Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Malang penghantar rokok

Posted: 16 Jun 2013 10:43 AM PDT

Butterworth: Malang buat seorang pemandu van apabila dia bukan saja disamun malah turut cedera di rusuk kiri akibat dikelar ketika rompakan itu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.23 tengah hari itu, mangsa yang berusia 53 tahun sedang memunggah kotak rokok untuk dihantar ke sebuah kedai kopi berhampiran Pasar Tingkat Bagan Baru sebelum didatangi seorang lelaki berusia 20-an.

Lelaki yang datang dari arah belakang itu kemudian mengacukan senjata dipercayai pistol ke arah mangsa tetapi berjaya ditepis.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek datang dan mengelar rusuk kiri hingga menyebabkannya rebah.


Rakan mangsa yang berada di sebuah kedai kopi di kawasan itu yang mendengar jeritannya bergegas melihat apa yang terjadi dan terkejut mendapati mangsa sedang terbaring dalam keadaan berlumuran darah.


Difahamkan, kedua-dua suspek sempat melarikan beberapa kotak rokok dibawa mangsa dianggarkan bernilai RM900 dan melarikan diri sejurus kemudian menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Shukri Awang berkata, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan keadaannya dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan kecil.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

"Dua suspek berusia lingkungan 20-an dan hasil semakan terhadap nombor pendaftaran kereta mereka mendapati ia palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki kedua-duanya," katanya.

Saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Hairol Azura Abdul Aziz di 012-6258849.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Cinta berakhir di jengkaut

Posted: 16 Jun 2013 10:39 AM PDT

Miri: Seorang operator jengkaut warga Indonesia terkejut apabila menemui rakan senegaranya mati tergantung pada jentera berat itu ketika mahu membuat pemeriksaan sebelum memulakan kerja di sebuah tapak pembinaan di Jalan Lapangan Terbang Miri, di sini, semalam.

Lelaki dikenali sebagai Casmani, 28, dari Jawa Barat ditemui mati tergantung menggunakan tali nilon oleh rakan sekerjanya itu, kira-kira jam 5 pagi.


Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, mangsa dikatakan mahu berjumpa dengan teman wanita yang juga warga tempatan lingkungan 20-an, tetapi kecewa apabila permintaannya ditolak.

Menurut rakannya yang enggan dikenali itu, sehari sebelum kejadian dia ada berjumpa dengan teman sekerjanya itu, tetapi dia tidak menunjukkan sebarang sikap mencurigakan dan pernah melahirkan rasa kecewa dengan hubungan bersama teman wanitanya.


"Bagaimanapun, saya terkejut apabila ternampak mayatnya tergantung pada jengkaut pagi ini (semalam) dan tidak menyangka dia mengambil keputusan itu disebabkan terlalu kecewa dengan hubungan cintanya.


"Sebenarnya, dia baru saja bekerja di tapak binaan di sini baru-baru ini selepas berhenti bekerja di tapak binaan di Lopeng kira-kira dua bulan lalu," katanya.

Katanya, dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada penyelia tapak binaan terbabit sebelum mayat diturunkan dan menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian termasuk mendapatkan keterangan daripada rakan mangsa bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Sedih tidak dapat sambut Hari Bapa

Posted: 16 Jun 2013 10:32 AM PDT

Georgetown: Ketika orang lain meraikan Hari Bapa bersama bapa masng-masing, tiga anak lelaki yang dikhuatiri terbenam dalam kawah yang terbentuk akibat dihempap serpihan konkrit rod penebat kilat di Jalan Maccalister di sini, menunggu penuh debar di lokasi kejadian sejak Khamis lalu.

Bapa mereka, Lim Chin Aik, 44, yang tidak pulang ketika kejadian ribut melanda negeri ini Khamis lalu, dikhuatiri terbenam di dalam kawah terbabit selepas dihempap serpihan konkrit bersama kereta Honda City yang dinaikinya.


Tiga beradik berkenaan Lim Chia Yiang, 20, Lim Chia Oon, 18, dan Lim Hui Juin, 13, menunggu perkembangan kes kehilangan bapa mereka dengan penuh sabar di lokasi kejadian sejak awal pagi.

Anak sulung mangsa, Chia Yang berkata, mereka sekeluarga tidak ketinggalan menyambut sambutan Hari Bapa setiap tahun, tetapi kali ini situasi itu berbeza apabila mereka tidak dapat menyambut bersama-sama.


"Setiap tahun, saya dan adik-adik selalunya akan menyediakan kek dan makanan untuk meraikan bapa sempena hari istimewa itu.


"Walaupun sederhana tetapi kami sekeluarga pasti berkumpul dan makan bersama untuk menunjukkan kasih sayang kepada ayah tetapi tahun ini situasinya berubah," katanya.

