Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Warga emas disamun, ditetak di kepala

Posted: 23 Jun 2013 12:41 PM PDT

Klang: Seorang lelaki warga emas menerima 11 jahitan di dahi selepas ditetak dan disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang hanya berjaya melarikan telefon bimbit berharga tidak sampai RM100 di hadapan rumahnya di Jalan Meru, di sini, kelmarin.

Menceritakan semula kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Ng Tham Leong, 65, berkata dia sedang menunggu rakannya untuk pergi minum pagi di sebuah restoran sebelum sebuah kereta Proton Waja dinaiki lima lelaki tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya. Menurutnya, tindakan terbabit mengejutkannya sebelum empat daripada lelaki bersenjatakan parang menyerangnya dan cuba merampas dompetnya.


"Ketika suspek mahu merampas dompet, saya nekad melawan sebelum ditolak sehingga terjatuh oleh seorang daripada mereka.

"Dalam keadaan kelam kabut, saya melihat seorang daripada mereka menetak dahi saya menyebabkan dahi berasa panas sebelum mendapati darah mula mengalir," katanya. Katanya, dalam keadaan lemah, dia kemudian menjerit bagi menarik perhatian jiran menyebabkan kumpulan lelaki itu panik dan hanya sempat merampas telefon bimbit sebelum melarikan diri.


Ng berkata, dia bersyukur kerana jeritan itu didengari jiran yang kemudian memberikan pertolongan sebelum menghantarnya ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.


"Selepas dirawat dan menerima 11 jahitan di dahi kanan, saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Kapar, di sini, untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Foto

NG melakonkan semula bagaimana dia diserang oleh penyamun di hadapan rumahnya.

"Ini kejadian pertama menimpa dan menyebabkan saya trauma," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.


Katanya, usaha memburu suspek lingkungan 30-an giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394, Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Perokok tak faham bahasa!

Posted: 23 Jun 2013 12:36 PM PDT

Sepang: Tidak tahu dan tekanan selepas menaiki kapal terbang menjadi antara alasan perokok yang ditahan dalam Ops Terbang 1 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) selama dua hari berakhir semalam.

Operasi besar-besaran yang pertama kali diadakan tahun ini dijalankan selepas menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai kegiatan itu, walaupun Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan KLIA sudah melakukan aktiviti penguatkuasaan tiga kali dalam sebulan.


Ia membabitkan 187 anggota yang terdiri daripada 98 pegawai penguat kuasa, dengan dibantu 88 anggota sokongan lain turut mendapat kerjasama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, sepanjang dua hari operasi itu dijalankan, pihaknya mengeluarkan 595 notis kesalahan membabitkan 383 atau 64.4 peratus kepada warganegara dan 212 atau 35.6 peratus lagi dikeluarkan kepada bukan warganegara.


"Rata-rata mereka yang ditahan memberikan alasan tidak tahu lapangan terbang adalah kawasan larangan merokok, sedangkan papan tanda sudah diletakkan secara jelas dan besar di beberapa lokasi sekitar KLIA dan LCCT.


"Operasi ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa lapangan terbang sudah diwartakan sebagai tempat larangan merokok sejak 2004, sekali gus membolehkan kami menguatkuasakan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di LCCT, di sini, semalam.

Dr Azman berkata, langkah itu juga diambil bagi melindungi orang awam terutama kanak-kanak dan warga emas daripada kesan rokok basi yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka yang tidak merokok.


Menurutnya, individu yang diberikan notis kesalahan perlu membayar kompaun sebanyak RM250, manakala bagi orang belum dewasa iaitu yang berumur 18 tahun ke bawah yang merokok atau memiliki apa-apa hasil tembakau dikenakan kompaun sebanyak RM50.

Sementara dalam operasi itu, beliau berkata, sebanyak 277 kompaun dengan nilai RM31,845 sudah dibayar dikaunter yang disediakan, manakala mereka yang belum berbuat demikian diberi tempoh sebulan untuk menjelaskannya bagi mengelakkan mereka didakwa di mahkamah.


"Saya juga ingin mengingatkan mereka yang gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang diberikan iaitu sebulan daripada tarikh notis akan didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

'Tetamu' sapu RM20,000

Posted: 23 Jun 2013 12:29 PM PDT

Alor Setar: Kemeriahan majlis perkahwinan sepasang pengantin baru di Kampung Keriang Pulau, Tandop, di sini bertukar duka apabila beg tangan milik pengantin perempuan dan sepupunya yang mengandungi barang kemas dan wang tunai bernilai hampir RM20,000 yang diletakkan dalam bilik pengantin, lesap dipercayai dicuri 'tetamu tidak diundang', kelmarin.

Kejadian hanya disedari jam 3.30 petang oleh pengantin perempuan, Noriza Ramli @ Haron, 30, yang ketika itu mencari minyak panas tetapi dia mendapati beg yang diletakkan dalam bilik pengantin lesap.


Malah ketika kejadian, jemputan yang datang ke majlis itu terlalu ramai dan dianggarkan seramai 1,500 orang yang hadir, malah ahli keluarga pengantin lelaki sibuk melayani tetamu yang hadir.

Noriza berkata, dalam beg tangannya itu mengandungi wang tunai RM400 termasuk wang tunai suaminya, Nazrul Ismail, 32, dan sebuah telefon bimbit, manakala beg tangan sepupunya, Intan Syafinar Zainol, 20-an pula mengandungi barang kemas serta wang tunai RM800 dan kad mesin juruwang automatik (ATM).


"Ketika itu, adik ipar saya mengadu sakit kepala disebabkan ramai tetamu yang hadir. Disebabkan itu, saya mencari minyak panas, tetapi ketika itu saya dapati beg tangan sudah hilang.


