Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Karavan bersalut emas

Posted: 19 Jun 2013 08:49 AM PDT

Dubai: Di negara yang terkenal dengan kemewahan rakyatnya berbelanja, rumah bergerak atau karavan bukanlah sesuatu yang diminati.

Bagaimanapun, penduduk Dubai mungkin perlu berfikir lebih daripada sekali apabila melihat sebuah kenderaan yang boleh dijadikan rumah bergerak ini.


Kenderaan sepanjang 12 meter ini dilengkapi pelbagai keistimewaan, termasuk kemasan emas pada badannya.

Ia dijangka dijual pada harga RM8.4 juta seunit dan bakal menjalar di jalan raya Dubai tidak lama lagi. Pengeluarnya, Marchi Mobile, mengesahkan kenderaan dikenali sebagai EleMMent Palazzo itu sedang disiapkan sebelum diperkenalkan di Dubai.


Ketua Pengurus Jenama Marchi Mobile, Juliane Rönisch berkata, sejumlah pengguna dari Dubai menunjukkan minat mendapatkan kenderaan syarikat Jerman - Austria itu. "Ketika ini kami mengeluarkan antara lima hingga 10 unit EleMMent Palazzo setahun dan ia dihantar ke seluruh dunia," katanya. Juliane berkata, kenderaan tempahan khas itu boleh mencecah harga lebih mahal jika kemasannya ditambah dengan emas. Bagi syarikat itu, katanya, model komersial kenderaan itu boleh diperoleh dengan harga minimum RM3.2 juta. "Untuk model lebih mewah, harganya ialah dua juta euro (RM8.4 juta) setiap satu," katanya. Bagaimanapun, ketika ini model Marchi Mobile itu tidak dipamerkan di Dubai.


Kata Juliane, mereka juga tidak bercadang membuka cawangan tetap di Emiriah Arab Bersatu atau mana-mana negara Teluk.

Foto

KENDERAAN mewah EleMMent Palazzo yang disalut emas.

Foto

RUANG pemandu dalam kenderaan EleMMent Palazzo.

"Tetapi ketetapan itu mungkin boleh berubah," katanya. Sementara itu, kenyataan syarikat Marchi Mobile menyebut, siri mode EleMMent itu bukan sekadar kenderaan konsep, sebaliknya sedia dihasilkan dalam unit terhad. EleMMent Palazzo boleh dilengkapi pelbagai ciri kemewahan, seperti bumbung terbuka, bumbung telus cahaya dan tangga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Bulu kaki tiruan elak gangguan seksual

Posted: 19 Jun 2013 08:37 AM PDT

London: Untuk menjauhkan sebarang potensi gangguan daripada lelaki tidak diingini, sebuah syarikat di China mempelopori 'fesyen' kaki berbulu yang boleh dikenakan dari pinggang sehingga ke buku lali.

Sekeping gambar dimuat naik laman sesawang ChinaSMACK di Shanghai menunjukkan bagaimana seorang model mengenakan bulu kaki tiruan itu.


Mengiringi gambar itu ialah keterangan mengenainya yang dianggap sebagai "kelengkapan penting untuk gadis bersiar-siar." Namun, tidak dinyatakan di mana bulu kaki tiruan itu boleh dibeli.

Carian di Internet juga gagal mendapat jawapan. Imej itu mengundang ratusan komen pengguna Internet yang memberikan pelbagai reaksi.


Satu daripada komen pelayar menyatakan: "Amat menjijikkan!" Seorang lagi pengunjung laman sesawang itu menyatakan penggunaan bulu kaki tiruan itu mungkin memudaratkan pemakainya.


"Ia bukan saja menjauhkan orang tidak diingini, malah menakutkan lelaki kacak daripada menghampiri anda," katanya. Pengunjung lain mencadangkan kaedah lebih murah memperoleh kaki berbulu.

Foto

GAMBAR dikatakan bulu kaki tiruan tersebar di Internet.

"Tidak mencukur kaki adalah pilihan lebih menjimatkan," katanya. Sementara itu, penganalisis berkata, produk itu adalah bayangan kepada pelbagai sarung kaki dikeluarkan syarikat J Crew pada 2010.


