Kedah menyertai 16 daripada 20 acara sukan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia ke-16 (SUKMA) 2013 di Kuala Lumpur dari 28 Jun hingga 7 Julai ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) Syed Khairol Annuar Syed Abidin berkata, Kedah menyertai bina badan, bola jaring, bola baling, bola keranjang, bola tampar pantai, ekustrin, bola sepak pantai, futsal, judo, kabadi, muaythai, ping pong, ragbi, silambam, softball dan woodball.


"Seramai 145 atlet lelaki dan 95 wanita termasuk 19 pengurus pasukan serta 49 jurulatih menyertai SUKMA ke-16 dan kami sudah membuat persiapan sejak Oktober tahun lalu," katanya.

Menurutnya, hingga kini persiapan berjalan lancar dan komitmen berada pada tahap tinggi serta bersedia untuk bertanding pada temasya itu.


"Kami yakin melalui sukan yang menjadi sasaran pingat dapat merealisasikan hasrat untuk mencapai kejayaan pada temasya sukan ini.


"MSNK berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir dan Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah yang turut memberi komitmen penuh memajukan bidang sukan Kedah," katanya.

Syed Khairol berkata, Kedah memperoleh empat emas, dua perak dan 11 gangsa pada temasya SUKMA ke-14 di Kuala Lumpur pada 2011.


"Antara sukan disasarkan memenangi pingat kelak adalah silambam, ping pong, ragbi, kabadi dan futsal lelaki."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Krabi FC idam sambar Mat Yo

Posted: 14 Jun 2013 11:08 AM PDT

Melaka: Pasukan Divisyen Satu Thailand, Krabi FC menyuarakan minat untuk mengikat penyerang Johor Darul Takzim (DT), Norshahrul Idlan Thalaha bagi mengisi barisan depan skuad terbabit.

Memiliki lima import termasuk dari Afrika, Korea dan Laos, skuad terbabit kagum dengan persembahan Norshahrul yang juga dikenali sebagai Mat Yo terutama selepas melihat penggempur terbabit beraksi bersama skuad Harimau Malaya di Bangkok.


Presiden Krabi FC Somkiat Kittitornkul berkata, gandingan Norshahrul bersama pemain import sedia ada diyakini mampu mengukuhkan cengkaman skuad berkenaan dalam liga terbabit.

Walaupun menyedari sukar untuk mengikat Norshahrul berikutan kontrak bersama Johor DT, beliau hanya mengambil jalan selamat menunggu perjanjian penyerang itu bersama Harimau Selatan berakhir.


Menurutnya, jika semuanya berjalan lancar dan Norshahrul setuju, Krabi FC tidak keberatan untuk mengikat kontrak bersama penyerang kelahiran Terengganu itu.


Kittitornkul berkata demikian selepas menyaksikan pasukan Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) berdepan kelab itu di Stadium Krabi, Thailand, baru-baru ini.

Keputusan perlawanan memihak kepada kelab terbabit dengan kemenangan 5-1 ketika skuad itu lebih gemar mencuba semua pemainnya termasuk bintang tempatan di bawah kendalian ketua jurulatih Chailon Dogbockarw.


Rombongan MSP diketuai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kebajikan Politeknik Malaysia, Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia Nazamuddin Ahmad Razali selama empat hari ke Selatan Thailand.

Turut serta ketua kontinjen yang juga Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah Perak Muhammad Amin Hamad, jurulatih pasukan Sazami Shafie, pembantu jurulatih Hazril Hisham Husin dan pengurus pasukan Ibrahim Hamzah.


MSP turut mengadakan perlawanan dengan kelab Divisyen Satu, Satun FC dan Trang FC (Divisyen Dua ) dalam siri lawatan itu.


Sementara itu, Muhamad Amin jelas gembira dengan perkhabaran itu berikutan skuad utama di negara itu mengambil perhatian serius terhadap keupayaan pemain Malaysia.


"Perkembangan sihat ini membuktikan pemain negara berkualiti hingga menarik perhatian kelab Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Tukar warna pingat Olimpik

Posted: 14 Jun 2013 11:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Shahidan Kassim berharap dapat terus diberi peluang menerajui Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) hingga tamat temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil biarpun mungkin mendapat tentangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Shahidan meluahkan hasratnya itu kerana memasang impian untuk menukar warna pingat gangsa dimenangi penerjun negara, Pandalela Rinong, kepada perak atau emas. Beliau mengharapkan hasratnya itu diberi pertimbangan kerana tiada masalah melepaskan semua jawatan lain yang disandang, termasuk dalam Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).


"Saya akan melepaskan semua jawatan yang saya pegang dalam persatuan sukan kebangsaan termasuk bola sepak tapi untuk jawatan negeri tidak mengapa.

"Tapi saya harap sangat kalau dapat terus pegang jawatan Presiden ASUM hingga tamat Sukan Olimpik kerana sukan renang kini berada di prestasi terbaik dan ia mampu menjadi lebih baik kerana kepimpinannya tiada masalah, atlet dan pengurusan juga tidak bermasalah," kata Shahidan di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras. Shahidan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Mei lalu, diminta mengulas kenyataan Khairy yang menegaskan, tiada ahli politik dibenarkan memegang jawatan dalam persatuan sukan selepas dilantik sebagai menteri.


Selain Presiden ASUM, bekas Menteri Besar Perlis itu turut menerajui Persatuan Berbasikal Perlis, Persatuan Petanque Perlis, Persatuan Renang Negeri Perlis, Persatuan Ten Pin Boling Perlis, Persatuan Muay Thai Perlis, Persatuan Olahraga Perlis dan Persatuan Kabaddi Perlis.


Ditanya sama ada masih berminat menyandang jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas tewas dalam pemilihan lalu beliau berkata: "Kalau menteri (Khairy) bagi esok juga saya datang KOM. Tapi menteri tak bagi, sebab saya tahu masih mendapat sokongan (anggota) KOM."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Azizul tidak dendam

Posted: 14 Jun 2013 11:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiada dendam tersimpan di hati pelumba negara, Azizulhasni Awang selepas tewas acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2013 kepada rakan sepelatih, Josiah Ng kelmarin.

Namun Azizulhasni bangkit membuktikan kemampuan apabila muncul juara acara keirin bagi membalas kekalahannya kepada Josiah yang mewakili Sarawak, semalam.


Bagi Azizulhasni, tujuannya menyertai Kejohanan Kebangsaan itu bukan untuk melakar kemenangan tapi medan latihan yang ditetapkan ketua jurulatih negara, John Beasley sebagai persediaan menghadapi Grand Prix Jerman, minggu depan.

"Tiada dendam antara saya dan Josiah. Kejohanan ini hanyalah untuk latihan dan juga menghiburkan penonton yang hadir menyaksikan kami bersaing sesama sendiri.


"Penyertaan ini juga bertujuan meniup semangat pelumba remaja dan memberi pengajaran kepada persediaan mereka mengenai taktik berlumba," katanya. Azizulhasni yang muncul pelumba keenam terbaik dunia dalam acara keirin di temasya Sukan Olimpik London, tahun lalu, mula menyusun strategi dengan keluar lebih awal daripada kelompok lima pelumba 200 meter sebelum garisan penamat yang akhirnya membuahkan hasil apabila merangkul emas acara keirin, diikuti Josiah di tempat kedua dan Muhd Afry Qhairant Amran, mewakili Melaka ketiga. Mengulas kekalahannya kepada Arfy pada penentuan tempat ketiga acara pecut, Azizulhasni berkata, pelumba itu berpotensi untuk mencipta nama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

No comments:

Post a Comment