"Saya terus memaklumkan kepada suami mengenai kehilangan beg tangan itu dan puas kami mencarinya dalam bilik, tetapi tiada.

"Bukan itu saja, malah Mykad kami, kad ATM dan sijil pernikahan kami yang disimpan dalam beg tangan itu turut hilang," katanya, semalam.


Noriza berkata, sepupunya turut mengalami nasib sama apabila beg tangannya turut hilang dalam bilik itu menyebabkan mereka mengesyaki ia dicuri.

Sementara itu, ibu mentua mangsa, Mariam Othman, 55, berkata, dia mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila seorang wanita berjubah datang menghampirinya sambil meminta plastik kosong secara tiba-tiba.


Katanya, dia tidak mengenali wanita itu, malah tidak pernah melihat wajahnya kerana dia seperti tergesa-gesa untuk meninggalkan majlis kenduri itu.


"Saya menyerahkan plastik kepadanya dan terus melayan tetamu termasuk keluarga pengantin perempuan yang baru tiba dari Pulau Pinang.


"Namun, 10 minit kemudian, anak saya memberitahu beg tangan menantu dan sepupunya hilang menyebabkan saya tidak sedap hati dan mengesyaki berkemungkinan wanita itu disyaki terbabit," katanya.


Mariam berkata, dia bersyukur majlis perkahwinan anak kedua daripada empat beradik itu lancar walaupun kejadian tidak diingini itu berlaku tanpa disangka.


Berikutan kejadian itu, suaminya yang juga bapa pengantin lelaki, Ismail Ali, 61, dimasukkan ke wad kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, malam kelmarin berikutan sesak nafas akibat kejadian itu.


Bagaimanapun, dia dibenarkan pulang kira-kira jam 5 pagi selepas keadaannya beransur pulih.


Noriza dan suaminya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 6 petang untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Imam rumah terbakar nyaris nahas

Posted: 23 Jun 2013 12:28 PM PDT

Arau: Seorang imam masjid bukan saja tinggal sehelai sepinggang, malah hampir terbabit dalam kemalangan jalan raya berikutan bimbang keselamatan anaknya yang mungkin terperangkap dalam kebakaran membabitkan rumahnya di Jalan Padang Nyu, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengahari, rumah separuh kayu milik lelaki berkenaan hangus dan dia tidak sempat menyelamatkan sebarang barang berharga di rumahnya.


Mangsa yang juga Imam II Masjid Al Sobirin, Gial, di sini, Isakh Napiah, 61, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya, Fatimah Ismail, 59, berada di sawah dan sebaik dimaklumkan jirannya mengenai kebakaran itu, dia bergegas pulang.

"Ketika itu, saya hanya terfikir keselamatan anak kerana khuatir dia terperangkap di dalam rumah.


"Dalam keadaan kelam kabut itu, saya hampir kemalangan selepas kereta dipandu bergesel sebuah lagi kereta lain sehingga mengakibatkan pintu kiri kemek, namun terpaksa membiarkan terlebih dulu dan meneruskan perjalanan ke rumah," katanya yang ditemui berhampiran tapak rumahnya, di sini, semalam.


Isakh berkata, apabila dia sampai di pekarangan rumahnya, dia melihat keseluruhan bahagian rumah sudah hangus terbakar termasuk sebuah kereta, dua motosikal termasuk motosikal antik kesayangannya.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana anaknya, Shariza Hanim, 29, keluar dan tiada sesiapa yang mengalami kecederaan ketika kejadian terbabit.


"Mujur api marak itu tidak melarat ke rumah ibu saya yang terletak tidak jauh dari rumah saya memandangkan dia sudah uzur dan sukar bergerak," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Daerah Arau Abu Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.22 tengahari dan tiba ke tempat kejadian lapan minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Mulut berbau racun

Posted: 23 Jun 2013 12:22 PM PDT

Tongod: Meskipun diberi minum racun dan dibuang tanpa sehelai pakaian sebaik dilahirkan, namun nasib tetap menyebelahi seorang bayi lelaki apabila ditemui penduduk dalam keadaan masih hidup sebelum diberi rawatan tradisional.

Namun, keadaan bayi malang itu ditemui di depan rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit di Ladang KJS di Kampung Inarad, di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 16 Jun lalu, dilihat semakin lemah.


Keadaan itu menyebabkan penduduk segera menghantarnya ke klinik bergerak, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan.

Difahamkan, bayi itu dipercayai cuba digugurkan ibunya ketika kandungan berusia lima bulan, tetapi sebaik 'dilahirkan', bayi berkenaan terus bernyawa.


Tidak sanggup membunuh dengan mencederakan bayi itu, pelaku yang lebih kejam daripada binatang itu kemudian memberi insan kecil itu racun sebelum meninggalkan bayi terbabit dalam keadaan bogel di hadapan rumah pekerja ladang sawit.


Individu menemui bayi terbabit mendakwa mulut bayi itu berbau racun dan masih hidup sebelum dirawat menggunakan perubatan tradisional.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Superintendan Martin Lugu ketika dihubungi semalam, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih melakukan siasatan.


"Saya difahamkan sebaik menemui bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu, pekerja ladang hanya membawanya berubat menggunakan kaedah tradisional berikutan kedudukan ladang yang jauh dari hospital.

"Namun, oleh kerana keadaannya semakin lemah, bayi itu dihantar ke Klinik Bergerak Kampung Inarad, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum satu laporan polis dibuat," katanya.


Martin berkata, siasatan awal mendapati, mulut bayi itu berbau racun ketika ditemui dan sehingga kini, belum ada individu yang tampil menuntut bayi terbabit.


"Polis akan menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.


Martin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31, Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

No comments:

Post a Comment