Di sebalik matlamat syarikat fesyen itu mahu memberi kelainan pada pemakai, penggunaan sarung kaki berkenaan menyebabkan pengguna seperti memiliki bulu kaki berlebihan. - Daily Mail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Urus syarikat dari penjara

Posted: 19 Jun 2013 08:19 AM PDT

Jakarta: Bekas bendahari Parti Demokratik yang juga tahanan rasuah, Muhammad Nazaruddin menjadi tumpuan sekali lagi dan kali ini didakwa menjalankan empayar perniagaannya dari sel penjara.

Laporan media menyatakan Nazaruddin menubuhkan 28 syarikat pelbagai bidang tahun lalu ketika menjalani hukuman tujuh tahun penjara di pusat tahanan Cipinang di Jakarta Timur.


Nazaruddin dipenjara pada 2012 kerana menjadi dalang skim rasuah pembinaan kampung atlit untuk Sukan SEA di Palembang, Sumatera Selatan.

Mingguan Tempo melaporkan Nazaruddin bukan saja menubuhkan syarikat baru, malah menjalankan operasi melalui sel penjara dengan mengendalikan mesyuarat dan memberi arahan kepada orang bawahan termasuk membuat perjanjian haram dengan anggota Dewan Perwakilan dan pegawai kerajaan.


Bagaimanapun, sukar untuk Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menyiasat amalan rasuah Nazaruddin kerana dia bukan lagi penjawat awam, kata jurucakap KPK Johan Budi semalam.


Berdasarkan Undang-Undang Rasuah 2001, KPK hanya dibenarkan menyiasat tuduhan rasuah penjawat awam sebelum menyiasat pihak persendirian yang disyaki mempunyai kaitan dengan penjawat awam itu. Johan berkata, KPK memerlukan masa yang panjang untuk menyiasat kegiatan Nazaruddin. "Bagaimana seseorang dapat membuktikan dia menjalankan perniagaan dari balik tirai besi penjara? "Juga penting diingat bahawa menjalankan perniagaan dari penjara bukan satu jenayah," katanya. Johan berkata, antara tindakan boleh dilakukan KPK ialah meneruskan siasatan terhadap pengggubahan wang haram Nazaruddin melalui pemantauan asetnya. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Penyamun pulang RM1 kepada mangsa

Posted: 19 Jun 2013 08:18 AM PDT

Phuket: Seorang perompak melarikan wang tunai 2,200 baht (RM225) dari sebuah kedai serbaguna di sini kelmarin, tetapi beberapa minit kemudian memulangkan syiling 10 baht (RM1) sebelum melarikan diri buat kali kedua.

Dua kerani di kedai serbaguna Family Mart, Wanna Ketkaew, 28, dan Fontip Rakrit, 25, di daerah Thalang memberitahu polis, perompak itu memakai baju hujan merah jambu, seluar pendek, topi keledar dan topeng untuk menutup mukanya.


Lelaki itu meletak motosikalnya dan berlari masuk ke dalam kedai ketika hujan lebat, kata Wanna. Dia mendekati mereka sebelum mengancam dengan pisau dan merampas 2,200 baht lalu melarikan diri.

Beberapa minit kemudian ketika kedua-dua kerani itu sibuk berbincang, perompak sama kembali memulangkan syiling 10 baht di kaunter sebelum menghilangkan diri. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

2 sami arah budak buat seks dicekup

Posted: 19 Jun 2013 08:17 AM PDT

Bangkok: Polis Thai semalam berkata, mereka menahan dua sami kerana mengarahkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun melakukan seks dengan penyelia kuil dalam skandal terbaru menggegarkan penganut Buddha negara itu.

Pasangan terbabit yang menafikan tuduhan itu boleh dihukum penjara 15 tahun jika sabit kesalahan, kata pegawai kanan polis Kolonel Wirachon Bunthawi kepada media dari bandar raya di utara Chiang Mai.


"Kami menunggu waran tangkap untuk menahan penyelia itu," katanya.

Berdasarkan keterangan mangsa dan seorang pemandu, dua sami berusia 20 dan 23 tahun itu dituduh membawa remaja terbabit bertemu penyelia berkenaan di sebuah kuil di Chiang Dao, di Chiang Mai beberapa kali sejak Februari lalu.