Menurutnya, bapanya penyayang dan sering menasihati mereka adik-beradik supaya berbuat baik dan menolong orang lain.


"Ayah tidak pernah sesekali melupakan tanggungjawabnya kepada kami tiga beradik dan dia juga sangat menyayangi ibu.

"Kata-kata nasihat kepada kami tidak pernah lekang dari mulutnya dan dia tidak pernah jemu mendidik kami tiga beradik supaya menjadi insan berguna," katanya.


Chin Yiang yang juga penuntut sebuah kolej swasta jurusan kulinari berkata, dia ingin mengikut jejak langkah bapanya sebagai seorang pengusaha makanan dan bertekad melanjutkan pelajaran dalam bidang masakan untuk mahu mahir dalam bidang itu seperti bapanya.


Tinjauan di lokasi kejadian mendapati ahli keluarga mangsa termasuk isterinya Lee Chai Song, 48, ibu bapa mangsa, Lim Tian Chor, 73, dan Ang Kim Looi, 70, serta adik perempuan mangsa, Lim Lye Suan, 40, setia menunggu perkembangan usaha mencari.


Mereka yang dilihat berada di situ sejak awal pagi turut menjalankan upacara sembahyang di tempat kejadian supaya usaha mencari itu berjalan lancar.


Mangsa yang juga seorang peniaga nasi dilaporkan hilang oleh isterinya sehari selepas kejadian ribut dan runtuhan rod penebat kilat itu berlaku.


Difahamkan, dia sepatutnya menjemput anak bongsu pulang dari sekolah tetapi selepas beberapa jam menunggu dia masih tidak tiba dan anaknya kemudian dihantar pulang oleh guru sekolah.


Bimbang keselamatan suaminya, isteri mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangannya kerana suaminya memang menggunakan laluan terbabit setiap hari ketika menjemput anaknya pulang dari sekolah.


Pasukan penyelamat yang mengesyaki mangsa kemungkinan terbenam melakukan operasi mencari sebelum menemui serpihan kereta dan selepas diperiksa nombor casis kenderaan terbabit didapati sama dengan kereta mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

'Berfikirlah secara rasional'

Posted: 16 Jun 2013 10:31 AM PDT

Jakarta: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan.

Perdana Menteri berkata, fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu misalnya menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.


"Sampai hari ini belum ada bukti kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.

"Sebab itu, saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguampun tak boleh fikir. Apa sudah berlaku ke atas mereka? "Apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan rasional yang tak boleh fikir soal ini," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan, di sini, semalam.


Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.


Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas PRU-13.

Najib meminta pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan memerlukan 1,000 bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari mengundi.


Katanya, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana paras rupa mereka berlainan dengan kebanyakan rakyat Malaysia.

"Saya sebagai Pengerusi BN menafikan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan," katanya.


Najib berkata, BN banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan sudah menang secara sah pada PRU-13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Tak bahaya nyawa

Posted: 16 Jun 2013 10:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan kononnya vaksin atau imunisasi untuk bayi mengandungi bahan haram dan membahayakan nyawa.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua agensi itu turut menafikan program imunisasi kerajaan sejak 1950-an bertujuan melemahkan umat Islam. "Kementerian Kesihatan dan JAKIM menasihatkan seluruh masyarakat tidak terpengaruh dan percaya dengan berita disebarkan dalam pelbagai saluran media oleh pihak tidak bertanggungjawab.


"Sekiranya timbul keraguan atau perlukan pengesahan, elok rujuk kepada pihak berkuasa supaya penyebaran isu seumpama itu tidak menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat seluruhnya," demikian menurut kenyataan itu.

Semua vaksin berkenaan didaftar di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Kenyataan itu berkata, kesan sampingan akibat imunisasi selalunya ringan dan tidak berbahaya berbanding kesan jangkitan penyakit itu sendiri dengan kesan sampingan kerap dilaporkan seperti demam dan sakit di tempat suntikan.


"Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sentiasa memantau kesan sampingan akibat imunisasi di semua fasiliti kesihatan. Sehingga kini, tiada tindakan regulatori terhadap vaksin akibat kesan sampingan," jelas kenyataan itu.


Dari sudut pandangan syarak, kenyataan itu menjelaskan, imunisasi merupakan jalan pencegahan adalah perkara dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah usul fikah.

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 1988 mengeluarkan beberapa pandangan hukum berkaitan langsung dengan imunisasi yang seharusnya menjadi panduan seluruh umat Islam," demikian menurut kenyataan itu.


Tambah kenyataan itu, maklumat lanjut mengenai penggunaan vaksin dari sudut syarak tersebut boleh didapati di portal e-Fatwa iaitu www.e-fatwa.gov.my. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

No comments:

Post a Comment