Kes itu berlaku selepas kontroversi baru-baru ini di negara yang didominasi penganut Buddha itu dengan rakaman dimuat turun di YouTube memaparkan tiga sami terbang dengan jet peribadi, memakai fon telinga dan kaca mata hitam serta membawa beg berjenama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

2,428 rokok elektronik dirampas

Posted: 19 Jun 2013 08:17 AM PDT

Singapura: Rokok elektronik diharamkan di republik ini, tetapi ia tidak menghalang lebih ramai perokok mencubanya, malah berani menggunakannya di khalayak ramai.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) merampas 2,428 unit produk tanpa asap itu. Ini lebih banyak berbanding 1,464 yang disita tahun lalu. Pada 2009, hanya 10 dirampas.


Pengguna tempatan mampu membeli e-rokok dari laman web luar negara atau ketika mengunjungi negara yang membenarkan penjualan produk itu.

Mereka menggelar diri "vapers" - merujuk kepada wap lapisan nikotin yang menjadi tanda peralatan itu. Sesetengah mereka mendapatkannya daripada pembekal pasaran haram tempatan.


Seorang daripada penjual utama di Singapura berkata, terdapat permintaan dan bekalan baru setiap minggu.


Tiub menggunakan bateri itu mewujudkan wap daripada cecair nikotin yang panas yang kemudian dihidu. Diperbuat di China pada 2004, ia boleh dicaj semula dan digunakan berulang kali.

Satu bekas biasanya mempunyai nikotin mencukupi untuk tahan selama beberapa hari bergantung kepada tabiat perokok. Penjualan di seluruh dunia kian meningkat, disokong kepercayaan bahawa alat itu lebih sihat berbanding rokok biasa dan dapat membantu perokok berhenti merokok. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Hidup dengan ular, anjing

Posted: 19 Jun 2013 08:16 AM PDT

Chicago: Seorang wanita yang cacat otak dan anak perempuannya dipaksa hidup di tingkat bawah tanah di Ohio dengan beberapa ekor ular serta anjing pitbull dan dilayan seperti hamba lebih dua tahun, kata pendakwa raya di Amerika Syarikat semalam.

Kes itu terbongkar selepas wanita berkenaan ditangkap mencuri gula-gula dan memberitahu polis, dia lebih suka ke penjara daripada pulang ke rumah kerana teman sebiliknya "kejam terhadapnya".


Tiga daripada penyeksanya ditahan atas dakwaan penyeludupan manusia selepas soal siasat yang panjang.

"Kita sekali lagi diingatkan bahawa perhambaan zaman moden masih wujud di sekeliling kita," kata Steven Dettelbach, pendakwa raya di daerah utara Ohio. "Mangsa dalam kes ini terpaksa menghadapi keganasan, ancaman, keadaan kehidupan separa manusia dan perbuatan ngeri lain." Dakwaan itu dibuat sebulan selepas tiga wanita muda yang dikurung selama sedekad ditemui di sebuah kediaman di Cleveland, kira-kira 110 kilometer di utara bandar kecil tempat wanita cacat itu diperhambakan.


Wanita yang tidak dinamakan itu dipaksa tinggal dengan diancam berulang kali bahawa anak perempuannya yang kini berusia lima atau enam tahun akan dicederakan atau diambil daripadanya jika dia tidak melakukan seperti mana disuruh. Wanita itu dan anak perempuannya pada awalnya dipaksa tidur di atas lantai simen di bilik bawah tanah yang berkunci yang turut menempatkan iguana yang bebas.


Mereka dilaporkan berulang kali dibelasah, diancam dengan anjing pitbul serta ular dan dipantau melalui alat pemantuan bayi bagi memastikan mangsa tidak membuka ikatan tali yang mengikat tangan anak perempuannya atau mencuri sedikit makanan serta air untuk kanak-kanak itu.

Dalam tiga kejadian, wanita itu dicederakan dengan teruk agar dia dapat memperoleh ubat penahan sakit untuk teman sebiliknya: Jordie Callahan, 26 dan Jessica Hunt, 31.


Mereka turut mencukur kepalanya dengan gaya mohawk dan menulis perkataan "sundal", "jalang" dan kata-kata hinaan lain di muka dan dadanya dengan pen dakwat kekal pada suatu ketika.

Kanak-kanak perempuan itu sering diikat dan dikunci dalam bilik dan tidak dibenarkan keluar ke bilik air hingga ibunya selesai melakukan kerja rumah.


Dia memberitahu polis, dia biasanya perlu menunggu hingga jam 8 malam barulah diizinkan untuk memberikan makanan kepada anak perempuannya.


Apabila dia mengadu bahawa anaknya tidak makan sepanjang hari, Callahan mendapatkan sepiring makanan dan memberikannya kepada anjing untuk menyakitkan hatinya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Facebook tarik sejuta pengiklan

Posted: 19 Jun 2013 08:15 AM PDT

San Francisco: Facebook semalam berkata, lebih sejuta perniagaan kini diiklankan di rangkaian sosial utama itu.

"Saya tahu pemilik perniagaan seperti ini melaburkan wang dan masa mereka mengendalikan syarikat mereka," kata Dan Levy dari Facebook dalam mesej di blog itu merujuk kepada pengiklan seperti Kementerian Peruncitan Singapura dan peruncit Springwools di Ireland. "Jadi, hari ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka dan kepada lebih satu juta perniagaan yang menjadi pengiklan aktif," katanya.


Lebih daripada setahun selepas mimpi buruk penawaran saham, Facebook masih mempunyai penyokong setia dan pengkritik. Rangkaian sosial terbesar dunia itu kini mempunyai lebih 1.1 bilion pengguna berjaya melonjakkan pendapatannya sejak tawaran penyenaraian awam (IPO), termasuk daripada platform mudah alihnya yang penting untuk menangani kritikan. Penawaran IPO pada 18 Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Kahwin atas kereta api

Posted: 19 Jun 2013 08:14 AM PDT

Tokyo: Sebuah syarikat kereta api menawarkan satu pasangan peluang untuk berkahwin di atas sebuah daripada komuter tersibuk di Tokyo ketika ia membuat perjalanan mengelilingi ibu negara Jepun, kata syarikat itu semalam.

East Japan Railway (JR East) berkata, ia mahu mencari satu pasangan yang ingin berkahwin di atas kereta api Yamanote Line yang sesak dengan ditemani ahli keluarga dan rakan-rakan seramai 120 orang.


"Kami menjangkakan permohonan daripada pasangan pengguna setia Yamanote Line, termasuk mereka yang tinggal berdekatan," kata jurucakap JR East, Yoichi Suzuki. "Tetapi mereka tidak semestinya peminat kereta api," katanya.

Tetamu akan diberi penggunaan eksklusif 11 gerabak kereta api yang biasanya membawa sekitar 1,000 penumpang. Kereta api itu akan mengambil masa sejam untuk membuat perjalanan 35 kilometer laluan Yamanote Line, berhenti di semua 29 stesen tetapi tidak akan membuka pintunya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Tembak suami depan 9 anak

Posted: 19 Jun 2013 08:13 AM PDT

Manila: Seorang wanita hamil yang cemburu menembak mati suaminya di depan sembilan anak mereka di bandar Lapu-Lapu, Cebu di tengah Filipina, lapor media, semalam.

Samuel Sollano, 47, maut akibat kecederaan dialami selepas ditembak isterinya, Aida, 41, di depan anak mereka yang ketakutan.


Aida kini ditahan di penjara berdepan dengan tuduhan membunuh.

Akhbar tabloid People's Journal yang memetik laporan polis berkata, Aida berang terhadap Sollano apabila mendapat tahu suaminya mempunyai beberapa kad sim yang digunakan untuk berkomunikasi dengan wanita yang mempunyai hubungan sulit dengannya.


Pada malam 17 Jun lalu, ketika keluarga itu berkumpul untuk makan malam, Aida bersemuka dengan suaminya yang menafikan berlaku curang.


Keadaan itu menyebabkan pergaduhan besar mendorong Aida mendapatkan pistol dan menembak suaminya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

No comments:

Post a Comment